Oleh ABDUL GHALIB BIN YUNUS

Kesalahan bahasa berlaku kerana beberapa sebab. Satu daripada puncanya ialah pengguna bahasa tidak menguasai rumus tatabahasa. Selain itu, pengguna berpegang pada prinsip bahasa yang ringkas dan difahami oleh kebanyakan orang. Hal inilah yang menyebabkan bahasa yang digunakan pada kain gegantung yang dipaparkan ini mengandungi beberapa kesalahan bahasa atau penggunaan bahasa yang tidak gramatis.

GEGANTUNG MEROKOK

Gegantung di Kawasan Rehat dan Rawat Tapah.

1. Adakah bahasa yang digunakan pada kain gegantung tersebut seperti yang berikut gramatis?

  1. 2. Kawasan Rehat dan Rawat adalah kawasan dilarang merokok.
  2. Terima kasih kerana tidak merokok.

Ayat (1) tidak gramatis kerana penggunaan kata pemeri “adalah” dan klausa “kawasan dilarang merokok” tidak tepat.

Kata pemeri yang tepat ialah kata pemeri “ialah”. Dalam bahasa Melayu, kata pemeri “ialah” hendaklah diikuti oleh kata atau frasa nama.

Kesalahan yang kedua ialah klausa “kawasan dilarang merokok”. Ayat yang betul ialah:

Kawasan Rehat dan Rawat ialah kawasan larangan merokok.

Persoalannya ialah, mengapakah klausa tersebut dikatakan salah atau tidak gramatis?

Untuk mengetahui sebab kesalahan berlaku, kita hendaklah mengenal pasti ayat asalnya. Ayat tersebut sebenarnya berasal daripada ayat yang berikut:

Pihak berkuasa melarang anda merokok di kawasan ini.

Apabila dipasifkan, ayat yang terbentuk ialah:

(a) Anda dilarang oleh pihak berkuasa merokok di kawasan ini.

Dalam ayat pasif, frasa di- + oleh + FN boleh digugurkan. Apabila hal ini berlaku, maka terbentuklah ayat (b) hingga (d) di bawah:

(b) Anda dilarang merokok di kawasan ini.

(c) Dilarang merokok di kawasan ini.

(d) Di kawasan ini dilarang merokok.

Ayat (a) hingga (d) ialah ayat transformasi pasif.

Oleh sebab ayat “Kawasan dilarang merokok” dikatakan sebagai ayat pasif yang gramatis, apakah ayat asalnya?

Ayat (2) pula salah kerana ayat tersebut tidak mempunyai inti predikat. Yang ada hanya keterangan predikat. Ayat tersebut sebenarnya berasal daripada ayat yang berikut:

Pihak berkuasa mengucapkan terima kasih kepada anda kerana anda tidak merokok.

Ayat di atas sebenarnya boleh mengalami beberapa proses transformasi. Transformasi yang pertama ialah transformasi pengguguran kata ganti nama “anda” untuk membentuk ayat yang berikut:

Pihak berkuasa mengucapkan terima kasih kepada anda kerana tidak merokok.

Transformasi yang seterusnya ialah transformasi pasif seperti yang berikut:

 Terima kasih diucapkan oleh pihak berkuasa kepada anda kerana tidak merokok.

Transformasi yang ketiga ialah transformasi pengguguran bahagian “oleh + FN”.

Terima kasih diucapkan kepada anda kerana tidak merokok.

Transformasi yang keempat pula ialah pengguguran kata kerja pasif “diucapkan” untuk membentuk ayat yang berpola FN + FS, iaitu:

Terima kasih kepada anda kerana tidak merokok.

Selain itu, ayat di atas juga boleh mengalami transformasi pengguguran untuk membentuk ayat yang berikut:

Terima kasih diucapkan kerana anda tidak merokok.

Sebagai kesimpulannya, pihak berkuasa tempatan hendaklah memastikan penggunaan bahasa yang betul dan tepat pada kain gegantung atau kain rentang yang dipasang di mana-mana kawasan pentadbiran mereka. Mereka hendaklah merujuk pihak DBP atau Munsyi Dewan agar bahasa yang digunakan betul dan tepat. Penggunaan bahasa yang ringkas memang digalakkan, tetapi pastikanlah bahasa yang diringkaskan itu menepati cara atau sistem yang betul.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1037030
    Visit Today : 512
    This Month : 19628
    Total Visit : 1037030
    Hits Today : 1706
    Total Hits : 4254061
    Who's Online : 14
  • Kategori