Ahli panel dari kiri Encik Awang Ali Abg. Md. Kassim, Encik Raymond Majumah dan Puan Azmah Nordin membicarakan apresiasi sastera kebangsaan dalam pelbagai sudut.

“MENULIS karya kreatif tidak sukar, tetapi yang lebih sukar adalah memperuntukkan masa duduk di hadapan komputer berjam-jam lamanya. Setiap kali apabila sesebuah karya selesai digarap, anda akan memperoleh kepuasan yang tiada taranya. Walaupun penulisan sangat mencabar dan menuntut komitmen yang berterusan, bidang ini amat menguntungkan dan menyeronokkan.” Demikian antara ulasan penulis prolifik, Puan Azmah Nordin semasa menyampaikan maklumat proses kreatitivitinya pada Majlis Randau Sastera Sabah di Sekolah Pengajian Seni, Universiti Malaysia Sabah (UMS) 28 Februari lalu.

Puan Azmah Nordin, penerima S.E.A Write Award 2009 menjelaskan bahawa untuk menjadi penulis yang berjaya tidak semestinya mempunyai bakat tetapi memadai dengan usaha yang berterusan dan kesabaran yang tinggi bagi menggapai kejayaan. Menurutnya lagi, menulis karya kreatif adalah suatu kemahiran yang boleh dipelajari, tiada satu pun piawaian bagi menentukan bagaimana hendak melakukannya, asalkan seseorang itu selesa dengan teknik dan idea mereka sendiri. Yang pasti, menurut beliau lagi proses penulisan kreatif itu penuh dengan misteri, keunikan, dan tanpa syarat. Walau bagaimanapun, Puan Azmah menegaskan untuk menjadi penulis hebat, seseorang penulis mesti banyak membaca. “Bacalah sebanyak mungkin karya Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Azizi Haji Abdullah atau melihat karya hebat Raymond Carver, Earnest Hemingway, Alice Munro, Tobias Wolff dan ramai lagi”, ujarnya. Membaca boleh menjana idea, menajamkan pemikiran, dan menjadikan seseorang berada dalam lingkungan ilmu.

Beliau turut menyarankan penulis membawa buku nota ke mana-mana sahaja, sama ada ketika melancong, menghadiri kursus, menaiki kenderaan dan seumpamanya. Menurut Puan Azmah lagi, buku nota ibarat inkubator, yakni suatu tempat “eraman” untuk mula mengutip (mencatat) perbualan yang didengar, ekspresi ungkapan, menterjemahkan gambaran, memanipulasikan idea, dan mentafsir makna terhadap dunia di sekelilingnya. “Buatlah seberapa banyak catatan ringkas, kemudian catatan itu akan dikembangkan kemudian hari, tatkala anda memiliki masa atau mood terbaik”. Puan Azmah yang memenangi pelbagai anugerah dalam sastera membimbing ramai penulis baharu menggunakan “sastera siber” sama ada melalui blogspot atau e-mel.

Haji Mohamad Yussop Haji Ishak

Randau atau Bicara Sastera bertujuan meningkatkan apresiasi sastera kebangsaan melalui dialog sastera dan proses kreatif yang melibatkan penulis mapan, penulis muda dan baharu, selain meningkatkan kefahaman peminat sastera, pencinta bahasa, karyawan filem, budayawan terhadap sastera dan isu semasanya melalui siri dialog sastera yang diadakan. Paling penting Majlis Randau Sastera dapat mendukung matlamat DBP dalam memartabatkan kesusasteraan nasional ke peringkat global. Untuk memastikan khalayak sastera lebih meluas, projek ini diadakan di luar premis DBP dengan kerjasama Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Persatuan Penulis, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS), Institut Perguruan Malaysia (IPGM), politeknik, kolej dan seumpamanya. Panel yang dipilih terdiri daripada penerima anugerah S.E.A Write, penulis mapan dan baharu daripada pelbagai kaum dan latar belakang pendidikan.

Majlis Randau Sastera turut melibatkan penulis muda, Encik Raymond Majumah dan penulis baharu, Encik Awang Ali Abg. Md. Kassim, dan dipengerusikan oleh Dr. Asmiaty Amat, Pensyarah Kanan, UMS. Majlis disempurnakan perasmiannya oleh Dekan Sekolah Pengajian Seni, Prof. Madya Dr. Ismail Haji Ibrahim ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar UMS dan peminat sastera tempatan. Majlis turut dihadiri oleh Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Haji Mohamad Yussop Haji Ishak yang menyampaikan ucapan alu-aluan majlis.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042961
    Visit Today : 825
    This Month : 25560
    Total Visit : 1042961
    Hits Today : 2554
    Total Hits : 4282149
    Who's Online : 9
  • Kategori