Oleh ADNAN ABD JAMIL

fauzi

Ahmed Fauzi

Pokok bakau yang hidup subur di muara dan delta terlindung penting bagi melindungi kawasan pantai. Bakau menjadi benteng pertahanan awal bagi melindungi pesisir pantai daripada kuasa fizikal seperti ombak yang menghakis pinggir pantai, angin dan ribut taufan kencang yang mengakibatkan tsunami. Bakau menjadi tempat perlindungan beberapa spesies flora dan fauna yang mempunyai daya penyesuaian yang unik dengan persekitarannya. Banyak spesies udang marin dan ikan mencari makanan, bertelur dan membesar di sini.

Kawasan bakau dan dataran lumpur yang berkaitan dengannya ialah tapak penting bagi burung residen dan burung hijrah mencari makan dan bersarang. Kawasan bakau mempunyai tanah lembut yang seakan-akan tanah liat dan bakau dapat tumbuh menggunakan akar banir dan akar sokong.

Banyak spesies ikan, udang dan ketam yang bernilai komersial hidup di kawasan bakau dan persekitarannya. Penduduk setempat dan kawasan lain turut menggunakan pokok bakau sebagai sumber kayu balak. Penduduk di kawasan pantai pula menggunakan kayu bakau untuk membina rumah dan bot.

bakau 2

Kula Sungai Terong

Keunikan dan kelebihan bakau sering menggamit Ahmed Fauzi Mohamed untuk terjun ke dalam dunia bakau. Fauzi gemar memerhatikan pokok bakau yang menghiasi permukaan sungai atau kuala. Bayang-bayang pokok bakau dalam air bagaikan pembalikan imej pada sebuah cermin, malah bertambah cantik apabila disinari cahaya matahari. Fauzi berasa ingin turut sama berendam dalam air di samping pokok bakau yang menghijau dedaunnya dan akar yang cantik berjuntaian itu. Semuanya ini menggambarkan akan kecintaan Fauzi terhadap alam sekitar, yang turut pula mendorongnya menjadi ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia. Semua keindahan yang dilihat, diperhati dan dihayati telah dilakar dan diabadikan ke atas kertas dan kanvas. Puluhan lukisan yang bertemakan bakau telah dihasilkan oleh Fauzi. Bagi mendapatkan suasana sebenar tentang alam bakau, Fauzi menjelajah ke seluruh pelosok Malaysia, dari utara hingga ke penghujung Benua Asia (Tanjung Piai di Johor) untuk mencari kawasan bakau.

Keasyikan Fauzi memerhati dan menghayati bakau rupa-rupanya berkaitan dengan zaman kecilnya. Fauzi dibesarkan di sebuah kampung bernama Kampung Nanas di Lumut, Perak. Terdapat tumbuhan bakau di persekitaran kampung itu. Nostalgia kehidupan di kampung tidak pernah dilupakan. Oleh sebab itulah Fauzi memilih bakau sebagai objek lakarannya.

Dalam sebuah lukisan yang dihasilkan, Fauzi menggambarkan anjung sebuah rumah di tepi sungai. Penghuni rumah duduk bersantai dengan tenang di anjung rumah yang berhampiran dengan hutan bakau. Suasana yang digambarkan ini adalah pemandangan di kampung Fauzi. Rumah beranjung itu digambarkan sebagai rumah yang akan didirikan oleh Fauzi apabila meneruskan kehidupan di kampung suatu masa nanti.

Yang menarik tentang Fauzi, dia tidak memulakan kerjayanya dalam bidang seni halus, sebaliknya dalam bidang grafik. Perjalanan seninya bermula dari bawah, sebagai pelukis, kemudian pelukis kanan, penolong pegawai seni reka, dan akhirnya menyandang jawatan pegawai seni reka.

Fauzi belajar melalui pembacaan dan pengalaman. Kerjaya awalnya bermula sebagai pelukis komersial di sebuah syarikat pengiklan luar di Kuala Lumpur. Tugasnya ialah menghasilkan iklan produk pada badan van komersial. Setahun bekerja di situ, Fauzi berhenti dan balik ke Perak, bekerja sebagai pelukis di sebuah syarikat pengiklanan di Ipoh. Setahun namun tidak serasi di situ, Fauzi beralih kerjaya apabila mencuba bidang baharu, sebagai pembantu hospital di Ipoh.

bakau panjang

Tanjung Piai, Johor

Setelah tiga tahun, Fauzi berasakan kerjaya sebagai pembantu hospital pun tidak sesuai dengan jiwanya. Dia berpeluang pula menjadi pelukis grafik di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) Kuala Lumpur. Empat tahun di RTM, Fauzi berhenti dan menyambung pekerjaan dalam bidang yang sama di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum bersara pilihan pada akhir tahun 2002.

Persaraan awal menjadi pilihan kerana Fauzi mahu berkarya secara bebas mengikut naluri sendiri. Fauzi berasa puas dapat menterjemah dan meluahkan apa-apa yang terpendam dalam jiwa dan segala bayangan dalam fikirannya menjadi visual yang dapat dipandang dan dihayati oleh orang lain juga.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043632
    Visit Today : 53
    This Month : 26231
    Total Visit : 1043632
    Hits Today : 96
    Total Hits : 4285069
    Who's Online : 12
  • Kategori