Pengulas ADNAN ABD JAMIL

 

Tajuk Buku      :        Seni Budaya Media dan Konflik Jati Diri

Pengarang       :        Ismail Abdullah

Terbitan           :        Dewan Bahasa dan Pustaka

Genre               :       Umum

Halaman          :       313 halaman

Sejarah awal seni budaya bangsa Malaysia yang berasal daripada tamadun Melayu telah lama wujud di rantau ini. Memandang bahawa ruang lingkup seni, budaya dan media begitu luas, penulis buku ini hanya memilih beberapa bidang yang dirasakan menjadi keutamaan dalam kehidupan masyarakat. Bidang tersebut ialah fotografi, seni visual, drama dan filem.

Penulis menjelaskan bahawa penulisan buku ini berdasarkan pengalaman dan pendedahan yang diperoleh dalam bidang seni, budaya, media moden dan teknologi sewaktu melanjutkan pelajaran di Rochester Institute of Technology, New York dan Goldsmiths’ College, University of London.

Penulis berpendapat bahawa seni budaya Malaysia berada dalam persekitaran dunia pasca moden dan digital serta multi kulturisme dan globalisasi yang mencabar, berwacana dan berkonflik. Seni budaya tidak akan mempunyai kesatuan atau penyatuan yang harmoni kecuali fragmen yang terpisah dan asing.

Buku Seni Budaya Media dan Konflik Jati Diri ini mengandungi tiga bahagian, merangkumi tujuh bab. Tiga bab diletakkan pada Bahagian Pertama, dua bab dalam Bahagian Kedua dan dua bab lagi dalam Bahagian Ketiga. Setiap bab dipecahkan pula kepada beberapa tajuk kecil. Pada bahagian awal buku terdapat prakata, penghargaan dan pendahuluan. Pada bahagian akhir pula terdapat kesimpulan, biodata penulis, bibliografi dan indeks.

Pada bahagian pendahuluan, penulis mengatakan bahawa kita memerlukan slogan yang bersesuaian dengan sejarah, prinsip sosial, kepercayaan hidup dan ideologi sebagai lambang jati diri. Oleh sebab itulah slogan Keranamu Malaysia!; Malaysia Boleh; Malaysia 2020; Malaysia Truly Asia sentiasa hidup dalam fikiran kita.

Penulis menghuraikan penjajahan, imperialisme dan harga diri dalam Bab 1. Kemasukan penjajah dan pemerintahan British di Perak dan bermulanya pemerintahan Residen pada tahun 1874 memberikan kesan yang besar terhadap rupa bentuk seni, budaya dan gaya hidup orang Melayu.

Penjajah British menjadikan cara hidup Inggeris sebagai model untuk membangunkan budaya hidup orang Melayu. Senapang dijadikan alat untuk mengawal kepentingan British di Tanah Melayu. Senapang ini juga kemudiannya digunakan untuk memburu pejuang Melayu seperti Datuk Bahaman, Tuk Gajah, Si Putum dan pejuang lain yang dituduh sebagai pemberontak. Teknologi Barat mula meresapi budaya dan tradisi Melayu. Istana kayu bertukar konkrit. Pakaian ala Barat menjadi pakaian rasmi pemimpin Melayu dan menjadi ikutan penduduk Tanah Melayu.

Dalam Bab 2, penulis menghuraikan budaya, globalisasi dan penjajahan baru. Globalisasi bermakna liberalisme dalam pasaran modal, ekonomi dan perdagangan dunia. Globalisasi merupakan gerakan liberalisme yang digerakkan secara besar-besaran. Penguasaan ekonomi, pasaran modal dan nilai keuntungan menjadi matlamat pedagang antarabangsa. Dalam konteks sosial dan budaya, globalisasi bermaksud suatu bentuk pengeksportan budaya, proses, cara dan nilai hidup mengikut gaya masyarakat moden.

Kemajuan sains dan teknologi Barat memainkan peranan penting dalam perkembangan budaya dan kehidupan moden manusia. Huraian penulis dalam Bab 3 ini mengatakan bahawa masyarakat moden di Barat mempunyai aktiviti dan keperluan hidup yang kompleks yang selari dengan budaya mesin dan industri ciptaan mereka. Pada abad ke-20, masyarakat dunia berhadapan dengan pelbagai jenis material, objek 3D, komunikasi grafik, informasi maklumat dan persekitaran perbandaran.

Untuk memenuhi tuntutan hidup moden ini, manusia memerlukan pelbagai produk yang dihasilkan oleh mesin dan industri seperti keperluan dapur, kenderaan mewah, seni bina, pusat rekreasi, komputer, permainan video, telefon bimbit dan sebagainya.

Seterusnya, penulis menerangkan lambang kemodenan seni dalam seni media seperti yang dicatatkan pada Bab 4 (Bahagian Kedua). Seni media berkait rapat dengan penggunaan pelbagai jenis media massa dalam budaya teknologi dan industri. Karya berasaskan media bukanlah manifestasi popular kerana cirinya bersifat intelektual dan multidimensi. Seni media yang bersifat industri memliki ciri komunikasi dan estetik. Penampilannya pula bersifat seni antarabangsa dan pasca moden.

Dalam Bab 5, penulis merakamkan tentang filem Melayu. Sebuah karya filem, sama ada eksperimental, cereka atau dokumentari merupakan pernyataan naratif dan teknikal, pemikiran imaginatif dan artistik, idea kreatif dan luahan ekspresif pengarang atau pengarahnya. Sebuah karya filem biasanya memliki ciri dan peribadi tersendiri, sama ada yang bersifat dalaman atau luaran. Filem cereka atau fiksyen Melayu yang sejati misalnya, adalah pernyataan pemikiran, pentafsiran dan pengalaman cerita yang berkaitan dengan inti pati, kerencaman, cita rasa dan hati budi dunia Melayu serta ragam kemelayuannya.

Bahagian Ketiga (Bab 6) memperkatakan ideologi dan jati diri nasional. Budaya nasional Malaysia mempunyai semangat pelbagai kaum yang tidak memihak kepada budaya sesuatu kaum sahaja. Sebahagian besar elemen agama dan kepercayaan, adat istiadat, bahasa dan budaya kita telah menjadi sebahagian nafas perlembagaan kita. Setiap kaum mengamalkan dan mempertahankan maruah, nilai dan keunikan budaya masing-masing. Budaya Malaysia merupakan budaya yang bercampur antara budaya satu bangsa dengan budaya bangsa lain, tetapi tidak berfokus.

Bab 7 membincangkan multikulturisme dan jati diri budaya. Multikulturisme adalah aliran pemikiran, fahaman atau falsafah yang berkaitan dengan aspek percampuran dan aplikasi pelbagai rupa bentuk serta nilai budaya dalam kehidupan sesebuah masyarakat atau negara. Suasana persekitaran budaya di Malaysia bukanlah rekaan atau imaginasi, sebaliknya suatu kenyataan. Untuk memahami isu, konflik atau perbezaan persepsi, pandangan dan nilai hidup antara penduduk di Malaysia yang pelbagai ragam, maka kajian yang bersifat etnosentrik dan diaspora antara kumpulan masyarakat akan membantu kita memahami ciri dan perbezaannya.

Malaysia mempunyai rujukan sejarah diaspora masyarakat yang kompleks kerana keluasan kawasan geografi sosial dan bingkai budayanya. Sejarah diaspora berlaku sebelum tahun 1957 atau sejak perpindahan kaum pekerja dari China dan India ke Malaysia. Sehingga era kemerdekaan negara, sejarah sosial dan politik Malaysia tidak didominasi oleh satu kelompok etnik sahaja.

Negara yang kuat, maju dan berjaya ialah negara yang rakyatnya bersatu, harmoni dan aman. Setiap ahli masyarakat perlu sedar tentang tanggungjawab kepada negara. Dia wajib mencintai negara sendiri melebihi kepentingan lain. Dia perlu bersifat patriotik dan tiada rasa perkauman.

Buku hasil kajian dan pengalaman Ismail Abdullah ini sarat dengan ilmu, idea, konsep, komentar, perspektif dan pandangan. Sudah sewajarnya buku ini dimiliki oleh setiap pencinta, penggemar serta pengamal seni, budaya dan media.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1034833
    Visit Today : 1049
    This Month : 17432
    Total Visit : 1034833
    Hits Today : 5038
    Total Hits : 4243372
    Who's Online : 12
  • Kategori