9

Ismail Baba

Oleh ADNAN ABD JAMIL

Naif, dalam Kamus Dewan didefinisikan sebagai, “bersahaja, terlalu mudah, tidak canggih, lurus, tidak matang (pemikiran), keanak-anakan”. Jadi, apabila memperkatakan seni naif, ia merupakan satu konsep kesenian atau lukisan yang dihasilkan tanpa terikat dengan undang-undang seni lukis. Setiap subjek tidak terikat dengan sebarang prinsip, termasuk perspektif.

Walaupun seni naif dianggap mudah, namun seni yang berkualiti tidak dapat dihasilkan tanpa kreativiti dan olahan yang sempurna. Oleh hal yang demikian, pelukis yang hendak menghasilkan lukisan naif mesti membuat kajian tentang subjek yang akan dihasilkan.

Bagi Ismail Baba, melukis subjek naif tidak semudah yang disangka. Beliau mengambil masa beberapa tahun sebelum mendapat “gaya sendiri” dalam olahan seni naifnya. Dia melukis seni naif sepenuh masa setelah bersara daripada alam pekerjaan. Pendedahan dalam kesenian naif diperoleh daripada pelukis Yusuf Ismail atau Yusuf Gajah. Ismail mengikuti dan menimba pengalaman daripada Yusuf selama dua tahun sebelum betul-betul memahami tentang kesenian naif.

1a

Lukisan naif pada kompang.

Ismail memilih ikan sebagai ikon tetap dalam karya naifnya. Bagi Ismail, pemilihan ikan sebagai ikon disebabkan ikan dikenali oleh semua lapisan masyarakat. Kanak-kanak pun tahu melukis ikan. Walaupun lukisan kanak-kanak tidak secanik lukisan orang dewasa, tetapi apabila ikan yang dilukis itu dapat dikenali melalui bentuk yang dihasilkan, itulah seni naif yang sebenar.

5a

Ismail menghasilkan karya naif di galerinya.

Selain ikan, Ismail turut menghasilkan lukisan naif pemandangan alam semula jadi dan budaya masyarakat. Setiap lukisan diolah dengan sempurna dan menarik, penuh dengan warna terang dan ceria.

6

Dengan warna-warna yang terang, lukisan naif kelihatan cantik dan menarik.

Ismail menjadikan sebuah pondok kecil di belakang rumahnya sebagai studio seni lukis. Di studio itu, Ismail merangka dan membina konsep yang hendak dilukis. Pondok kecil itu dilengkapi pelbagai kemudahan, termasuk bilik tidur. Berhampiran studio terdapat sebuah lagi rumah kecil yang dijadikan rumah tamu bagi rakan penulis yang datang dari jauh.

7

Panorama dalam laut.

Apabila siap, lukisan akan diletak atau digantung dalam rumahnya sendiri. Secara tidak langsung, rumah menjadi galeri lukisan Ismail. Tidak hairanlah, setiap dinding, sudut dan ruang yang ada dihiasi lukisan naif. Di bahagian luar rumah terdapat dua buah wakaf yang dijadikan tempat peminat atau pelanggan berurusan secara santai. Wakaf tersebut turut dihiasi lukisan naïf.

4a

Lukisan naif nampak seperti lukisan yang dihasilkan oleh kanak-kanak.

2c

Lukisan naif bersaiz kecil.

Bagi menarik perhatian pelanggan, Ismail menghasilkan juga lukisan naif bersaiz kecil, 6 inci x 6 inci. Lukisan naif bersaiz kecil sering menjadi pilihan pelancong kerana mudah untuk dibawa pulang ke negara mereka.

Lukisan naif tidak terhad pada medium kertas dan kanvas sahaja. Ismail menggunakan pelbagai bahan lain seperti batu, kayu, buluh, kompang dan boneka pakaian sebagai medium lukisannya. Tidak mahu terikat dengan kesenian naif, Ismail turut menghasilkan lukisan abstrak dan arca.

Ismail berpendapat bahawa setiap manusia dikurniakan bakat. Bakat tidak akan kelihatan jika tidak dizahirkan. Bagi pelukis, bakat yang dizahirkan berterusan akan menjadikannya semakin menyerlah dan sempurna.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014659
    Visit Today : 688
    This Month : 34004
    Total Visit : 1014659
    Hits Today : 2666
    Total Hits : 4139468
    Who's Online : 11
  • Kategori