Oleh MUHAMMED SALEHUDIN AMAN

Salehuddi Aman

Salehuddi Aman

Dalam bahasa Melayu terdapat empat golongan kata, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif  dan  kata tugas. Dalam tulisan ini akan dihuraikan keempat-empat golongan kata berkenaan secara ringkas.

 Dimulakan dengan huraian golongan kata nama. Kata nama terdiri daripada sejumlah perkataan yang menamakan orang, benda dan tempat. Contoh kata nama ialah  Sulaiman, sofa, beca, Teluk Intan, petinju, lautan, kerajaan, dan lain-lain. 

 Kata nama menjadi unsur inti dalam binaan frasa nama. Misalnya,  baju hijau, rumah rakyat dan sekolah dewasa.   Dalam binaan ketiga-tiga frasa yang tersebut, baju, ialah inti kepada frasa baju hijau, rumah  inti frasa rumah rakyat, dan sekolah ialah inti frasa sekolah dewasa.

 Golongan kata nama boleh dipecahkan lagi kepada tiga jenis, iaitu kata nama khas, kata nama am  dan  kata ganti nama. Kata ganti nama dapat dipecahkan kepada dua sub pecahan lagi, iaitu kata ganti nama orang dan  kata ganti nama tunjuk.  Tun Abdul Ghafar, Apollo 11 dan Sang Belang ialah kata nama khas; jalan, fikiran, kementerian  ialah nama am; saya, engkau, ia, beliau, mereka  ialah kata ganti nama orang; itu, ini  ialah kata ganti nama tunjuk.

 Golongan kata kerja pula terdiri daripada sejumlah perkataan yang menunjukkan sesuatu perbuatan, atau keadaan melakukan sesuatu. Contohnya, duduk, bangun, terkarang, menampar, berlari, membesarkan dan memperkecil. Kata kerja menjadi unsur frasa kerja, maksudnya menjadi inti kepada frasa kerja. Misalnya,  makan nasi, bergunting rambut, menjadi lemah. Kesemua frasa kerja yang berkenaan, iaitu kata kerja makan, bergunting, dan menjadi menjadi inti.

Seperti golongan kata nama, kata kerja terbahagi kepada beberapa sub golongan tertentu, iaitu kata kerja tak transitif, kata kerja transitif, kata kerja aktif transitif,  dan  kata kerja pasif transitif. Contoh kata kerja tak transitif ialah pulang, tertawa, menyanyi dan menguning. Contoh kata kerja transitif pula ialah memasak, mencubit, menaikkan  dan memperhambakan.

Kesemua contoh kata kerja transitif ini juga ialah kata kerja aktif transitif. Dalam ayat pasif, kata kerja transitif aktif ini mengalami perubahan menjadi kata kerja transitif pasif dengan cara kata kerja itu diimbuhi awalan  di-. Contohnya,  dimasak (daripada memasak), dicubit (daripada mencubit), dinaikkan (daripada menaikkan), dan diperhambakan (daripada memperhambakan).

Golongan kata adjektif pula ialah sejumlah perkataan yang menjadi inti frasa adjektif. Kata adjektif menerangkan sesuatu, lazimnya menerangkan kata nama.  Contohnya, baik, merah, nipis, tengik, kasar dan tenang.

Kata adjektif tidak mempunyai sub golongan seperti kata nama, dan kata kerja, namun kata adjektif ini dapat dibahagikan kepada sembilan kumpulan berdasarkan makna perkataan. Sebagai contoh, ada kata adjektif yang menyatakan  sifat atau keadaan seperti, baik, dan berani; ada pula yang menyatakan ukuran seperti kecil dan tohor; ada juga yang berkaitan dengan pancaindera seperti merdu, harum, dan cantik , dan sebagainya.

Golongan kata yang terakhir ialah kata tugas. Kata tugas mendukung sesuatu tugas tertentu dalam binaan frasa, klausa dan ayat.  Antara fungsi kata tugas termasuklah menegaskan sesuatu, menyatakan bilangan, menanyakan sesuatu, menguatkan maksud, memberi maklumat tambahan, menyambung ayat atau bahagian-bahagian ayat, dan lain-lain sebagainya.

Bahasa Melayu mempunyai 17 jenis kata tugas bergantung pada tugasnya dalam ayat. Jenis kata tugas tersebut ialah kata hubung (dan, tetapi, lalu), kata seru (amboi, cis, wah), kata tanya (bila, mana, siapa), kata perintah (jangan, sila, harap), kata pangkal ayat (hatta,. maka, kalakian), kata bantu (sudah, akan), kata penguat (paling, amat, nian), kata penegas (-kah, -tah, -lah), kata nafi (bukan, tidak), kata pemeri (adalah, ialah), kata sendi (ke, dari, pada), kata arah (atas, sisi, segi), kata bilangan ( dua, semua,sesetengah), kata adverba (selalu, demikian, begitu), dan kata penekan/pembenda (nya).

Begitulah huraian ringkas tentang golongan kata dalam bahasa Melayu. Pengetahuan tentang golongan kata bahasa Melayu serta tahu cara-cara menggunakannya dalam ayat amat penting. Hanya dengan demikian baru kita dapat berbahasa dengan betul dan baik.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013509
    Visit Today : 772
    This Month : 32854
    Total Visit : 1013509
    Hits Today : 2564
    Total Hits : 4134669
    Who's Online : 11
  • Kategori