Oleh Adnan bin Abd Jamil

Bandar Darulaman terletak dalam daerah Kubang Pasu, Kedah. Kawasan penempatan yang dikenali sebagai Tanah Merah suatu ketika dahulu, kini sedang membangun pesat. Deretan pusat perniagaan baharu muncul untuk menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah. Dalam keghairahan menjalankan perniagaan, terdapat pemilik premis perniagaan yang kurang memberikan perhatian dalam menamakan premis perniagaan mereka. Bahasa Melayu masih tidak menjadi keutamaan, manakala bahasa Inggeris masih diagung-agungkan.

Terdapat kesalahan ejaan bagi dua buah kedai ini. “Galeri Perabut Kayu Jati” dan “Kedai Perabut Chean Seng”. Ejaan “perabut” sepatutnya dieja “perabot”. Kekeliruan ejaan berlaku kerana kebanyakan pengguna bahasa Melayu menggantikan huruf “o” dengan huruf “u”. Hal ini dianggap betul apabila pengguna mengikut hukum keselarasan vokal dalam Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu yang dilancarkan oleh Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein pada 16 Ogos 1972. Namun begitu, hukum tersebut mengekalkan ejaan beberapa perkataan, termasuk perabot, lancong, lakon, calon, dan lapor.

1 perabut

“Café” bermaksud kedai yang menjual minuman, terutama kopi. Perkataan café telah diterima dan diserapkan ke dalam bahasa Melayu dan ditulis “kafe”. Oleh hal yang demikian, premis perniagaan ini hendaklah menukarkan papan tanda nama kedai mereka menjadi “Kafe Baraqbah” dan “Restoran Kafe Baihaqi”.

2 cafe

“Butik” ialah kedai menjual pakaian dan barang-barang perhiasan, terutama untuk wanita. Perkataan “butik” dipadankan daripada bahasa Inggeris, boutique. “Yusmira Boutique” sepatutnya menggunakan padanan bahasa Melayu tersebut bagi papan tanda nama kedainya – “Butik Yusmira”, seperti yang tertulis pada papan tanda nama kedai “Butik Maya”.

3 butik

Bagi premis “Yusof Borong: Pusat Kasut dan Bag” terdapat dua kesalahan yang jelas. Kesalahan yang pertama ialah pada nama Yusof Borong. Kesalahan kedua ialah ejaan bag yang sepatut nya dieja “beg”. Penulis mencadangkan premis ini dinamakan “Yusof: Pusat Borong Kasut dan Beg”.

Pemilik syarikat “CH Ong” tidak mengabaikan bahasa Melayu di samping bahasa lain pada papan tanda nama kedainya. Walau bagaimanapun, terdapat kesalahan ejaan yang perlu dibetulkan, iaitu “digin” yang sepatutnya dieja “dingin”.

Di sebuah kedai, terdapat iklan yang bertulis “Promosi Motorsikal Baru”. Ejaan “motorsikal” salah dan perlu dibetulkan menjadi “motosikal”.

5 salah eja

DBP menyediakan Ruangan Khidmat Nasihat Bahasa untuk para pengguna menanyakan sebarang kemusykilan tentang bahasa, sastera, penerbitan dan korporat. Selain itu, DBP menerbitkan Siri Lembar Bahasa sebagai panduan bagi menamakan bangunan, syarikat, jalan, taman perumahan, perkhidmatan, pusat rekreasi, fesyen dan program media.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013421
    Visit Today : 684
    This Month : 32766
    Total Visit : 1013421
    Hits Today : 2282
    Total Hits : 4134387
    Who's Online : 13
  • Kategori