Siti Rabiatul Adawiyah bt. Abdul Hadi

Siti Rabiatul Adawiyah binti Abdul Hadi

NAMANYA mungkin jarang-jarang didengar, tetapi semangat dan jiwa yang sentiasa berkobar-kobar boleh dijadikan penyuntik semangat kepada anak-anak muda yang lain. Dilahirkan pada 17 Februari 1985, Siti Rabiatul Adawiyah binti Abdul Hadi merupakan anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang. Sebaik-baik tamat tingkatan enam, dia menyambung pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dari tahun 2008 hingga 2010 dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Penulisan (Kreatif).

Karya-karya yang telah dihasilkan ialah puisi dan cerpen di samping beberapa naskhah drama pentas. Karya-karyanya pernah disiarkan dalam majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dia mula berkhidmat sebagai penolong perancang bahasa DBP dari tahun 2012 sehingga kini.

Dia mula melibatkan diri dengan dunia penulisan sejak di bangku sekolah. Apabila dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa sidang editor majalah sekolah, semangatnya berkobar-kobar untuk menulis dan peluang ini digunakan sebaik-baik mungkin, iaitu menjadikan majalah sekolah sebagai medan perjuangan menghasilkan karya. Sebagai anak seorang penulis terkenal di Kelantan, iaitu Abdul Hadi bin Yusoff dan ibunya, Meriam binti Awang Lah, semangat Rabiatul untuk mengasah bakat dalam dunia penulisan semakin membara. Dia beranggapan bahawa dunia penulisan bukanlah diwarisi, tetapi semangat yang ada dalam diri menjadikan Rabiatul terus gigih berkarya dan menjadikan bapa dan ibunya sebagai idola dan pendorong utama dalam bidang penulisan.  Faktor persekitaran yang sentiasa didedahkan dengan aktiviti dan bengkel penulisan bersama-sama ibu dan bapa turut mempengaruhinya untuk lebih mendalami bidang penulisan.

Rabiatul menulis  puisi dan cerpen, di samping novel dan drama pentas yang turut menjadi pilihannya. Dia lebih suka memilih tema kemasyarakatan dalam setiap karyanya kerana menganggap inilah yang paling hampir dengan kehidupan seharian. Menurut Rabiatul, dia lebih selesa dengan aliran penulisan realisme, kerana aliran ini melambangkan sebuah realiti kehidupan dan lebih mendekatkan dirinya kepada khalayak.

“Dalam menghasilkan karya, saya lebih suka memilih tema yang agak bersahaja dan ringkas, kerana hal itu mampu memberikan reaksi dan penerimaan yang  baik daripada khalayak,” katanya lagi.

Dia turut melibatkan diri dalam Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Selain dorongan bapa dan ibu yang juga ahli PPK, persatuan ini banyak memberikan pendedahan mengenai selok-belok dunia penulisan yang rencam. Melalui persatuan ini juga, dia dapat mendekatkan diri dengan penulis mapan di samping penulis baharu yang seangkatan di samping bertukar-tukar pandangan dan idea.

Siti Rabiatul duduk empat dari kiri, bersama-sama penulis lain ketika menyertai program penulisan.

Siti Rabiatul (duduk empat dari kiri), bersama-sama penulis lain ketika menyertai program penulisan.

“Mahu menjadi penulis yang baik, perlu minat dan banyak membaca,” kata Rabiatul yang menjadikan membaca sebagai hobi utamanya. Baginya, menulis dan membaca menjadi sinonim dalam dunia penulisan. Melalui pembacaan, dia dapat mengutip ilmu lalu menterjemahkannya dalam bentuk karya.

Bercerita tentang minatnya, Rabiatul turut mengakui suka melancong, kerana melalui melancong, dia mendapat idea, sekali gus menterjemahkan perasaan itu dalam karya. Namun, selepas berkeluarga, kekangan masa membataskannya untuk keluar melancong dan aktiviti lebih banyak tertumpu kepada keluarga. Namun, kurang melancong bukanlah alasan dia kekeringan idea untuk berkarya. Jadi dia lebih banyak membaca dan menonton. Melalui kedua-dua cara ini dia dapat mengumpulkan dan menggabungkan idea seterusnya mencoretkannya menjadi sebuah cerita.

 

Siti Rabiatul sebagai peserta dalam bengkel penulisan yang disertainya.

Siti Rabiatul ketika menyertai bengkel penulisan.

Sejak akhir-akhir ini Rabiatul lebih banyak tertumpu kepada sajak. Menurutnya, menulis sajak lebih bebas, tidak ada format atau peraturan tertentu. Pemilihan kata lebih bebas, oleh itu dia lebih suka melahirkan perasaan melalui sajak.

Rabiatul menjadikan bapanya sebagai rujukan dalam usaha mencapai kejayaan di samping penulis lain seperti Anwar Ridhwan, Shahnon Ahmad, Azizi Haji Abdullah dan Fatimah Busu yang turut menjadi idola dalam berkarya. Dalam menghasilkan karya, dia meletakkan sasaran agar dia tidak lupa atau leka.

“Saya akan menetapkan setiap bulan menghasilkan sekurang-kurangnya dua hingga tiga buah sajak, dan satu hingga dua bulan untuk menghasilkan sebuah cerpen. Kalau saya dapat menghasilkan lebih daripada yang disasarkan, itu satu bonus untuk saya,” kata Rabiatul sambil tersenyum.

Dia turut memberikan pandangan tentang novel popular yang semakin banyak dalam pasaran. “Pandangan saya tentang genre pop ini, bacaannya santai dan dapat mengurangkan tekanan di samping menghiburkan hati. Tapi kesan negatif kepada khalayak adalah penggunaan bahasa rojak yang kurang sesuai. Bahasa dan sastera Melayu akan rosak,” katanya lagi dalam nada kesal.

Sebelum mengakhiri perbualan, Rabiatul mengungkapkan, “Walaupun saya masih baru dalam dunia penulisan, tetapi dengan semangat yang ada dalam diri dan keinginan yang sentiasa membuak-buak untuk terus maju dalam bidang penulisan, kejayaan yang membanggakan dalam penulisan menjadi harapan saya yang sangat besar.”

Rabiatul menegaskan lagi, prinsipnya dalam dunia penulisan adalah, “Saya tidak mengejar kuantiti, yang dikejar ialah kualiti.”

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042723
    Visit Today : 587
    This Month : 25322
    Total Visit : 1042723
    Hits Today : 1556
    Total Hits : 4281151
    Who's Online : 11
  • Kategori