Judul : Panrita
Penulis : Arena Wati
Harga : RM20.00
Tahun : 1993 dan 2014 (cetak ulang)
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Panrita merupakan kisah tentang pengembaraan ke alam roh. Arena Wati dengan sedar dan pasti cuba memberikan gambaran apa yang sedang dan akan berlaku kepada manusia di alam roh. Alam roh bagi orang sedang koma yang dialami oleh watak-watak dalam Panrita merupakan alam transit sebelum mereka dikembalikan ke alam nyata.
Segala yang berlaku di alam roh merupakan manifestasi apa yang akan berlaku sesudah berakhirnya kehidupan ini. Pengalaman ke alam roh ini diceritakan melalui watak Omba (Tun Khamis) bersama-sama “Panrita”, seorang guru, yang membuka jalan kepadanya melalui pelbagai pengisahan, yang sebenarnya merupakan penyucian dan pengajaran buat Omba. Tanpa disedari, terdapat tiga lagi insan yang turut mengalami koma seperti Omba dan sedang melalui perjalanan roh yang panjang tetapi menarik dan menakutkan.
Percubaan yang dilakukan oleh sasterawan ini amat menarik, dan belum pernah digarap oleh novelis Melayu pada waktu pertama kali buku ini diterbitkan. Karya Arena Wati ini begitu mencabar minda. Gaya bahasa yang digunakan berjaya merangsang imaginatif pembaca, malah penggunaan personifikasi dan metafora yang kukuh menyerlahkan estetika novel ini. Pengakhiran novel ini memberikan “kekuatan” dan nafas semangat; memaparkan detik-detik kebangkitan Melayu untuk mengubah takdir dunia.
– NAZMAH ANI