Noor Ainna Abd Hamid

Noor Ainna Abd Hamid

SEJAK kecil, dia yang dibesarkan oleh datuk dan nenek sebagai anak pulau, diperdengarkan cerita rakyat, cerita asal usul, legenda puteri  kayangan, sejarah bangsa sejak zaman kemasyhuran dan penjajahan, keruntuhan dan kemerdekaan Malaysia.  Datuk dan neneklah benih pertama yang menumbuhkan kecintaan Ainna terhadap sastera.

Apabila meyambung pelajaran ke sekolah menengah, dia mengambil jurusan sastera dari peringkat Sijil Pelajaran Malaysia hingga Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia. Ketika inilah keinginan untuk menulis bertunas dalam dirinya setelah berkenalan dengan teks sastera seperti Sulalatus Salatin, sastera, puisi dan prosa Melayu tradisional.

“Setelah melanjutkan pengajian di universiti, saya mengkhusus dalam bidang Kesusasteraan Melayu di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya.  Dorongan untuk saya menulis dan menghantar karya itu amat kuat datangnya daripada pensyarah di APM, iaitu  Encik Salleh Rahamad (ketika itu belum doktor), Profesor Rahman Shaari dan Profesor Datuk Wira Abdul Latif Bakar,” dia menghimbau.

Walau bagaimanapun, Ainna percaya bahawa mempunyai keinginan untuk menulis sahaja belum cukup jika tiada keberanian.  Dia mengaku bahawa dia tidak cukup berani untuk menghantar karya kepada penerbit.

“Maka itulah kebanyakan karya saya hanya terperam dan hanya saya yang menikmatinya,” katanya sambil tersenyum.

Hanya selepas tamat pengajian peringkat sarjana muda pada tahun 2009, barulah Ainna memberanikan diri menghantar karya seperti cerpen kanak-kanak kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan cerpen tersebut termuat dalam majalah Dakwah terbitan YADIM dalam tahun 2010.  Pada tahun 2011, dia berjaya menyiapkan manuskrip kumpulan cerpen kanak-kanak yang bertajuk “Cerita Siti” untuk diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Bercerita tentang keberanian yang sudah dimilikinya, Ainna menambah: “Selepas itu, saya jatuh cinta pada karya Marita Conlon-McKenna, iaitu penulis novel kanak-kanak yang terkenal di dunia; saya bercita-cita  menulis novel remaja yang bersifat pengembaraan/autobiografi yang belum banyak dihasilkan di Malaysia.”

Nama Ainna mula dikenali setelah dia menghasilkan Ke Pulau Sebatik 1 yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia  (ITBM) pada tahun 2012.  Lebih manis lagi apabila pada tahun 2013, novel tersebut memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012 kategori novel remaja.

Ainna tidak pernah menduga karya pertamanya yang tercetak terus menghadiahkan  kemenangan yang besar kepadanya.

“Walaupun manuskrip novel ini adalah yang kedua tetapi kiranya novel sulung jugalah,” katanya sambil tersenyum.

Keberanian menghantar karya terus membara apabila tahun 2014, sebuah lagi karyanya, iaitu kumpulan puisi Syair Puteri terbit. Buku ini mengandungi 28 buah syair tentang puteri yang berdasarkan cerita-cerita rakyat di Malaysia.

Ainna meminati aktiviti lasak.

Ainna meminati aktiviti lasak.

Minatnya terhadap penulisan kreatif turut dipengaruhi oleh kesukaannya membaca buku-buku sastera klasik seperti Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, puisi-puisi tradisional dan cerita-cerita rakyat tempatan dan luar negara.  Selain itu dia juga suka membaca novel dan cerpen karya SN Datuk Anwar Ridhwan, cerpen karya S.M Zakir, puisi Siti Zainon Ismail selain karya  beberapa orang penulis dari Indonesia.

“Saya cenderung menulis cerpen dan novel kanak-kanak dan remaja kerana karya seumpama  ini masih kurang dan kebanyakan yang ada di pasaran bersifat popular.  Atas kesedaran ini saya berasa bertanggungjawab untuk menghasilkan novel remaja yang bukan sekadar menghiburkan malah sarat mendukung nilai estetika, mengangkat nilai adat dan budaya, sastera rakyat tempatan, dan mengingatkan generasi muda tetang sejarah yang telah dilupakan atau mungkin tidak mereka ketahui,” ulasnya panjang lebar.

Selain novel dan cerpen, Ainna menulis puisi tradisional seperti pantun, syair dan gurindam.  Baginya, sejauh mana pun kita membaca, akhirnya kecintaan itu tetap kembali kepada asal kita bermula, iaitu puisi Melayu Tradisional.

“Sejujurnya saya boleh menghasilkan puisi tradisional yang lebih baik berbanding dengan puisi moden (sajak),” akuinya yang berhasrat untuk menghasilkan buku kumpulan skrip drama pentas/teater kanak-kanak.

Dorongan untuk dia berkarya datang daripada mereka yang di sekelilingnya, iaitu datuk, nenek, anak-anak, sahabat dan mantan guru.

“Saya sentiasa mendorong diri saya untuk berkarya,” katanya yang menyukai tema kemasyarakatan yang mengungkapkan persoalan perjuangan, ketabahan, dan keberanian.

Masa ialah isu kritikal yang menghambat penulis untuk berkarya. Ainna mengakui hal itu. Tetapi dia mempunyai kaedah untuk menghadapinya.

“Sebagai penulis yang berkerja, kekangan masa sangat mencabar. Namun saya bersyukur kerana Allah memberikan keistimewaan kepada saya, iaitu mampu menulis dalam apa-apa jua keadaan kecuali penat dan sakit.  Saya akan menulis jika ada masa senggang walaupun setengah jam. Tetapi selalunya saya akan bangun tengah malam untuk menulis,” akuinya yang suka melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung dan menjelajah hutan, gua, perkampungan nelayan dan tempat baharu.

Ainna menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012 kategori novel remaja daripada Tan Sri Haji Muhyiddin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri

Ainna menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012 kategori novel remaja daripada Tan Sri Haji Muhyiddin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri

Aini mempunyai idola yang mendorongnya untuk terus berkarya. Dia meminati karya Marita Conlon-McKenna.  Dia selalu bercita-cita menjadi penulis yang hebat sepertinya. Selain itu dia juga meminati puisi kanak-kanak karya Siti Zainol Ismail yang amat menarik berserta lukisannya di samping Hamka dengan karya besarnya, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.  Dia juga meminati karya Anwar Ridhwan, Othman Puteh, S.M Zakir dan Mahaya Yassin.

Sebagai anak Pulau Sebatik yang terletak di penghujung  timur negeri Sabah dan  berjiran dengan Indonesia, ada keunikan yang tersendiri yang membentuk keperibadian dan karakternya.

“Saya seorang yang lasak dan sejak kecil saya suka menggembara.  Saya dan kawan-kawan selalu menjelajah hutan di Pulau Sebatik hingga ke pantai di bahagian Indonesia.  Mungkin kerana kelasakan itu saya mengutip banyak pengalaman dari pulau saya yang unik. Saya yang dibesarkan oleh datuk dan nenek yang sering memperdengarkan kepada saya kisah sejarah, cerita rakyat, dan didendangkan dengan syair menyebabkannya mengalir dalam diri saya sehingga dewasa.

Ibu bapa yang berpisah sejak Ainna masih kecil menyebabkannya mampu berdikari.  Dia mudah tercabar melihat orang berjaya dan mungkin kerana itu dia  cenderung menulis cerita yang menaikkan semangat dan kecekalan remaja berhadapan dengan cabaran.

Impian Ainna suatu hari nanti adalah menjadi seperti Marita Conlon-McKenna dan karyanya dibaca, dinikmati, dihayati dan dimiliki oleh semua remaja dan kanak-kanak bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

Dia juga berharap akan terus menghasilkan karya yang bukan sekadar menghiburkan malah sarat mendukung nilai estetika, mengangkat nilai adat dan budaya, sastera rakyat tempatan, dan mengingatkan generasi muda tetang sejarah yang telah dilupakan atau mungkin tidak mereka ketahui.

“Saya berharap karya-karya saya dapat memenuhi kekosongan penerbitan novel, cerpen dan puisi kanak-kanak dan remaja seterusnya memberi pilihan kepada pembaca di Malaysia. Saya akan terus menulis novel remaja yang mempunyai nilai sastera kerana pada saya, penulis bertanggungjawab mencorakkan pemikiran masyarakat dan bukannya masyarakat yang mencorakkan penulisan.  Novel remaja dan kanak-kanak yang mempunyai nilai sastera perlu dipertahankan bagi memastikan kelangsungan genre sastera sedemikian,” katanya penuh harapan.

BIODATA 

Nama penuh: Noor Ainna Abd Hamid.

Nama pena: Nur Mustika

Asal: Pulau Sebatik, Tawau, Sabah.

Tarikh lahir: 9 Mac 1986

Kerjaya sekarang: Penolong Perancang Bahasa dan penulis sambilan

Keluarga: Anak ke-2 daripada dua adik beradik. Telah berkahwin dan mempunyai dua orang cahaya mata, iaitu Mim Mestika Nuawi dan Ha Allauddin Nuawi.

Latar belakang pendidikan:

– Sekolah Kebangsaan Mentadak Baru, Pulau Sebatik, Tawau.

– Sekolah Menengah Kebangsaan Wallace Bay (PMR).

– Sekolah Menengah Kebangsaan Sepagaya, Lahad Datu, Sabah (SPM dan STPM).

– Sarjana Muda di Akademi Pengajian Melayu dalam bidang pengkhususan Kesusasteraan Melayu dan minor di Akademi Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Karya:

– Kumpulan Cerpen Kanak-kanak,Cerita Siti”, DBP.

– Novel RemajaKe Pulau Sebatik 1, ITBM, 2012.

– Novel RemajaKe Pulau Sebatik 2, ITBM, 2013.

– Kumpulan PuisiSyair Puteri terbitan, ITBM, 2014.

Anugerah/hadiah yang pernah dimenangi:

Novel Ke Pulau Sebatik 1 memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012 kategori novel remaja.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044784
    Visit Today : 1205
    This Month : 27383
    Total Visit : 1044784
    Hits Today : 4423
    Total Hits : 4289396
    Who's Online : 10
  • Kategori