Oleh NISAH HARON

Nisah Haron

Nisah Haron

PENULIS yang baik ialah pembaca yang baik.

Kenyataan bahawa seorang penulis itu tidak suka membaca amat ironi sekali! Cara paling baik untuk menjadi penulis ialah melalui pembacaan. Mungkin ada yang bertanya begini, “Saya suka membaca tetapi mengapa saya masih tidak boleh menulis?”

Jawapannya ialah membaca itu ada beberapa tahap. Proses membaca itu mestilah dinikmati. Membaca untuk peperiksaan tidak sama dengan membaca untuk menjadi penulis. Apabila membaca untuk lulus peperiksaan, anda mungkin menghafal tanpa menilai makna bahan yang dibaca. Kepentingannya ialah untuk melahirkan kembali bahan yang sudah dihafal.

Sebelum anda mengetahui kaedah membaca sebagai penulis, ketahui dahulu tujuan membaca sekiranya anda benar-benar mahu menjadi penulis, khususnya menulis cerpen (atau mungkin novel dan karya kreatif yang lain).

Antara tujuan penting seseorang penulis itu membaca ialah untuk:

  • Mengenal bentuk karya
  • Meneliti ketepatan / kepadatan diksi (pilihan kata-kata)
  • Mempelajari seni berbahasa dengan baik
  • Memperkaya perbendaharaan kata

Apabila anda mahu menulis cerpen, tentulah anda perlu mengenal bentuk sesebuah cerpen. Cuba baca majalah atau akhbar yang menerbitkan cerpen. Majalah Dewan Siswa ini perlulah menjadi bacaan wajib pada setiap bulan kerana majalah ini menyiarkan dua buah cerpen pada setiap keluaran. Daripada dua buah cerpen ini sahaja, anda sudah boleh mengenal bentuk, tema dan laras bahasa yang sering digunakan untuk cerpen-cerpen yang terpilih. Jika anda menulis dengan laras bahasa basahan atau terlalu rancu, iaitu menggabungkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain di dalam satu ayat, ini antara sebab karya anda berkemungkinan besar tidak dapat diterbitkan.

Cuba baca lagi setiap cerpen yang terbit. Perhatikan diksi (pemilihan kata-kata) dan lenggok bahasa yang digunakan. Baca dan sediakan buku catatan peribadi. Catatkan perkataan-perkataan baharu atau kosa kata segar lagi indah yang digunakan oleh penulis. Lebih menarik lagi, senaraikan setiap cerpen yang terbit dengan nota anda sendiri dalam buku catatan tersebut. Catatkan pendapat anda, mengapa karya ini bagus? Jika perkataan yang digunakan itu tidak biasa anda dengar atau gunakan, rujuk Kamus Dewan dan lihat dalam konteks manakah perkataan itu digunakan.

Membaca karya yang baik akan mengasuh anda menjadi penulis yang baik. Bacalah karya-karya 12 orang Sasterawan Negara, Keris Mas, Shahnon Ahmad, Usman Awang, A. Samad Said, Arena Wati, Muhammad Haji Salleh, Noordin Hassan, Abdullah Hussain, S. Othman Kelantan, Anwar Ridhwan, Kemala dan Baha Zain. Bacalah karya-karya penulis yang sudah mapan dan yang lebih berpengalaman.

Nah, lihat kembali rak bacaan anda. Buku apa yang berbaris di meja tulis? Di rak sebelah katil? Di bawah bantal? Percaya atau pun tidak, buku-buku yang anda akrabi itulah yang bakal menjadi bahan yang masuk ke dalam cerpen-cerpen anda kelak. Oleh itu, pilihlah bahan bacaan yang baik.

Membaca untuk penulis itu melalui beberapa peringkat iaitu, bacaan santai yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang suka membaca. Membaca untuk menikmati sesebuah karya. Bacaannya pun mungkin sekali sahaja.

Bacaan tekun bermakna membaca bahan yang sama lebih daripada sekali. Membaca untuk mencari makna yang cuba disampaikan pengarangnya. Calon penulis sekurang-kurangnya mestilah membaca begini dan rajin menyelongkar bahan yang mungkin tidak akan dicapai oleh pembaca santai.

Bacaan telaah pula ialah membaca sambil membuat catatan, sama ada menggarisbawahi perkara yang penting atau membuat tanda pada bahan bacaan. (Pastikan buku yang ditanda itu ialah buku sendiri dan bukannya buku perpustakaan!)

Pernah dengar ungkapan:  Kitalah apa yang kita baca? Memang benar, bahan yang dibaca itu akan menjadi sumber sama ada idea, prinsip dan bahasa yang akan kita gunakan sewaktu menulis kelak.

(Nisah Haron merupakan pengarang sepenuh masa yang sering membimbing penulisan kreatif di dalam dan luar negara. Beliau banyak memenangi anugerah penulisan termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan Hadiah Sastera Berunsur Islam. Ikuti tip-tip menulis di Facebook : “Nisah Haron – Pengarang” atau Twitter : @nisahharon.)

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    127838
    Melawat Hari Ini : 66
    Jumlah Pelawat : 127838
    Hits Hari Ini : 124
    Jumlah Hits : 229460
    Siapa atas talian : 3
  • Kategori