Oleh NISAH HARON

Nisah Haron

Nisah Haron

TAHNIAH! Anda memang berminat menulis. Saya katakan begini kerana hanya mereka yang punya minat sahaja akan singgah membaca tulisan ini. Oleh itu, ruangan ini cuba membantu anda mula menulis daripada proses mencari idea atau ilham sehinggalah cerpen anda disempurnakan.

“Oh, saya tidak boleh menulis kerana tiada ilham,” kata seorang calon penulis kepada saya.

“Mengapa tidak dicari?” saya membalas.

“Bukankah kita harus menunggu mood dan apabila datang ilham barulah kita boleh menulis,” kata calon penulis tadi.

Sebenarnya, ilham itu ialah cetusan rasa hasil daripada beberapa keadaan. Sekiranya kita berada di dalam keadaan yang sama dalam tempoh yang panjang, percayalah, kita akan menulis hal-hal yang sama seputar dunia kita itu. Jadi, tidak hairanlah, kebanyakan penulis baharu akan mengambil latar sekolah (jika masih bersekolah) atau latar universiti (jika sudah menjadi mahasiswa) atau latar tempat kerja atau kerjayanya (apabila sudah bekerjaya).

Salahkah?

Sama sekali tidak. Menulis mengenai tempat-tempat yang kita sangat kenal ialah cara paling mudah untuk bermula. Cuma cabaran penulis baharu ialah mendatangkan perspektif baharu dalam menyampaikan ceritanya. Seperkara lagi, kita yang tinggal di dalam situasi dan tempat yang sama, biasanya berasa amat bosan untuk menceritakan hal yang sama itu kepada pembaca.

Bagaimana mencari ilham?

Mudah. Ilham itu ada di mana-mana sahaja. Tip untuk mencari ilham ialah melihat sesuatu yang sama dari perspektif yang berlainan. Perspektif ialah sudut pandang atau cara kita melihat sesuatu. Misalnya, setiap hari kita melihat guru atau pensyarah dari sudut pandangan seorang pelajar kerana kita duduk di tempat pelajar. Apabila kita dipanggil ke hadapan, selalunya ada debar dan getar dalam perasaan. Ini disebabkan perubahan berlaku. Ketika itulah kita melihat sahabat-sahabat yang dahulunya sebaris dengan kita, sudah berubah tempat kerana kini kita di hadapan (dari sudut pandangan guru atau pensyarah tadi).

Perubahan perspektif ini membuatkan pandangan atau pendapat kita terhadap kawan yang di sebelah kita mungkin berubah. Selama ini kita melihat dia dari sudut yang dekat, kini dari sudut yang lebih luas dan jauh pula. Pasti ada perbezaan tertentu.

Apabila berada di atas jalan raya, kita tidak akan dapat melihat keindahan susun atur bandar atau kampung tempat kita tinggal. Cuba bayangkan kita melihat bandar atau kampung yang sama dari atas udara. Begitu juga dengan bentuk bumi yang dilihat di atas bumi berbanding bumi yang dilihat dari angkasa lepas.

Tidak hairanlah kita berasa teruja apabila kita ‘mendapat ilham’. Kita bukanlah mendapat sesuatu yang baharu. Ia masih subjek yang sama, cuma kali ini kita dapat melihat sesuatu perkara itu melalui kaca mata atau perspektif yang berlainan.

Bagaimana pula kita dapat mengubah perspektif di dalam penulisan kreatif? Ada banyak cara:
a) Membaca
b) Mendengar
c) Memerhati
d) Berfikir

Membaca ini tidak tertakluk kepada buku, akhbar dan majalah yang dinamakan media cetak. Membaca pada zaman ini juga bermaksud mendapatkan bahan-bahan melalui internet, laman sosial dan sebagainya. Semua ini boleh mengubah perspektif kita sebagai calon penulis.

Pada zaman dahulu, proses penyampaian maklumat banyak berlaku melalui pendengaraan. Orang-orang tua bercerita, mendengar radio dan mendengar ceramah sama ada di surau atau tempat umum. Kini, semua proses tersebut telah diambil alih media elektronik seperti televisyen dan juga komputer, laptop, telefon pintar dan sebagainya. Manfaatkan alat-alat ini untuk mendapatkan perspektif baharu.

Pemerhatian juga boleh dilakukan secara langsung. Kita boleh melihat sendiri sesuatu peristiwa, tokoh atau suasana. Memerhati bukan sekadar memandang. Memerhati bererti melihat sesuatu itu daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah yang paling besar dan mencari makna di sebalik kehadiran setiap perkara.

Berfikir ialah proses yang amat penting dalam semua bentuk penulisan. Menulis ialah cara kita berfikir. Untuk menghasilkan tulisan yang jelas dibaca, fikiran perlu jernih. Pemikiran yang bercelaru akan menghasilkan karya yang mengelirukan.

Jadi, usah tunggu ilham. Carilah dan kejar ilham sampai dapat. Selepas itu, barulah kita manfaatkan ilham itu untuk menghasilkan sebuah cerpen!

(Nisah Haron merupakan pengarang sepenuh masa yang sering membimbing penulisan kreatif di dalam dan luar negara. Beliau banyak memenangi anugerah penulisan termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan Hadiah Sastera Berunsur Islam. Ikuti tip-tip menulis di Facebook : “Nisah Haron – Pengarang” atau Twitter : @nisahharon.)

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1034407
    Visit Today : 623
    This Month : 17006
    Total Visit : 1034407
    Hits Today : 2062
    Total Hits : 4240396
    Who's Online : 7
  • Kategori