Oleh ROSNAZATULIZLIN ABDUL  AZIZ

WAU merupakan warisan budaya yang tinggi nilainya. Bermula sebagai permainan mengisi waktu lapang petani selepas lelah menuai padi, wau kini telah diangkat dan diperkenalkan ke mata dunia dengan penganjuran Festival Layang-layang Antarabangsa yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran pasir Gudang, Johor, setiap tahun.

Wau yang paling dikenali ialah wau bulan yang  telah diabadikan pada duit 50 sen dan satu ringgit. Wau ini dikatakan berasal dari empayar seri vijaya semasa pemerintahan Dewa Muda dan reka bentuknya mempunyai falsafah tersendiri. Bahagian dada wau melambangkan “nusaratang” iaitu, merangkumi Semenanjung Indonesia, Thailand dan Burma. Bahagian pinggang, pula melambangkan “Nusakancana” iaitu Tanah Melayu. Dan bahagian bawah wau melambangkan “Nusantara” iaitu, seluruh kawasan Indonesia, sabah, Sarawak dan Filipina.

wau bulan

Wau bulan

Motif bunga dan awan larat yang disobek menghiasi wau bulan membawa erti penyebaran syiar islam oleh Dewa Muda. Apabila baginda menang dalam peperangan, baginda akan memainkan wau bulan untuk tontonan rakyat dan setiap kali itulah beberapa kuntum bunga baru terdapat pada badan wau yang menandakan jajahan baru yang baginda takluki. Ruang kosong di kiri dan kanan wau bulan digelar kijang emas dan kijang kencana yang melambangkan daerah yang sangat dihajati tetapi tidak dapat ditakluki iaitu Burma dan Champa.

Saiz wau ini biasanya 2.5 meter lebar dan 3.5 meter tinggi. Apabila diterbangkan di udara wau ini kelihatan seperti bulan yang terbit di angkasa.

Wau kucing merupakan wau yang menjadi logo Syarikat penerbangan Malaysia (MAS) ialah wau kucing yang berasal dari Kelantan. Wau ini mendapat namanya daripada rekabentuknya yang apabila diterbalikkan menyerupai kucing. Bahagian ekor wau kelihatan seperti kepala kucing dari pandangan hadapan dan sayap wau seperti badan kucing, manakala kepala wau seperti ekornya. Bukan sahaja rupa,malah busurnya turut mengeluarkan bunyi yang nyaring seperti bunyi kucing apabila bergesel dengan angin ketika diterbangkan.

wau kucing

Wau kucing

Motif bunga yang disobek pada badan wau kucing ialah motif bunga dan tumbuh-tumbuhan menjalar sama seperti wau bulan.

Wau  jala budi pula berasal dari negeri Kedah dan  mendapat namanya daripada bentuk ekornya yang menyerupai daun budi. perkataan “Jala” berdasarkan bentuk kerangka asal ekornya yang seperti jala. Bentuk Wau bersaiz sedarhana ini diilhamkan daripada tubuh perempuan . Wau ini mempunyai bentuk hampir sama dengan wau “Chula Kite” yang berasal dari Thailand. Ironinya, “Chula” bermaksud “lelaki” manakala wau jala budi disamakan dengan “Perempuan”.  Wau jala budi mempunyai busur di bahagian atas yang akan mengeluarkan bunyi berdengung apabila diterbangkan.

Wau merak dikatakan berasal dari Sulawesi, Indonesia dan dimainkan oleh masyarakat Bugis. Mereka mencipta wau merak untuk menghalau burung-burung yang memakan padi mereka sehingga akhirnya menjadi kelaziman untuk membuat dan menerbangkan wau merak setiap kali selepas musim menuai padi.

Wau merak tidak ada saiz tertentu sebaliknya bergantung kepada pembuat wau. Wau ini mempunyai balung di bahagian kepala. Panjang ekornya yang diperbuat daripada benang bulu, 4 kali ganda ukuran saiz badannya. Busur wau ini akan menghasilkan 7 Nada yang berbeza apabila diterbangkan dan sering dimainkan pada sebelah malam untuk mengamati nada yang dihasilkan.

Motif sobek pada wau merak ialah motif pokok gambir dan lada hitam. Motif ini berkait rapat dengan sumber ekonomi masyarakat Bugis ketika itu. Kadang kala motif pokok sirih turut menjadi penghias wau merak.

Wau daun berbentuk daun. Wau yang turut dikenali dengan nama wau pagi dan wau barat ini amat berbeza dari segi hiasannya. Wau ini tidak disobek, sebaliknya dihias dengan lukisan tangan yang lazimnya corak-corak batik. Ciri-ciri hiasan ini membuatkan wau daun lebih ringan dan mudah dinaikkan walaupun dalam keadaan angin bertiup pelahan berbanding wau yang mengunakan teknik sobek yang lebih berat kerana dilapisi 3 hingga  5  lapis kertas. Wau ini tidak berdengung apabila diterbangkan kerana ia satu-satunya wau yang tidak mempunyai busur. Reka bentuk wau daun hampir sama dengan wau bulan, cuma ia memiliki sayap yang lebih lebar dan ekor yang lebih hampir dengan sayap.

wau Daun

Wau Daun

Wau dodo helang berasal dari Terengganu. Namanya diperoleh daripada bunyi yang dihasilkan oleh busurnya yang diperbuat daripada rotan yang diraut nipis apabila diterbangkan. Rupa bentuknya juga seperti burung helang. Yang menarik tentang wau ini berbanding wau-wau lain ialah, ekornya disambung dengan kain panjang untuk menampilkan perbezaan yang ketara.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1037109
    Visit Today : 591
    This Month : 19708
    Total Visit : 1037109
    Hits Today : 1875
    Total Hits : 4254230
    Who's Online : 8
  • Kategori