Oleh DATUK DR. AWANG SARIYAN

Pendahuluan

Bahasa Melayu sebagai Unsur Kontrak Sosial dalam Pembinaan Negara

Istilah kontrak sosial yang digunakan dalam hubungannya dengan proses pembinaan negara Malaysia tidak ada kaitannya secara langsung dengan istilah social contract yang diperkenalkan oleh ahli falsafah Perancis Jean-Jacques Rosseau (1712-1778). Gagasan yang dikemukakan oleh Rousseau timbul dalam konteks perubahan sistem pemerintahan daripada golongan bangsawan kepada golongan borjuis atau kelas menengah dan gagasan itu rapat kaitannya dengan kebersamaan nilai serta kehendak individu-individu dalam masyarakat atau negara secara sedar dan sengaja. Kebersamaan nilai dan kehendak itulah yang menjadi asas kontrak sosial menurut gagasan Rosseau.

Dalam konteks pembinaan negara Malaysia sesudah mencapai kemerdekaan, kontrak sosial merujuk kepada persetujuan anggota-anggota masyarakat atau warganegara tentang asas-asas tertentu yang diputuskan dalam proses membina negara. Gagasan “pembinaan negara” (nation building) merupakan gagasan yang timbul di negara-negara dunia ketiga yang baru lepas daripada belenggu penjajahan. Negara kita yang dijajah oleh Inggeris memerlukan orientasi dan perancangan untuk muncul dan wujud secara mandiri dalam segenap bidang, termasuklah pemerintahan, undang-undang, ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan pertahanan.

Kemerdekaan yang dicapai oleh Malaysia menuntut perancangan yang selaras dengan keadaan dan realiti pada waktu itu, khususnya yang diakibatkan oleh kesan-kesan penjajahan Inggeris. Antara keadaan dan realiti itu, yang utama ialah perubahan demografi dan kerakyatan negara sebagai kesan pembawaan masuk jumlah yang signifikan daripada kalangan orang Cina dan orang India oleh Inggeris untuk keperluan manipulasi ekonomi penjajah itu di Tanah Melayu, seperti estet getah dan lombong bijih timah. Dengan penerimaan syarat Inggeris bahawa kemerdekaan hanya diberikan jika prinsip jus soli diterima dan dilaksanakan (semua penduduk yang bermastautin di Tanah Melayu pada waktu kemerdekaan diterima sebagai warganegara), maka timbul keperluan untuk merancang pembentukan (pembinaan) negara yang menitikberatkan perpaduan kebangsaan. Hal ini demikian, kerana polarisasi rakyat yang berasaskan kelainan etnik, bahasa, budaya, sistem nilai, tradisi dan amalan kehidupan sehari-hari dengan sendirinya menjadi masalah pokok yang perlu diselesaikan untuk memungkinkan negara membangun dengan lancar.

Untuk tujuan itulah maka dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin bangsa utama yang mewakili rakyat negara ini beberapa asas kenegaraan yang kemudian dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebagai imbangan pelaksanaan jus soli, iaitu pemberian taraf kerakyatan secara automatik kepada semua orang Cina dan orang India yang bermastautin di Persekutuan Tanah Melayu pada waktu kemerdekaan diisytiharkan, pemimpin tiga bangsa utama itu bersetuju menjadikan empat perkara pokok sebagai kontrak sosial rakyat negara ini.

Empat perkara pokok itu ialah  kedudukan Raja-raja Melayu (Perkara 32(1) Perlembagaan), agama Islam sebagai agama Persekutuan (Perkara 3(10) Perlembagaaan, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi (Perkara 152 (1) Perlembagaan dan hak istimewa orang Melayu (kemudian meliputi hak istimewa kaum-kaum Bumiputera yang lain, terutama di Sabah di Sarawak, apabila terbentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963) (Perkara 153 Perlembagaan).

Walaupun tampak zahirnya penekanan empat perkara pokok yang menjadi asas kontrak sosial itu tertumpu pada hal-hal yang berkaitan dengan bangsa Melayu, namun kesemunya itu dirancang untuk manfaat kepada semua rakyat, tanpa mengira asal keturunannya. Sebagai contoh, kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua negara dan ketua negeri (bagi negeri yang beraja) tidak mengurangkan apa-apa hak pun dalam kalangan rakyat bukan Melayu kerana Raja-raja Melayu menjadi ketua kepada semua rakyat. Penetapan agama Islam sebagai agama Persekutuan tidak menyekat rakyat untuk mempercayai dan mengamalkan agama lain. Penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tidak menutup ruang penggunaan dan pemelajaran bahasa-bahasa lain. Yang dikatakan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera pula tidak mengurangkan hak rakyat daripada bangsa lain menikmati kekayaan dan kemakmuran negara. Keempat-empat perkara pokok  kontrak sosial itu senantiasa disertai jaminan tiadanya penghapusan dan pengurangan hak orang bukan Melayu dan Bumiputera, dalam Perlembagaan Persekutuan itu juga.

Maka itu, proses pembinaan negara dalam zaman kemerdekaan memerlukan perancangan yang holistik atau menyeluruh untuk menerjemahkan dasar-dasar negara yang sebahagian besarnya berasaskan kontarak sosial itu tadi. Gambaran perancangan pembinaan negara yang menyeluruh itu dapat digambarkan dengan gambar rajah yang berikut:

 rajah kp

Bagi hampir setiap bidang utama kenegaraan, digubal dasar yang serasi dengan asas dan orientasi pembinaan negara baharu. Sebagai contoh, bagi bidang ekonomi, digubal Dasar Ekonomi Baharu pada tahun 1970 (khususunya sesudah berlaku sejarah hitam 13 Mei 1969) sebagai pembaikan rancangan lima tahun ekonomi negara sejak kemerdekaan. Bagi bidang pendidikan, digubal Dasar Pendidikan Negara yang secara rasmi bermula pada tahun 1961 apabila diperundang-undangkan di Parlimen Akta Pendidikan 1961 (namun sebelum kemerdekaan lagi dasar pendidikan negara telah dirangka dengan jelas oleh Jawatankuasa Razak 1956 dan Jawatankuasa Rahman Talib 1960). Bagi bidang kebudayaan, digubal Dasar Kebudayaan Kebangsaan, sebagai susulan Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 yang menetapkan tiga asas penting, iaitu kebudayaan asal rantau ini, unsur-unsur kebudayaan lain yang wajar dan sesuai, dan Islam sebagai unsur teras.

Bidang bahasa tidak ketinggalan dalam skema perancangan pembinaan negara Malaysia, selaras dengan teori perancangan bahasa yang meletakkan bahasa sebagai salah satu unsur pembinaan negara. Sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putera, bahasa kebangsaan umpama roh atau jiwa negara. Negara tanpa bahasa kebangsaan ialah negara tanpa roh atau jiwa. Maka itu, digubal Dasar Bahasa Kebangsaan sebagai salah satu dasar negara. Bersama-sama dengan “dasar-dasar kenegaraan” yang lain, Dasar Bahasa Kebangsaan memainkan peranan penting dalam proses pembinaan negara.

Peranan Bahasa Melayu dalam Pembinaan Negara

Peranan bahasa Melayu dalam pembinaan negara pascamerdeka sebenarnya merupakan kesinambungan peranan yang telah berlangsung dalam tempoh lebih daripada dua alaf sebelum itu. Hakikat ini dapat difahami dengan menyedari bahawa bahasa Melayu telah menjadi salah satu asas penting dalam pembentukan konsep negara, paling lewat  sejak abad ke-7 Masihi. Pada abad itu, muncul kerajaan Sriwijaya yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perdagangan dan bahasa pengajian agama (Buddha).

Apabila kemudian muncul kesultanan-kesultanan Melayu di pelbagai tempat di Kepulauan Melayu, seperti kerajaan Pasai, kerajaan Melaka, kerajaan Aceh, kerajaan Kutai, kerajaan Patani dan kerajaan Brunei, bahasa Melayu kian jelas dan meluas peranannya dalam pembinaan negara. Paling lewat, kesultanan Melayu telah mula muncul dalam abad ke-13 dengan memperhitungkan kewujudan kerajaan Pasai, sebagaimana yang dilaporkan oleh Marco Polo apabila tiba di Perlak di utara Sumatera pada tahun 1292. Kesultanan Melaka yang diasaskan pada awal abad ke-15 merupakan kerajaan Melayu yang paling berpengaruh dan luas jajahan takluknya serta luas pula hubungannya dengan kuasa-kuasa dan bangsa asing.

Jika dalam zaman Sriwijaya bahasa Melayu memainkan peranan dalam tiga ranah, iaitu pentadbiran, perdagangan dan pengajian agama, maka dalam dalam zaman kesultanan Melayu bahasa Melayu memainkan peranan yang amat luas, meliputi seluruh aspek tamadun. Peranannya dalam bidang pentadbiran kian meluas, terutama dengan sistem pemerintahan yang jauh lebih canggih dan maju daripada sistem pemerintahan dalam zaman Sriwijaya. Wujudnya sistem pembesar yang menyokong institusi raja, seperti bendahara, temenggung, laksamana, syahbandar dan penghulu bendahari dengan sendirinya memperluas konsep-konsep baharu dan peranan bahasa Melayu dalam konteks yang lebih luas. Demikian juga, sistem perdagangan yang jauh lebih canggih dan lebih luas interaksinya dengan pelbagai bangsa asing menjadikan bahasa Melayu bahasa yang dihormati dan dipelajari oleh pelbagai bangsa.

Sebagai bahasa ilmu pula, bahasa Melayu menjadi wasilah pengungkapan dan pengembangan ilmu yang cukup luas cakupannya, khususnya ilmu yang berkaitan dengan agama Islam, seperti akidah, fiqah dan tasawuf, selaras dengan proses pengislaman yang sedang pesat berlangsung pada waktu itu. Dalam bidang sastera, pada zaman kesultanan Melayulah bahasa Melayu benar-benar menjadi bahasa sastera yang mekar, meliputi pelbagai bentuk prosa dan puisi. Di samping itu, bahasa Melayu telah menjadi bahasa undang-undang bagi hampir setiap kesultanan Melayu; antaranya yang amat masyhur ialah Hukum Kanun Melaka. Di peringkat antarabangsa pula, bahasa Melayu telah menjadi bahasa perhubungan diplomatik apabila digunakan dalam warkah dan perutusan serta perjanjian dengan kuasa-kuasa dan pihak-pihak asing.

Selain berperanan dalam pelbagai ranah itu, hakikat asas yang membuktikan bahawa bahasa Melayu telah menjadi asas pembinaan negara pada zaman kesultanan-kesultanan Melayu dahulu ialah bahawa bahasa Melayu menjadi tali pengikat perpaduan dan persefahaman, terutama dalam kalangan pelbagai kumpulan etnik yang ada di Kepulauan Melayu yang ratusan jumlahnya. Istilah bangsa Jawi yang bersinonim dengan bangsa Melayu itu merupakan istilah yang merujuk kepada semua bangsa yang ada di Kepulauan Melayu.

Lebih daripada tahap itu, bahasa Melayu malahan telah menjadi bahasa yang diterima oleh bangsa-bangsa lain yang datang bermastautin di rantau ini. Kewujudan kaum Baba Cina di negeri-negeri yang dahulu di kenal sebagai Negeri-negeri Selat (Melaka, Pulau Pinang dan Singapura), dengan ciri jati dirinya yang amat rapat dengan kebudayaan Melayu, termasuk penggunaan bahasa Melayu kreol Baba Cina, membuktikan bahawa bahasa Melayu secara alamiah dapat menjadi wasilah perpaduan dan persefahaman antara bangsa yang berlainan. Selain kaum Baba Cina, di Melaka terdapat kaum Ceti India yang juga mengasimilasikan jati dirinya dengan budaya Melayu, termasuk dalam hal penggunaan bahasa Melayu kreol Ceti. Dengan peranannya yang merentas etnik atau supraetnik dan juga merentas bangsa itu, bahasa Melayu memang telah benar-benar menjadi asas pembinaan negara.

Bahasa Melayu Asas Pembinaan Negara Bangsa

Dalam zaman pascamerdeka, bahasa Melayu mengalami peluasan peranan, bukan sahaja sebagai asas pembinaan tamadun bangsa Melayu, sebagaimana yang berlangsung dalam zaman kesultanan Melayu, tetapi juga sebagai asas pembinaan tamadun bangsa Malaysia. Peranannya telah merentas etnik yang berbagai-bagai, selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Konsep yang menjadi salah satu ideologi negara ialah “negara bangsa”. Istilah “bangsa” (nation) dalam konteks ini merujuk kepada makna yang lebih luas daripada istilah “ras” (race), walaupun memang ada pertindanan makna antara bangsa dan ras. Dengan mengambil inti pati takrif “bangsa” dalam Webster’s New Twentieth Century Dictionary Unabdrigded (1983), bangsa berkaitan dengan wilayah tertentu, khususnya negara yang ditadbirkan oleh sebuah kerajaan, sementara ras lebih berkaitan dengan kelompok yang ditandai oleh hubungan biologi dan ciri-ciri persamaan yang berkaitan dengan hubungan keturunan.

Maka itu, “negara bangsa” dalam konteks Malaysia merujuk kepada bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai ras (dengan ras yang utamanya ialah Melayu – sekitar 65%, Cina – sekitar 25%, India – sekitar 8%, kumpulan etnik seperti Orang Asli, lebih 50 kumpulan etnik peribumi di Sabah dan lebih 30 kumpulan etnik peribumi di Sarawak). Konsep “bangsa” yang dikaitkan dengan “negara bangsa” lebih tinggi tahapnya daripada konsep “bangsa” yang merujuk kepada sesuatu kumpulan manusia yang mempunyai beberapa ciri persamaan.

Konsep “pembinaan negara bangsa” yang menjadi cita-cita utama negara bererti pembinaan negara yang berasaskan semua ras yang ada, dengan bertunjangkan beberapa dasar, antaranya termasuklah Dasar Bahasa Kebangsaan. Dalam kaitannya dengan Dasar Bahasa Kebangsaan itulah relevannya usaha “memperkasakan bahasa” untuk membina negara bangsa, dan bahasa yang perlu diperkasakan itu ialah  bahasa yang menjadi asas pembinaan negara yang terdiri daripada pelbagai ras itu, iaitu bahasa Melayu, sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Upaya meneliti jejak pemerkasaan bahasa Melayu setengah abad yang silam, iaitu dengan bertitik tolak dari tahun kemerdekaan Malaysia (yang sebelum 1963 dikenal sebagai Persekutuan Tanah Melayu) dan rencana membaharui babak untuk tempoh yang mendatang berhubungan secara langsung dengan ehwal pembinaan negara Malaysia sebagai negara bangsa. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu memang cukup erat hubungannya dengan pembinaan konsep kebangsaan dan kenegaraan entiti politik yang dikenal sebagai Malaysia. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menjadi salah asas kontrak sosial rakyat Malaysia, di sisi kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan dan hak-hak istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera (Awang Sariyan, 2006 dan 2007). Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Dengan perkataan lain, pembicaraan tentang perkembangan bahasa Melayu selama setengah abad silam dan perancangannya untuk setengah abad mendatang tidak akan bererti apa-apa dengan hanya membicarakan perkembangan bahasa tersebut sebagai wasilah mekanis yang alamiah bagi keperluan komunikasi sekelompok umat. Maksudnya, perkembangan bahasa Melayu, dalam hubungannya dengan pembinaan bangsa dan negara, tidak cukup sekadar dihuraikan daripada sudut perkembangan sistem bahasanya (tatabahasa, sistem ejaan, sebutan, kosa kata dan laras bahasa), meskipun aspek itu memang penting dalam hal penentuan sosok bahasa yang menjadi sendi tamadun. Perkembangan korpus bahasa Melayu itu baru menggambarkan sebahagian hakikat, sedang perkembangan yang lebih mendasar ialah yang berkaitan dengan pemenuhan dan pengisian dasar bahasa negara. Sesungguhnya perkembangan bahasa Melayu mempunyai kaitan yang langsung dengan roh bangsa, dengan asas jati diri dan citra bangsa serta dengan cita-cita luhur bangsa dan negara. Sia-sialah pembicaraan yang tidak mengaitkan bahasa Melayu dengan cita-cita besar membina tamadun bangsa dan negara, kerana dari tahap awal pertumbuhan dan perkembangannya, bahasa Melayu senantiasa menjadi petunjuk dan kayu ukur kemajuan bangsa.

Kebangkitan semangat kebangsaan yang berlangsung di Malaysia merupakan kebangkitan semangat yang holistik sifatnya. Cita-cita membebaskan tanah air tidak terhad pada pembebasan daripada sudut politik dan ekonomi semata-mata, bahkan turut merangkum aspek bahasa, pemikiran, pendidikan dan kebudayaan juga. Maka itu, masuklah dalam kosa kata bahasa Melayu frasa nasionalisme bahasa  atau nasionalisme linguistik, dengan pengertian nasionalisme atau semangat kebangsaan yang berteraskan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai salah satu asas kebangsaan dan kenegaraan. Gerakan nasionalisme sebagaimana yang berlangsung dalam kalangan nasionalis di Maktab Sultan Idris Tanjung Malim (yang ditubuhkan pada tahun 1922), wartawan, sasterawan, bahasawan dan bahkan agamawan yang tampak nyata berkobar dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Pertama (1952), Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kedua (1954) dan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga (1956) membuktikan penghayatan yang bersepadu tentang erti kemerdekaan tanah air. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1956 sebagai badan perancangan bahasa Melayu itu pun merupakan hasil perjuangan rakyat, khususnya melalui Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga.

Pada pihak Kerajaan pada waktu itu, pembentukan Jawatankuasa Razak pada tahun 1956 turut memperlihatkan kejelasan tentang wawasan pembentukan negara yang turut memperhitungkan peranan bahasa, apabila Laporan Razak menegaskan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara ini. Pancang yang diasaskan oleh Jawatankuasa Razak dan kemudian diperkukuh oleh Jawatankuasa Rahman Talib (1960) itulah yang kemudian menjadi asas Akta Pendidikan 1961 dan diperteguh pernyataannya dalam Akta Pendidikan 1996, yang malangnya tidak dihormati apabila asas itu diketepikan dengan keputusan pengajaran sains dan matematik serta subjek-subjek teknikal dalam bahasa Inggeris, bermula pada tahun 2003. Syukurlah sesudah enam tahun berlangsung, dasar yang bertentangan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta mendatangkan musibah kepada majoriti generasi muda negara ini telah diputuskan untuk dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012 dan digantikan dengan MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris) dan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, peranan bahasa kebangsaan dalam bidang pendidikan diberi penegasan.

Tempoh sebahagian setengah abad silam sebenarnya dapat dikatakan diwarnai oleh kejayaan tertentu dasar negara dalam hampir semua ranah. Meskipun masih jauh perjalanan untuk mencapai cita-cita luhur sebagai negara yang benar-benar bersatu padu rakyatnya, tercapainya keadilan ekonomi yang sesungguhnya dan jelas sendi kebudayaan kebangsaannya, namun kita telah bermula dengan perancangan yang bersepadu antara pembangunan fizikal dengan pembangunan dalaman. Kisah kejayaan negara kita dalam tempoh setengah abad sebenarnya berkaitan rapat dengan adanya dasar-dasar kenegaraan yang jelas dan terarah, termasuk dalam soal bahasa, pendidikan dan kebudayaan. Negara kita terbentuk atas landasan kontrak sosial yang jelas.

Prinsip jus soli yang memungkinkan golongan pendatang bukan Melayu diterima sebagai rakyat negara ini diterima dengan penuh redha oleh orang Melayu atas kepentingan untuk mencapai kemerdekaan dan beberapa asas kenegaraan yang berteraskan kemelayuan dan keperibumian diterima pula oleh orang bukan Melayu sejak pada zaman menjelang kemerdekaan lagi (misalnya dalam manifesto pilihan raya 1955) sewaktu negara dalam tahap pemerintahan sendiri sebelum kemerdekaan diberikan. Kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan Raja-raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu serta Bumiputera merupakan asas kontrak sosial yang  tidak harus dilupakan. Sebagaimana kata Khoo Kay Kim (2005), hingga tahun 2020 sekalipun kontrak sosial tidak mungkin dapat diabaikan begitu sahaja.

Dalam soal bahasa, jelas bahawa penobatan  bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah menjadi asas kenegaraan dan kebangsaan yang penting. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu menjadi lambang yang signifikan bagi kewujudan entiti politik yang dikenal sebagai negara Malaysia, menjadi asas jati diri bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan menjadi wahana perpaduan bangsa melalui komunikasi dalam pelbagai ranah. Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu menjadi salah satu unsur penggerak jentera pentadbiran negara, dengan peranannya sebagai wahana komunikasi rasmi dalam pelbagai urusan pentadbiran sehingga kecekapan pentadbiran sebahagiannya bergantung pada kecekapan bahasa yang ada pada penjawat awam pada pelbagai peringkat.

Sebagai bahasa ilmu pula, khususnya melalui peranannya sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, bahasa Melayu mengisi erti pendemokrasian pendidikan, dengan pengertian bahawa pelbagai ilmu dapat disampaikan kepada sebahagian besar rakyat melalui bahasa yang satu, sehingga kemungkinan wujudnya kesenjangan atau jurang ilmu dan kemahiran, sebagaimana yang berlaku dalam zaman penjajahan dapat dielakkan kerana kita mempunyai sistem pendidikan kebangsaan, bukan sistem yang memisah-misahkan empat aliran (aliran bahasa Inggeris dan tiga aliran vernakular – Melayu, Cina dan India). Penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengembangan ilmu (yang memenuhi fitrah dan disokong oleh sekian banyak kajian, termasuk diungkapkan dalam piagam UNESCO) memungkinkan proses pengilmuan masyarakat menjadi lebih berkesan. Dalam tempoh kira-kira tiga dekad pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama (dengan mengambil tahun 1970 sebagai titik tolaknya), telah terhasil ratusan ribu ahli ilmu, birokrat, teknokrat, profesional dan tenaga pembangunan negara dalam pelbagai bidang, dengan sebahagian besar mereka terdidik dalam sistem kebangsaan yang bahasa penghantar utamanya  bahasa Melayu, sekurang-kurangnya sehingga peringkat menengah atas (Tingkatan Lima).

Aspek yang kurang diperhatikan dan kurang disedari kebanyakan orang tentang kejayaan sistem pendidikan negara yang berbahasa penghantar bahasa Melayu ialah terbentuknya kesatuan sikap, pemikiran, sistem nilai dan pandangan sarwa dalam kalangan generasi muda di Malaysia, selain terbentuknya budaya berbahasa yang relatif seragam. Orang yang bergerak dalam bidang pendidikan dan memperhatikan kehidupan di alam persekolahan pasti dapat menyaksikan bagaimana bahasa Melayu berhasil menjadi wahana yang membentuk sikap, pemikiran, sistem nilai dan pandangan sarwa anak didik di institusi pendidikan. Ternyata bahawa prasangka perkauman dapat diatasi sebahagiannya oleh faktor bahasa. Pasti menarik hasilnya jika kajian empiris tentang aspek itu dapat dilakukan.

Ibu segala masalah dalam pelaksanaan dasar bahasa yang berkaitan erat dengan proses pembinaan negara itu ialah ketidaktekalan sikap, pendirian dan pelaksanaan, yang sebahagiannya disebabkan oleh faktor tidak atau kurang memahami peranan bahasa sebagai salah satu asas pembangunan. Pasti pula ketidakfahaman itu disebabkan oleh pemahaman yang silap tentang konsep dan falsafah pembangunan, yang umumnya lebih dipertalikan kebanyakan orang dengan pembangunan fizikal, sehingga faktor bahasa dan budaya dianggap tidak penting dalam usaha mengejar kemajuan. Dalam pada itu, kalangan bukan Melayu, meskipun ribuan langkah di hadapan dalam bidang ekonomi, ternyata begitu perihatin terhadap bahasa dan budayanya dan sanggup mati bergalang tanah untuk mempertahankannya. Sebilangan orang Melayu yang baru agak celik dalam bidang ekonomi tiba-tiba menjadi orang yang angkuh dan memandang hina pula akan bahasa dan budayanya.

Andai kata dasar-dasar kenegaraan yang telah diletakkan oleh kepemimpinan terdahulu, khususnya pada zaman Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak, dihayati dan diperkukuh pelaksanaannya, nescaya tidak bangkit masalah ketidaktentuan dalam pelaksanaan dasar negara sehingga seringkali terjadi keadaan tikus membaiki labu. Tidak jarang bahawa diagnosis yang silap dilakukan dalam usaha menyelesaikan sesuatu masalah. Dalam soal yang dikatakan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan lepasan sekolah serta universiti, misalnya, diagnosis yang dilakukan ternyata silap sehingga penyelesaian terhadap masalah itu menjadi silap juga. Kiasan yang dinyatakan oleh Tan Sri Ainuddin Wahid, bekas Naib Canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia amat tepat menggambarkan diagnosis yang silap itu, iaitu “Lain yang luka lain yang dibebat”.

Penyakit yang dikatakan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan lepasan sekolah dan universiti tidak diatasi dengan pembaikan dalam pengajaran bahasa itu tetapi dengan menjadikan bahasa Inggeris bahasa penghantar subjek-subjek teknikal. Kajian yang telah dilakukan (misalnya Juriah Long et al., 2004 dan Norhashimah, 2004) menunjukkan bahawa bukan sahaja pencapaian pelajar dalam subjek bahasa Inggeris tidak meningkat, bahkan subjek matematik dan sains merudum dengan nyatanya. Lebih malang lagi, pencapaian dalam subjek bahasa Melayu pun terkena tempiasnya. Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman pemansuhan PPSMI (pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris), antara lain menekankan bahawa salah satu asas pemansuhan PPSMI ialah disebabkan pencapaian dasar tersebut hanya sekitar 3%, berbanding dengan beberapa bilion wang yang dibelanjakan

Pemantapan dan Kemantapan Korpus Bahasa Melayu sebagai Prasyarat

Tempoh setengah abad yang lalu sesudah kemerdekaan turut memperlihatkan kepesatan usaha memantapkan korpus bahasa Melayu daripada sudut sistem ejaan, peristilahan, kosa kata umum, sebutan, tatabahasa dan laras bahasa. Kisah kejayaan perancangan bahasa dalam bidang korpus itu telah saya rumuskan dalam beberapa tulisan sebelum ini (lihat, misalnya, makalah saya dalam A. Rahim Bakar dan Awang Sariyan, 2005). Terlepas daripada polemik linguistik dan sosiolinguistik tentang sistem bahasa yang dimantapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan dukungan sekian banyak ahli bahasa dan ahli ilmu dalam pelbagai bidang, dapat dikatakan bahawa bahasa Melayu telah mencapai kemantapan korpusnya dan kemantapan korpus atau sistem bahasa menjadi prasyarat kekuatan bahasa Melayu dalam pembinaan negara bangsa. Kemantapan korpus bahasa Melayu itu telah dimanafaatkan dengan  agak meluas dalam pelbagai ranah.

Pemantapan korpus bahasa Melayu, biarpun dengan pelbagai istilah dan tafsiran, seperti adanya istilah pembakuan, penstandardan, penyelarasan atau yang lain, mempunyai erti yang penting dalam rangka pembinaan tamadun bangsa dan negara. Perancangan korpus bahasa berperanan mengisi erti taraf atau kedudukan bahasa Melayu yang dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi umum. Apatah ertinya taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (yang bermakna bahasa negara) jika sistemnya tidak keruan sehingga tidak dapat dikenal sosok bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara itu? Apatah ertinya taraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi jika untuk menjadi wahana pelaksanaan pentadbiran negara bahasa itu tidak mempunyai sistem yang kemas dan relatif seragam dalam hal ejaan, sebutan, istilah, kosa kata umum, tatabahasa dan laras bahasanya sehingga tidak dapat menjadi wahana komunikasi pentadbiran yang cekap dan berkesan?  Demikian pula, apatah eritnya taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu jika sistem bahasanya tidak mencapai tahap teratur, baku atau standard dan berdaya mengungkapkan hal-hal ilmu?

Dalam kaitannya dengan semua keperluan itulah maka usaha pemasyarakatan bahasa yang baik, teratur dan santun perlu terus-menerus dilaksanakan. Mana-mana bangsa yang bertamadun memiliki ragam bahasa yang baku atau standard, di sisi ragam bahasa basahan atau bahasa sehari-hari, untuk menjadi wahana penzahiran idea, ilmu konsep dan budaya tinggi. Sehubungan dengan itu, pembudayaan berbahasa dengan santun (dengan pengertian berbahasa menurut peraturan linguistik, peraturan sosiolinguistik dan peraturan pragmatik) memerlukan perancangan dan pelaksanaan strategi yang lebih berkesan, khususnya melalui institusi pendidikan, pentadbiran dan  media massa.

Tempoh setengah abad lalu meskipun memperlihatkan kemajuan dalam penguasaan sistem bahasa Melayu dalam kalangan pelajar, penjawat awam dan masyarakat umumnya, ternyata masih belum mencapai tahap yang cukup memuaskan jika diukur daripada sudut penggunaan “bahasa Melayu tinggi”. Dengan tidak bermaksud menafikan peranan bahasa sehari-hari, tampaknya bahasa Melayu tinggi yang dapat juga diistilahkan sebagai “bahasa terbina” (elaborated code menurut istilah Bernstein), sebagai lawan “bahasa terhad” (restricted code) belum membudaya dengan mantap dalam kalangan yang seharusnya menguasainya. Masih banyak karya ilmiah yang belum mencapai tahap bahasa Melayu tinggi yang sewajarnya. Masih ketara penggunaan bahasa Melayu yang tidak baku di tempat awam (iklan, nama tempat, bangunan, syarikat dan sebagainya). Demikian juga masih menjadi impian untuk kita menyaksikan pidato, ucapan, syarahan dan perbahasan yang mencerminkan bahasa Melayu tinggi, dengan kekecualian sejumlah orang yang masih agak kecil bilangannya. Seringkali harapan untuk menikmati wawancara atau ucapan yang bermutu penyampaiannya (termasuk dalam hal penggunaan bahasa) tidak tercapai, malahan perbahasan di Parlimen kadang-kadang tidak pula mencerminkan kemurnian dan taraf Parlimen itu sendiri, disebabkan bahasa Melayu tinggi yang seharusnya digunakan bertukar menjadi bahasa Melayu rendah, kadangkala dengan carutan dan maki hamun.

Dalam pada itu, sebarang langkah berundur daripada ketetapan dan pelaksanaan yang telah berlangsung disebabkan keraguan yang timbul dalam diri sendiri tidak membantu keutuhan bahasa Melayu. Sebagai contoh, pelaksanaan sebutan baku yang bertujuan untuk membentuk bahasa lisan formal sebagai salah satu cirinya, telah diputuskan pada tahun 1980-an, dan pelaksanaannya diterapkan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah (KBSM dan KBSR) bermula pada tahun 1988. Dengan keputusan Kabinet pada tahun 2000, sebutan baku dihadkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja, tidak lagi merentas kurikulum seperti selama 12 tahun sebelumnya. Dengan keputusan pengenduran pelaksanaan sebutan baku itu, ada asasnya untuk kita ragui pelaksanaannya hatta dalam mata pelajaran Bahasa Melayu itu sendiri!

Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri sebagai penggerak utama, bersama-sama dengan Persatuan Linguistik Malaysia dan beberapa badan bukan kerajaan yang lain telah berhasil memperteguh ciri bahasa lisan formal bagi bahasa Melayu, terutama kemudian apabila penggunaannya di Stesen Televisyen Malaysia Berhad atau TV3 membentuk citra istimewa bagi bahasa Melayu lisan rasmi. Kini Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) berusaha melaksanakan beberapa aspek sebutan baku, terutama bagi kosa kata ambilan daripada bahasa asing. Citra DBP, iaitu program radio DBP selama setengah jam setiap hari (kecuali pada hari Ahad) menjadi contoh penggunaan sebutan baku. Sayangnya program yang dimulakan pada tahun 2002 itu hanya dapat bertahan beberapa tahun sahaja dan telah dihentikan atas alasan yang tidak dapat dipastikan (menurut sumber dalaman, disebabkan faktor kewangan).

Merenung dan Merancang Pemerkasaan Bahasa Melayu pada Waktu Mendatang

Pastilah usaha merancang bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun bangsa dan negara untuk waktu mendatang memerlukan waktu dan kaedah yang serapi-rapinya. Perlu ada sesi khas untuk sumbang saran pelbagai pihak dan perlu ada pendokumentasian strategi perancangan itu, sebagai pelan tindakan yang menerjemahkan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Namun, dalam syarahan ini saya sekadar mencatat beberapa fikiran umum yang mudah-mudahan dapat membantu sedikit banyaknya perancangan bahasa Melayu dalam tempoh setengah abad mendatang.

1.         Perancangan yang berkaitan dengan taraf dan peranan bahasa Melayu

  • Peruntukan undang-undang tentang taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu perlu dipertegas dalam pelaksanaan dan penguatkuasaannya. Jika Kerajaan bersedia meminda atau memperluas Akta DBP dalam hal pemberian kuasa untuk mengambil tindakan kepada pihak yang menggunakan bahasa Melayu yang salah di tempat awam, maka tindakan yang sama hendaklah dikenakan kepada sesiapa jua yang tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Mekanisme penguatkuasaan dan tindakan perlu dirancang dengan rapi agar sikap tidak menghormati bahasa kebangsaan dipandang serius oleh semua pihak, sama dengan seriusnya tindakan kepada orang yang melanggar undang-undang negara yang lain. Amatlah ironis halnya apabila penguatkuasaan undang-undang pembuangan sampah yang tidak menentu dan kesalahan lalu lintas, misalnya, diberi perhatian, tidak ada pula undang-undang melanggar peruntukan Perlembagaan negara yang berkaitan dengan dasar bahasa atau akta pendidikan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama.
  • Taraf dan peranan bahasa Melayu perlu diperluas ranah penggunaannya. Mana-mana pengecualian yang tidak munasabah tidak harus wujud lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan atau akta-akta lain, misalnya pengecualian penggunaan bahasa Melayu dalam sistem kehakiman. Demikian juga, kedudukan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi (termasuk perdagangan). Beberapa undang-undang yang berkaitan dengan bidang perdagangan yang selama ini ‘menyekat’ penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu disebabkan akta yang berkaitan telah ‘luput tarikh’ (sebilangannya diaktakan sebelum atau pada awal kemerdekaan) hendaklah segera dipinda dan dimasukkan unsur penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu ke dalam akta pindaan itu.
  • Taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 17(1) Akta Pendidikan 1996 hendaklah dikuatkuasakan dalam sistem pendidikan negara. Langkah mengembalikan pengajaran mata pelajaran sains dan matematik dan subjek teknikal dalam bahasa Melayu baru-baru ini hendaklah disegerakan dan disusuli dengan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama di peringkat tingkatan enam, matrikulasi dan pengajian tinggi. Bahasa Melayu sebagai salah subjek wajib, termasuk di IPTS sebagaimana yang ditetapkan dalam akta tersebut hendaklah dilaksanakan.
  • Pengayaan khazanah ilmu dalam bahasa Melayu untuk pelbagai lapisan khalayak perlu dijadikan agenda negara. Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Negara, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (Mappim) yang menggemblengkan penerbit institusi pengajian tinggi dan insitusi penyelidikan dan badan-badan lain digerakkan secara bersinergi agar untuk dapat benar-benar memenuhi tanggungjawab sosial dalam penyediaan dan penerbitan karya ilmu untuk kelompok dewasa, remaja dan kanak-kanak, dalam bentuk cetakan mahupun elektronik. Perlu ada dana yang khusus untuk menjayakan agend memperkaya khazanah ilmu dalam bahasa Melayu.
  • Perlu ditubuhkan jabatan atau unit audit bahasa yang memantau penguatkuasaan dasar bahasa, terutama dalam bidang pentadbiran. Sebagai langkah proaktif, Dewan Bahasa dan Pustaka telah memulakan Program Audit Bahasa Melayu di semua kementerian kerajaan pusat dan di jabatan kerajaan negeri dengan menilai dua aspek utama, iaitu peratusan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan persekutuan dan aspek mutu bahasa yang digunakan.
  • Dewan Bahasa dan Pustaka yang diaktakan sebagai badan perancangan bahasa dan sastera kebangsaan hendaklah diberi wewenang sebagaimana yang seharusnya. Bidang kuasa dan tujuan DBP ditubuhkan untuk memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu tidak harus terganggu oleh arahan semasa yang bertentangan dengan Akta DBP sendiri. Dewan Bahasa dan Pustaka perlu diberi wewenang untuk memenuhi tujuan-tujuan badan itu ditubuhkan sebagaimana yang terkandung dalam Akta Dewan Bahasa dan Pustaka dengan tidak terlalu terikat atau mengikat dirinya dengan kehendak semasa pihak tertentu yang bertentangan dengan peranan DBP agar dapat memenuhi amanah menjayakan misi memajukan dan mengembangkan bahasa dan persuratan negara.

2.        Perancangan yang berkaitan dengan pemupukan bahasa Melayu tinggi

  • Sebagai bahasa tonggak tamadun, usaha bersepadu melalui semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta swasta perlu dirancang untuk membudayakan atau memasyarakatkan bahasa Melayu tinggi. Langkah Kerajaan mengadakan Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni merupakan langkah positif yang dapat dimanfaatkan untuk turut membudayakan penggunaan bahasa yang baik dan santun. Mudah-mudahan komponen “bahasa Melayu tinggi” dapat diintegrasikan dalam pelaksanaan kempen tersebut. Konsep bahasa sebagai “warisan tidak tampak” atau “warisan tidak ketara” sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 perlu dikembangkan dan direalisasikan dalam kehidupan masyarakat.
  • Media, baik media cetak mahupun media elektronik perlu meningkatkan peranannya dalam pembudayaan bahasa Melayu tinggi. Kita barangkali memang tidak dapat membendung fenomena bahasa rojak, slanga dan segala bentuk bahasa yang mewakili realiti sosial yang ada. Namun, dengan mengupayakan penyajian program-program yang dapat memasyarakatkan bahasa Melayu tinggi, bahasa Melayu dapat bertahan sebagai bahasa yang mewakili budaya tinggi.  Dengan demikian tidaklah menular fenomena “sekerat ular sekerat belut” (seperti yang diistilahkan oleh Tan Sri Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim) dalam penggunaan bahasa bagi tujuan yang rasmi. Yang sungguh-sungguh kita bimbangi ialah kegagalan masyarakat menempatkan ragam bahasa yang betul pada konteks dan situasinya. Sebagaimana kita tidak mengharapkan bahasa yang baku digunakan dalam komunikasi sehari-hari tidak rasmi, maka tidak harus kita terima penggunaan bahasa ragam kolokial dalam urusan rasmi dan ilmiah. 

3.    Langkah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa supranasional

Bahasa Melayu perlu dirancang menjadi bahasa supranasional, iaitu bahasa serantau dan bahasa antarabangsa. Bahasa Melayu yang gemilang dalam zaman Sriwijaya dan Kesultanan Melayu ialah bahasa yang tidak terikat oleh batas geopolitik. Oleh itu, dalam upaya memperkuat bahasa Melayu di peringkat negara, segala upaya memadukan kerjasama dengan negara-negara berbahasa Melayu yang lain dan mana-mana sahaja pihak yang dapat membantu melonjakkan citra dan kedudukan bahasa Melayu hendaklah dilaksanakan. Sekali lagi kita perlu belajar daripada rakan bukan Melayu kita yang mempunyai rangkaian yang cukup erat dalam pakatan Cina antarabangsa. Sekretariat Melayu Antarabangsa perlu digerakkan semula. Kongres Dunia Melayu Dunia Islam perlu disemarakkan terus. Dewan Bahasa dan Pustaka yang memperoleh kelulusan Kabinet pada tahun 1997 untuk menggerakkan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) (yang sudah mula beroperasi sejak tahun 2000 hingga 2004) sedang digerakkan semula untuk memenuhi keperluan pengantarabangsaan bahasa dan persuratan Melayu.

Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa antarabangsa, khususnya dalam zaman bahasa Melayu klasik pada sekitar abad ke-15 dan beberapa abad berikutnya. Pada masa ini bahasa Melayu belum sampai ke tahap bahasa antarabangsa yang dominan sebagaimana halnya dengan bahasa Inggeris yang telah menjadi bahasa ibunda atau bahasa pertama lebih 45% penduduk 10 buah negara di dunia seperti United Kingdom, Ireland, Australia, New Zealand, Barbados, Jamaica, Trinidad, Amerika Syarikat, Kanada dan Guyana (Fishman et al., 1977), menjadi bahasa rasmi atau bahasa kedua di Botswana, Cameroon, Fiji, Gambia, Ghana, India, Lesotho, Liberia, Malawai, Malta, Mauritius, Namibia, Nauru, Nigeria, Filipina, Zimbabwe, Sierra Leone, Singapura, Afrika Selatan, Swaziland, Tanzania, Tonga, Uganda, Saomoa Barat dan Zambia (Richards, 1991). Dengan kedudukannya sebagai bahasa dunia yang dominan dan kini dipercayai antara bahasa dunia yang berperanan besar dalam proses globalisasi, perbincangan tentang  pengajaran bahasa Inggeris kepada penutur asing menjadi tema yang mendapat perhatian besar sehingga perbincangan tentang pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing mungkin dianggap oleh sesetengah orang sebagai kurang relevan.

Namun bahasa Melayu mempunyai kedudukannya sendiri dalam perkembangan bahasa-bahasa utama dunia sehingga memang ada keperluan pengajarannya kepada penutur asing meskipun tidak seluas keperluan pengajaran bahasa Inggeris. Fakta mutakhir yang cukup memberangsangkan ialah pernyataan tentang perkembangan dan potensi bahasa Melayu sebagai bahasa dunia yang dominan, antaranya seperti pernyataan David Graddol, Pengarah The English Company (UK) Ltd dalam jurnal The Future of Language (27 Februari 2004) bahawa bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang amat pesat berkembang. Yang penting ialah bahawa atas dasar adanya keperluan bahasa Melayu diajarkan kepada dan dipelajari oleh penutur asing itu, perlu ada perencanaan yang rapi untuk memenuhi keperluan tersebut.

Penutup

Usaha memartabatkan dan memerkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa ranah-ranah lain hendaklah dilihat sebagai amanah besar yang perlu dilaksanakan oleh semua peringkat warganegara. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu merupakan salah satu kontrak sosial yang perlu senantiasa dipertahankan dan ditingkatkan oleh segenap lapisan warganegara, daripada penggubal dasar kepada pelaksana dasar dan masyarakat awam.

Yang paling utama ialah ketekalan sikap dan pendirian para pemimpin negara agar peranan bahasa Melayu sebagai salah satu pancang pembinaan negara bangsa terus ditingkatkan dan diperkukuh. Bahasa kebangsaan, yang diungkapkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putera sebagai roh bangsa dan negara yang merdeka tidak seharusnya dikorbankan atas nama pembangunan dan kemajuan, kerana kemajuan yang hakiki turut meliputi keupayaan kita maju dalam bahasa dan landasan budaya kita sendiri.

 

Bibiliografi

Abdullah Hassan (Ed.). 1999. Perancangan Bahasa di Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan  Bahasa dan Pustaka.

Abdullah Hassan (Ed.). 2006. Mengapa Kami Bantah! Penggunaan Bahasa Inggeris bagi Mengajarkan Sains dan Matematik.Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.

Abdul Rahim Bakar dan Awang Sariyan (Ed.). 2005. Suara Pejuang Bahasa.Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia dan Dawama.

Asmah Hj. Omar. 1993. Language and Society in Malaysia.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asraf (Ed.). Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa.Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Melayu.

Awang Sariyan. 2002. Ceritera Bahasa.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan. 2005. Hakikat Bahasa dan Realisasi Fungsinya dalam Pembinaan dan Penakatan Tamadun.Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.

Awang Sariyan. 2006. Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan. 2006. “Analisis Beberapa Isu Utama Sosiobudaya Bangsa”, kertas kerja Dialog Susulan Kongres Kepentingan Bangsa Peringkat Wilayah Persekutuan, Dewan Al-Malik Faisal, Petaling Jaya (15 April 2006). Terbit  dlm. Abdullah Hassan. Mengapa Kami Bantah! Penggunaan  Bahasa Inggeris bagi Mengajarkan Sains dan Matematik. 2006. Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.

Awang Sariyan. 2007. “Keunggulan Bahasa, Persuratan dan Tamadun Melayu”. Ucap Utama Kolokium Pasca-Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7, anjuran Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), GAPENA, Persatuan Penulis Pulau Pinang dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (27 Mac 2007) di Dewan Seri Pinang, Pulau Pinang. Terbit dalam Jurnal Persatuan Linguistik Malaysia 2007.

Awang Sariyan. 2009. Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku.Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.

Awang Sariyan. 2010. Asas Falsafah dan Pemikiran Melayu Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: IKDAS dan ABIM.

Collins, J. T. 1998. Malay, World Language A Short History. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

GAPENA dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kumpulan Kertas Kerja Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7 (6-8 November 2006).

Juriah Long et al. 2004. “Laporan Kajian Kesediaan Guru dan Pelajar dalam Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris”. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (tidak diterbitkan).

Hassan Ahmad. 2000. Imbasan.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim et al.. 2003. Tatabahasa Dewan.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Norhashimah Jalaluddin. 2006.“Penerimaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris: Konflik antara Dua Darjat” dlm. Abdullah Hassan (Ed.). Mengapa Kami Bantah! Penggunaan Bahasa Inggeris bagi Mengajarkan Sains dan Matematik.  Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.

Persatuan Linguistik Malaysia. 2002. Keranda 152: Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah Kita.Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.

Catatan: Makalah ini merupakan syarahan yang telah dibentangkan dalam Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Melayu VIII pada 13 – 14 November 2013 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

  1. Aisyah Radhiah bt Mohd. Nasir says:

    Bagaimana mahu menjadikan negara kita seperti negara Jepun atau Korea yang menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pentadbiran? Pemimpin-pemimpin negara sebegini tidak perlu menggunakan bahasa Inggeris yang dikatakan sebagai bahasa antarabangsa untuk berkomunikasi dengan pemimpin-pemimpin negara lain yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pentadbiran dan bahasa utama.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036039
    Visit Today : 817
    This Month : 18638
    Total Visit : 1036039
    Hits Today : 3058
    Total Hits : 4249148
    Who's Online : 7
  • Kategori