Oleh RAHIMI ARIFFIN

SECARA umumnya, apabila kita berkunjung ke kompleks beli-belah di bandar-bandar besar termasuk di Lembah Klang, penggunaan bahasa kebangsaan di tempat-tempat tersebut masih berada pada tahap yang tidak memuaskan. Kebanyakan premis di kompleks beli-belah tidak mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan, bukan sahaja tidak menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul malahan ada yang tidak menggunakannya langsung dan sebaliknya mengagung-agungkan bahasa Inggeris. Hal ini dapat dibuktikan dengan melihat antara beberapa contoh papan tanda dan papan premis yang terdapat di premis tersebut.

 

Perkataan bahasa Inggeris yang digunakan di kompleks beli-belah semakin berleluasa.

Penggunaan bahasa Inggeris seperti Sale, Discount, Normal Price, New Arrival, Purchase on Purchase, Special Offer, Best Value, Flat Price, Cash & Carry dan banyak lagi menggambarkan seolah-olah tiada perkataan tersebut dalam bahasa kebangsaan yang boleh digunakan sebagai medium komunikasi di kompleks beli-belah. Penggunaan bahasa kebangsaan bagi perkataan-perkataan tersebut seperti Jualan, Potongan Harga/Diskaun, Harga Biasa, Terbaru/Terkini, Belian atas Belian, Tawaran Istimewa, Harga Terbaik, Harga Sama Rata, Bayar & Bawa dan lain-lain semakin sukar ditemui walaupun mudah difahami oleh umum.

Pemilikan kebanyakan premis kompleks beli-belah oleh warga asing bukanlah “lesen” untuk bahasa kebangsaan dipinggirkan. Penggunaan bahasa kebangsaan di kompleks beli-belah bukan sahaja selaras dengan langkah memperkasa penggunaan bahasa kebangsaan di negara kita malah usaha ini amat penting untuk memartabatkan bahasa kebangsaan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Pemilik premis kompleks beli-belah seolah-olah menunjukkan bahawa bahawa tiada langsung perkataan tersebut dalam bahasa kebangsaan, sedangkan perkataan-perkataan tersebut dalam bahasa Melayu sudah lazim digunakan dan sebagai warganegara Malaysia, mereka seharusnya mendaulatkan bahasa kebangsaan. Pemilik premis yang terdiri daripada warga asing juga semestinya menghormati bahasa kebangsaan kita dan menggunakannya pada premis mereka. Perlulah ditegaskan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan di kompleks beli-belah sama sekali tidak akan menjejaskan perniagaan mereka kerana rata-rata pelanggan adalah rakyat Malaysia yang boleh bertutur dan memahami bahasa kebangsaan. Tiada alasan untuk tidak menggunakan bahasa kebangsaan, atau sekurang-kurangnya boleh menghubungi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mendapatkan terjemahan atau perkataan yang betul dan tepat.

Dewan Bahasa dan Pustaka sentiasa bersedia memberikan Khidmat Nasihat Bahasa secara percuma segala aspek kebahasaan sama ada berkaitan istilah, padanan kata, ejaan, tatabahasa dan sebagainya dengan cara menelefon talian penting DBP, melalui laman web atau berkunjung terus ke DBP.

  1. Uma says:

    Saya berminat untuk mengetahui yang mana satu antara perkataan di bawah yang betul. “Tepung bola” atau “Bola tepung”?
    Terima kasih.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1032217
    Visit Today : 1176
    This Month : 14816
    Total Visit : 1032217
    Hits Today : 4185
    Total Hits : 4226457
    Who's Online : 6
  • Kategori