Sri Rahayu Mohd Yusop

Oleh KHAIRIL ANUAR

NAMA pengarang wanita ini wajar dimasukkan dalam Malaysia Book of Records kerana dalam tempoh 12 tahun berkarya, beliau telah menghasilkan sembilan buah novel dan kesemua novel tersebut memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Kategori Novel Remaja. Dua daripadanya, iaitu Bukan Legasi Lalang dan Bimasakti Menari memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia Kategori Kesusasteraan Remaja (Novel) bagi tahun 2000/2001 dan 2012.

Latar belakang pendidikannya bukan kesusasteraan Melayu sebaliknya memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL daripada University of Otago, New Zealand & Dunedin College of Education, New Zealand.

Sri Rahayu Mohd Yusop merupakan suatu nama yang sedang mekar dalam jagat kesusasteraan Melayu. Minatnya kepada dunia penulisan berkait dengan minatnya yang suka bercerita.

“Sebagai kakak sulung, saya suka bercerita kepada adik-adik saya. Apabila saya remaja saya mula menulis sekadar suka-suka. Apabila memasuki universiti, saya belajar teknik penulisan dengan membaca buku-buku panduan penulisan,” katanya menghimbau kenangan berjinak-jinak dalam dunia penulisan.

Apabila melanjutkan pelajaran di New Zealand, beliau menemukan keistimewaan negara sendiri sebagai latar belakang cerita. Hanya ketika berusia 24 tahun, barulah beliau menemui jati diri sebagai penulis. Setelah berkahwin, suami merupakan penyokong kuat yang memberikan bantuan dari segala segi di samping galakan. Di samping itu, ibu beliau tidak putus-putus mendoakan kejayaannya.

Memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012.

Sri Rahayu menyukai genre fiksyen sains kerana tidak banyak saingan di peringkat kebangsaan. Di samping itu, katanya, genre fiksyen sains sentiasa memerlukan penulisnya mengikuti perkembangan terkini tentang teknologi.

“Hal ini memberikan cabaran dan keseronokan kepada saya,” katanya yang mempunyai dua orang anak.

Menjadi pengarang yang prolifik, berkeluarga dan berkerjaya sebagai guru tentunya memberikan cabaran yang bukan sedikit kepada beliau untuk membahagikan masa. Walau bagaimanapun Sri Rahayu mengutamakan kerjaya terlebih dahulu.

“Saya sentiasa mementingkan pekerjaan saya sebagai guru terlebih dahulu. Kemudian mementingkan anak-anak, suami dan ibu saya. Hobi menulis sebenarnya mengambil tempat yang terakhir dalam hidup saya,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun apabila mengarang, beliau akan memberikan komitmen yang bersungguh-sungguh. Contohnya, beliau akan menyediakan segala buku rujukan dan komputer hampir dengan dapur supaya beliau boleh memasak sambil menulis. Beliau menjaga anak-anak sambil menulis;  tidur sekejap-kejap sekadar untuk mendapatkan mimpi dan bangun semula untuk menulis. Apabila ke mana-mana, beliau membawa buku nota untuk menulis sambil menunggu anak-anak pulang.

Secara umum, Sri Rahayu boleh menulis  bila-bila masa apabila beliau mempunyai sasaran atau tarikh hantar manuskrip. Walau bagaimanapun beliau mempunyai tempoh paling selesa untuk menulis.

Bergambar kenangan bersama-sama Dr. Lim Swee Tin.

“Saya berasa paling selesa menulis pada waktu malam dari pukul 9.00 hingga 12.00 tengah malam. Waktu pagi pula dari pukul 8.00 hingga 10.00 pagi selepas saya berjoging sejauh dua kilometer,” kata Sri Rahayu yang mementingkan kesihatan.

Sri Rahayu yang kerap menang sayembara penulisan mempunyai alasan tersendiri untuk bertanding.

“Saya akui bahawa tindakan saya itu merupakan suatu strategi. Saya tidak mempunyai wadah penerbitan selain sayembara. Saya memilih sayembara kerana saya tidak perlu akur pada sebarang garis panduan penerbitan. Sayembara membolehkan saya menulis tentang isu yang tidak konvensional (dan tidak berapa laris di pasaran) dan karya itu akan diterbitkan. Saya tahu jika saya tidak menulis kisah cinta muda-mudi, rumahtangga, atau seram, novel saya tiada tempat di pasaran,” akui Sri Rahayu.

Umum mengetahui novel popular mendapat tempat dalam kalangan pembaca, terutamanya golongan muda. Walaupun menyedari kecenderungan tersebut, Sri Rahayu tidak berminat.

“Saya tidak berminat untuk menulis novel popular buat masa ini. Walau bagaimanapun, genre novel popular baik untuk merancakkan industri buku dan menggalakkan rakyat untuk membaca, selagi tidak mengandungi unsur-unsur lucah atau yang merosakkan akidah atau yang mengupas sentimen perkauman. Namun begitu, saya berharap bahawa pembaca suatu hari nanti akan menjinak-jinakkan diri untuk membaca karya yang lebih kompleks dan tinggi nilai intelek dan budi selepas puas membaca novel popular,” Sri Rahayu menaruh harapan.

Dunia penulisan tidak dapat dipisahkan dengan kegiatan berpersatuan. Melalui persatuan, pengarang dapat mencambahkan kreativiti dan bertukar-tukar pandangan. Walau bagaimanapun, Sri Rahayu tidak dapat melakukannya kerana kekangan masa dan komitmen sebagai penjawat awam di samping ibu kepada dua orang anak yang masih kecil.

Hal di atas mungkin berkait dengan karakternya seorang yang introvert. Beliau lebih suka mendengar daripada berbicara. Namun hal itu tidak bermakna beliau tidak prihatin tentang keadaan sekeliling. Beliau mempunyai keinginan yang tinggi untuk mengambil tahu tentang seseorang atau sesuatu walaupun tidak menyuarakannya.

Sebagai pengarang, Sri Rahayu mempunyai rujukan untuk berkarya. Beliau menjadikan karya Shakespeare Romeo & Juliet, Hamlet dan Macbeth sebagai rujukan. Beliau juga menggemblengkan sumber daripada Hikayat Panji Semirang, Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu untuk banyak novelnya. Beliau memodelkan cerita  berdasarkan kisah pari-pari Barat (fairy tales).

Memenangi Sayembara Fiksyen Sains & Teknologi UTM- Kumpulan Utusan Musim Kedua 2012.

“Bagi saya, cerita yang seronok dibaca mesti ada putera dan puteri yang mempunyai kelemahan masing-masing tetapi berhati suci. Cerita yang baik mempunyai raksasa atau kuasa jahat yang kejam, ahli sihir yang mungkin jahat atau baik, sumpahan, rakan-rakan yang pelik tetapi sentiasa ikhlas memberi pertolongan, dan cabaran yang datang satu demi satu. Dan di akhir cerita, apabila keadaan menjadi begitu genting dan seolah-olah tidak mempunyai harapan lagi, kebaikan akhirnya menang dan kejahatan kembali ke tempat gelapnya,” beliau bercerita panjang.

Dunia penulisan tanah air “dikuasai” oleh orang lelaki. Pengarang wanita yang aktif dapat dikira dengan jari. Tetapi hal ini tidaklah mendatangkan masalah kepada Sri Rahayu.

“Selama melibatkan diri dalam bidang penulisan, banyak penulis lelaki  memberikan kata-kata perangsang kepada saya. Tiada seorang pun yang merendah-rendahkan saya. Jika ada yang menyatakan perasaan iri hati, itu adalah gurauan untuk memotivasikan diri masing-masing supaya sama-sama bersaing,” katanya sambil tersenyum.

Sebagai pengarang, Sri Rahayu mempunyai sasaran dalam dunia penulisan. Beliau berhasrat untuk menghasilkan satu judul buku setiap tahun. Beliau tidak berharap untuk memenangi apa-apa anugerah kerana baginya itu rezeki yang ditentukan oleh Allah SWT. Tetapi beliau yakin mampu melakukannya. Setelah berusaha, beliau hanya berdoa dan bertawakal. Tetapi yang paling penting adalah mesti menulis dahulu sebelum boleh mengharapkan apa-apa.

Bersama-sama keluarga.

Walaupun sudah memahatkan namanya dengan kukuh dalam dunia kesusasteraan, beliau  mahu terus menulis. Impian beliau seterusnya adalah mencurahkan ilmu penulisan kepada yang berminat.

“Jika ilmu saya sudah tinggi dan saya dianggap sudah layak, saya mahu mengajar orang lain pula menulis,” katanya mengakhiri perbualan.

BIODATA

Nama penuh  :      Sri Rahayu binti Mohd Yusop

Tempat Asal   :      Tanjong Karang, Selangor

Tarikh lahir   :       18 Jun 1976 (37 tahun)

Pekerjaan        :       Guru Bahasa Inggeris

Tempat              :        SMK Pandan Jaya, Ampang

Status              :        Berkahwin, dengan 2 orang cahaya mata –Firdaus Faramir (9 tahun), Akmal Anas (7 tahun)

Pendidikan :

– SK Kebangsaan Batu 9, Jalan Bomba, Tanjong Karang, Selangor

– Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru

– Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras

– University of Otago, New Zealand & Dunedin College of Education, New Zealand – Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL

Karya:

– Bukan Legasi Lalang (2001)

– Merdekakan Cinta Ratna (2003)

– Odisi Tanah Kencana (2007)

– Warisnya Kalbu (2008)

– Kasih Nan Agung (2009)

– Impuls/Roh (2010)

– Bimasakti Menari (2011)

– Equilibria (2012)

– Rimba Jiwa (2012)

Pencapaian:

– Kesemua novel memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Kategori Novel Remaja.

– Novel Bukan Legasi Lalang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia Kategori Kesusasteraan Remaja (Novel) 2000/2001.

– Novel Bimasakti Menari memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia Kategori Kesusasteraan Remaja (Novel) 2012.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1037398
    Visit Today : 880
    This Month : 19997
    Total Visit : 1037398
    Hits Today : 2763
    Total Hits : 4255118
    Who's Online : 20
  • Kategori