Oleh MUHAMAD IKHRAM FADHLY HUSSIN

Syarahan penuh semangat disampaikan oleh Prof. Dr. Teo Kok Seong, Felo Penyelidik, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.

KEMPEN dan program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) perlu diteruskan saban tahun memandangkan bahasa menjadi agenda yang amat penting dalam melahirkan warga yang benar-benar menjiwai gagasan 1 Malaysia. Hal yang demikian kerana bahasa merupakan elemen yang amat penting sebagai alat menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan fahaman agama.

Atas semangat 1 Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU)merancakkan lagi sambutan Majlis Pelancaran BBK 2010 di negeri Kedah dan Perlis dengan menampilkan tokoh bahasa yang berwibawa, iaitu Prof. Dr. Teo Kok Seong, Felo Penyelidik, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor. Syarahan bertemakan 1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara ini disampaikan di hadapan kira-kira 1,500 orang di kedua-dua lokasi di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah dan Dewan Harum Manis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau,  Perlis. Syarahan berjaya menarik minat dan memberikan kesedaran kepada khalayak akan pentingnya bahasa Melayu dimartabat,  didaulat dan dipertahankan.

Dalam syarahannya,  Prof. Dr. Teo menyindir sesetengah golongan yang mengetepikan bahasa Kebangsaan sehingga masih ada yang tidak mampu berbahasa Melayu dengan baik. Beliau berpendapat, hal ini tidak sepatutnya berlaku apabila negara telah mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun. “Apabila kemerdekaan negara telah mencapai 52 tahun, semua warganegara Malaysia sepatutnya mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap peri pentingnya bahasa Melayu. Dalam konteks ini, semua warga Malaysia sepatutnya sudah mampu berbahasa Melayu dengan baik”, ujarnya.     Teguran beliau ini memang berasas, kerana sebagai warganegara Malaysia, semua individu sepatutnya memperakui dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara selain sebagai lambang jati diri yang tersemat di jiwa.

Prof. Dr. Teo Kok Seong

Menurut beliau, kita tidak memberikan penghormatan sewajarnya kepada bahasa Melayu sebagai bahasa negara, lebih-lebih lagi dalam penggunaan yang baik dan betul,  sehingga perlu diwujudkan undang-undang dan akta untuk mengawalnya.

”Sebenarnya rakyat Malaysia termasuk orang Melayu selaku penutur natif kepada bahasa Melayu, rata-ratanya tidak sayang, tidak bangga dan tidak taat kepada bahasa Melayu. Baik dalam kapasitinya sebagai bahasa ibunda atau etnik, atau dalam kapasitinya sebagai bahasa negara,” tambah beliau lagi.

Dalam erti kata yang lain, bahasa Melayu sebenarnya berdepan dengan krisis ketidakyakinan terhadap kemampuannya dalam kalangan penuturnya sendiri. Bagi Prof. Dr. Teo, selain menggunakan perundangan untuk memastikan kelestarian bahasa Melayu agar masih relevan pada era kini dan mendatang, DBP perlu berusaha untuk memupuk perasaan sayang, megah dan setia kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dengan perkataan lain, ideologi bahasa kebangsaan  perlu dipupuk dalam kalangan rakyat, terutama generasi muda supaya dari sudut psikologinya, mereka bukan sahaja mengungkapkan jati diri nasional melalui bahasa Melayu, malah berbangga mengidentifikasikan diri mereka dengan bahasa Melayu.

”Dalam hal ini, rakyat perlu dididik untuk menjiwai bahasa Melayu, dan bahasa Melayu adalah aspek penting dalam kehidupan harian serta kehidupan nasional setiap rakyat Malaysia,” katanya. Penekanan terhadap bahasa Melayu juga sebenarnya mengambil kira peranan yang lebih besar yang dibawanya, iaitu sebagai bahasa pemersatuan bangsa. Dalam sebuah masyarakat majmuk seperti yang menjadi tulang belakang kepada pembentukan Malaysia, hanya elemen bahasa yang tunggal sahaja boleh menjadi elemen perpaduan. Perkara ini juga sudah dipersetujui ketika negara mencapai kemerdekaan 52 tahun lalu apabila bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Sewajarnya dengan hakikat itu pada hari ini, kita tidak lagi perlu terkial-kial membahaskan mengenai kedudukan bahasa Melayu. Barangkali kerana gagal meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa penyatu bangsa juga, hubungan mesra antara kaum ketika ini sering kali berkocak. Bagi Prof. Dr. Teo, bahasa Melayu mampu melakukan penyatuan ini sekiranya negara hanya menggunakan bahasa itu dalam sistem pendidikan nasional. Penggunaan pelbagai bahasa di bawah status “bahasa ibunda” ternyata melambatkan dan membantut hasrat menyatukan pelbagai kaum di negara ini menerusi satu bahasa. Malah, ia juga melahirkan generasi baru yang tidak memperlihatkan jati diri nasional yang bukan sahaja tidak sama, malah tidak jelas pula. Sebagai contoh, mengakui diri sebagai warganegara Malaysia, tetapi tidak boleh berbahasa kebangsaannya walaupun dalam bentuk yang daif.

Syarahan Prof. Dr. Teo ini berjaya menarik perhatian, dapat memberikan impak positif dan diharapkan juga dapat menambah kesedaran khalayak terutama generasi muda yang hadir pada majlis pelancaran tersebut. Program syarahan bahasa yang bersifat akademik ini wajar diselitkan dalam majlis seumpama ini bagi mengisi ruang minda rakyat Malaysia ke arah memberi kesedaran kepentingan bahasa Melayu seterusnya melahirkan masyarakat Malaysia yang megah terhadap bahasa kebangsaannya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1034385
    Visit Today : 601
    This Month : 16984
    Total Visit : 1034385
    Hits Today : 1984
    Total Hits : 4240318
    Who's Online : 16
  • Kategori