Oleh KHAIRIL ANWAR

S. Iqram

NAMANYA kedengaran asing apabila diumumkan sebagai pemenang kategori puisi eceran Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2010/2011 yang majlis penyampaiannya diadakan pada penghujung tahun 2012. Tidak ramai yang mengenali beliau jika dibandingkan dengan nama-nama seperti Baha Zain, Marzuki Ali, Zaen Kasturi dan Azmah Noordin yang menang pada tahun yang sama.  Walau bagaimanapun, apabila diselongkar rentetan pencapaiannya, ternyata beliau mencipta nama dalam diam. Beliau kerap memenangi sayembara penulisan terutamanya sayembara dalam talian.

Puisi “Suatu Ketika di Kaki Kinabalu” yang terhimpun dalam Kumpulan Sajak Siber Ekstasi Cinta menonjolkan nama S. Iqram dalam persada kesusasteraan tanah air apabila memenangi HSPM tersebut.  Walaupun kelihatan baru bergiat dalam penghasilan puisi, sebenarnya langkah pertamanya bermula pada tahun 1998 lagi apabila puisi “Sejenak di Gerbang Santiago” yang tersiar dalam majalah Karya (terbitan Utusan) terpilih memenangi  Hadiah Bestari Karya pada tahun yang sama.

Malangnya selepas kemenangan tersebut, aktiviti penulisan Iqram tidak berjalan lancar. Dalam tempoh 1999 sehingga 2004, beliau hanya berkarya sekali-sekala dalam media internet.

“Walau bagaimanapun, pada tahun 2010, saya aktif semula menulis setelah menjadi ahli komuniti e-sastera.com yang ditubuhkan oleh Dr. Ir Wan Abu Bakar. Sehingga kini, saya menggunakan sepenuhnya laman web berkenaan untuk berkarya,” katanya bersemangat.

Keluarga banyak mendorong Iqram menulis puisi.

Iqram menghimbau kenangan ketika beliau mengasah bakat menulis ketika di bangku sekolah. Peristiwa tersebut umpama tapak untuk beliau membangunkan “menara puisi”.

“Pada masa itu, saya menulis puisi dalam buku latihan sekolah. Apabila guru yang mengajarkan mata pelajaran bahasa Melayu ‘menemukan’ puisi tersebut, dia tidak marah, sebaliknya mendorong dengan cara memberikan peluang kepada saya mendeklamasikan puisi tersebut di hadapan rakan sekelas,” cerita Iqram gembira.

Dorongan guru tersebut di samping minat yang sangat mendalam dalam dunia penulisan umpama “kuasa kuda” yang memberikan kekuatan kepadanya untuk terus berkarya. Beliau berusaha keras untuk menulis puisi sebanyak mungkin dan menerbitkannya dalam bentuk antologi persendirian atau antologi bersama. Oleh sebab karyanya jarang tersiar  dalam media cetak (setakat ini puisi yang pernah tersiar dalam akhbar atau majalah tidak lebih daripada 10 buah) beliau lebih suka membukukan puisi tersebut dan menyertai sayembara penulisan puisi yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.

Iqram tidak menafikan peranan anggota keluarga dan kawan-kawan yang turut memberikan dorongan dari belakang.

“Keluarga dan kawan-kawan banyak mendorong saya untuk berkarya. Kritikan dan ulasan mereka terhadap karya saya amat saya hargai kerana melalui kritikan dan ulasan berkenaan saya dapat memperbaiki lagi penulisan saya,” tegasnya lagi.

Iqram menerima hadiah daripada Tan Sri Haji Muhyiddin Mohd. Yasin

Iqram sangat menyenangi genre puisi kerana beliau suka bermain dengan kata-kata. Walau bagaimanapun, beliau tidak mahu terikat dengan satu genre sahaja, sebaliknya cuba mendekati genre lain, seperti cerpen.

Tentang minatnya terhadap cerpen, beliau berkata: “Pada masa ini saya baru bermula untuk belajar menulis cerpen. Saya telah menyiapkan beberapa buah cerpen tetapi masih dalam proses ‘pengeraman’ sebelum diterbitkan untuk bacaan umum. Saya juga belum terfikir untuk menghasilkan novel dalam jangka waktu yang terdekat. Walau bagaimanapun, saya tetap bercita-cita untuk menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah novel.”

Pada masa yang sama, beliau sedang mengumpulkan puisi sendiri untuk antologi persendirian yang ketiga. Beliau juga terlibat dalam penerbitan antologi “Sirah Rasulullah dalam 100 Puisi” yang sedang diusahakan oleh pihak e-sastera.

Apabila ditanya perasaannya apabila terpilih memenangi  HSPM, Iqram seolah-olah tidak percaya. Iqram mengaku bahawa beliau bukan nama besar dalam kesusasteraan tanah air untuk menerima hadiah sebesar itu.

“Saya tidak menyangka akan memenangi Anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia  2010/2011 kerana penyertaan tersebut merupakan penyertaan yang pertama dan buku yang saya hantar untuk dipertandingkan merupakan antologi puisi saya yang pertama. Saya sekadar mencuba. Saya difahamkan oleh rakan-rakan penulis yang lain, bukan mudah untuk memenangi anugerah berprestij ini. Walau bagaimanapun, saya merasa amat bersyukur kerana menjadi salah seorang pemenang dalam kategori puisi eceran,” ceritanya lagi yang masih terbayang kegahan upacara penyampaian HSPM di sebuah hotel mewah di ibu negara.

Selain menulis, Iqram minat mendeklamasikan puisi.

Sebelum mencapai kemuncak pencapaian tersebut, Iqram tidak sunyi daripada menempuh saat  pahit dalam berkarya. Antaranya karya yang dihantar kepada media cetak tidak tersiar. Tetapi kepahitan itu seolah-olah terubat apabila beliau memenangi HSPM.

Untuk mengisi masa lapang, Iqram tidak sekadar menghadap komputer untuk berkarya. Beliau juga gemar melawat tempat-tempat bersejarah di dalam negara. Pada masa ini, perhatian beliau tertumpu kepada lokasi kubur ulama dan tokoh sejarah dan masjid-masjid bersejarah di Semenanjung Malaysia dan merancang untuk menerbitkan buku berkenaan tokoh dan masjid suatu hari nanti. Di samping itu, beliau juga meminati bidang deklamasi puisi dan sering menghadiri atau  memenuhi jemputan untuk mendeklamasikan puisi dalam majlis anjuran persatuan sastera tanah air.

Iqram beruntung kerana memiliki isteri yang bertugas sebagai editor di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang memahami kerenah pengarang kreatif. Walau bagaimanapun Iqram tidak menganggap ini sebagai suatu kelebihan malah suatu cabaran.

Sambil tersenyum Iqram bercerita tentang peranan isterinya, Suzanti Abd. Aziz dalam dunia penulisannya: “Saya tidak melihat ini sebagai satu kelebihan. Pada peringkat awal, isteri tidak mengetahui saya meminati bidang penulisan kreatif. Pada peringkat itu, saya menjalankan aktiviti penulisan secara ‘sembunyi-sembunyi’ daripada pengetahuannya. Seingat saya, beliau mungkin hanya menyedari aktiviti penulisan saya apabila saya mendapat tempat kedua Sayembara Penulisan dalam Talian (Puisi) anjuran Majlis Belia Malaysia dan DBP pada tahun 2010. Oleh sebab saya menguruskan penerbitan buku secara persendirian, saya selalu mendapatkan pandangan dan nasihatnya.”

Antara hasil karya Iqram.

Antara cabaran yang terpaksa Iqram hadapi kerana isteri bekerja di DBP ialah peluang untuk berkarya dalam majalah DBP agak terhad.

“Ramai teman penulis tahu bahawa isteri saya salah seorang staf DBP selepas memenangi HSPM. Hal ini menjadi alasan mengapa saya jarang menghantar karya kepada majalah-majalah terbitan DBP, iaitu untuk mengelakkan sangkaan yang tidak baik,” jelas Iqram sambil tersenyum.

Seperti kebanyakan pengarang kreatif yang lain, Iqram memiilih waktu yang tenang untuk berkarya. Beliau memilih waktu subuh kerana suasana tenang dan fikiran masih segar. Ketenangan yang dimiliki dan ketajaman minda memungkinkan Iqram mencapai tahap penulisan sasterawan besar seperti Usman Awang, Kemala, Chairil Anwar,  Rendra, Jalaluddin Ar-Rumi dan Khalil Gibran yang merupakan idolanya. Beliau akan terus berkarya selagi mampu dari segi fizikal dan mental.

BIODATA

Nama Syamirul Iqram bin Abdullah Aloysius
Nama Pena S. Iqram, Iqram Katungau
Tarikh/ Tempat Lahir 25 September 1976 / Tenom, Sabah
Bangsa Murut
Pekerjaan Penjawat Awam (Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan)
Kegiatan dalam persatuan sastera 1. Bendahari Persatuan Aktivis E-sastera Malaysia (E-sastera)
2. Pentadbir seksyen sajak laman web Esastera.com
3. Ahli Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
Pencapaian dalam bidang penulisan 1. Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 (kategori puisi eceran)
2. Pemenang Utama Anugerah Penyair Alam Siber (APAS) 2011 (E-sastera)
3. Tempat Kedua Sayembara Penulisan dalam Talian (Puisi) sempena Hari Belia Negara 2010
4. Pemenang minggu ke-4 Pertandingan Menulis Puisi Melalui Facebook 2010 (Perbadanan Putrajaya dengan Kerjasama DBP)
5. Hadiah Bestari Karya 1998 (Majalah Karya – Kumpulan Utusan)

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013409
    Visit Today : 672
    This Month : 32754
    Total Visit : 1013409
    Hits Today : 2218
    Total Hits : 4134323
    Who's Online : 14
  • Kategori