Oleh DR .AWANG SARIYAN

Dr. Awang Sariyan

DALAM konteks Malaysia, perancangan taraf bahasa melibatkan upaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Penetapan bahasa Melayu sebagai asas perancangan bahasa di Malaysia didasarkan pada penerimaan kenyataan bahawa bahasa Melayu merupakan tonggak tamadun di alam Melayu sejak zaman Sriwijaya dan kemudian pada zaman kesultanan Melayu di pelbagai pusat tamadun Melayu di rantau Asia Tenggara.

Perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu diasaskan pada dasar negara yang dikenal sebagai Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, iaitu dua daripada beberapa dasar penting dalam proses pembinaan negara. Sebagai maklumat asas, proses pembinaan negara diperlukan oleh negara yang baru mencapai kemerdekaan untuk membentuk acuan dan sifat kenegaraannya dalam pelbagai bidang utama tamadun negara baharu itu.

Kedua-dua dasar kenegaraan itu, bersama-sama dengan satu dasar lain, iaitu Dasar Kebudayaan Kebangsaan mewakili aspek dalaman atau aspek kerohanian rakyat Malaysia, iaitu aspek yang menayangkan pandangan sarwa, sistem nilai, pemikiran dan adab bangsa. Dasar-dasar itu, bersama-sama dengan dasar lain dalam bidang yang mewakili aspek jasmaniah atau fizikal, iaitu Dasar Ekonomi Baharu (kemudian Dasar Pembangunan Nasional dan kini Model Ekonomi Baharu) menjadi tonggak proses pembinaan negara kita sebagai negara yang berdaulat dan berjati diri sendiri.

Dasar Bahasa Kebangsaan di Malaysia dilaksanakan dengan berasaskan undang-undang negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152) dan Akta Bahasa Kebangsaan. Akta Pendidikan (mulanya Akta Pelajaran 1961 dan kemudian Akta Pendidikan 1996) pula berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara. Badan yang diberi amanah secara khusus merancang bahasa Melayu ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (nama asalnya ialah Balai Pustaka), dengan berdasarkan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (mulanya Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 dan kemudian Akta Dewan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka, Pindaan dan Peluasan 1995).

Sebagaimana yang telah saya sebut dalam makalah keluaran Januari 2011, perancangan bahasa di Malaysia melibatkan dua aspek utama, iaitu perancangan taraf bahasa dan perancangan korpus bahasa. Perancangan taraf bahasa meliputi semua upaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama pendidikan, iaitu sebagaimana yang telah dibincangkan di atas tadi. Setelah mantap penetapan taraf tersebut, maka upaya ditumpukan pula pada aspek perancangan korpusnya pula. Dalam perancangan korpus bahasa Melayu, usaha dilaksanakan dalam dua strategi pula, iaitu pembinaan dan pengembangan bahasa.

Pembinaan bahasa merujuk kepada usaha melengkapkan bahasa Melayu daripada sudut korpus bahasanya, iaitu kosa kata umum, istilah, tatabahasa, ejaan, sebutan dan laras bahasa untuk memungkinkan bahasa itu dapat memainkan peranan sebagai wahana komunikasi yang cekap dan berkesan dalam konteks pembangunan bangsa dan negara. Pengembangan bahasa pula berkaitan dengan usaha memasyarakatkan bahasa yang dibina korpusnya itu kepada para penggunanya dalam sektor perkhidmatan awam, sektor pendidikan, sektor swasta dan sektor antarabangsa.

Perancangan bahasa di Malaysia, sebagaimana yang telah saya sentuh lebih awal, secara rasmi telah bermula satu tahun sebelum kemerdekaan apabila Jawatankuasa Pelajaran Razak (1956) merumuskan usul-usul ke arah pembentukan dasar dan sistem pendidikan kebangsaan, dengan bahasa Melayu sebagai salah satu tonggaknya, iaitu sebagai bahasa penghantar utama. Usul Jawatankuasa Razak berserta usul penegasan Jawatankuasa Rahman Talib (1960) telah dijadikan asas Akta Pelajaran 1961 yang selama puluhan tahun menjadi asas pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan di negara ini.

Malah Akta Pendidikan 1996 yang menggantikan Akta Pelajaran 1961 bukan sahaja mengekalkan tetapi memperteguh semangat yang diusulkan oleh Penyata Razak, iaitu penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan di negara ini. Oleh sebab itu, apa-apa sahaja dasar atau pelaksanaan yang berkaitan dengan sistem pendidikan tidak sewajarnya mengetepikan dasar induk tentang taraf bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama itu. Tambahan pula, peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tentang takrif bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi turut meliputi penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan, selain dalam bidang pentadbiran dan undang-undang. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Bahasa pada tahun itu juga, yang merupakan usaha perancangan bahasa yang dilakukan oleh Kerajaan untuk mempersiapkan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi bagi pembinaan negara.

Sehingga kini, sudah lebih setengah abad negara kita membangun dengan berasaskan bahasa Melayu sebagai wahana komunikasi utamanya, terutama dalam bidang pentadbiran dan pendidikan, dan secara beransur-ansur dalam bidang undang-undang dan kehakiman serta swasta. Apabila dalam Wawasan 2020 diungkapkan gagasan pembinaan negara maju dengan berteraskan acuan sendiri, maka peranan bahasa Melayu sebagai wahana komunikasi pembangunan haruslah difahami dan diiktiraf sebagai salah satu unsur penting dalam pemenuhan gagasan itu. Pembangunan yang berteraskan acuan sendiri membawa erti menjadikan budaya setempat sebagai unsur atau ciri utama pengisian kegiatannya, dan dalam konteks budaya, bahasa adalah tunjangnya.

Pencapaian yang masih belum cukup memuaskan dalam hal pelaksanaan bahasa Melayu sebagai wahana jentera pentadbiran negara di peringkat Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkuasa awam perlu diatasi dengan meningkatkan kuat kuasa undang-undang pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Perlu ada keseimbangan antara usaha dakwah bahasa, iaitu pengembangan bahasa melalui bidang pendidikan dan pelbagai usaha pengembangan seperti kursus bahasa dengan usaha penguatkuasaan undang-undang bahasa kerana tabii manusia bergantung pada kedua-dua strategi itu.

Demkian juga, isu taraf dan kedudukan bahasa Melayu yang belum benar-benar memuaskan dalam konteks menjelmakan citra negara melalui pelbagai majlis dan acara rasmi negara perlu diberi perhatian khusus oleh kerajaan agar kejayaan sejumlah negara maju di dunia meningkatkan taraf bahasa negara mereka seiring dengan kemajuan negara dapat dijadikan contoh. Yang tidak kurang pentingnya ialah sikap dan pendirian yang tekal dalam mempertahankan kedudukan dan pelaksanaan bahasa Melayu dalam bidang pengilmuan masyarakat, khususnya melalui sistem pendidikan negara, baik pada peringkat persekolahan mahupun pada peringkat pengajian tinggi.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044799
    Visit Today : 1220
    This Month : 27398
    Total Visit : 1044799
    Hits Today : 4502
    Total Hits : 4289475
    Who's Online : 11
  • Kategori