Keris Mas

DALAM perkembangan cerpen Melayu selepas perang,  Keris Mas ialah tokoh yang terpenting dan cukup berpengaruh kepada golongan penulis muda. Beliau membentuk namanya sebagai penulis melalui bakat, fikiran yang kritis, penguasaan bahasa yang baik, dan kematangan pengalamannya. Keris Mas, merupakan contoh seorang penulis yang lebih mementingkan mutu daripada jumlah karya.

Keris Mas atau nama sebenarnya Kamaludin Mohamad dilahirkan pada 10 Jun 1922 di Kampung Ketari, Bentong, Pahang Darul Makmur. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu hingga darjah V.  Hasil keputusan peperiksaan yang baik, beliau layak untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar, tetapi oleh sebab amalan pemilihan pihak yang berkuasa, beliau tidak mendapat peluang itu.  Keris Mas lalu dihantar oleh keluarganya ke Sumatera mengikuti pelajaran di Tawalib School, sebuah sekolah menengah dengan pengantar bahasa Indonesia dan bahasa Arab.

Setelah itu, Keris melanjutkan pelajarannya di Kolej Kuliahtul Muallimin Al-Islamiah (Maktab Perguruan Islam) untuk mengambil diploma perguruan bagi melayakkan dirinya menjadi guru agama.  Di kolej ini bahasa pengantarnya ialah bahasa Indonesia dan bahasa Arab, di samping bahasa Belanda yang dijadikan sebagai salah satu mata pelajaran wajib dan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tambahan.  Sebaliknya Keris telah lulus Ilmu Umum dan bukannya jurusan agama sebagaimana yang diharapkan oleh keluarganya.

Pada tahun 1940, Keris Mas kembali ke Tanah Melayu dan kemudian ke Singapura, mendaftarkan diri dengan Pitman College untuk mengambil peperiksaan matrikulasi Universiti London.  Pelajarannya terhalang kerana Perang Dunia Kedua meletus .

Selepas pihak Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua, Keris Mas menggabungkan diri dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) cawangan Pahang dan menjadi Pegawai Penerangan parti tersebut.  Pada penghujung tahun 1947, ketika PKMM mengadakan kongres tergemparnya di Singapura, Keris Mas turut hadir.

Tidak lama kemudian, Keris Mas mengundurkan diri daripada PKMM, lantas bertugas sebagai Pengarang di Utusan Melayu Singapura.  Suatu sumbangan besar yang telah diusahakannya ialah memesatkan lagi pengeluaran majalah Mastika  yang ketika itu kurang mendapat sambutan pembaca.

Pada tahun 1953, Keris Mas berpindah kerja ke Melayu Raya.  Akan tetapi perkhidmatannya dengan Melayu Raya tidak lama kerana pada bulan September 1953, Keris Mas berangkat pula ke Pulau Pinang dan bekerja dengan Warta Negara hingga tahun 1955.

Pada akhir tahun 1955, Keris Mas kembali bertugas di Utusan Melayu sebagai anggota sidang pengarang.  Apabila Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan pada tahun 1956.  Ungku Aziz selaku Pengarahnya telah mempelawa beliau untuk berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka yang pada ketika itu berpejabat di Johor Baru.

Keris Mas menerima tawaran Ungku Aziz itu dan pada mulanya beliau berkhidmat sebagai Pengarang Umum dari 1 Disember 1956 hingga 31 Oktober 1962, kemudiannya beliau dilantik menjadi Ketua Pengarang.  Selepas itu beliau diangkat menjadi Ketua Bahagian Pengarang dari 1 Julai 1966 hingga 30 Jun 1971 dan akhirnya sebagai Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera mulai 1 Julai 1971 sehingga beliau bersara pada 10 Jun 1977.  Selaku Ketua Bahagian, Keris Mas turut bertanggungjawab sebagai Ketua Pengarang majalah-majalah Dewan Bahasa dan Dewan Sastera.

Keris menerima Anugerah Sastera Negara daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Walaupun Keris Mas dikenal sebagai anggota aktif ASAS 50, beliau sebenarnya telah menghasilkan karya kreatif lama sebelum ASAS 50 ditubuhkan.  Novel beliau yang pertama, Pahlawan Rimba Malaya terbit dalam tahun 1976.  Menurut keterangannya, Pahlawan Rimba Malaya diterbitkan lebih pendek daripada manuskrip asalnya.  Oleh sebab pihak penerbit mengalami kekurangan kertas pada waktu itu, maka isi novel tersebut telah disingkatkan.

Setahun kemudian, semasa bertugas sebagai Pegawai Penerangan PKMM, beliau menulis sebuah cerpen perjuangan “Darah dan Air Mata”, tersiar dalam majalah Kenchana keluaran 15 Oktober 1947. Sejak peringkat awal kegiatannya mengarang, Keris Mas telah memperlihatkan bakatnya dalam cerpen.  Oleh yang demikian tidak hairanlah jika dalam tahun 1950-an dan awal tahun 1960-an beliau telah menghasilkan banyak karya bermutu terutamanya cerpen.

Keris Mas adalah antara tokoh penting, malah tokoh yang memimpin Angkatan Sasterawan 50 atau ASAS 50 yang mendukung kuat faham “Seni untuk Masyarakat” dan turut memberi isi dan arah seperti terlihat dalam Memoranda ASAS 50 yang membentangkan cita-cita dan perjuangan pertubuhan itu.

Semasa di Dewan Bahasa dan Pustaka, cita-cita Keris Mas untuk memberikan seluruh perhatian kepada perkembangan sastera Melayu telah berhasil dengan tertubuhnya Bahagian Perkembangan Sastera pada tahun 1971 yang kemudian diperbesarkan menjadi Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera mulai tahun 1976.

Keris Mas telah menghasilkan kira-kira 60 buah cerpen yang mengemukakan berbagai-bagai persoalan, daripada soal cinta, kepincangan masyarakat, perjuangan kebangsaan, kisah darurat hinggalah kepada persoalan-persoalannya sosial-politik sesudah merdeka.  Semua persoalan tersebut merupakan pemerhatian dan pantulan kembali pengalaman-pengalaman Keris Mas sejak tahun 1940-an hinggalah sesudah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957.

Beberapa buah cerpen Keris Mas telah diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain seperti Cina, Korea, Inggeris, dan Rusia.  Sehingga kini 11 buah cerpennya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Cina melalui penerbitan Mingguan Petir, Nanyang Evening, Nanyang Evening Post, Nanyang Siang Pau, Pemuda Pemudi Universiti, dan  Nanyang Siang Wen Che.  Tiga buah cerpennya telah juga diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris seperti “They Do Not Understand”  (Mereka Tidak Mengerti) dalam Tenggara (1968) dan “The Approach of Independence” (Menjelang Merdeka dalam Tenggara (1967).

Walaupun dalam karya-karya Keris Mas terdapat pendedahannya terhadap kejadian dan kebenaran yang terdapat dalam masyarakat, tetapi beliau tidaklah pula mengakui bahawa karya sastera semata-mata dapat memajukan masyarakat.  Beliau pernah berkata: “Kalau kita berpendapat bahawa dengan cerita pendek sahaja kita boleh memajukan masyarakat, boleh mengubah susunan hidup kepada yang lebih sempurna dan baik tentulah pendapat itu kurang logik.  Cerita pendek  tidak dapat mengajar orang tentang ilmu bercucuk tanam,  tidak dapat mengajar orang tentang ilmu ekonomi dan sebagainya.  Tetapi kita harus faham bahawa cerita pendek yang ditulis dengan pengolahan yang baik dapat menyedarkan orang, dapat menimbulkan cara berfikir yang maju”.

Cerpen Keris Mas memang mampu menghidupkan imaginasi dan ini menjadi kunci kejayaannya.  Selain itu adalah kerana kepintarannya menguasai teknik dan menarik fikiran pembaca terhadap masalah sosial melalui bahasa yang mudah dan jelas.  Berhubung dengan hal yang terakhir ini, beliau berpendapat bahawa bayangan pertama daripada bakat seseorang penulis mudah terlihat dalam tekniknya.  Tetapi kesempurnaan dan kematangan bakat itu bergantung pada kesanggupannya menuangkan buah fikiran dan pengalamannya ke dalam kata-kata, ayat-ayat, dan keseluruhan pengolahan karangannya.

Sungguhpun Keris Mas lebih terkenal sebagai penulis cerpen, beliau juga telah memperlihatkan bakatnya dalam penulisan novel.  Novel-novelnya seperti Pahlawan Rimba Malaya, Korban Kesuciannya dan Anak Titiwangsa merupakan tiga buah novel yang sederhana.  Pahlawan Rimba Malaya ditulisnya selepas pendudukan Jepun sementara Korban Kesuciannya (1949) ditulisnya semasa bekerja di Utusan Melayu.  Anak Titiwangsa pula, yang terbit dalam tahun 1967 diusahakannya sewaktu dalam kesibukannya berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pembacaan Keris Mas adalah luas dan dapat melontarkan kembali idea-idea daripada pembacaannya menerusi perbuatan mahupun tulisan.  Selain itu, beliau dikenal sebagai seorang yang tegas, petah berhujah, dan ramah. Boleh dikatakan sejak tahun 1947 hingga ke akhir hayatnya, hidup Keris Mas tidak pernah terpisah daripada kegiatan sastera.  Malah, seluruh hidupnya merupakan penglibatan dalam pembangunan dan pengembangan sastera Melayu – sebagai wartawan, editor, pentadbir sastera, sasterawan, dan pengkritik.

Setelah Keris Mas bersara, beliau terus diberikan penghormatan sebagai Penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka selama setahun dari 1 Julai 1977 hingga 30 September 1978.  Selama menjadi Penulis Tamu, beliau telah selesai menyiapkan sebuah memoir mengenai penglibatannya dalam perkembangan sastera dari tahun 1945 hingga tahun 1977.  Sejak awal 1979, Keris Mas menjadi Karyawan Seni di Universiti Malaya dan membantu dalam kursus penulisan kreatif.  Pada awal tahun 1980-an, Keris Mas berjaya menghasilkan sebuah novel sosiopolitik yang diberi judul Saudagar Besar dari Kuala Lumpur. Beliau dilantik sebagai Penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka sekali lagi mulai tahun 1985 dan berjaya menghasilkan sebuah novel yang berjudul Rimba Harapan.

Anugerah Pejuang Sastera yang membawa ganjaran wang tunai RM10 000.00 berserta watikah telah dianugerahkan oleh Perdana Menteri kepada beliau pada 29 Mei 1976.  Kerana kebolehan dan rasa tanggungjawabnya, Keris Mas telah dilantik oleh Perdana Menteri menjadi Setiausaha Panel Hadiah Karya Sastera (1971-1976), dan pada tahun 1979 pula dipilih sebagai salah seorang anggota Panel Anugerah Sastera Negara.  Panel Anugerah Sastera telah bersetuju memilih Keris Mas sebagai penerima Anugerah Sastera Negara yang pertama pada tahun 1981. Penyampaian Anugerah ini telah berlangsung di Bangunan Parlimen pada 26 April 1981 oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Demikianlah Keris Mas yang pada mulanya diharapkan oleh keluarganya untuk menjadi guru agama sebaliknya menjadi seorang sasterawan.  Sebagai penulis kreatif pentadbir dan pengurus sastera, Keris Mas telah memberikan sumbangan yang penting dan bererti dalam perkembangan sastera Melayu baru.  Dan untuk sumbangannya ini, Keris Mas telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Sains Malaysia pada 5 Ogos 1989.

Keris Mas meninggal dunia pada 9 Mac 1992.

KARYA

Novel
Pahlawan Rimba Malaya, Kota Bharu: Pustaka Permai, 1946, 60 hlm.;
Korban Kesuciannya, Singapura: Utusan Melayu Press, 1949, 109 hlm.;
Anak Titiwangsa, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1967, 118 hlm.;
Saudagar Besar dari Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982, 365 hlm.;
Rimba Harapan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, 265 hlm.

Cerpen
Mekar dan Segar (antologi bersama), Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1959, 161 hlm.;
Dua Zaman (antologi bersama), Kuala Lumpur :  Penerbitan Pustaka Antara, 1963, 190 hlm.;
Koleksi Cerpen-cerpen Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur:  Penerbitan Universiti Malaya, 1977, 446 hlm.;
Patah Tumbuh, Kuala Lumpur:  Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1973, 168 hlm.  (cetakan pertama 1962);
Cerpen-cerpen ASEAN (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978, 279 hlm.;
Menunggu Ratu Adil (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1984, 218 hlm.;
Angin Pulau (antologi bersama), Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd.; 1985, 433 hlm.;
Dongeng Merdeka (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985, 339 hlm.;
Kumpulan Cerpen Keris Mas 1946 – 1989, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, 759 hlm.
Koleksi Terpilih Keris Mas, Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, 341 hlm.

Esei/Kritikan
Memoranda (antologi bersama), Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1961, 281 hlm.;
Kursus Penulis (antologi bersama), Kuala Lumpur:  Penerbitan Pustaka Antara, 1964, 138 hlm.;
Utusan Melayu 25 Tahun, Kuala Lumpur:  Penerbitan Utusan Melayu (M) Bhd., 1964, 272 hlm.;
Asas Kebudayaan Kebangsaan         (antologi bersama), Kuala Lumpur:  Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, 1973, 548 hlm.;
Panduan Menulis Cerpen (antologi bersama), Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973, 49 hlm.:
Di Sekitar Pemikiran Kesusasteraan Malaysia 1957-1972 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976, 419 hlm.;
Esei Pilihan Keris Mas (disusun oleh A. Bakar Hamid), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, 216  hlm.;
Nasionalisme dalam Persuratan (antologi bersama), Kuala Lumpur: Muzium Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985, 227 hlm.;
Perbincangan Gaya Bahasa Sastera, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 166 hlm.

Memoir
Memoir Keris Mas : 30 Tahun Sekitar Sastera, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, 226 hlm.

Wawancara
Wawancara Sastera, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 367 hlm.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014691
    Visit Today : 720
    This Month : 34036
    Total Visit : 1014691
    Hits Today : 2756
    Total Hits : 4139558
    Who's Online : 10
  • Kategori