Oleh SHAHARIR MOHAMAD ZAIN

Pendahuluan

Makalah ini bertujuan membicarakan kewujudan beberapa istilah dan konsep ilmu sains dan matematik yang asli atau inovasi Malayonesia dalam bahasa Melayu sejak dahulu kala hingga menjelang abad ke-20 dan seterusnya memperlihatkan tabii muncul-lesapnya ilmu itu. Konsep dan istilah yang akan dibicarakan ialah yang terbit daripada kolek dan jong, bilangan (nombor) dan angka bulat termasuk ketakterhinggaan, sukatan perkara terang-benderang dan kabur, alam semesta (jasad-jasad di langit, model tatarajahnya dan asal-usulnya), tumbuh-tumbuhan dan margastua (dalam peribahasa, sebuah prasasti dan satu-dua buah manuskrip Jawi), sains dan kaedahnya, dan sebab-sebab kelesapan sesebuah konsep dan istilah asli, inovasi dan terjemahan dalam bidang-bidang ini menjelangnya abad ke-20 M.

 Perahu Kolek dan Kapal Jong

Bahasa Melayu wujud sekurang-kurangnya sejak abad ke-1 M (sesuai dengan tahun pertama Malayonesia ialah tahun 78 M yang dikenali sebagai tahun saka, 1 Saka (S) = 78 M) yang dirujuk oleh penulis Yunani abad itu sebagai bahasa Kolan atau ejaan asal mereka jika ditransliterasi kepada Rumi ialah Coelan dan rantaunya Kolandia/Coelandia. Ini pun memang boleh dipertikaikan kerana mengikut Nik Hassan (2007) umpamanya, kerajaan-kerajaan Melayu utara Semenanjung Malaysia kini telah menjalin hubungan diplomatik dengan maharaja China bernama Wu Ti  sejak abad ke-2 SM lagi.  Mengikut pendapat penulis, pengenalan terjemahan buku Yunani itu ke dalam bahasa Inggeris, The Periplus of the Erytraean Sea (Pelayaran ke Lautan Hindia), terbitan semula oleh Princeton University Press 1989 (dahulunya terbitan Longman 1912), perkataan Kolan dan Kolandia ini asalnya daripada nama sejenis perahu yang banyak terdapat di Asia Tenggara yang dikenali sebagai kolek (perahu kolek) itu. Ini sudah boleh dianggap satu istilah hasil kepandaian (teknologi) Malayonesia berbahasa Melayu yang terantarabangsakan. (Ini pandangan yang lain daripada pandangan penulis ini, Shaharir 2008/2010, bahawa Kunlun dan Kolan itu masing-masing sebutan China dan Yunani terhadap perkataan Funan atau pnom dari perkataan Melayu, “gunung”). Istilah ini wujud hingga beberapa abad kemudian apabila mengenangkan penulis-penulis China menamakan bahasa di Funan (Kemboja), Campa (Vietnam) dan Sriwijaya (berpusat di Palembang, Sumatera) mulai abad ke-3 M hingga abad ke-12 M sebagai Kunlun (ejaan lainnya, Kun-Lun, yang dibelandakan dan diperanciskan sebagai Koeun Louen). Istilah ini tidak terlestarikan, bahkan hilang terfosil di bawah lipatan sejarah bahasa Melayu sejak abad ke-13 M lagi. Antara sebab lesapnya istilah ini ialah kerana hal yang berikut:

(1) Penulis China juga dalam masa yang sama ada merujuk bangsa di rantau yang sama sebagai Moloyo/Mo-lo-yo/Molo-yoou/Moloyeu/Mo-lo-yeu/Malaiyu/Malai-yu-eul dan sebagainya; dan pada abad ke-15 M, penulis China juga berubah penamaannya terhadap rantau yang sama kepada Man La Jia (iaitu Malaka) sebagaimana nama judul senarai kata Melayu-China pada abad itu Man La Jia Guo Yi Yu (Senarai Perkataan Negeri Malaka).

 

(2) Dengan kemasyhuran Majapahit (abad ke-13 hingga ke-14 M, berpusat di Jawa) dan Malaka (sejak akhir abad ke-19 M dieja oleh penulis di Asia Tenggara sendiri sebagai Melaka serentak dengan perubahan ejaan Malayu kepada Melayu), penulis-penulis Eropah merujuk rantau Asia Tenggara ini dengan nama Jawa atau Malaka (dengan pelat mereka masing-masing) tetapi bahasa lingua franca rantau ini dirujuk sama seperti penulis China sebelum abad ke-15 M itu dengan pelat mereka tersendiri seperti  berikut:

  • Malaiur (dalam catatan Marco Polo abad ke-13 M),
  • Malaico/Malaicum dalam Latin (kamus Melayu-Latin 1631 oleh Haex),
  • Malaio  dalam Portugis sekitar 1600 (catatan Eradia berbangsa Portugis-Melayu di Melaka sekitar 1600); tetapi portugis kini, Malaio (bangsa) dan Malaia (bahasa),
  • Maleysch dalam Belanda abad ke-17 M (pada judul kamus Belanda-Melayu 1623 oleh Wiltens & Dankaerts),
  • Malaeischen dalam Belanda awal kurun ke-19 M (pada judul kamus Melayu-Belanda 1825 oleh van Eysinga),
  • Malaeisch dalam Belanda akhir abad ke-19 M (pada judul kamus Melayu-Belanda 1875 oleh Pijnappel) atau
  • Maleische (dalam judul kamus Belanda-Melayu 1878 oleh Grashuis) atau
  • Maleisch (dalam judul kamus Melayu-Belanda 1893 oleh Klinkert),  Malaie/Malaiisch Belanda kini (dalam kamus Inggeris-Belanda kini dalam Internet), Malayo dalam Sepanyol kini (dalam kamus Inggeris-Sepanyol kini dalam Internet),
  • Malais dalam Perancis awal abad ke-19 M (pada judul kamus Melayu-Perancis 1825 oleh Boze),
  • Malais/Malaise dalam Perancis kini (dalam kamus Inggeris-Perancis kini di Internet); Malay dalam bahasa Inggeris sejak 1590-an (Etymology Dictionary di Internet),
  • Malayo dalam bahasa Inggeris di sekitar 1700 (kamus Melayu-Inggeris 1701 oleh Bowrey); dan ada pula
  • Malayan dalam bahasa Inggeris abad ke-19 M (pada judul kamus Inggeris-Melayu oleh Marden 1812), tetapi tidak syak lagilah, segi bahasa Inggeris, istilah Malay mendominasikan yang lain-lain itu menerusi kamus Malay-English Dictionary 1901 oleh Wilkinson.

(Hampir semua maklumat perkamusan di atas diambil daripada Ibrahim 2013).

Lesapnya nama Kolan/Kunlun/Malaka/Jawa bagi merujuk rantau Asia Tenggara ini lebih desisif lagi berlakunya dengan munculnya nama syarikat perniagaan Belanda Nederlands-Indië, Inggeris di bahagian lain di Asia Tenggara, British East Indies bahkan Sepanyol di Filipina, Spanish East Indies yang begitu berpengaruh (sejak 1650 hingga 1945) sehingga hampir seluruh tenggara Asia dikenali atas nama syarikat itu (diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai Hindia Timur-Belanda, Hindia Timur-British, Hindia Timur-Sepanyol). Yunani kini (Grik) pun (tidak pasti mulanya) menamakan Malayu/Melayu sebagai Malaisias (dalam English-Greek Dictionary: http://www. systransoft. com/english-greek-dictionary, dan China sekarang mengistilahkan Malayu/Melayu sekarang sebagai Ma lai (Chinese–Tools. com. English-Chinese Dictionary: http://www.chinese-tools. com/tools/ dictionary.html).

Jelaslah istilah Kolan dan Kunlun contoh terawal bahasa Melayu daripada teknologi Melayu yang terantarabangsakan tetapi tidak terlestarikan sehingga orang Melayu sejak beberapa abad yang lalu sendiri pun tidak mengetahui perkataan ini. Perkataan Kunlun atau Kolan tidak ada pun dalam kamus muktabar bahasa Melayu kini, Kamus Dewan (KD) atau Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI). Malang sekali, nama sendiri pun tak diketahui langsung entah bila sebelum usaha besar menerbitkan “kamus muktabar Melayu” ini dalam tahun 1960-an (kamus ini pertama kali muncul pada tahun 1970).

Berbeza dengan junk, perkataan Inggeris (sejak 1600 yang diambilnya daripada Portugis junco) daripada teknologi kapal Melayu, jong (atau ejaan dalam KBBI ialah  jung), yang terlestarikan istilahnya tetapi pembuatannya pula sudah lama lenyap. Istilah ini masih kukuh wujudnya hingga kini semata-mata kerana ada dirakamkan dalam peri bahasa Melayu yang agak masyhur, “jong pecah yu kenyang”, “jong satu, nakhoda dua” dan “dari jong turun ke sampan”. Perkataan Melayu jong itu pun dipercayai telah wujud sejak abad ke-7 M lagi jika diasaskan pada lukisan di dinding candi Borobudur di Yogyakarta, Indonesia yang dibina pada abad ke-8 M pada zaman kerajaan Sriwijaya-Sailandra yang menjadi sebuah seni bina yang ajaib di dunia itu. Malang sekali, Kamus Dewan (KD) dan Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI) merakamkan jong atau jung sebagai kapal layar (besar) China! Dengan ini hilanglah sepatah perkataan asli Melayu dengan konsep asli teknologi Melayu. Ini satu contoh kehilangan unsur ilmu tertua berbahasa Melayu yang cukup ironi dan menyedihkan; penuh tragedi.

Istilah dan Konsep Bilangan dan Angka 

Tidak syak lagi tamadun Malayonesia, walaupun masih belum diiktiraf oleh sejarawan Barat ialah tamadun terawal yang mencipta istilah bilangan (nombor/nomor) dan simbolnya, iaitu angka, secara berasaskan perpuluhan dan kedudukan seperti sistem angka sekarang (Shaharir 1998/2000, 2001). Pertamanya, bahasa Melayu sudah ada istilah bilangan sekurang-kurangnya dari kosong, satu hingga puluhan, dan ribuan sejak abad ke-4 M lagi. Hal ini demikian kerana di prasasti (batu bersurat) Dong Yuen Chau di Vietnam bertarikh abad ke-4 M dalam bahasa Kunlun (Melayu huruf Palawa) sudah ada istilah bilangan tujuh (iaitu tjuh) dan seribu (iaitu sa-riwu/sa-rivu).  Imbuhan se- bagi menggantikan sa- hanya dipaksa penerimaannya mulai tahun 1972, hasil kerjasama kebahasaan Indonesia-Malaysia yang mencipta Sistem Ejaan Bersama itu, yang antara lainnya sa- menjadi se- kecuali, peliknya tetapi bagus, rumah sa- dalam matematik sekolah di Malaysia nampaknya dikekalkan, tidak menjadi rumah se-, (rumah puluh, rumah ratus dan seterusnya). Apa pun sa lebih awal daripada satu kerana sa- ada di prasasti abad ke-4 M itu lagi sebagai imbuhan dalam sa-riwu/sa-rivu itu. Malangnya sa atau sa- tiada dalam KD dan KBBI; manakala se ada dalam KD dan tiada dalam KBBI. Perkataan se dalam KD diertikan sama dengan satu dan esa. Kamus muktabar Melayu sudah menghilangkan keaslian nama bilangan selepas sahaja bilangan kosong ini.

Bahasa Inggeris ada istilah one hingga thousand kemudian daripada abad ke-4 M: one paling-paling tuanya pun mulai wujud pertengahan abad ke-5 M (mula wujudnya Inggeris-lama) dan setiap satunya bilangan Inggeris itu bukan asli Inggeris tetapi diambil daripada proto-Jermanik atau Jermanik atau ada pendapat lebih baharu lagi daripada pada Latin seperti one dari Latin unus pada abad ke-13 M, begitu juga two dari Latin-Yunani duo, three dari Latin tres, tetapi four, five, seven, eight, nine, ten tidak mungkin dari Latin quattuor,  quinque, septa/septem, octo, novem, decem; walaupun six mungkin boleh daripada Latin-Yunani, hex/sex.

Istilah nombor/nomor/bilangan kosong dan simbolnya (angka kosong) ialah istilah dan simbol yang tertua di dunia kerana dalam tamadun lain hanya tamadun Hindia, Maya dan Islam sahaja yang ada istilah dan simbol yang setara dengan kosong ini tetapi semuanya mula wujud terkemudian daripada kosong Melayu itu. Simbol kosong tercatat di prasasti Sambar di Kemboja dan Kedukan Bukit di Palembang dalam  tarikh prasasti itu,, yang dalam sistem angka sekarang ialah 605 Saka (=683 M); sekali gus simbol enam, kosong (dengan simbol bintik atau bulatan), dan lima serta termanifestasinya sistem angka Malayonesia dalam sistem perpuluhan (Shaharir 1998/2000; Wikipedia KH). Tarikh ini jauh lebih tua daripada tarikh rekod angka Hindia (876 di prasasti Gwalior) dan Islam (825 M oleh al-Khwarizmi yang telah dibicarakan oleh Shaharir 2000); manakala angka kosong Maya memang lebih awal tetapi sistem angkanya bukan sistem perpuluhan.

Istilah kosong belumlah muktamad asal-usulnya (etimologinya), selain adanya perkataan son/soan/soun/sony dalam bahasa Khmer sekarang (Wikipedia KH), soh dalam kamus Khmer Lama (Pou 1992/2004); dan perkataan Vietnam yang sepadannya, so khong, yang kami percaya daripada Campa kerana Viet yang menjatuhkan kerajaan Campa 1471 itu asalnya dari China yang tiada simbol dan istilah kosong sebelum itu, dan jikalau ada pun istilahnya lain sekali seperti kini ialah ling (Internet Z 2008 dan Internet CH 1999). Perkataan  so an dalam bahasa Vietnam sekarang yang bermaksudkan nombor negatif (Wikipedia V) itu mungkin sekali kesilapan pengambilan istilah daripada Funan, Campa atau Khmer Lama itu, seqiyas dengan pengambilan perkataan kosong dalam bahasa Arab, shifr, menjadi dua istilah yang berbeza, iaitu dalam bahasa Inggerisnya, zero dan cipher. Malangnya kamus Campa-Perancis oleh Aymonier dan Cabaton (MDCCCCVI) yang masyhur itu tiada perkataan yang sepadan dengan kosong bagi menyelesaikan hipotesis ini. Memang ada kecenderungan son/soan/soun/sony itu daripada Sanskrit, sunya, oleh itu secara tidak langsung kosong itu daripada perkataan Sanskrit itu. Kalaulah pernyataan ini benar sekali pun tetapi oleh sebab simbol kosong pada prasasti Sambar/Sambaur/Sambor (di Kemboja) dan Kedukan Bukit (Palembang) itu jauh lebih awal daripada di Hindia, maka keaslian kosong Malayonesia (Funan, Campa dan Sriwijaya) tetap boleh dipertahankan sebagai angka yang tertua di dunia.

 Yang lebih malang lagi, istilah kosong tersisih kepentingannya sebagai karya asli Melayu (Kunlun) kerana Indonesia (menerusi KBBI) mentakhtakan istilah nol (dari Belanda, nul, terjemahan istilah Arab shifr seperti yang dilakukan oleh Jerman, null) dan Malaysia pula (menerusi KD) mentakhtakan sifar dalam padanan istilah zero dalam sains dan matematik, sedangkan kedua-dua negara ini ada istilah kosong. Maka istilah kosong di Indonesia tidak lagi menjadi istilah kata nama bagi nombor/bilangan tetapi kata sifat “ketiadaan apa-apa” sahaja seperti yang terdapat dalam KBBI. Walaupun begitu berlaku di Malaysia seperti yang terdapat dalam KD. Perkataan sifar dalam KD dieja sifer dalam KBBI dan diertikan sebagai lambang (simbol) bagi nol dan kosong (kata sifat itu). Ini pun kurang tepat. Walaupun benarlah zero itu datang daripada shifr (Arab) yang mendorong kita menterjemahnya kepada bahasa Arab itu sahaja,  kita tidak sepatutnya memelukutkan kosong dengan tidak memadankannya dengan zero kerana shifr sebagai nama bilangan dengan simbolnya sekali muncul dalam abad ke-9 M terkemudian daripada kosong. Shifr dalam bahasa Arab itu diperkenalkan lambangnya (simbolnya) oleh al-Khwarizmi pada abad ke-9 M (mengikut komunikasi penulis Mat Rofa) setelah diilhamkan atau dimotivasikan oleh hadis riwayat Abu Dawud, Tirmizi dan Ibnu Majah, “Sesungguhnya Tuhanmu tabaraka ta’ala yang maha hidup lagi maha mulia amat malu terhadap hamba-Nya, apabila mengangkat kedua-dua belah tangan, untuk menolaknya (pulang) dengan tangan shifr”. Istilah shifr sampai di Malayonesia ini mungkin sekali selambat-lambatnya pun abad ke-16 M semasa adanya Dar al-Hisab (Fakulti Matematik) di Universiti Mesjid Bayt al-Rahman di Aceh dan dirumikan sebagai sipar (dialek/loghat daerah) atau sifar (dibakukan di Malaysia) dan sifer (dibakukan di Indonesia). Zero menjadi bahasa Inggeris pada abad ke-17 M daripada bahasa Perancis daripada Italia dalam bentuk awalnya zhifr daripada shifr  dan kemudian menjadi zipherum ke Latin sebelum menjadi zefiro dan zero (Internet ED). Untuk membantu mengembalikan status kosong sebagai kata nama bilangan, suatu konsep asli matematik bahasa Melayu yang perlu dipelihara, maka makna kosong ini perlulah dirakamkan dalam suntingan baharu KD dan KBBI itu. Sekali gus hal ini membetulkan makna sifar dan sifer dalam kamus itu dengan sewajarnya.

Lebih menarik lagi, istilah bilangan Melayu satu hingga belasan itu ada konsep pembilangan yang bitara asli Melayu seperti berikut (dipetik daripada Shaharir & Razak 1998/2001, manakala sumber perkataan daripada suku kaum Malayonesia diambil daripada Blust 2013):

  • sa/satu hingga lima memang bilangan tersendiri masing-masing-masingnya padanan banyaknya benda yang ada dengan jari tangan (yang sempurna: ada ibu jari, telunjuk, hantu, manis, dan kelingking). Hal ini demikian kerana lima itu ialah istilah untuk tangan yang sempurna, bagi banyak suku kaum Malayonesia ini. Kemudian istilah enam hingga sepuluh terbit daripada operasi ke atas lima (jari-jemari sebelah tangan) itu seperti berikut:
  • enam (yang sama dengan perkataan daripada suku kaum Malayonesia Bajau, Ilanum, Mentok, dan Narom; yang lainnya hampir dengan ini ne, nam, nem, noh, nom, num, anam, enem, hanam,namnam, nanam, onam, onom, unam dari pelbagai suku kaum Malayonesia yang lain lagi) berasal daripada berasaskan pada lima jari di tangan itu di tanam/benam;
  • tujuh digunakan jari telunjuk untuk menambah satu bilangan lagi, selepas satu jari sudah dibenam.
  • lapan asalnya dua-alapan yang kemudian menjadi dualapan/dulapan/delapan (masalah bacaan dan transliterasi palawa ke Jawi dan kemudian ke Rumi) dan akhirnya menjadi lapan (kependekan yang hilang makna asalnya yang bitara itu), iaitu bermula dengan mengambil/mengalap (dengan cara menunjukkan)  dua jari daripada kepalan tangan yang mewakili sepuluh (iaitu ambil dua daripada sepuluh). Istilah delapan sudah ada dalam Kamus Jacob van Neck 1601, manakala dalapan ada di prasasti Mi son 1036 S (=1114 M). Kedua-dua kamus muktabar bahasa Melayu, KD dan KBBI tidak merakamkan istilah lapan dengan bagusnya sehingga tiadalah dulapan dan dualapan (hanya ada delapan), apatah lagi salapan yang diterangkan di bawah ini. Ini perlu diperbaiki dalam suntingan yang akan datang.
  • sembilan dan salapan masing-masingnya daripada sa-ambilan dan sa-alapan, iaitu dengan mengambil (dengan cara menunjukkan) satu jari daripada kepalan tangan yang mewakili sepuluh (iaitu ambil satu daripada sepuluh). Istilah salapan lebih awal daripada sembilan, iaitu salapan telah ada dalam prasasti Mi Son 1036 S (=1114 M),  manakala sembilan dicatatkan dalam daftar kata bahasa Melayu oleh Oe Tadafusa, dalam loghat Jepunnya, sa-i-bira, sekitar akhir abad ke-11 M. Kamus muktabar Melayu, KD dan KBBI perlu memperbaiki penjelasan istilah sembilan sehingga memasukkan sa-ambilan dan salapan.
  • sepuluh di bilang dengan mengepal tangan sepenuhnya seperti untuk menyuap nasi dan sebagainya ke mulut sebanyak-banyaknya dengan cepatnya  yang diistilahkan sebagai polok (ejaan sebelum 1972: sapuloh/sa-puloh/sapuluh/sa-puluh/sepuloh, sama dengan perkataan daripada banyak suku kaum Malayonesia termasuklah Iban) atau lebih lama lagi sa-pulu (abad ke-7 M di prasasti Kedukan Bukit itu) yang masih dipakai dalam banyak suku kaum  Malayonesia yang lain termasuk Bugis). Hal ini bermakna polok (ada dalam KD dan KBBI) itu asalnya pulu atau polo dan berupa asli Malayonesia. Malah polo ada dalam kamus Jacob van Neck 1601 dengan perkataannya sapolo, dan catatan Pegafetta 1519. Puluh dalam Sanskrit ialah dasa yang juga diambil oleh Malayonesia sebagai awalan sekurang-kurangnya pada abad ke-5 M mungkin sezaman adanya polo/pulu. Inggeris mengambil istilah sebegini daripada Yunani-Latin-Sanskrit, deka- dan desi-, dalam abad ke-16 M, walaupun ten Inggeris mungkin wujud pertengahan abad ke-5 M, masih terkemudian daripada polo/pulu Malayonesia.

Kesimpulannya, keaslian istilah bilangan enam hingga puluh tiadalah pertikaiannya dan wujudnya sekurang-kurangnya kira-kira setengah abad lebih awal daripada istilah Inggeris yang sepadannya (yang tidak asli). Dalam bahasa Sanskrit, enam, tujuh, lapan dan sembilan masing-masingnya  sat/shat, sapta, asta/ashta dan nava yang juga dipakai di Malayonesia mungkin sezaman dengan pulu terutamanya sebagai imbuhan seperti yang terbukti pada prasasti Kedukan Bukit itu (ada ekadasa dan sapulu dan ada sapta dan panca). Sekarang dibicarakan keaslian istilah bilangan lain lagi.

Asal-usul istilah satu hingga bilion.

  • satu (sama perkataan yang dipakai oleh banyak suku Malayonesia seperti yang dirakamkan oleh Blust 2013; dan ada pula perkataan daripada kumpulan etnik Malayonesia yang lain lagi yang agak serupa morfologinya seperti sali, siti (dari Iban);  soboto; sote ;  sute ; isa; isai; iso; sa (agak banyak suku kaumnya); so; sah; se; sedi; seena; seko; siji/sawiji; siko). Masih ramai ahli bahasa Melayu kini pun mengatakan istilah satu diambil daripada Sanskrit sa, asa, esa, eka kerana mewarisi pendapat Orientalis lama dengan mengabaikan perkataan-perkataan etnik Malayonesia di atas.  Malah KD menjelaskan “satu” sebagai esa, dan asa dianggap morfologi yang kurang tepat, bahkan KBBI tidak mengiktiraf adanya perkataan asa (iaitu ada esa sahaja; yang tidaklah tepat seperti yang dijelaskan di bawah ini).
  • Kedua-dua kamus muktabar bahasa Melayu itu merakamkan peribahasa esa (dianggap bukannya asa), iaitu “berbilang dari esa mengaji dari alif”; “esa hilang, dua terbilang.” Selanjutnya, kedua-dua KD dan KBBI mengiktiraf eka sebagai imbuhan sahaja. Pada hal sejarah morfologi sa, esa, eka adalah bermula dengan sa (muncul di prasasti abad ke-4 M lagi sebagai imbuhan, dan dipercayai tentunya sebagai  perkataan bilangan walaupun terbukti sa ada dalam konteks sedemikian (istilah  bilangan) hanya di prasasti abad ke-7 M, di prasasti Kedukan Bukit), bahkan (seperti yang ditunjuk di atas) banyak suku kaum Malayonesia memakai sa sahaja, dan suku kata yang hampir dengan itu sahaja. Selepas itu baharulah muncul satu atau dua suku kata yang dekat dengan itu. Amatlah sedikit suku kaum yang memakai esa, asa, atau isa, eso, aso, atau iso, dan lagi sedikit memakai eka, bahkan tiada aka atau ika.
  • Bahasa Sanskrit yang sama dengan sa tidak ada tetapi yang ada ialah yang dua suku kata yang transliterasinya ke Rumi bermasalah sehingga melahirkan eka/ekah/ekam atau satu variasinya, asa. (Pada masa menggunakan Jawi huruf Rumi a dan e hanya satu sahaja, iaitu alif). Transliterasi yang biasa dibuat oleh orientalis ialah asa dan ini pun bersesuailah dengan daftar kata bahasa Melayu oleh Oe Tadafusa abad ke-11 M yang merakam asaa untuk bilangan ini (Alinor 2010); tiadalah prasasti Malayonesia pra-Islam yang merakamkan bahasa Sanskrit esa atau eka; manakala dalam bahasa Pali (yang sepatutnya lebih dekat dengan bahasa Melayu menerusi agama Buddha yang bahasa kitabnya dalam Pali) memang wujud eka sahaja (Internet EP). Prasasti Terengganu 1303 M merakamkan dalam Jawi اسا yang boleh dirumikan sebagai asa, esa, atau isa (jika seseorang tidak pasti bacaannya). Pegafeta (yang bersama Magelan) pada 1519 mencatatkan vzza (yang bacaannya buka esa) dan satus (iaitu satu). Istilah satu yang tertua setakat ini muncul dalam kamus Melayu-China, Man La Jiu Guo Yi Yu (telah disitasi sebelum ini) abad ke-15 M dengan pelatnya sa du.
  • Oleh itu, kini sukarlah diterima bahawa sa Melayu itu berasal daripada Sanskrit, bahkan asa, esa dan eka itu muncul berkurun selepas sa. Istilah satu pun muncul lebih lewat lagi, iaitu abad ke-15 yang disebut di atas, manakala istilah suatu (yang sama maknanya dengan sa/satu) muncul dalam abad ke-16 seperti dalam dalam ‘Aqa’id al-Nasafi 1590 (yang tertua setakat ini). Kedua-dua istilah “satu” dan “suatu” ini setidak-tidaknya dua inovasi nama bilangan dalam bahasa Melayu, walaupun istilah suatu tidak terlestarikan sehingga dalam Taj al-Salatin 1603 (karya Bukhary al-Jawhary) dipakai juga untuk maksud bilangan ordinal yang sama dengan istilah pertama (sama dengan first dalam bahasa Inggeris) dan sudah agak lama pula istilah “suatu” berubah lagi kepada perkataan yang bermakna pengkuantiti yang belum dapat dipastikan bilangan atau nilainya, suatu istilah yang penting dalam mantik.  Dalam bahasa Inggeris, makna “suatu” yang terakhir ini sama dengan a/an atau some. Simpang-siurnya makna suatu ini tidak dirakamkan dengan memuaskan dalam KD dan KBBI dan ini perlu diperberbaiki dalam suntingan baharunya akan datang.
  • Sebagai perbandingan, perkataan first muncul dalam bahasa Inggeris pada pertengahan abad ke-5 M tetapi bermaksud paling hadapan dan hanya abad ke-16 baharulah membawa makna sekarang ini, yang diambil daripada Jermanik; manakala perkataan a atau an muncul dalam pertengahan abad ke-12 M, dan some yang bermakna pengkuantiti itu bermula pada abad ke-12 M juga. Ini contoh yang jarang berlaku, iaitu istilah yang membawa ilmu sains atau matematik dalam bahasa Inggeris mendahului bahasa Melayu dalam abad-abad sebelum ke-17 M.
  • dua (hampir sama dng beberapa bilangan dari suku kaum Malayonesia seperti dia duaq, duah, due, dueh , duey, dui/duey, duo/duoh, elua, lua (banyak suku kaum), luar, luau, rua (banyak suku kaum), dudua, darua, duah/ruah, duvo, ghua) Memang ada pandangan orientalis bahawa dua daripada dva/dvau/dve/dvidwa/dwi Sanskrit tetapi berasaskan pada variasi morfologi perkataan dua daripada suku kaum Malayonesia di atas, maka  semakin kuranglah kumpulan ini. Istilah dua yang tertua tercatat di prasasti Kedukan Bukit 684 M, walaupun istilah ini semestinya sudah wujud sejak abad ke-4 M lagi (terimplikasi daripada prasasti di Vietnam itu), jika ditransliterasikannya memang sudah berbentuk DUA (bukan ada v atau w).
  • tiga (sama dng perkataan banyak suku kaum Malayonesia termasuk Iban ; dan perkataan yang hampir dengannya seperti tigo, tigi/tigiy, tigey, dan tige; lainnya talu/ talo/ tatelu/ telu/ te-elu/ tellon/ telua/ tello/ teloq/ tero/ tetalu/ tilu/ tolu/ toro/ toru daripada pelbagi suku kaum Malayonesia dan tluv/kluv khas Campa (ada di prasasti 911 M dan 1114 M); dalam prasasti Kedukan Bukit abad ke-7 M pakai telu bukan tiga). Memang ada pandangan orientalis bahawa tiga daripada tri/triya daripada Sanskrit (Dyen 1952), tetapi dengan data variasi morfologi tiga daripada pelbagai suku kaum Malayonesia di atas, maka semakin sukarlah dipertahankan pandangan orientalis itu. Bahkan pada prasasti abad ke-7 M, telu yang dipakai yang memang munasabah kerana begitu ramai suku kaum Malayonesia yang berbahasa demikian. Lebih tepatlah jika dikatakan tiga daripada telu yang begitu jauh daripada Sanskrit tri/triya/treeni/tisra (Internet S)  itu.
  • empat (sama dengan perkataan banyak suku kaum Malayonesia; yang lain hampir dengan ini ialah perkataan suku kaum Malayonesia lain: ampat, apad, apat, apatah, apeh, hampat, mpa, mpat, opat, opatu, pa,  pad, pak, papat, paqat, pat, upat). Jelas ini asli Malayonesia. Malah ada pendapat bilangan ini datangnya daripada bentuk segi empat yang terbentuk daripada permainan “pat-pat siku lipat”. Malah Kamus Campa-Melayu abad ke-17 merakamkan istilah empat kini sebagai lipat dan pat. Istilah ampat yang tertua dijumpai di prasasti Pagaruyung sekitar 1330; manakala pak ada di prasasti Mi Son 114 M. Empat dalam Sanskrit ialah catur/catva(a)ri/chatvaras/catasras (Internet S), dan versi catur atau katur memang diambil serentak sebagai bilangan Melayu alternatif terutamanya sebagai imbuhan seperti yang dapat diqiyas daripada prasasti Kedukan Bukit itu.
  • lima (majoriti besar daripada hampir 900 suku kaum Malayonesia yang dicatatkan oleh Blust (t.t.) beristilah bilangan ini atau yang amat hampir dengannya seperti limo, limo/limoh, limeh,  dima,  rima (agak banyak),  delima, limi, lim, limano, lime, limah, limaq, limay, limey,  lema, lemah, dan lomi). Lima sebagai bilangan asli Malayonesia tidaklah dipertikai dan rakaman istilah ini yang tertuanya setakat ini ialah di prasasti Mi Son 1157 M. Lima dalam Sanskrit ialah panca yang memang menjadi imbuhan Melayu yang popular (Internet S)

Enam hingga sepuluh sudah dibicarakan sebelum ini.

  • belasan (sebelas hingga sembilan belas) ialah asalnya balasan yang terbit daripada balas bilangan jari tangan mengikut pengertian balik bilangan pada jari pertama dahulu. Oleh itu dua belas (asalnya dua balas) ialah balas bilang dua jari pusingan pertama dahulu. Istilah ini baharu  kerana dalam prasasti Kedukan Bukit istilah belasan atau balasan itu ialah tambahan satu-satu kepada puluh, iaitu saplu dua (sepuluh dua) yang boleh dikiaskan bahawa pada abad ke-7 M bilangan belasan ialah saplu sa, saplu dua, saplu tlu,  …saplu sambilan. Mungkin ini boleh dihipotesiskan sebagai terjemahan bilangan Sanskrit ekadasa (di prasasti Kedukan Bukit), dwidasa, triyodasa,…., navadasa (Internet S). Bilangan belasan dalam bentuk yang dirakam di prasasti Kedukan Bukit abad ke-7 M itu boleh dianggap telah wujud pada abad ke-4 M kerana pada abad itu ratus dan ribu sudah ada. Kamus Jacob van Neck 1601 merakamkan balasan bagi belasan sekarang dengan contoh sabalas bagi sebelas sekarang.
  • Dalam bahasa Inggeris, istilah sepadannya eleven, twelve, thirteen,… hingga nineteen (dikelaskan sebagai teens) dianggap bahasa Inggeris Lama atau Inggeris Kemudian, oleh itu istilah-istilah ini muncul paling awalnya pun pada pertengahan abad ke-5 M, tetapi eleven diketahui muncul menjelang abad ke-13 M, thirteen abad ke-15 M, eighteen abad ke-14 M (versi awalnya ahtene abad ke-13 M), semuanya daripada Jermanik. Etimologi teens berbeza daripada belasan, iaitu eleven daripada one left (over ten), iaitu satu lebih daripada sepuluh; twelve daripada two left (over ten), iaitu dua lebih darp sepuluh; tetapi selepas bilangan ini etimologinya lain pula: thirteen  daripada gabungan three + tene/teen, dan seterusnya sehingga  nineteen daripada nine + teen (iaitu, kata ciptaan sedap sebut menjadi kata majmuk).
  • Oleh sebab etimologi yang berbeza ini, maka seseorang penterjemah nombor Inggeris kepada bahasa Melayu kenalah berhati-hati seperti silapnya terjemahan buku A Histroy of Mathematics oleh Boyer terbitan Institut Terjemahan Negara  2007 : “Dengan menggunakan jari pada kedua-dua belah tangan, maka ia dapat mewakili kumpulan yang mengandungi sepuluh unsur” (pp 3); “Dilihat pada perkataan kita, iaitu “sebelas” dan “dua belas” pada asalnya bermaksud “satu berlebih” dan “dua berlebih” yang menunjukkan penguasaan awal konsep perpuluhan” (pp. 4). Kedua-dua ayat terjemahan ini tidak menepati konsep bilangan Melayu, oleh itu amat mengelirukan atau menyesatkan pembaca. Ini satu contoh bahasa atau kebudayaan amnya membentuk pemikiran matematik yang sesuai dengan tabiinya bahasa berkenaan itu.
  • Oleh itu terjemahan matematik dalam bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu atau sebaliknya tidak semestinya tidak mengubah matematik itu walaupun simbolnya mungkin sama.  Oleh sebab itu jika bahasa Melayu terabai dan diabaikan dalam pengajaran matematik maka kekayaan matematik dalam bahasa Melayu yang setengahnya tercipta/terkumpul lebih awal daripada matematik Inggeris itu dibuktikan di sini turut terabai dan diabaikan. Tamadun/peradaban berbahasa Melayu terabai/diabaikan.
  • Selain daripada asal-usul morfologi yang dibincang di atas, ada pula isu sistem nilai dalam istilah bilangan itu. Umpamanya, thirteen dan sixteen ada tafsiran yang khusus untuk kebudayaan Inggeris (Eropah amnya). Thirteen mewakili bilangan sial kerana kepercayaannya terhadap bilangan mereka yang makan malam terakhir dengan Jesus (Nabi ‘Isa ‘AS) ialah tiga belas orang. Oleh itu Barat mengelakkan dirinya daripada terlibat dengan bilangan tiga belas. Sixteen bilangan yang sempurna khususnya bagi umur sesorang kerana dipercayainya umur tuhan-tuhan bangsa Eropah ialah enam belas tahun, bulan menyusut saiznya pada hari keenam belas, dan unsur pertama manusia yang reput ketika usianya enam belas tahun. Itulah sebabnya umur enam tahun ialah umur kebebasan remaja Barat-Eropah. Ini menambahkan lagi berbezanya bahasa Inggeris dalam matematik dengan dalam bahasa Melayu yang tiada kepercayaan terhadap nombor/bilangan seperti ini. Bilangan satu dan tiga dalam Katholik menerusi konsep trinity berbeza dengan tawhid dalam Islam yang diwarisi oleh orang Malayonesia Islam.
  • ratus (versi lebih awalnya rtus dan rutuh) sudah ada dalam prasasti Kedukan Bukit (Palembang) bertarikh 684 M. Seperti yang disebut sebelum ini, oleh sebab ribu sudah ada di prasasti abad ke-4 M, maka bolehlah dijangkakan ratus sudah ada sejak abad ke-4 M juga. Dalam bahasa Inggeris istilahnya hundred itu paling awalnya pun hanya wujud sejak pertengahan abad ke-5 M yang diambilnya daripada Jermanik. Bilangan ratus sebagai istilah asli Malayonesia tidaklah dipertikaikan lagi, bahkan istilah Sanskrit untuk ratus ialah satam manakala Pali ialah sata.
  • ribu (versi abad ke-4 M ialah riwu atau rivu di prasasti Kunlun di Vietnam) memang asli Malayonesia, bahkan dalam bahasa Sanskrit istilahnya sahasra dan Pali sahassa/dasasata.  (Internet S; Internet EP).
  • laksa ialah bilangan yang sama dengan sepuluh ribu dan istilah ini sudah pun ada dalam prasasti Kedukan Bukit, Palembang bertarikh 684 M. Sungguhpun ini istilah ada dalam KD atau KBBI tetapi generasi kini sudah tidak menggunakannya atau tidak pun tahu maknanya lagi. Dalam bahasa Inggeris istilah yang sama maknanya dengan laksa ialah myriad yang diambil daripada Perancis myriade (daripada Latin dan Yunani myrias) pada pertengahan abad ke-16 M dan juga tidak dipakai/popular lagi (Internet ED). Laksa sering dikatakan oleh ahli bahasa sebagai perkataan daripada Sanskrit laksya tetapi jika pun benar, orang Malayonesia abad ke-7 telah mempiawaikan maknanya (diinovasikan) menjadi sepuluh ribu sedangkan dalam sanskrit itu maknanya “banyak” atau “seratus ribu” (Internet. Laksa. http://vedabase. net/l/ laksa).
  • Istilah keti/koti dan taman adalah bilangan sebanyak seratus ribu yang masing-masing sudah ada dalam kamus Pegafeta  1519 (dengan ejaannya cati); manakala taman ada dalam Kamus Campa-Melayu, Akayat Inra Patra dan Akayet Dowa Mano ketiga-tiganya abad ke-17 M (Alinor 2010).  Istilah keti/koti memang daripada koti dalam bahasa Sanskrit tetapi berbeza nilainya. Dalam Sanskrit, koti boleh jadi “banyak juta”, “tak terhad” atau “tak boleh/dapat bilang”, atau “sepuluh juta” (Internet. Koti. http://vedabase.net/k/koti). Tiada padanan keti/koti atau taman dalam bahasa Inggeris. Inggeris melompat dari thousand (ribu) kepada million (juta) sahaja. Jelaslah keti/koti satu inovasi Malayonesia dan taman satu istilah asli Malayonesia.
  • juta dan chai adalah bilangan Melayonesia sebanyak seribu ribu. Istilah juta berbeza daripada ayuta (niyuta/prayuta) dalam bahasa Sanskrit. Juta Malayonesia ialah seribu ribu tetapi ayuta boleh jadi sejuta, sepuluh ribu, puluhan juta, atau juta-juta (Internet. ayuta. http://vedabase. net/a/ayuta). Juta sudah ada di Malayonesia sekurang-kurang pada akhir abad ke-15 M seperti dirakamkan oleh Pegafetta (bersama Magellan di Filipina Selatan) pada 1519 sebagai inta (mengikut ejaan Sepanyol, catatannya sainta, iaitu sa-juta). Inggeris ada perkataan million dalam akhir abad ke-14 M tetapi hanya di kalangan matematikawan khusus sahaja yang diambilnya daripada Perancis (yang memilikinya pada abad ke-13 M) dan tersebar kepada rakyat umum hanya dalam abad ke-16 M. Eropah memang tiada bilangan yang besar, bahkan Latin hanya menyatakan bilangan sebesar sejuta sebagai decies centena milia, iaitu “sepuluh ratus ribu”; Yunani ada bilangan setakat sepuluh ribu (selaksa), dan Roma ada bilangan setakat seratus ribu (seketi/sekoti). (Internet ED). Orang Campa mencipta istilah chai yang sama dengan juta. kemungkinannya, chai wujud serentak dengan juta sama seperti taman dengan laksa, walaupun setakat ini chai dijumpai terawalnya hanya dalam Akayet Inra Patra abad ke-17 M (Alinor 2010). Berlawanan dengan sangkaan ramai pihak, istilah chai bukannya perkataan China atau Vietnam kerana unit juta dalam China ialah yibaiwan (yet bat vei di Taiwan) (numbers in Chinese language, http://www.omniglot.com/ language/ numbers/ chinese.htm); manakala dalam bahasa Vietnam ialah trieu (Vietnamese numbers. http://en.wikibooks.org/wiki/Vietnamese/Numbers).
  • kotchai memang nampaknya gabungan koti (=seratus ribu) dan chai (= juta) dan memang pun kotchai ialah seratus ribu juta, iaitu seratus serijuta/seratus milyar/seratus bilion. Unit bilangan kotchai ialah unit bilangan terbesar Melayu Campa dan ini tercatat pada Akayet Inra Patra sekitar kurun ke-17 M (Alinor 2010), malah di situ ada bilangan ribuw taman kot rituh (=seratus duarijuta/trilion) dan ribu taman kotchai (=caturijuta/sankilion/quintilion). Tiadalah unit yang sepadan dengan kotchai ini dalam bahasa Inggeris. Inggeris mengambil billion (=sejuta juta) dan pradigma x-illion (x=tri-, quadri-, quinti-, ….) daripada Perancis mulai akhir abad ke-17 M, dan kemudiannya hingga ke abad ke-20 baharulah ada sextillion, septillion, octillion, nonillion, decillion yang juga ada beberapa unsurnya yang dicipta oleh ilmuwan Malayonesia lebih awal daripada Ingggeris seperti yang dibicarakan di bawah awalan gandaan bilangan di bawah ini.

Kesimpulannya, sejak abad ke-7 hingga abad ke-14 Malayonesia sudah ada istilah bilangan dan angkanya (yang asli atau inovasi) hingga kepada berbilion-bilion (wisyilion) dengan angka asasnya kosong hingga sembilan seperti berikut:

     Simbol lani:   1         2        3       4      5           6           7          8           9               0

Simbol bilangan Malayonesia ini mulai diganti dengan simbol bilangan Arab sekarang (al-Arqam al-Hindiyah)١٢٣٤٥٦٧٨٩٠..dianggarkan kira-kira sekitar abad ke-14 M dahulu, kecuali suku kaum Malayonesia, Jawa meneruskan penggunaan angka ini Melayonesia Palawa ini tetapi beransur-ansur berubah juga bersekali dengan berubahnya aksara Palawa itu sehingga membentuk huruf dan angka Kawi sekarang yang menjadi mereka ini pun sudah tidak boleh membaca bahasa berhuruf Palawa. Manuskrip matematik, al-Daurra al-Bahiyaht, yang ditulis ‘Umar bin Ismaa‘iyl Kelantani bertarikh 1318 H (skt 1904 M)  menjadi tanda aras peralihan angka Arab ١٢٣٤٥٦٧٨٩٠ dengan angka 1 2 3 4 5 6 7 8 9 0 kerana di dalam manuskrip itu angka yang kemudian itu walaupun tanpa tulisannya, yang dirujuknya sebagai “angka Turki dan lain-lain” atau di bahagian akhir manuskrip itu seolah-olah angka ini dirujuknya sebagai angka ‘Afranj kerana nama-nama bulan Barat sekarang ini dirujuknya bulan-bulan ‘Afranj.

Tidak syak lagi perubahan huruf Palawa ke pada huruf Jawi  berlaku kerana faktor agama, iaitu seperatusan Jawa masih ada yang mengamalkan Hindu-Buddha hingga sekarang sedang di kalangan suku Malayonesia lain hal ini tidak berlaku. Namun suku kaum Malayonesia yang mendukung huruf Jawi dan angka Arab itu pun sejak awal abad ke-20 mulai meninggalkan huruf dan angka itu untuk mendukung huruf Rumi/Latin dan angka Arab/Muslim (al-Arqam al-Maghribiyah) 1 2 3 4 5 6 7 8 9 0 yang disangkanya angka penjajahnya, ‘Afranj,  yang dianggap bertamadun lebih tinggi daripada tamadun lain.

Jika penghapusan huruf dan ilmu dalam huruf Palawi terjadi kerana hampir agama sepenuhnya (Hindu-Buddha kepada Islam sehingga umpamanya ada ulama, contohnya ‘Abd Qadyr al-Fatdany 1820-an, menghukum haram menjual-beli karya-karya pra-Islam seperti yang diperihalkan oleh Wan Mohd Shaghir 1421 H/2000), tetapi penghapusan huruf dan ilmu dalam huruf Jawi adalah dirancang penjajah (Belanda di Hindia Timur Belanda atau Indonesia sekarang, dan Hindia Timur Inggeris, di Malaysia, Singapura dan Brunei sekarang; Thailand di Petani). Penubuhan “Sekolah Melayu”, Maktab sultan Idris Tanjung Malim, Kolej Islam Kelang dan sekolah-sekolah Inggeris hingga ke  peringkat universiti  adalah strategi halus Inggeris menghapuskan kearifan tempatan (ilmu dalam Jawi dan pendidikan Islam di Madrasah dan Pondok) di tanah jajahannya. Akibatnya, istilah-istilah bilangan yang biasa dalam bahasa Melayu Jawi itu tidaklah hilang hingga hari ini tetapi istilah unit bilangan yang besar-besar yang hanya diperlukan dalam kebudayaan yang lebih tinggi, kini sudah terfosil. 

Lesapnya istilah bilangan laksa/taman, keti/koti, chai dan kotchai  adalah disebabkan ilmuwan Malayonesia sudah terputus dengan tulisan Kunlun sejak abad ke-15 M (jika prasasti Port Dickson 1385 menjadi zaman peralihannya Melayu Palawa dengan Melayu Jawi kerana di situ ada kedua-dua aksara, Palawa dan Jawi). Ilmu dari Campa dianggap ilmu Buddha, dan apabila Islam bertapak di Malayonesia ada ilmu ini mungkin diangap memenuhi pandangan ulama yang melarang orang Islam menyimpannya seperti yang tersebut di atas. Laksa dan Keti agak lambat hilangnya kerana kedua-dua istilah ini ada di merata wilayah Malayonesia dan dipakai  dalam kitab-kitab agama Islam, misalnya yang biasa kedapatan ialah yang menyatakan bilangan nabi sebagai “satu keti, dua laksa enam ribu”. Namun  tulisan agama semakin disisih dan tersisih oleh dasar Penjajah menghilangkan warisan ilmu bangsa yang dijajahnya dan diteruskan pula oleh dasar menjadi menjadikan Rumi sebagai huruf rasmi bahasa Melayu sejak Soempah Pemoeda 1928 (bagi tanah jajahan Belanda), dan Kongres Bahasa Melayu I,  1952 (bagi Tanah Jajahan Inggeris) yang kedua-dua “sumpah” ini Berjaya dimasukkan ke dalam perlembagaan Negara Indonesia 1945 dan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Malaysia 1963. Akibatnyanya, Jawi tersisih dan disisih sehingga apa-apa yang terkandung di dalam manuskrip Jawi terfosil dan banyaklah istilah ilmu Jawi yang tidak dirakamkan di dalam kamus-kamus termasuklah kamus muktabar Melayu di kedua-dua buah Negara merdeka itu.

Unit Gandaan Bilangan

Dalam manuskrip Melayu Jawi karya Ahmad Khatib al-Mankabawy, ‘Alam al-Husab fi ‘ilm al-Hisab bertarikh 1310 H (skt. 1889 M) terdapat istilah bilion yang sama dengan billion Inggeris (bukan billion AS), iaitu sejuta juta bukannya seribu juta yang menjadi piawai sekarang.  Sukarlah dianggarkan bilakan perkataan bilion/biliun (asalnya Jawi)  ini menjadi istilah bilangan Malayonesia berbahasa Melayu, tetapi apabila dilihat paradigmanya y-ilion Ahmad Khatib itu, maka jelaslah pula y-ilion itu bukannya terjemahan x-illion Inggeris/Perancis itu bahkan sebahagian y-llion lebih awal daripada x-illion seperti yang dipaparkan di bawah ini (Shaharir 2004):

Paradigma y-ilion Ahmad Khatib                  Paradigma x-illion Inggeris/Perancis

bilion/biliun (103 juta atau 106 juta))                                 billion

trillion/triliun (106 juta atau 1012 juta)                               trillion

katurlion/katurliun (109 atau 10 18 juta)                         quadrillion

sankilion/sankiliun (1012 atau 1024 juta)                         quintillion

sisilion/sisiliun (1015 atau 1030 juta)                                 sextillion*

sitalion/sitaliun (1018 atau 1036 juta)                               septillion*

witilion/witiliun (1021 atau 1042 juta)                               octillion*

nukalion/nukaliun (1024 atau 1048 juta)                           nanollion*

witalion/witaliun  (1027 atau 1054 juta                             decillion*

wisyilion/wisyiliun (1030 atau 1060 juta)                          unidecillion**

patangalion/patangaliun? (1033 atau 1066 juta)             duodecillion**

tridasalion/tridasaliun?                                                       tridecillion**.

caturdasalion/caturdasliun?                                              quadridecillion**

pentadasalion/pentadasaliun?                                         quintidecillion**

satadasalion/satadasaliun?                                                sextidecillion**

saptadasalion/saptadasaliun?                                           septidecillion**

astadasalion/astadasaliun?                                                octidecillion**

navadasalion/navadasaliun?                                             novemdecillion**

ratusilion/ratusiliun?                                                           centillion** (10303)

 Yang bertanda bintang dalam senarai x-illion itu menunjukkan istilah itu wujud kemudian (pertengahan abad ke-20 M) daripada istilah sepadannya dalam bahasa Melayu (akhir abad ke-19 M). Yang bertanda dua bintang itu baharu diperkenalkan dalam abad ke-21 ini. Yang bertanda ?  dalam senarai y-ilion/y-iliun dan dua bintang dalam senarai x-illion adalah syor penulis untuk bilangan selanjutnya sahaja. Syor ini sudah tentu terus terfosil di sini sahaja jika bahasa Melayu tidak menjadi bahasa perantaraan ilmu di peringkat universiti seperti yang sedang berlaku sekarang (sejak 2003).

Ilmuwan Malayonesia sejak abad ke-20 nampaknya tidak tahu karya Ahmad Khatib ini (atau tak mahu mengiktiraf?). Kematematikawanannya pertama kali dimasyhurkan oleh Mat Rofa (1988?) Ini terbukti  apabila ilmuwan Indonesia tetap meninggalkan istilah bilion Ahmad Khatib dan mengambil milyar dari Belanda (milliyard daripada Perancis dengan paradigmanya billiard, trillird,… yang dicipta lebih awal dripada istilahnya juga billion kerana berubah citarasanya dari keseronokan berasaskan pada 103 kepada 106) dan kemudian melompat pula ke paradigma triliun, kuadriliun, dan kuintilium (dirakam dalam KBBI; tiada y-iliun yang lain lagi, selain biliun). Sementara itu ilmuwan Malaysia lebih teruk lagi kerana dalam KD hanya ada bilion dan trilion sahaja (agaknya kerana setakat ini orang Malaysia tidak perlu membilang wangnya lebih daripada trilun agaknya!). Pokoknya, sebahagian besar  y-ilion/y-iliun Ahamd Khatib tetap terfosil hingga kini, walaupun bilangan itu sekurang-kurangnya sebuah inovasi sarjana Malayonesia dan mulai witilion muncul lebih awal daripada paradigma x-illion Inggeris yang sepadan dengannya itu. Bahkan Shaharir (2004) menunjukkan y-ilion/y-iliun itu tiada padanan dengan unit bilangan dalam bahasa Sanskrit.

Lagi sekali istilah bilangan asli Melayu ini perlulah dirakamkan semuanya di dalam suntingan baharu KD akan datang ini.

 Ketakterhinggaan

Dalam Hikayat Raja Pasai, (dianggarkan ditulis pertengahan abad ke-16 M) ada tiga istilah asli Melayu yang bersabit dengan perihal ketakterhinggaan atau ketakberhinggaan. Istilah itu ialah “tiada terhisabkan”, “tiada terpermanai”, dan “tiada terkira-kira”. Setiap istilah ini dibezakan maknanya mengikut konteksnya seperti berikut: ungkapan “tiada terpermanai”  (atau ada juga ejaan lainnya, tepermanai dan terpemanai) untuk benda atau perkara yang amat banyak sehingga mungkin tak habis-habis sukatannya dan tiadalah pula  jelas asal-usul atau kejadiannya. Ungkapan “tiada terkira-kira” ialah untuk barang atau benda yang bernilai (wang) dan banyak pula; manakala  “tiada terhisabkan”  ialah untuk benda atau perkara yang amat banyak dan sukar dihitung seperti bulu kambing dan bintang itu. Semuanya dianggap tidak semestinya terhad atau ada angka bilangan atau sukatannya. Ejaan “terpermanai” adalah di dalam KD, sedangkan ejaan “tepermanai” (tiada r di dalam ter-) adalah di dalam KBBI. Ada juga ejaan “terpemanai” tetapi ini tidak baku kerana kata dasarnya memang “permana” bukan “pemana”.

Dalam matematik sekarang ada istilah “tidak/tak terbilangkan” (uncountable, terjemahan daripada konsep Jerman unzählbar), “tidak/tak terangkakan” (nondenumerable, terjemahan daripada konsep Jerman unabzahlbar) dan “tidak/tak terhingga/berhingga” (infinite, terjemahan daripada konsep Jerman endlosigkeit).  Ungkapan “tak terbilangkan”  itu untuk benda  yang jelas diketahui kewujudannya tetapi tidak boleh dibilang sebanyak bilangan yang ada, satu, dua, tiga,… tak sut itu (yang dinama set nombor tabii/asli/semula jadi). Ungkapan “tak terangkakan” ialah benda yang diketahui benar kewujudannnya tetapi tidak boleh dibilang kerana melebihi bilangan satu, dua, tiga ,… tak sut itu. Lawannya “terangkakan” sama dengan “terbilangkan” sebanyak set nombor tabii itu kerana terbilangkan boleh jadi sama dengan terangkakan atau sebanyak sebahagian set (iaitu subset) nombor tabii itu sahaja. Ini bermakna “tak terbilangkan” atau “tak terangkakan” itu sebahagian daripada “tiada terpermanai”. Bagaimana dengan istilah sekarang, “tak terhingga” atau “tak berhingga” ? Ini bermakna bilangannya benda yang diketahui benar kewujudannya tetapi bilangannya sama dengan bilangan set nombor tabii atau melampaui bilangan set nombor asli. Lagi sekali “tak terhingga/berhingga” adalah contoh “tiada terpermanai” sahaja. Ini menjadi contoh unsur matematik Malayonesia moden yang kami kemukakan yang kami anggap lebih baik daripada matematik Inggeris kini, sekali gus menunjukkan bahasa Melayu mampu membentuk matematik yang canggih dan malah lebih canggih daripada matematik berbahasa Inggeris itu (yang dalam contoh ini berupa terjemahan matematik Jerman sahaja).

 Lesapnya Sukatan Melayonesia

Dalam Shaharir (2013) banyaklah dibicarakan unit sukatan Malayonesia dari bahasa Kolan/Kunlun  (bahasa Melayu pra-Islam) dan Melayu Klasik yang hilang lesap; atau hilang makna sukatannya walaupun perkataannya masih ada hingga kini. Di sini dipaparkan sebahagiannya sahaja.

Istilah sukatan zaman Malayonesia pra-Islam (Funan, Campa, Sriwijaya) yang merujuk kepada sukatan tetapi telah lama hilang lesap terfosil ialah unit berat Funan (Kemboja purba): seer/prastha, ataka, drone dan kharika; dan unit berat bijirin (seperti padi): tlon, tula dan pala; serta unit luas: pada, mas/masa dan senre. Unit zaman Campa yang hilang lesap ialah unit panjang: li, chang dan danu; unit luas: sinjol, makik, malau dan satam; unit berat: karsa,dram, pala, dan tula. Sukatan Malayonesia awal Islam yang lesap ialah sukatan jarak: gorah bumi, kelui/kelor/kelo, sukatan dakwat: koci, kepantasan: panga, berat emas dan logam berharga: keneri.  Semua ini memang pun tiada dalam KD atau KBBI. Oleh itu, Istilah-istilah ini perlulah dimasukkan ke dalam KD dalam suntingan baharunya kelak sebagai sebahagian daripada pungutan muzium perbendaharaan kata bahasa Melayu. Istilah dram yang dirakam dalam KD tanpa catatan makna sukatan asli campa (iaitu sukatan berat yang bersamaan dengan 12 tahil), amatlah tidak mencukupi sehingga generasi kini menganggapnya seolah-olah istilah asli Inggeris drum/drum, sedangkan yang berlaku berupa inovasi Inggeris terhadap sukatan Campa ini atau versi Sanskritnya drama. Yang lebih melesapkan lagi istilah Malayonesia ini ialah tiadanya dram  dalam KBBI.

Sementara itu memang banyaklah unit jarak, panjang, tinggi, lebar, dalam, luas, isi padu, berat yang walaupun perkataannya masih ada dalam kamus KD atau KBBI tetapi sudah tiada siapa pun tahu/pakai lagi seperti  farsakh, gaz, rian, tukal, bahara, leng, cupak, gantang, pikul, dan koyan. Ini benar-benar menjadi pungutan muzium sahaja.

Yang lainnya, banyaklah juga istilah sukatan yang perkataannya masih ada hingga kini (dalam KD dan KBBI) tetapi sudah hilang makna sukatannya (tiada catatan makna itu dalam kamus-kamus itu) ialah seperti makdan (atau transliterasi yang penulis ini anggap lebih tepat ialah  mikdar/makdur atau mikdarun/makdurun), rantau, saujana, kandar, kerek, kutuk, lesung, lengkiang, mas, panai, pukal, pura, rawah, sayak, supit/sumpit, tajau,  talam, tampi, tampuk, telap, tempurung, timpas, tukil, tapik, rangkap, kundi, saga, piak. Istilah-istilah ini masih boleh diselamatkan dengan memasukkan konteks makna sukatannya dalam suntingan baharu KD nanti. Untuk lebi rinci lagi tentang isu sukatan yang terfosil ini ada dalam Shaharir (2013).

Berikut ini beberapa contoh unit sukatan dalam manuskrip al-Ranyry yang terkenal yang lesap mengikut tiga kategori di atas, iaitu tahun perjalanan, mil, farsakh. Bahkan dalam manuskrip Ms781(1) Fi Khalq al-Samawat wa al-Ardh oleh al-Ranyry sekitar 1639 itu ada unit falak (astronomi) yang dinamai tahun perjalanan dan farsakh yang ukurannya 1 farsakh=3 mil Hasyimi, (dimaklumkan ada  farsakh Habsyah,  farsakh Rom,  farsakh Farsi/Parsi, farsakh Arab,  farsakh Turki dan farsakh China yang setiap sataunya berbeza),  selain daripada sukatan jarak biasa mil , langkah, tapak, hasta dan jari (1 mil = 400 langkah, 1 langkah= 3 tapak, 1 tapak=15 jari, 2 tapak= 1 sahasta). Unit mil (dari Arab) itu diambil oleh Inggeris menjadi mile dan pernah menjadi “batu” dalam sukatan jarak di Malaysia yang kini sudah tiada yang tahu (akibat  perubahan kepada sistem metrik dalam tahun 1980-an). Di Indonesia, seperti yang dicatatkan dalam KBBI, mil pernah dipakai hasil warisan Belanda yang berbeza dengan mile/batu di Malaysia (mil Belanda ialah seribu meter, sedangkan mile/batu di Malaysia ialah sekitar 1600 meter; mil Jerman hanya 7.4 meter). Dalam hal ini penjelasan mil dalam  KBBI yang menyamakan istilah mil dengan batu itu kurang tepat dan perlu dibaiki dalam suntingan yang baharunya kelak. Sebaliknya makna mil dalam KD juga perlu diperbaiki. Kedua-dua KD dan KBBI perlu menjelaskan mil sehingga memasukkan mil al-Ranyry ini dan sukatan-sukatan lain yang disebut di atas.

Sementara itu ada pula contoh sukatan dalam manuskrip lain lagi yang jelas unitnya tetapi tidak dapat dibaca dengan pastinya kerana sudah begitu lama tidak kedengaran bunyinya. Contoh tersebut ialah daripada Manuskrip MS505: Kitab Seribu Masalah karya Abdullah Ibn Thamud (t.t) (yang berupa terjemahan) ada beberapa unit astronomi lagi yang cukup gharib, iaitu, كين  kyn (kian?) yang berupa unit saiz yang belum dapat dipastikan maknanya, peti  (unit banyak benda),  كدڠ kdnga atau gdnga (gudang?/gedung?, dan  dinyatakan yang 1 kdnga/gdnga =70 ribu peti). Unit-unit ini pun perlulah dimasukkan ke dalam KD dan KBBI nanti supaya unit asli Malayonesia ini tidak terus terfosil.

Sukatan yang ingin diperkatakan selanjutnya ialah sukatan masa. Orang Malayonesia, Melayu Malaysia khususnya, dikata amat tidak mementingkan masa hingga tiadalah unit masa baginya. Namun, ini tidaklah tepat kerana orang Malayonesia sebelum kedatangan Islam lagi agak perihatin kepada masa sehingga mewujudkan unit masanya yang tersendiri. Ciptaan pertamanya ke arah unit masa ialah pengambilan istilah “masa” itu sendiri dari Sanskrit yang diubah maknanyanya daripada yang asal (yang bermakna “bulan”) kerana istilah “bulan” sudah pun ada dalam bahasa Kunlun (Melayu berhuruf Palawa). Istilah “masa” dikhaskan kepada maksud sukatan bulan yang tidak ditentukan daripada lebih kecil daripada sabulan (iaitu pecahan sebulan seberapa-berapanya) kepada lebih besar daripada sebulan seberapa-berapanya. Dalam KD diterangkan masa sebagai waktu dan ketika sahaja, dan begitu jugalah dengan dalam KBBI tetapi ditambah saat (yang tidak lagi tepat bagi bahasa Melayu Malaysia).

Unit saat (sebelum 1972, ejaannya sa‘at) daripada Arab saa‘aht yang bermaksud jam. Orang Malayonesia mengambil saa‘aht bahasa Arab dan medukungnya dalam Melayu Jawi (sejak abad ke-14 M?) dan mengubahnya kepada sa‘at (Rumi 1905-1970) dan kemudian saat (1970) dengan makna baharu, iaitu 1/3600 jam, kerana perkataan jam daripada Tamil itu telah lama dijadikan perkataan Melayu dan dalam abad ke-13 M (kedatangan bahasa Arab menerusi Islam) orang Malayonesia berkehendakkan perkataan yang menyukat masa lebih kecil daripada jam. Indonesia kemudiannya, dengan semangat penghakisan pengaruh Arab agaknya, memperkenalkan istilah “detik” (berasal daripada bunyi jarum jam bergerak, tik tik tik …), bagi menggantikan saat/sa‘at sehingga saat di Indonesia menjadi sama dengan “masa” atau “ketika” (terutamanya yang pendek) sahaja dan tidak popular lagi.

Unit masa yang dinamai minit di Malaysia dan menit di Indonesia asalnya terjemahan kepada bahasa Arab daqa‘iq (daqiyyqaht = seminit) menerusi bahasa Inggeris (minute) dan Belanda (minuut) yang bermaksud 1/60 saa‘aht dalam ilmu falak Tamadun Islam. Dalam manuskrip ilmu falak berbahasa Melayu tertua setakat ini, MKM645 berjudul Tuhfat al-Zaman karya Ibn Shaddad al-Himyari bertarikh 1761 (dalam bahasa Melayu) ada perkataan daqiyyqaht ini (dan tiada istilah minit). Hal ini bermakna minit (di tanah Jajahan Inggeris) dan menit (di tanah jajahan Belanda) ialah trankripsi istilah minute (Inggeris) dan minuut (Belanda) dalam abad kemudian daripada abad ke-19 M. Istilah minute Inggeris atau minuut Belanda itu diambilnya daripada Latin minuta pada akhir abad ke-13 M yang jelas terjemahan daripada daqiqaht itu.

Oleh sebab perkataan daqaiq atau dakaik tiada dalam KD dan KBBI maka generasi kini tiadalah yang mengetahui bahawa orang Malayonesia memiliki unit sudut dan masa yang lebih awal daripada yang diterimanya daripada penjajahnya dalam abad ke-20 ini.

Selain itu, unit masa yang lebih awal daripada jam, minit, saat memang wujud hasil ciptaan ilmuan Champa atau lebih awal lagi Funan, iaitu namisa (kelip mata), kala, nalika, ghatika/nadika yang kemudian menjadi katika/kutika dan akhirnya ketika (walaupun setengah pihak mengatakan katika/kutika/ketika datangnya daripada nama bintang, kartika). Hubungan antara unit-unit ini ialah 1 kala= 450 namisa, 1 ghatika/nadika = 15 kala, 1 nalika =40 kala. Kini diketahui 1 namisa= 0.2112 saat. Kepentingan namisa (kelip mata) dalam kehidupan Malayonesia terpancar daripada adanya ungkapan biasa (terutamanya di Kelantan), “kelip pah kelip pah” (bermaksud tengok tanpa tindakan balas apa-apa, atau dengan santainya) dan “tengok tak berkelip” (bermaksud tengok dengan penuh taajub, terpukau, terpesona dan sebagainya).  Semua unit masa ini memang terfosil sepenuhnya dan oleh itu tiadalah dirakamkannya di dalam KD atau KBBI, kecuali kala dan ketika tetapi perkataan ini dalam kamus-kamus itu sudah pun tiada dikaitkan dengan unit masa yang persis ini. Hal ini membuktikan Malayonesia, bertentangan dengan pandangan umum yang haktula/stereotaip, amat prihatin atau peduli pada masa; dan ini dibuktikan lagi dengan banyaknya peribahasa yang memerihalkan tentang masa, iaitu lebih daripada 250 buah peribahasa (termasuk sukatan tua-muda, usia dan musim) yang perincian ada dalam Shaharir (2013: 24, 65-73).

Sukatan Perkara Kabur yang Asli Melayu

Shaharir (2013) memungut ratusan perkara kabur atau subjektif yang disukat mengikut gred kepalingannya, kriterium linguistik atau pagaran linguistik. Sukatan ini dilakukan menerusi peribahasa dan ini boleh dianggap suatu kearifan tempatan yang dapat membantu pengembangan atau pemajuan sains matematik yang dinamai matematik kabur yang berupa pemodelan bagi pembuatan keputusan tehadap benda-benda yang subjektif.  Hampir semua benda yang diminati atau perlu dikaji  adalah perkara yang kabur atau subjektif seperti baik, buruk, kaya, miskin, adil, zalim, bahagia, banyak, sedikit, besar, kecil, bebas, benci, berani, …banyak sekali …. segala macam perasaan, …Itulah ratusan bilangannya yang ada peribahasanya. Contohnya perihal tahap konflik mengikut pengelasan peribahasa yang ada ialah

  • Konflik yang tidak dapat didamaikan: retak batu
  • Konflik yang genting: genting menanti putus, biang menanti tembuk
  • Konflik serius: telah ke tengah ke api
  • Konflik demi konflik: sudah bertarah, berdongkol pula
  • Konflik keluarga: putus tali putus keluan; putus keluan romping hidung
  • Konflik yang tidak serius: retak-retak bulu ayam
  • Konflik yang sudah selesai: sudah ke tengah makan api
  • Berpotensi berkonflik: tidak boleh bertemu roma
  • Berkonflik: seperti rabuk dengan api

 Contoh yang keduanya ialah perihal kemiskinan seperti yang dikelaskan oleh peribahasa:

  • Sangat papa: (1) jatuh colok; (2) papa kedana
  • Sangat miskin: bertelentang berisi air, tertiarap berisi tanah  (ada 30 peribahasa)
  • Miskin: tungku tak berasap (ada 6 peribahasa)
  • Miskin dan hina: (1) kucing kurap ; (2) kayu bongkok
  • Miskin dan melarat: (1) seperti sampah hanyiut; (2) siang berpapas, malam berembun
  • Jatuh miskin: (1) dulu besi sekarang timah; (2) kain jadi basahan; (3) tinggal sehelai sepinggang
  • Tiada tempat tinggal: siang berpanas, malam berembun; (2) tidur beratapkan langit

Pelbagai tahap kemiskinan yang lain lagi:  ada 8  jenis kemiskinan lagi. Kelas-kelas kemiskinan ini membolehkan seseorang menerbitkan “fungsi gred keanggotaan” set kemiskinan yang lebih baik lagi berbanding dengan ketiadaan peribahasa ini. Ini boleh memperbaiki matematik kemiskinan menerui set kabur yang masyhur itu dan berpotensi melahirkan matematik yang asli Melayu. Begitulah juga dengan matematik kabur perihal konflik di atas, dan ratusan perkara subjektif berperibahasa yang telah disebut di atas.

 Astrologi, Astronomi, Kosmologi, Kosmogoni dan Kosmogenesis

Bidang yang kini kita kenali dengan nama daripada Eropah (terutamanya Inggeris dan Belanda), iaitu astrologi (ilmu ramalan berasaskan kedudukan bintang), astronomi (ilmu pergerakan jasad yang dekat dengan bumi terutamanya sistem jasad di langit yang dikelaskan sebagai sistem matahari ini sahaja, iaitu jasad-jasad yang dikatakan mengelilingi matahari termasuklah bumi kita ini), kosmologi (ilmu tentang kedudukan alam semesta dan jasad-jasad di dalamnya), kosmogoni (ilmu berkenaan asal kejadian alam semesta), kosmogenesis (ilmu berkenaan dengan asal mula dan sebelumnya ada alam semesta ini) semuanya sebelum tibanya istilah-istilah di atas dalam abad ke-20 ini, kita sudah pun ada istilah-istilah yang sepadannya dengannya yang kita warisi daripada Tamadun Islam dan pra-Islam: astrologi dahulunya hora atau horasastera (pra-Islam) dan setelah Islam tiba di Malayonesia istilah hora ini pun hilang dan digantikan dengan istilah dalam bahasa Arab (diMelayukan menerusi aksara/huruf ciptaan sendiri yang berupa inovasi huruf Arab dan dikenali dengan huruf Jawi) yang dirumikan dalam abad ke-20: ‘ilmu nujum (ilmu nujum dengan ahlinya ahlil nujum/ahli nujum/tok nujum/tukang telek atau yang kurang dihayati, tanjaim); astronomi dan kosmologi dahulunya horasastera (zaman pra-Islam), kemudian zaman Islamnya,‘ilm falak/ilmu falak dan yang kurang popularnya, hay’ah/haiah dan hamper tidak disebut sekerap yang sepatutnya, ulil abshar (istilah dalam al-Quran).

Istilah “hora” (daripada Sanskrit), ialah perkataan Melayu pra-Islam bagi ilmu berkenaan dengan Bulan-bintang. Perkataan ini ada dalam prasasti Malayonesia sebelum abad ke-6 M lagi, terutamanya dalam bentuk perkataan “horasastera”  (tulisan tentang bintang) yang memang setara dengan astronomi dan astrologi sekarang). Pada zaman itu hora juga bermaksud sarjananya sekali, iaitu, kalau sekarang ini sesuai diistilahkan sebagai horawan dan horasasterawan. Sudahlah lama istilah hora dan horasastera ini terfosil bahkan beberapa x-sastera lain lagi pun demikian seperti dharmasastera (tulisan berkenaan dengan kepemimpinan, kepengurusan dan kepemerintahan), dan arthasastera (tulisan berkenaan dengan ekonomi dan kewangan).

Perkataan “sastera” itu sendiri sudah lama berubah maknanya (entah bila lagi) kepada “bukan sains”, iaitu dipadankan dengan arts Inggeris, sekaligus “sains” terhakis aspek nilai, seni, dan kemanusiaan (termasuk agama atau metafizik) sebagaimana yang dikehendaki oleh gerakan pemisahan sains dengan agama sejak abad ke-16 M lagi itu di Eropah dan sejak awal abad ke-20 M tercapailah sepenuhnya: science (Inggeris) menjadi berbeza daripada ‘ilm sehingga istilah science itu diterjemah kepada ‘ilm pengetahuan (yang masih berlaku di Indonesia walaupun amalannya sains sudah diterima sejak 1970-an) dan di Malaysia sains diterima sejak 1958-an lagi.  Ini dibicarakan lagi dalam seksyen 7 karangan ini.

Inggeris mengambil istilah hora menjadi hour (pada pertengahan abad ke-13 M yang dikatakan oleh pembuat kamus etimologi Inggeris (Internet ED) daripada Latin dan Yunani walhalnya lebih asli lagi daripada Sanskrit). Inggeris juga mengambilnya dalam bentuk  horo seperti  dalam horoscope yang kemudian kita mengambilnya menjadi horoskop sedangkan bahasa Melayu juga ada istilahnya yang lebih asli, iaitu kutika, rasi/raksi (yang sudah ada dalam abad ke-7 M lagi) dan Bintang Dua Belas (wujud abad ke-18 M). Perkataan horoscope diambil Inggeris daripada Perancis dalam abad ke-16 M yang berasal daripada Latin horoscopus dan Yunani horoskopos yang jelas daripada horo dan skopos yang bermaksud kelih/tengok/lihat tetapi perkataan horoskopos itu asalnya bukanlah bermaksud ‘tengokan bintang’; atau ‘tengokan jam’ tetapi khas merujuk kepada “ketika seseorang beranak” (Internet ED).  Kini menjadi “ramalan nasib seseorang berasaskan tarikh lahirnya berpandukan dua belas bintang yang terkenal itu”. Berkenaan perkataan “bintang” itu sendiri adalah asli Malayonesia, bahkan perkataan yang sama dipakai oleh suku kaum Malayonesia Batak, Jawa, Sawu, Sunda dan Tetun; manakalah suku kaum Malayonesia lain ada perkataan yang cukup hampir dengannya: bentang (Madura), bintoen (Aceh), bitoen (Pengasinan), bituen (Ilokano), bituin (Hiligaynon), bituquen (Proto-Austronesia), batuin (Malagasi), bitu-on (Kapampangan), dan masih dekat: lintang (Bali), jauh sedikit: hoku (Hawai), hetu’u (Rapanui) dan whetu (Maori) (sumber: Appendix: Cognate sets for Austronesian languages. http://en.wiktionary.org/wiki/Appendix. Cognate_sts_ for_Auster).  Star Inggeris memang daripada astron Latin yang dibicarakan bersekali dengan astronomy di bawah ini.

Istilah astrologi diambil daripada Inggeris, astrology, dalam pertengahan abad ke-20 sedangkan perkataan Inggeris itu berasal daripadad Latin-Yunani astrologia pada abad ke-14 M. Asalnya, dalam bahasa Inggeris, Istilah ini termasuklah makna astronomi sekarang (sama seperti yang berlaku pada ‘ilm nujm dalam Tamadun Islam pada awalnya). Kemudian dalam abad ke-17 muncullah ilmu yang dianamai astronomi sekarang ini bagi tujuan meninggalkan astrologi sebagai hanya ilmu untung-nasib seseorang berasaskan bintang (kelahiran seseorang dan sebagainya); samalah terbitnya ‘ilm falak dan hay‘aht dalam Tamadun Islam.

Istilah astronomi diambil  daripada  Inggeris astronomy dalam pertengahan abad ke-20 M, sedangkan astronomy itu daripada Latin astronomie daripada Yunani astronomia yang terdiri daripada perkataannya astron dan nomos yang masing-masingnya bermaksud bintang dan susunan, lalu secara harafiah-etimologinya astronomi itu ialah  ilmu penyusunan bintang yang dipadankan dengan istilah ‘ilm falak dan hay’aht dari tamadun Islam. Perkataan astronomy Inggeris wujud dalam sekitar 1200 M. Perkataan star Inggeris itu juga berasal daripada astron  yang diLatinkan juga kepada stella lalu menjadi stellar, kata sifat star Inggeris itu. Sehingga akhir abad ke-14 M perkataan astronomy adalah seerti/sinonim dengan astrology (yang diMelayukan kepada astrologi dalam abad ke-20 M sahaja) yang kemudiannya dikhaskan untuk ilmu ramalan nasib berasaskan Bintang Dua Belas itu, sama dengan ilmu nujum dalam tradisi Arab dan kemudiannya didukung oleh orang Malayonesia sejak abad ke-13 M atau rasi dan Bintang Dua Belas dalam kebudayan Malayonesia yang setara dengan sebelum Islam lagi menerusi horasastera-nya. Perkataan yang seakar dengan astron itu pula, iaitu Astraeus/Astraios ialah Tuhan hora/bintang dan graha bagi orang Yunani (Internet TB). Di dalam kebudayaan Malayonesia, ilmu hora (sebelum Islam) dan ilmu nujum (apabila Islam tiba) dan kini astrologi (atas nama horoskop dan feng shui) jauh lebih dikenali dan oleh itu horawan (dahulu), ahlil nujum (atau tanjaim, yang entah mengapa tidak popular) dan peramal/penenung nasib ini mendapat tempat istimewa di dalam kedudukan hierarki masyarakat Malayonesia. Setiap raja Malayonesia sejak dahulu kala (pra-Islam) dan zaman Islamnya, mungkin sehingga abad ke-19 M, ada jawatan bernama Ahlil Nujum Diraja yang menjadi penasihatnya (ingat filem Nujum Pak Belalang, lakonan P.Ramlee itu), tetapi tidak pernah ada  jawatan diraja bagi falaki atau ahli falak, apatah lagi Ahlil Haiah Diraja, atau Ahli Astronomi Diraja, walaupun mereka percaya kepada tenung nasib, khususnya menerusi nujum itu, adalah haram di sisi Islam.

Perkataan kosmologi adalah istilah baharu daripada Inggeris, cosmology yang diambil daripada Latin cosmologia daripada Yunani, kosmos dan logos, yang bermakna  kajian segala objek di langit pada alam semesta ini. Perkataan cosmology Inggeris itu wujud sejak pertengahan abad ke-17  M (Internet ED) sebagai pemikiran pandangan hidup seseorang atau kelompok, tetapi sebagai ilmu muncul dalam abad ke-20 M ini sahaja terutamanya selepas munculnya Teori Kenisbian Einstein.

Perkataan kosmogoni adalah daripada istilah Inggeris cosmogony daripada Yunani kosmos dan  gonia yang gonia  itu bermaksud asal kejadian. Jadi kosmogoni bermaksud ilmu asal kejadian kosmos, iaitu “teori penciptaan alam semesta dan isinya”. Perkataan cosmogony Inggeris itu mulai wujud sejak 1690-an sebagai “teori penciptaan” dan sebagai “penciptaan alam semesta” mulai 1760-an. (Internet ED).

Perkataan kosmogenesis adalah istilah baharu Inggeris cosmogenesis yang bermaksud asal-usul dan kemajuan/perkembangan kosmos. Istilah ini digunakan oleh Helena Blavatsky di dalam bukunya The Secret Doctrine 1888, vol.1. Perkataan ini juga dipakai oleh ahli sains dan Priest Jesuit Perancis Teilhard de Chardin (meninggal 1955) untuk memerihal proses kosmologi bagi penciptaan alam semesta ini yang terkenal kerana karyanya 1930 Le Phénomène Humain (diInggeriskan sebagai The Phenomenon of Man yang diterbitkan 1955) sebahagiannya kerana pandangan di dalam buku ini yang bertentangan dengan pendirian rasmi Katholik tentang Teori Evolusi, kejadian alam semesta dan keinsafan (Internet C)

Objek-objek di alam semesta ini, mengikut teori kini, terdiri daripada  88 buah kumpulan bintang (diistiharkan oleh International Astronomical Union, sejak 1928) yang setiap kumpulan bintang ini diistilahkan sebagai rasi (dalam bahasa Melayu pra-Islam mungkin sekali sejak abad ke-7 M) atau buruj (bahasa Melayu klasik, daripada bahasa Arab, sejak abad ke-12 M mengenangkan buruj سرطان Saratdaan/Saratan, yang sepadan dengan Cancer, telah disebut di prasasti Kuala Berang, Terangganu 1303 M). Dalam bahasa Inggeris rasi atau buruj diistilahkannya sebagai constellation yang diambilnya daripada Perancis constellacion (dalam abad ke-14 M, seabad kemudian daripada Malayonesia) daripada bahasa Latin contellationem. Contoh nama rasi/buruj yang selalu didengari umum selain daripada nama-nama daripada Bintang Rasi atau Bintang Dua Belas atau Inggerisnya Zodiac, rasanya, ialah Andromeda nama Arabnya dan mungkin sekali diwarisi Malayonesia, al-Mara’aht al-Musasalaht atau ringkasnya Musalsalaht. Istilah-istilah bintang dalam Bintang Dua Belas yang terkenal itu dan satu-dua yang lainnya lagi akan dibicara kemudian dalam makalah ini (lihat senarai nama bintang dalam bahasa Inggeris penuhnya di http://www.perr.com/constellation.html). Dalam setiap rasi/buruj ini ada ribuan kumpulan objek yang setiap satunya membentuk seperti tumpahan susu dan berpilin serta berpercikan bintang-kemintang; setiap satunya dinamai Bintamabor (=bintang temabor) yang dinamai  dan dalam bahasa Inggerisnya galaxy (kerana terfosilnya istilah Bintamabor itu maka istilah Inggeris ini diMelayukan menjadi galaksi). Bintamabor yang terletaknya alam kita ini, (alam yang mengandungi jutaan bintang yang hampir dengan bumi ini dan yang terdekat sekali diberi nama Matahari yang memberi cahaya kepada bumi kita dan jasad-jasad lain di sekitarnya yang dinamai bintang siarah (najm al-siarah) atau wandering stars (atau nama lainnya graha atau planet) diberi nama bintamabor yang khusus, Bimasakti, atau dalam bahasa Inggerisnya Milky Way. Segala objek yang berada di sekitar Matahari membentuk sebuah alam kecil yang dinamai sistem Matahari. Istilah-istilah ini dan lain-lain di dalam Bimasakti dan sistem Matahari ini dibicarakan di bawah ini satu persatu untuk memaparkan adanya konsep dan istilah asli Malayonesia.

 Rasi dan Buruj

Buruj (daripada bahasa Arab) atau istilah Melayu pra-Islamnya Rasi/Raksi (atau jika tidak mengelirukan, rasi atau raksi) yang sepadan dengan  Inggerisnya constellation (diambil daripada Latin, constellatus, sejak abad ke-14 M tetapi dengan makna astronomi sekarang mulai abad ke-16 M sahaja; lihat Internet ED). Di Kelantan ada nama bukit yang agak masyhur kerana menjadi satu daripada tempat melihat anak Bulan, Bukit Peraksi namanya, yang boleh dianggap warisan istilah rasi/raksi itu. Ada istilah “naksatra” (yang ada di prasasti Talang Tuwo bertarikh 606 S=684 M) yang hampir sama maknanya dengan rasi malah pengkaji masyhur prasasti Melayu (Coedes & Damais 1992)  memadankannya dengan constellation. Sebenarnya padanan “naksatra” (atau naksyatra) yang lebih tepatnya ialah “buruj qamariah” (terj. lunar constellations) atau “mahligai qamariah” (terj. lunar mansion) yang senarainya agak berbeza daripada buruj/rasi/constellation itu (berjumlah 27 buah dan yang terkenalnya Kartika. Lihat Internet Bur1 dan Internet N). Buruj/Rasi ialah kumpulan beberapa buah Bintamabor yang kini diketahui sebanyak 88 buah semuanya (Lihat senarai penuhnya di Internet Bur1). Sebanyak 48 buah daripadanya  diketahui sejak Tamadun Purba lagi. Antara yang terkenalnya ialah “Bintang Dua Belas” atau bintang rasi /zodiak itu (kini dikenali umum dengan nama-nama Latinnya, walaupun lebih asal dalam  nama Arab atau Sanskrit  yang dipercayai pernah didukungi nama-nama itu oleh Malayonesia dahulu, zaman pra-Islamnya dan zaman Islamnya sebelum mereka diresapi penjajahnya (bahkan setengahnya ada dalam KBBI dan KD seperti yang dirakamkan di bawah ini (S=Sanskrit, A=Arab, L=Latin) untuk 13 rasi, 12 daripadanya cukup terkenal, iaitu yang berikut:

(L) Aquarius= (S) Kumbha (menjadikumba’/‘kumbah’ sekarang tetapi hanya Indonesia yang masih merujuk kepada bintang ini) =(A) al-Dalwu = (KBBI) Kumba/Akuarius = (KD) Akuarius.

Dalam ilmu falak atau hay’aht nama bintang ini sebagai al-Dalwu atau diMelayu-Rumikan sebagai Dalu amat tidak asing lagi di dalam manuskrip Jawi dan ahli falak kini sekali pun. Namun oleh sebab ahli falak kini memang tersisih, ternyata hal ini sudah lama tidak diketahui astronomiawan atau generasi sejak abad ke-20 amnya sehingga kedua-dua KD dan KBBI tidak pun merakamkan Dalu. KBBI lebih baik daripada KD kerana merakamkan istilah bintang ini di Malayonesia zaman pra-Islamnya, Kumba.

(L) Aries =(S) Mesha/Meṣa = (A) al-Hamal = (KBBI) Aries /Nesa =(KD) Aries

Dalam ilmu falak, bintang ini, yang namanya Hamal, tidak asing lagi di dalam manuskrip Jawi dan kalangan ahli falak Malayonesia hingga kini. Malanglah pembuat kamus KB dan KBBI nampaknya tidak tahu perkara ini hingga tiada rakaman Hamal. Bagi Malaysia, jika Hamal pun sudah tidak diketahui istilah bintang ini di dalam bahasa Melayu klasik apatah lagi istilah zaman pra-Islamnya, Nesa (daripada Sanskrit itu tetapi telah diMalayonesiakan) yang diselamatkan oleh KBBI itu. Malang sekali KD hanya merakamkan istilah dalam bahasa Inggeris sahaja, Aries.

(L) Cancer = (S) Karkaṭa = (A) al-Saratdaan

= (KBBI) Karkata/Mengkara/Makara (salah faham)/Sartan/Kanser

= (KD) Mengkara/Makara (salah faham)/Sartan.

Nampaknya horawan/horasasterawan Malayonesia dahulu mencipta istilahnya sendiri, Mengkara, sebelum mereka mendukung istilah dari tamadun Islam, Sartan itu. Penyusun kamus KD dan KBBI membuat kesilapan memungut Makara sebagai istilah untuk bintang ini pada istilah itu bintang di bawah ini. KD dan KBBI patut membetulkan perkara ini dalam suntingan akan datang ini.

 (L) Capricorn(us)= (S) Makara=(A) al-Jady= (KBBI) Makara/Kaprikornus

= (KD) Jadi,

Ini situasi pelengkap: Indonesia terlupa kepada warisan ilmu daripada Tamadun Islam dan mendukung istilah Belanda-Latin, Malaysia terlupa warisan ilmu pra-Islam.

 (L) Gemini = (S) Minthuna/Mithuna = (A) al-Jawzzaa’ = (KBBI) Mintuna.

=(KD1994)Mintuna/Gemini (KD2010)

Kedua-dua Indonesia dan Malaysia sudah hilang warisan ilmunya daripada Tamadun Islam sedangkan istilah bintang ini yang tidak asing dalam manuskrip falak dan ahli falak kini pun, iaitu Jauza, sudah tidak dicatatkannya lagi. KD edisi 2010 memasukkan nama bintang Inggeris pula (mungkin edisi baharu KBBI juga demikian?) yang tentunya kerana merakamkan generasi kini yang semakin kurang mengetahui nama bintang ini zaman pra-Islamnya, Mintuna itu.

 (L) Leo = (S) Siṃha (menjadi ‘singa’ sekarang tetapi KD tidak merujuk kepada rasi)

= (A) al-’Asad = (KD2010) Leo = (KBBI) Leo/Singa

Kedua-dua Indonesia dan Malaysia tidak mahu merakamkan nama bintang ini, Asad, dalam ilmu falak warisan Tamadun Islamnya.

 (L) Libra = (S) Tula =(A) al-Miyyzan = (KBBI) Mizan/Tula = (KD 1994) Mizan,

=(KD2010) Libra/Mizan

Ilmuwan Malaysia nampaknya tidak mahu merakamkan warisan ilmu bintangnya dari zaman pra-Islamnya.

 (L) Pisces = (S) Meena/Mīna = (A) al-Hulwwut = (KBBI) Mina/Pises

=(KD2010) Pises

Kedua-dua Indonesia dan Malaysia sudah tidak mahu mewarisi nama bintang ini dalam ilmu falak, Hulwut/Halut. Malaysia hanya mahu nama Inggeris dan oleh itu membiarkan terfosilnya Mina dan Hulwut/Halut itu.

 (L) Saggitarius = (S) Dhanus = (A) al-Qaws = (KBBI) Danuh/Kaus/Sagitarius

= (KD1994) Danuh/Kaus/Sagitarius (KD2010)

 (L) Scorpio/Scorpius = (S) Vrishika/Vrischika/Vrishchika/Vṛścika = (A) al-‘Aqrab = (KBBI) Kala/Akrab/Skorpio = (KD1994) Akrab/Skorpio (KD2010)

       Horawan atau ahli falak Malayonesia memperkenalkan istilah asli Melayu, Kala (walaupun perkataannya daripada Sanskrit juga), walaupun rasanya para horawan/horasasterawan dahulu mengambil nama Sanskrit itu juga yang jika dirumikan akan berbentuk Wrisika; atau ahli falak kita mahu menterjemah ‘Aqrab itu.

 (L)Taurus = (S) Rishabha/ Vrishabha/Vṛṣabha= (A) al-Tdawr

= (KD2010) Taurus = (KBBI) Taurus/Wrisaba

Kedua-duanya penyusun KD dan KBBI tidak mahu merakamkan istilah dalam ilmu falaknya, Tdawr/Taur, sedangkan Taurus itu ialah istilah Eropah yang meLatinkan istilah ilmu falak itu.

 (L) Virgo = (S) Kanyā = (A) al-‘Adzraa’ = (KBBI) Virgo/Kanya/Mayang

=(KD 1994) Mayang/Sunbulat /Virgo (KD2010);

Mayang adalah satu lagi istilah asli Malayonesia; dan rasi yang ke-13 yang boleh dikatakan tidak diketahui umum.

  (L) Ophiuchus/Serpentarius = (S) Naga = (A) al-Hawwa’.

Nama bintang ini benar-benar terfosil di Malayonesia, walaupun tidak asing dalam manuskrip ilmu falak Melayu Jawi.

Antara rasi lain lagi yang mungkin ramai selalu dengar/sebut (nama Latinnya, L) ialah yang berikut:

         (L) Apus = (S) Kapota = (A) Tdaa’er al-Firdaws= (burung caderawasih yang dijangkakan pernah digunakan oleh sarjana Malayonesia untuk merujuk kepada nama rasi itu, selain nama Sanskrit itu; namun tiadalah catatan sebegini di dalam KD dan KBBI),

         (L) Cepheus = (S) Vrusparva/Capuja= (A) al-Multahdyb,

          (L) Cyangnus = (S) Hamsa/Hansa (menjadi ‘angsa’ sekarang tetapi sudah lama tidak digunakan oleh sarjana Malayonesia untuk merujuk kepada rasi itu sehingga tiadalah catatan Angsa sebagai nama bintang ini di dalam KD dan KBBI)

=  (A) Al-Dajaajaht,

         (L) Lyra = (S) Svara Mandala= (A) al-Qytharaht,

         (L) Orion = (S) Mariga/ Mrigashiras = (A) al-Jabbar,

           (L) Phoenix = (S) Jitayu (menjadi jentayu/jatayu sekarang tetapi tidak lagi  digunakan oleh sarjana Malayonesia untuk merujuk kepada rasi itu hingga tiadalah catatan sebegini di dalam KD dan KBBI) = (A) al-‘Anqa’. Dalam KD hanya ada jentayu tetapi itu tiadalah dikaitkan dengan bintang ini.

Jelaslah daripada nama 13 bintang rasi yang terkenal itu, terutamanya Bintang Dua Belas itu, nama asli Malayonesia ialah Mengkara (=Cancer) dan Mayang (= Virgo) dan Kala (=Scorpio); manakala Singa (= Leo), Makara (=Capricorn), Naga (=Serpentarius), Kumba (=Aquarius), dan Danuh (=Saggitarius) nama bintang Malayonesia yang hampir sama dengan nama dalam Sanskrit bahkan perkataan itu dianggap perkataan Melayu. Bintang-bintang lain yang asli nama Malayonesia ialah Angsa (= Cyangnus), Canderawasih (= Apus) dan Jentayu (=Phoenix).

Andromeda atau al-Mara’aht al-Musalsalaht adalah sebuah daripada 88 buah rasi itu tetapi nama yang sama juga merujuk kepada sebuah Bintamabor di dalamnya yang lain daripada  ribuan Bintamabor yang terdapat di dalam rasi ini, oleh itu biasanya Bintamabor ini disebut Bintamabor Andromeda. Bimasakti berada di dalam rasi lain yang tidak diberi namanya kerana kita berada di dalam rasi itu (Internet AC; Internet N, Internet Bur2, Internet Bur3).

Rasi atau Buruj Andromeda atau dalam bahasa Arab, al-Mara’aht al-Musalsalaht, adalah sebuah daripadanya 88 buah rasi di dalam alam semesta ini. Ada ribuan Bintamabor di dalamnya. Bintamabor yang bernama yang sama dengan Rasinya, iaitu Bintamabor Andromeda atau Mujarraht al-Mara’aht al-Musalsalaht hanya satu daripadanya sahaja.  Nama Andromeda adalah sempena mitos Yunani nama seorang puteri rupawan raja Habsyah yang dikatakan terpaksa dikorbankan oleh bapanya demi maruahnya dengan menambatnya di sebuah batu di laut untuk habuan dewa laut. Namun puteri ini diselamatkan oleh seorang perwira yang akhirnya berkahwin dengan puteri ini dan puteranya menjadi raja Persia yang pertama. (Internet AC). Sungguhpun nama-nama rasi Inggeris tidak banyak daripada bahasa Arab kerana separuh daripadanya memang diketahui sejak zaman Yunani lagi tetapi nama-nama bintang dalam bahasa Inggeris cukup banyak diambil daripada bahasa Arab menerusi Latin. Malah mengikut internet (lihat Internet NB) yang memetik Paul Kunitzsch dan Tim Smart (A Dictionary of Modern Star Names (2006: 11) daripada 254 butir bintang di dalam kamusnya itu, 175 butir (=70%) daripada bahasa Arab dan 47 butir (= 19%) daripada Yunani atau Latin; iaitu 11% sahaja daripada bahasa Inggeris atau bahasa lain. Nama Bintang yang masyhur kerana terdekatnya dengan kita selepas Matahari, alpha Centauris, adalah daripada bahasa Arab Qantduwrus; begitu juga dengan sebutir bintang bernama Rigil Kentaurus adalah daripada Rijal Qantduwrus. Tradisi nama bintang dalam Malayonesia tidak dirakamkan sebaik dalam suku kaumnya yang jauh, Maori di New Zealandia, yang ada senarai nama bintang dan burujnya yang agak banyak termasuk namanya yang nampaknya boleh dikenali sebagai bahasa Malayonesia seperti berikut:

  • Matamata Kaheru (=Hyades, iaitu Bintang Belantik yang dirakamkan dalam Winstedt 1957/1966 dan ada juga dalam KD dan KBBI tetapi dengan makna yang sepadan dengan Orion dan sama pula dengan Bintang Beluku),
  • Matariki (=Pleiades, iaitu Bintang Ketika/Kartika/Tujuh/Suraya/Puyuh yang dirakamkan oleh Winstedt 1957/1966; ada dalam KD tetapi tiada bintang Suraya; dan ada dalam KBBI sepenuhnya),
  • Piawai (The False Cross, iaitu Bintang Pari Palsu ),
  • Putara (Betelgeuse) dan Whetū Kaipō (Bellatrix) yang kedua-duanya belum dijumpai  istilah dalam bahasa Melayunya,
  • Whetū Matarau (The Pointers (to the Southern Cross), iaitu Bintang Pari atau Bintang Tohok yang dirakamkan dlam Winstedt 1957/1966; ada juga dalam KD dan KBBI di bawah bintang),……. (Lihat senarai penuhnya dalam Hilder 2003)

Nama-nama bintang asli Malayonesia  yang lain lagi, selain 4 butir bintang di atas, yang dirakamkan oleh Winstedt (1957/1966: di bawah star) ialah yang berikut:

  • bintang babi (evening star)/bintang juara (thieves’ star)/bintang timur (morning star), merujuk kepada Venus
  • bintang berapit (double star),
  • bintang berarak/penganjur/siang (evening/morning star; bintang pagi adalah terjemahan baharu terhadap nama Inggeris ini), merujuk kepada Venus
  • bintang berasap/berekor/berkotek (meteor, comet; di bawah meteor, Winstedt juga mencatatkan istilahnya sebagai ‘ceret bintang’ sedangkan sepatutnya dicatatkan istilah ‘bintang seligi’),
  • bintang beredar (planet; yang juga dikenali sebagai bintang siarah, Wandering Stars),
  • bintang gugur/ceret/curat (falling star),
  • bintang jong (great bear),
  • bintang kutub (polar star),
  • bintang puyuh berlaga (two stars in scorpio’s tail),
  • bintang tagar atau batu halalintar (meteorite, tetapi Winstedt tertinggal pula dengan istilah “tahi bintang”. Dalam KD ada istilah ‘tahi bintang’ sebagai sinonim dengan meteor tetapi tiada di dalam KBBI. Istilah meteorit ada dalam KD dan KBBI tetapi penjelasan di dalam KD sebagai ‘tahi bintang yang gugur ke bumi’ itu kurang tepat),
  • thabitah (fixed star; dikenali juga sebagai bintang tetap; tetapi mengikut Wikepedia 1, bintang ini dinamai dhruva/daruwa tara dalam Sanskrit dan al-Kutub al-Shamaliyy dalam bahasa Arab yang juga dinamai Inggeris sebagai , Pole Star, Polaris, North Star, dan Lodestar).

Sementara itu KD juga, selain  yang sudah disebut di atas, mencatatkan bintang-bintang berikut:

  • (bintang) Belantik*/Beluku* (merujuk kepada Orion)
  • bintang barat*/timur*/bintang johar/kejora*/pagi/zorah/babi/penganjur (merujuk kepada Venus),
  • bintang beralih*/gugur (merujuk kepada falling stars),
  • bintang berapit (merujuk kepada double star), juga ada dalam Winstedt (1957/1966
  • bintang berasap*/berekor*/berbuntut/berkotek/sapu (lihat senarai Winstedt di atas),
  • bintang beredar*/siarah/ sayarat (merujuk kepada Wandering Stars),
  • bintang biduk*/jong*/pari (tujuh bintang* yang kelihatan di langit hemisfera utara, merujuk kepada great bear),
  • Bintang Dua Belas atau Rasi (merujuk kepada Zodiac),
  • bintang Kala (merujuk kepada Scorpio),
  • bintang Mayang* (merujuk kepada Virgo),
  • bintang pari*/tohok* (bintang berupa salib, merujuk kepada Pointers to the Southern Cross),
  • bintang tiga beradik (merujuk kepada Orion), Lihat bintang belantik.
  • bintang-gemintang/-kemintang*/-mintang (berbagai-bagai bintang).

Dalam KBBI selain yang bertanda * di atas (dalam KD), ada pula bintang-bintang berikut (di bawah masukan ‘bintang’):

  • bintang bima sakti (merujuk kepada Galaxy atau Milky Way),
  • bintang fajar (merujuk kepada Venus),
  • bintang kartika/ketika/bintang tujuh (merujuk kepada Pleiades),
  • bintang sartan/makara (sepatutnya dua bintang yang berbeza: sartan merujuk kepada Cancer, manakala makara merujuk kepada Capricorn),
  • bintang sayarah/siarah/beredar (merujuk kepada Wandering Stars, iaitu planet sekarang),
  • bintang utara (bintang dikutub utara).

Dalam Wikipedia 1 juga dinyatakan ada sebuah bintang yang nama Sanskritnya Chitra (bermakna ‘Yang Cerah”) yang sama dengan nama Latinnya  Spica, dan satu lagi namanya Rohini yang sama dengan nama rasmi bintang ini sekarang, Aldebaran (daripada Arab). Besar kemungkinannya bintang Chitra dan Rohini ini juga diketahui oleh horawan Malayonesia dahulu tetapi jelas bintang-bintang ini (Citra, Rohini dan Druwa Tara yang disebut di atas) sudah lesap di dalam kenangan/ingatan bangsa Malayonesia sehingga tiadalah istilah-istilah ini  di dalam KD dan KBBI.  Selain  ini ada beberapa buah bintang lagi daripada senarai naksatra (rasi mengikut pengelasan Hindu-Buddha yang diwarisi oleh horawan Malayonesia) sebanyak 28 butir itu (Citra dan Rohini adalah dua daripadanya) yang pastinya diketahui oleh horasaterawan Malayonesia pra-Islam kerana istilah naksatra ini ada dalam prasasti Malayonesia abad ke-7 M lagi yang semuanya sudah lesap bersekali dengan istilah naksatra itu (lihat senarai di bawah seksyen 5.6).

Senarai penuh nama bintang dalam bahasa Inggeris dapat dilihat di dalam “List of Named Stars in Alphabetical Order” di http://www.astro.wisc.edu/~dolan/ constellations/ starname_list.html. Senarai nama bintang Malayonesia yang lebih lengkap perlu diperoleh seperti yang dilakukan oleh sarjana New Zealand terhadap bintang Maori itu (sudah disebut sebelum ini).

Bintamabor

Konsep dan istilah Bintamabor adalah ciptaan penulis ini sebagai kependekan kepada istilah “bintang temabor” yang bermakna “bintang-kemintang bertaburan merata- rata bak tak tepermanai banyaknya pada suatu kawasan yang berawan tebal yang putih bak tumpahan susu membentuk pilin dan lingkaran”. Keadaan sebegini melahirkan nama galaxis atau galaxikos (yang bermakna “tumpahan susu”;  Internet G) dalam bahasa Yunani yang diLatinkan kepada galaxias dan seteruanya diInggeriskan kepada galaxy pada akhir abad ke-14 M (Lihat Internet ED). Perkataan galaxy  dipercayai pertama kali muncul di dalam sajak Chaucer 1380 M (Internet 1) dengan ejaan Galaxye. Dalam bahasa Arab, istilahnya Darb al-Tabbanaht atau Darb al-Labbanaht (Internet EAD). Istilah “bintang temabor” ada dalam kamus Winstedt (1957/1966: lihat milk) tetapi dipercayai wujud beberapa abad sebelum abad ke-20 M lagi, walaupun mulanya bintang temabor itu tidak dibezakan dengan bima sakti seperti yang berlaku pada bahasa Arab itu.

 Bimasakti

 Istilah Bimasakti (seperti dalam KD dan KBBI), atau ejaan lainnya Bima Sakti (Winstedt 1957/1966: lihat galaxy atau milk), ini mungkin dicipta sekurang-kurang dalam abad ke-13 M lagi. Istilah ini asli Melayu kerana istilah Bimasakti itu  bukan daripada istilah kosmologi Hindia untuk jasad di langit yang di dalam bahasa Inggeris dinamai Milky Way itu, bahkan di dalam Sanskrit  benda itu dinamai Akash Ganga yang bermakna Ganges Syurga atau Kshira yang bermakna Susu (Lihat Internet 2).  Benarlah juga dalamalam semesta Hindia (Hindu-Buddha)istilah Bimasakti wujud sebagai petala langit pertama daripada tujuh petala langit di dalam alam kita berbentuk sfera dan diberi nama Brahmanda (lihat Shaharir 2008). Ini bermakna sarjana Malayonesia telah mengubah makna ini setelah kosmologi Hindu-Buddha diabaikan kerana dukungan kosmologi keIslaman yang baharu. Istilah Bimasakti di dalam bahasa Arab sekarang, mengikut kamus di internet (Internet MA) ialah  al-Mijarraht al-Tariq al-Labbaniyaht; tetapi mengikut Baharrudin, sarjana falak di UniSZA, (komunikasi sms 18 Nov 2010), Tariq al-Labban; manakala mengikut kamus Inggeris-Arab lain (Internet EAD) istilahnya ialah Darb al-Tabbanaht atau Darb al-Labbaniyaht yang sama dengan istilah bintamabor di atas. Istilah-istilah ini dipercayai ada dalam manuskrip falak atau hay’ah di Malayonesia, walaupun kami belum menemuinya lagi. Walau bagaimanapun semua istilah ini terfosil di dalam ilmu Malayonesia setelah kedatangan ilmu kolonial di Malayonesia ini.

Milky Way ialah terjemahan Inggeris kepada istilah Latin via lactea yang bermakna “macam tumpahan laktosa/susu”. Nama ini disesuai dengan mitos Yunani tentang terbentuknya  benda ini  selepas tercurahnya susu dewa Yunani (Lihat Internet 2). Mengikut Internet G,  istilah Latin ini berasal daripada Yunani, kyklos galaktikos, yang bermakna “bulatan tumpahan susu”. Mengikut Internet 6, perkataan Milky Way (dengan ejaan pada masa itu sebagai Milky Wey) pertama kali muncul di dalam bahasa Inggeris di dalam sajak Geoffrey Chaucer sekitar 1380 M, sedangkan Bima sakti sudah ada di dalam bahasa Melayu sejak abad ke-7 M lagi, walaupun dengan makna yang agak berbeza sedikit daripada Bimasakti di sini, hasil inovasi sarjana Malayonesia yang kami jangka berlaku dalam abad ke-13 M.

Graha dan Planet

Istilah dalam bahasa Melayu pra-Islam bagi perkataan planet ialah graha, daripada Sanskrit. Perkataan graha ini sudah ada di prasasti Malayonesia berbahasa Melayu abad ke-7 M. Di Indonesia istilah ini tidak asing lagi kerana banyak bangunannya diberi nama ini malah itulah maknanya dalam KBBI dan KD. Di Malaysia, perkataan ini baharu sahaja ingin ditakhtakan pada sebuah bangunan di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, tetapi mungkin kini telah dihapuskan oleh pemilik baharu universiti itu yang semakin cita Inggeris, sama dengan pusat-pusat pengajian tinggi yang lain juga. Ketiadaan graha dalam KD dan KBBI sebagai yang bermakna objek di langit yang agak besar, tanpa cahaya sendiri, mengelilingi Matahari atau bintang menjadikan hilangnya citra ilmu ini sebagai milik Malayonesia juga.

Perkataan planet daripada Inggeris planet yang dijangka diambil pada abad ke-8 M daripada Perancis Lama planete daripada Latin planeta, daripada Yunani (asteres) planetai yang bermakna “(bintang) siarah”. Tegasnya, planet itu bermakna “objek di langit yang bersiarah” sama seperti istilah dalam bahasa Arab, najm al-siyarah (asal datangnya istilah Melayu ‘bintang siarah’ dan lain-lain ejaannya, dan terjemahan lengkapnya bintang beredar). Asalnya,maksud ‘bintang siarah’ ini termasuklah Bulan dan Matahari (lihat senarai penuhnya di bawah ini) tetapi mulai 1640 sarjana Barat bersetuju istilah planet hanya untuk objek yang mengelilingi Matahari atau bintang sahaja. Perkataan planetary =planet+-ary daripada Latin planetarius wujud dalam tahun 1590-an lagi tetapi hanya  dipakai di kalangan tanjaim (ahli nujum) atau ahli astrologi Inggeris sahaja.

Nama-nama graha/planet dalam bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa Eropah amnya semuanya atas nama dewa-dewi orang-orang Roma: dari yang terdekat dengan Matahari namanya Mercury (abad ke-12 M) daripada Latin Mercurius (Dewa Roma yang bertugas sebagai pengutus) hinggalah kepada yang graha/planet terjauh daripada Matahari setakat 2003, Pluto (ditemui dan dinamai oleh Tombaugh 1930 atas nama Dewa Kematian dan Kesuburan bagi orang Roma, Pluto) (Internet 2);  dan yang terbaharu, graha/planet yang kesepuluh (lebih jauh daripada Pluto) dijumpai 2003 oleh Mike Brown (Caltech), Chad Trujillo (Balaicerap Gemini, AS), dan David Rabinowitz (Yale University) , diberi nama Eris (Dewi orang Roma yang menjaga kekalutan dan kekacauan) pada 2006 (Internet E).

Istilah Bumi dalam bahasa Inggeris, Earth daripada Hearth sama dengan istilah Yunani Gaea yang merujuk kepada Ibu Dewa Langit (Uranus, juga dijadikan nama sebuah planet) dan Ibu Dewa Lautan (Pontus). Perkataan inilah yang diambil Inggeris menjadi geo- seperti di dalam geology (geologi) dan geocentric (geopusatan/geosentrik/ berpusatkan Bumi, iaitu sifat model alam kita ini yang berpusatkan Bumi). Mengikut sumber lain  (Mina & Downton (t.t)), hearth itu berasal daripada Dewi orang Yunani yang menjaga kediaman bernama Hestia, dewi yang pertama dimuliakan di dalam sesebuah amal ibadat mereka.  Sumber lain lagi (Internet B, Internet GP1 dan Internet GP2 ) mengatakan earth daripada perkataan Jerman purba, Nertheus atau Erd/Erda yang berupa Dewi Bumi bagi orang Jerman. Inilah setengah daripada manifestasi apeduli agama wahyu (Kristian/Nashora, Yahudi dan, Islam) di dalam sains Barat. (Hampir semua ahli linguistik Inggeris tidak bersetuju dengan terkaan sesetengah pihak bahawa erd/erda itu daripada perkataan Arab ardh yang bermakna Bumi itu).

Dewa-Dewi planet/graha bagi Malayonesia sebelum Islam tentunya juga ada, iaitu yang didokongnya daripada ajaran Hindu-Buddha. Contohnya tuhan graha yang setara dengan Mercury/Mercurius di dalam Hindu ialah Budha (bukannya Buddha)/Vudha/ Wudha, bagi Pluto ialah Kubera (segi padanan nama Dewa sahaja tetapi graha yang setara denga Pluto tidak pernah ditemui oleh orang Hindia),  tuhan bagi Bumi ialah Prithvi (yang menjadi pertiwi di dalam bahasa Melayu sekarang seperti dalam ungkapan “ibu pertiwi’ yang bermaksud negara atau tempat lahir seseorang), dan tuhan bagi Bulan (sebenarnya masa Sanskrit asal) ialah Candera. Senarai penuhnya dapat dilihat di dalam Internet PA. Perkataan Bumi dalam bahasa Melayu itu pastinya daripada Jawa Purba, Bhumi yang berasal daripada Sanskrit juga. Orang malayonesia, sepertilah dengan bangsa lain, sebelum abad ke-20 M hanya tahu adanya 7 bintang siarah atau najm al-siyarah atau wandering stars, iaitu  Suria/Matahari/Syamsi (Sun), Raksa/Utarid (Mercury), Kejora/Zuhrah (Venus), Kuja/Marikh (Mars), Guru/Musytari (Jupiter), Shani/Zuhal (Saturn), dan Candera/Bulan/Qamar (Moon)

Sejak abad ke-17 M baharulah planet/graha/bintang siarah dapat dibezakan dengan bintang/hora. Yang membezakan bintang dengan bintang siarah atau planet/garaha ialah bintang bercahaya tetapi graha/planet atau bintang siarah tidak. Walaupun di dalam al-Qur’aan memang sudah ada ayaht yang menunjukkan perbezaan bintang dengan bintang siarah tetapi dunia terpaksa menunggu sarjana Barat abad ke-17 untuk menegaskan perbezaan itu. Di samping itu saiz graha/planet itu  agak besar berbanding dengan ribuan objek di langit lagi yang dikenali sebagai planetoid (lebih kecil daripada planet, jasad yang orbitnya cukup besar sehingga nampak melunsur ratusan tahun sekali lalu dinamai shooting star  atau bintang seligi, tahi bintang atau nama sainsnya, meteor, dan yang lebih kecil dinamai meteorit/meteorite, satelit asli yang dinamai Bulan yang mengelilingi Bumi dan Bulan-Bulan lain yang mengelilingi bintang siarah itu). Istilah bintang seligi atau tahi bintang, di samping Bulan dan Matahari adalah asli Malayonesia.

Sementara itu, astrologi Hindu Veda pernah diwarisi oleh Malayonesia sehingga graha/planet mistik bernama Ketu dan Rahu dianggap wujud dan mempengaruhi kehidupan manusia ini, selain  tujuh graha yang biasa itu. (Lihat Astrology. The nine grahas, http://www.vaastuinternational.com/astrology2.html). Sitara juga pernah menjadi istilah asli Melayu bagi bintang timur/pagi dan lain-lain. gelaran lagi itu  yang digelar pada Zuhrah/Kejora kerana sitara ialah perkataan Sanskrit untuk bintang umum sahaja. P. Ramlee menamakan sebuah pancaragamnya yang masyhur dalam tahun 1960-an, Pancasitara, memang tepat dengan penghayatan istilah bintang ini.  Senarai penuh nama-nama graha Malyonesia di samping Latin dan Inggeris ada dibentangkan di bawah ini, sekaligus menunjukkan berubah-ubahnya istilah graha Malayonesia kerana mudahnya orang Malayonesia mendukung nilai baharu sehingga mudah lesaplah istilah yang lebih awal itu.

Senarai penuh nama graha/planet dalam bahasa Melayu (Malaysia dan Indonesia), Sanskrit, Arab, Latin dan Inggeris

  • Raksa*/Bhudha (S)/Utarid (A), Latinnya Mercurii/Mercurius/Mercurialis yang diInggeriskan sebagai Mercury; S=Sanskrit, A=Arab, L=Latin, I=Ing.
    • Hanya Merkuri dan Utarid sahaja yang ada dalam KD dan KBBI (kecuali ejaan Merkurius). Raksa ada dalam kedua-dua kamus tetapi tidak merujuk kepada jasad di langit.
  • Shukra atau Sikura (S)/Kejora*/Sitara*/Zuhrah (A)/Veneus (L)/Venus (I)
    • Hanya  Kejora, Zuhrah dan Venus yang ada dalam KD dan KBBI (kecuali ejaan Zohrah)
  • Mangal atau Kuja (S)/Marikh (A)/Martis (L)/Mars (I)
    • Hanya Marikh ada dalam KD tetapi Marikh dan Mars ada dalam KBBI
    • Guru  atau Brhaspathi (S)/Musytari (A)/Ious/Dious/Jovis Pater (L) /Jupiter (I)
      • Hanya Musytari dan Jupiter sahaja yang ada dalam KD dan KBBI (kecuali ejaan Yupiter)
  • Shani atau Senakuru (S)/Zuhal (A)/Saturnus/Saturni (L)/Saturn (I)
    • Hanya Zuhal sahaja yang ada dalam KD tetapi Zohal dan Saturnus ada dalam KBBI
  • Neptun (daripada Inggeris Neptune daripada Latin Neptunus) ada dalam KD dan KBBI (kecuali ejaan Neptunus)
  • Pluto (daripada Inggeris Pluto) ada dalam KD dan KBBI
  • Eris (daripada Inggeris) tiada dalam KD dan KBBI
  • Ketu dan Rahu (warisan Hindu; bukan jasmani). Ketu tiada dalam KD dan KBBI, Rahu ada dalam KD dan KBBI tetapi tidak cukup penjelasannya.
  • *Raksa dan Kejora/Sitara adalah nama graha asli Melayu (walaupun perkataannya masih  Sanskrit) selain  gelaran kepada ‘bintang’ kejora/Sitara ini yang juga asli, iaitu bintang barat/timur/berarak/juara/pagi/ pengajur/siang/babi; dan sebutan tempatan terhadap Zuhrah: bintang johar/zorah.

Bulan, Candera, Qamar dan Lunar

Istilah ‘bulan’  atau Bulan (jika takut keliru dengan unit 30 hari itu) ini  perkataan asli Melayu, sedangkan bahasa Sanskritnya ialah ‘candra’ atau ‘candera’, dan ‘masa’. Perkataan ‘masa’ diambil oleh orang Malayonesia kemudian untuk makna ‘barang Bulan (pecahan unit Bulan semahunya)’. Candera (Tuhan Bulan bagi Hindu) dipakai untuk nama orang seperti yang terkenalnya Raden Galoh Candera Kirana dan Candera Muzaffar.  Qamar atau Kamar (atau huruf kecil) atau dalam bentuk kata sifatnya qamari atau kamari, qamariah atau kamariah,  adalah dripada bahasa Arab yang bermaksud Bulan. Ada juga penulis kini yang menggunakan istilah ‘lunar’ (sepadan dengan solar) seperti dalam ungkapan “tahun lunar” daripada bahasa Inggeris “lunar year” sekadar mahu bergaya seperti penggunaan ‘solar’ (untuk matahari), atau kurang seronok atau kurang yakin akan sesuainya istilah lunar dengan Bulan atau Qamar/Kamar apatah lagi dengan candera. Ada pula istilah luna seperti di dalam ‘gambar luna’ daripada istilah Inggeris lune picture atas sebab yang sama. Istilah asal Inggeris lunar itu diambil daripada  Latin, lunaris daripada kata akar Luna (Dewi bagi Bulan untuk orang Roma); manakala lune Inggeris itu jelaslah daripada istilah Dewi Luna itu.

Matahari, Suria, Syamsi, Solar

Perkataan matahari ialah istilah asli ciptaan orang Malayonesia, dahulunya sebuah metafora, mata hari, dua perkataan; lihat umpamanya rakaman Winstedt (1957/1966) dan kamus peribahasa Abdullah & Ainon (1993).

Perkataan suria (atau masih ada yang mengeja surya atau suriya, kedua-dua tidak baku) ialah istilah yang diambil daripada Sanskrit sekurang-kurangnya sejak abad ke-5 M dahulu, yang kini jarang mengetahui maknanya, “dewa penjaga Matahari” itu (Lihat Suhasini 2010). Ini sebelum istilah Matahari atau ‘mata hari’ dicipta.

Perkataan syamsi atau kata sifat keArabannya, syamsiah (atau yang tidak bakunya, syamsiy dan syamsiyah)  lebih disukai lagi oleh mereka yang mendokong bahasa berjiwa keagamaan Islam, bahasa Arab, yang dipercayai diambil mungkin sejak abad ke-12 M dahulu.

Istilah solar diambil oleh ahli sains Malaysia dalam tahun 1970-an dahulu mungkin kerana dirasanya tiada perkataan Melayu yang sepadannya atau semata-mata mahu bergaya dengan bahasa yang  dirasakan cukup beraura pada masa itu lagi dan kini semakin suka dirangkul oleh semua orang nampaknya dengan asyik-ghairahnya, bahasa Inggeris. Mungkin sekali amat sedikit yang tahu asal solar itu  dari bahasa Latin Sol yang setara dengan Suria dalam Sanskrit, iaitu bermaksud Tuhan Matahari masing-masingnya bagi orang Hindia dan orang Roma itu (Lihat Internet R). Inggeris mengambil perkataan ini pada pertengahan abad ke-15 M daripada Latin solaris atau solarium yang bermaksud “berkenaan dengan Matahari” atau “bilik tingkat atas”kemudian digunakan sebagai solar system hanya di sekitar 1700 M sahaja (Lihat internet ED). Tuhan Matahari bagi orang Yunani ialah Helio yang diambil Inggeris menjadi hell dan menjadi sebahagian daripada istilah penting dalam astronomi, heliocentric (berpusatkan syamsi atau heliosentrik, iaitu sifat model alam kita ini yang berpusatkan Matahari).

Keempat-empat perkataan suria, matahari, syamsi dan solar masih belum terfosil satu pun lagi, cuma syamsi paling kurang popular. Dijangka jika pendidikan sains, khususnya bidang astronomi di universiti diteruskan di dalam bahasa Inggeris seperti sekarang, maka  sekurang-kurangnya perkataan suria dan syamsi akan terfosil dalam masa terdekat ini.

Model Alam Semesta Malayonesia

Selain penamaaan objek di langit, Tamadun Malayonesia pra-Islam dan era Islamnya ada teori kosmologi-kosmogoni-kosmogenesis mereka tersendiri sebagai inovasi kepada kosmologi Hindu-Buddha dan kemudiannnya diIslamkan sebelum mereka menerima kosmologi yang lebih Islam, iaitu  daripada Tamadun Islam. Model itu diperihalkan di dalam Shaharir (2000) yang memang terfosil semula di dalam buku itu pula. Antara istilah yang diIslamkan ialah Catur Mukha Brahma menjadi ‘Arsy al-Rahman (Arsyulrahman), Maha Meru menjadi ‘Arsy al-‘Azim (Arsyulazim), Meru menjadi ‘Arsy al-Karim (Arsyulkarim), Hansa menjadi Kursi al-‘Azim (Kursilazim) dan Brahmanda menjadi Jabal/Bukit Qaf. Ini boleh dianggap suatu usaha penginovasian model alam semesta Hindu-Buddha menjadi model alam semesta Malayonesia Islam.

Sementara itu manuskrip al-Ranyry/al-Raniri yang dimuatkan di dalam bab 1 karya agungnya Bustan al-Salatdin 1639 (sudah diRumi dan diterbitkan oleh DBP 2004) sering dianggap mengandungi perihal kosmologi Malayonesia Islam. Manuskrip bahan yang serupa ada pada manuskrip MS781(1) di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) diberi judul Aaman Khalq al-Samaawaht al-Ardh; serta ada juga dalam Taj al-Muluk yang masih berlegar di pasaran di kedai-kedai kitab agama seluruh Malaysia. Namun karaya al-Ranyry ini dinyatakan oleh beliau sendiri berupa karya terjemahan tetapi jarang ditonjolkan oleh pengkaji al-Ranyry. Manuskrip berkenaan itu sebenarnya diberi judul terjemahannya oleh beliau sendiri  sebagai  “Asal Kejadian Tujuh Petala Langit dan Tujuh Petala Bumi”. Bagaimana bukan karya aslinya kandungan dalam manuskrip al-Ranyry itu dapat juga dilihat kesamaannya perihal kosmologinya dengan yang ada di dalam “Kitab Seribu Masalah” karya Abdullah Ibn Thamud (tanpa tahun tulisannya tetapi berlaku pada Zaman Tamadun Islam) yang ada di PNM berkatalog MS 505 yang memang berupa terjemahan oleh seorang yang tidak dicatat namanya dan tahun terjemahannya (mungkin lebih awal daripada zaman al-Ranyry).  Apa pun mungkin sekali al-Ranyry ada membuat beberapa inovasi atau tambahan terhadap bahan terjemahannya dan oleh itu ingin juga diperkatakan secara ringkasnya di bawah ini.

Mengikut kosmologi al-Ranyry (kosmologi di dalam manuskripnya itu), alam semesta ini berpusatkan pada sebuah objek bernama Bukit Qaf di sekelilingnya ada 7 lapis dan setiap lapis ada 70 ribu alam. Ini teori banyak alam di Malayonesia yang kedua mendahului Barat, selepas mewarisi teori banyak alam Hindu-Buddha yang jauh lagi mandahului Barat. Kewujudan Bukit Qaf sebagai pusat alam semesta sama konsepnya dengan peranan Gunung Meru atau Semeru di dalam model alam semesta Hindu (Shaharir 2008). Teori alam semesta Malayonesia berpusatkan Bukit Qaf ini lebih sukar dimodelkan secara geometrinya (bahkan kami belum memeperolehnya lagi) berbanding dengan model alam semesta kini sekali pun kerana alam semesta kini terdiri daripada 88 buah rasi dan setiap rasi itu ada jutaan bintamabor dan setiap bintamabor ada jutaan bintang dan setiap bintang itu dikelilingi oleh beberapa buah graha dan setiap graha ada bulan/satelitnya sendiri (mungkin lebih daripada satu).

Kosmogoni-Kosmogenesis

Mulai abad ke-16 M sebuah teori kosmogoni-kosmogenesis berlegar di Malayonesia yang terkenal dengan nama Martabat Tujuh dan Nur Muhammad. Ada dua aliran asal-usul alam semesta yang berasal daripada Tamadun Islam, iaitu “dari ada kepada ada” (yang dianuti oleh Hdamzah Fanshury (Hamzah Fansuri) dan ‘Abd al-Ra’uf Singkel (Abdul Rauf Singkel); dan “dari tiada kepada ada” yang dianuti oleh al-Ranyry (al-Raniri). Dua mazhab ini terpancar pula di dalam teori Martabat Tujuh dan Nur Muhammad mereka masing-masing yang dirakamkan dengan agak baiknya di dalam tesis D. Fal. Oleh Zulkefli (2008) dengan perbincangan perbezaannya teori daripada tiga orang sarjana agung Malayonesia ini. Keaslian istilah-istilah dan konsep mereka masing-masing itu masih belum dilakukan walaupun ramai sarjana berpendapat konsep Martabat Tujuh itu setidak-tidaknya pun berupa inovasi besar sarjana Malayonesia terhadap teori dari Tamadun Islam atau dari Hindia. Segi geometri penciptaan dalam Martabat Tujuh itu tiadalah diperihalkan di dalam tesis itu. Sebaliknya perihal Martabat Tujuh dan Nur Muhammad dalam manuskrip MS1514 di PNM bertarikh 1924, ada menyediakan gambarajah struktur geometri pembentukan setiap martabat itu, iaitu  ahadiyaht, wah-daht, waahidyaht, alam arwah, alam mithal, alam ijsim dan martabat jami’. Manuskrip ini nampaknya menjanjikan kajian lanjut terhadap model kosmogoni dan kosmogenesis Malayonesia.

Tumbuh-tumbuhan dan Margastua Malayonesia

Pembacaan beberapa buah prasasti Kunlun (Malayonesia Palawa), manuskrip Melayu Jawi dan peribahasa Melayu menunjukkan banyak sekali tumbuhan dan margasatwa/mergastua (flora dan fauna) yang terfosil (perinciannya dalam Shaharir 2003, 2005). Dalam pribahasa Melayu ada tidak kurang daripada 120 jenis tumbuhan dan 260 jenis haiwan Malayonesia yang digunakan untuk menerbitkan peribahasa. Tentunya ilmu yang terbit daripada pencirian tumbuhan dan haiwan di dalam peribahasa itu adalah ilmu karya bijak-bestari Malayonesia dan memang amatlah layak dikelaskan sebagai ilmu Malayonesia.  Malangnya oleh sebab sarjana Malayonesia sudah berhenti berkarya sejak abad ke-19 M dan meninggalkan khazanah ilmu bidang ini terfosil di dalam peribahasa dan manuskrip-manuskrip Jawi, maka ilmu botani dan zoologi terhadap tumbuhan dan haiwan di dalam peribahasa itu pun hampir semuanya dikembangkan oleh sarjana Barat terutamanya selepas Wallace memungut ratusan ribu spesies haiwan di Malayonesia selama 8 tahun dalam tahun 1860-an dahulu. Walaupun demikian apabila disemak dengan ahli botani dan zoologi Malaysia beberapa tahun yang lepas, daripada tumbuhan dan haiwan dalam peribahasa kita itu ada 27 jenis tumbuhan dan 70 jenis haiwan yang tidak dapat dikenali!  Sebahagiannya memang tiada dalam KD atau KBBI pun! Sebahagian lagi ada dalam kamus tetapi masih tidak dapat dikenali kerana tiada nama sainsnya (ahli sains belum tahu namanya). Usaha penulis ini untuk meyakinkan sarjana kita menyelesaikan masalah ini masih belum mendapat sambutan kerana mereka percaya tumbuhan dan haiwan ini sudah dikenali oleh Barat cuma nama lain sahaja.  Mereka ini sudah hilang satu daripada tujuan ilmu, iaitu menyelesaikan masalah bangsanya sendiri. Mungkin dengan ganjaran penyelidikan yang memuaskan boleh menarik sarjana menyelesaikan masalah ini. Siapalah pula yang akan memberi dananya?

Sebagai contoh yang konkretnya, dalam prasasti Talang Tuwo bertarikh 606 S (=784 M) sahaja sudah tersembul dua istilah tumbuhan bernama pattum dan ityewamadi yang tiada dalam KD dan KBBI. Dua jenis tumbuhan ini hampir pasti tidak akan dapat dikenali lagi kerana begitu lama lesapnya.

Selanjutnya, margasatwa (KBBI) atau mergastua (KD) yang dirakamkan dalam peribahasa Abdullah & Ainon (1993) dan Hikayat Raja Pasai (t.pnga & t.t) tetapi tidak dapat diketahui rupa bentuknya dan tiada pula dalam kamus muktabar bahasa Melayu (KMBM yang terdiri daripada KBBI, KD dan KBMN) ialah angau, cindapung, ketam berdayung, kuda semberani, lembedak mengidam/ngidam, malakama/ malakamo, piama, makara  (mengikut Maspero 1922/2002, makara ialah haiwan mitos Champa berupa buaya+ gajah + singa), dan rama-rama bersil, semut sebesar kucing, udang sanggul,  dan ular lembu.

Terkejut juga apabila mendapati  kapur barus (sejenis tumbuhan yang terkenal) tiada dalam KD dan KBBI tetapi nasib baik ada dalam KBMN dengan nama sainsnya sekali, sebasani tiada dalam KD tetapi ada dalam KBBI dan KBMN  dalam bentuk “sabasani” namun tiadalah nama sainsnya. Berkenaan “tiada nama sains” ini memang ratusan banyaknya kerana ahli botani dan zoologi Malayonesia sendiri pun amat tidak berminat menyelesaikannya. DBP patut menjadikan isu ini suatu projek khas untuk mengemaskinikan KD itu.

 Manuskrip tib (istilah untuk perubatan sebelum abad ke-20; dan pengamalnya dinamai tabib; dan mujurlah kedua-dua istilah ini ada dalam KMBM) biasanya banyak terdapat tumbuhan dan mergastua yang sudah tidak dikenali lagi dan tiada pula dalam KMBM. Contohnya, dalam sebuah manuskrip tib yang dikaji oleh  Roziah Sidik untuk tesis D. Fal beliau, “Sains Peribumi di Malaysia: Satu Kajian Mengenai Khazanah Lama Sains Dalam Bentuk Manuskrip MSS 1292 Kitab Tib” yang diserahkan kepada Pusat Dialog Peradaban, UM beberapa tahun yang lepas terdapat begitu banyak tumbuhan dan mergastua yang gharib (mungkin salah transliterasi/baca pun) seperti apin, batal kemboja, bayam tubir, daun cemelaga, hati kundur, hati rotan saga, kacang barat, kayu binsham, kumpai minyak, limau kersak, limau raya, minyak lengwah, mustaki, pisang dara, pisang tembatu, pokok arak, sarang-sarang minang,  samambir dan banyak lagi. Seperti yang disebut di atas, DBP patut menjadikan isu mengenalpasti segala tumbuhan dan mergastua gharib di dalam manuskrib tib sebelum terfosilnya selaras dengan yang terjadinya pada prasasti Talang Tuwo itu.

Kaedah Sains

Istilah sains diterima di Malaysia sejak bermulanya sains dalam bahasa Melayu di Sekolah Menengah pada 1958. Di Indonesia istilah sains hanya baharu diterima pada tahun 1970-an kerana selama ini mereka terus memakai istilah ilmu pengetahuan (iaitu sains ialah sejenis ilmu sahaja yang tidak sampai tahap ilmu mengikut pengertian Islam). Sesungguhnya sejarah perubahan makna ilmu di Malayonesia agak lama dan perlu dirakamkan sebaik-baiknya. Mulanya orang Malayonesia memiliki perkataan tahu dan proses memperoleh tahu, pengetahuan. Apabila Hindu-Buddha datang dan mempengaruhi kehidupannya maka istilah tahu didapati tidak cukup untuk mendukung tahu dari kebudayaan baharu lalu diambil istilah widya dan budi, dua jenis dan tahap ketahuan yang perlu. Widya ialah pengetahuan umum yang perlu diajar kepada semua orang tetapi budi pengetahuan yang lebih tinggi kefahaman dan penghayatannya. Semua ini tidak terpisah daripada agama Hindu-Buddha. Apabila Islam tiba dengan konsep baharu tentang tahu, widya dan budi menerusi konsep ilmu (‘ilm) dan makrifat (ma‘rifaht), maka perlahan-lahan istilah widya tersingkir digantikan dengan ilmu tetapi budi dipertahankan untuk disesuaikan dengan Islam. Itulah lahirnya istilah budiman untuk ulil albab (yang dipaparkan dalam Taj al-Salatin oleh Bukhary al-Jawhary) dan pelbagai nama ilmuwan lagi seperti arifin, sufi, hakim, ulama, ulil ilmi, dan ulil abshar. Kemudian dalam abad ke-19 M datang pula science (Inggeris) dan wetenschap (Belanda) yang mencabar ilmu. Amatlah lama umat Islam di Malayonesia ini untuk semacam mengaku kalah dengan mengambil sains sebagai sejenis ilmu kerana science dan wetenschap itu pecahan daripada ilmu di Eropah yang bernama philosophia naturalis, iaitu bahagian yang dianggap tidak patut ada unsur agama di dalamnya dan philosophia naturalis itu tinggal sebagai theologia sahaja. Tegasnya, science yang sampai di Malayonesia sudah pun mencapai tahap yang dikehendaki sarjana Eropah yang ahlinya berjuang sejak zaman Galileo (abad ke-16) untuk terpisah daripada agama. Itulah sebabnya science, dan witenschap di Indonesia, dengan wajarnya menterjemah science sebagai ilmu pengetahuan, tetapi sejak 1970-an Istilah sains pun diterima seadanya lalu menjadi saingan istilah lamanya itu. Hanya 1978, dng penubuhan Akademi Sains Islam Malaysia, baharulah istilah sains itu hendak dibaiki kandungan, pendekatannya dan sebagainya agar kembali kepada konsep ilmu dalam Islam. Pihak pembuat kamus khususnya KD dan KBBI perlu merakamkan sejarah makna sains dan ilmu, makrifat, tahu, widya dan budi yang dihuraikan secara ringkas di atas kerana kini istilah widya pun sudah tiada dalam kamus itu dan yang lainya ada perkataannya tetapi penjelasannya sudah tidak membawa makna yang terfosil itu.

Kaedah sains yang dikenali oleh para ilmuwan dalam bahasa Melayu Malaysia khususnya ialah kaedah silogisma (silogisme transkripsi kurang tepat), analogi, aruhan/induksi, deduksi, inferens/ inferensi/ pentakbiran (salah ambil)/ pentaabiran, ujikaji/eksperimen, lojik/logik/logika; yang kurang disebut: kaedah  intuisi dan heuristik, ilham/ inspirasi,  SWOT/KuALPA, unduran/retreat; dan lagi jarang disebut: kaedah mimpi, pertapaan, sofis/debat/bahas. Semuanya seolah-olah tiadalah tradisi Melayunya kerana istilahnya begitu asing (transkripsi, atau terjemahan terhadap istilah Inggeris).

Pembacaan manuskrip sebelum abad ke-19 M akan menemui istilah-istilah kaedah ilmu pengetahuan yang dapat dipadankan dengan nama-nama kaedah di atas seperti qiyas/tamthil untuk silogisma/analogi, qiyas/iqtatda’/muqattatda‘  untuk deduksi, istatataj untuk inferens(i) yang diistilahkan semula oleh ahli sains matematik Malaysia 1980-an sebagai penta‘abiran/petaabiran (dan tersalah ambil oleh KD sebagai pentakbiran), istiqra’/istikrak untuk induksi yang diistilahkan semula oleh ahli sains matematik Malaysia sebagai aruhan (tahun 1960-an), sufasta’iyyah untuk sofis, mantik untuk lojik/logik/logika. Semuanya terfosil malah memang hampir semuanya tiada dalam KD atau KBBI. Yang ada pun sudah tiada memberi makna kaedah sains/ilmu pengetahuan ini. Seperti kias (daripada qiyas), tamsil (daripada tamthil); dan yang paling merosakkan makna asalnya ialah ta‘abir yang disyorkan menjadi taabir tetapi dirakamkan dalam KD dan KBBI sebagai takbir(semata-mata kerana mematuhi Sistem Ejaan Bersama yang terkenal dengan antagonisnya, kalau pun tidak pantang, terhadap bahasa Melayu daripada bahasa Arab).

Dalam sesuatu hujah atau kaedah sains di atas sudah tentuk melibatkan premis (andaian/anggapan). Dalam tamadun Melayu abad ke-17 dahulu pun memang sudah ada istilah yang sekarang ini disebut sebagai premis daripada Inggeris premise itu, iaitu transliterasinya muqaddymaht yang patut diMelayu-Rumikan sebagai mukaddimah (kini mukadimah dalam KD dan KBBI). Bahkan ada beberapa jenis mukaddimah:  muqaddymaht dharwury (mukadimah dharuri, iaitu premis perlu) dan muqaddymaht nazhariyaht (mukaddimah nazhariyah, iaitu premis teori) dan premis yang diyakini kebenarannya muqaddymaht yaqynyaht (mukadimah meyakinkan, iaitu premis meyakinkan)  terutamanya apabila membicarakan silogisma yang baharu oleh Ibn Sinna yang dinamainya burhdan yang sampai ke Malayonesia ini lebih awal daripada di Eropah (di Eropah diterjemah ke dalam bahasa-bahasa mereka khususnya oleh Inggeris sebagai proof by demonstration (bukti dengan cara demonstrasi). Istilah burhan patut dirakamkan di dalam KD, dan makna mukaddimah/mukadimah sebagai premis patut dirakamkan dengan contoh-contoh jenisnya di atas demi menyembulkan ilmu Malayonesia yang terfosil lama selama ini.

Kesimpulan

Dalam makalah ini ditunjukkan bagaimana munculnya sejak abad ke-4 M istilah, konsep dan teori asli, inovasi , atau terjemahan ilmuwan Malayonesia berbahasa Melayu dalam beberapa judul sains dan matematik. Istilah, konsep dan teori itu juga ditunjukkan hampir semuanya mendahului perkara yang serupa di Eropah, khususnya dalam bahasa Inggeris. Perkara yang dipilih itu ialah bilangan, sukatan, astrologi-astronomi-kosmologi-kosmogenesis, etnobiologi, sains dan kaedah sains.

Kemudian ditunjukan hampir semuanya hilang lesap atau terfosil sehingga generasi sekarang tidak pun mengetahui kewujudan perkara-perkara itu, dan banyaklah istilah itu tiada  dalam kamus muktabar bahasa Melayu (Kamus Dewan terbitan Malaysia, Kamus Besar Bahasa Indonesia terbitan Indonesia dan Kamus bahasa Melayu Nusantara terbitan Brunei). Banyak pula istilah ada dalam kamus muktabar bahasa Melayu tetapi maknanya sudah tiada unsur ilmu yang pernah ada dalam perkataan itu.

Sebab besarnya lesapnya perkataan berilmu itu ialah kerana ilmuwan Malayonesia mudah mendukung dan mendakap nilai dan bahasa ilmu yang baharu (pertamanya nilai Hindu-Buddha dan bahasa Sanskrit, diikuti oleh nilai Islam dan bahasa  Arab dan kemudiannya nilai dan bahasa penjajahnya, nilai Barat dan bahasa Eropah) dan sekaligus meninggalkan bahasa ilmunya/ibundanya  dan ilmu warisan bangsanya  sebelum datangnya ilmu dari penjajahnya.

Hal ini berlaku lebih pantas dan berkesan lagi dengan perubahan aksara bahasa Malayonesia (dari aksara Palawa kepada Jawi dan Rumi) sehingga dengan cepatlah bangsa Malayonesia tidak dapat membaca warisan ilmunya dalam aksara Palawa dan kemudian lagi sekali warisan ilmunya dalam Jawi. Perubahan aksara ini mulanya (dari Palawa ke Jawi) menerusi perubahan agama dari Hindu-Buddha kepada Islam (dengan menganggap segala yang ditulis dalam huruf palawa itu tidak Islam dan oleh itu perlu diabaikan bahkan afdhal dimusnahkan). Kemudian ironinya perubahan Jawi ke Rumi dilakukan oleh para pejuang kemerdekaan dan kemajuan bangsa Malayonesia yang nasionalis totok, khususnya oleh Sumpah Pemoeda 1928 oleh para pejuang-nasionalis kemerdekaan Hindia Timur Belanda dan Kongres Bahasa 1955 para sasterawan-budayawan-nasionalis Hindia Timur Inggeris yang membuat perisyitiharan mahu bahasa kebangsaan masing-masinga ialah bahasa Melayu dalam aksara Rumi, dan perisytiharan ini “berjaya” dimasukkan ke dalam perlembagaan negara-bangsa baharu yang merdeka masing-masing, Indonesia 1945, dan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Malaysia 1963. Alangkah ironinya, kemerdekaan bagi bangsa Malayonesia, antara lainnya, bermakna membebaskan mindanya daripada warisan ilmu bangsanya sejak abad ke-4 hingga abad ke-19 M, dan merangkul ilmu penjajahnya dari alfa hingga omega!

Pelesapan ilmu warisan bangsa ini pantas berlaku juga menerusi sistem pendidikan yang tidak peduli kepada sejarah peradaban bangsa setelah  para pemimpin negara-bangsa baharu  berjaya diasuh dengan jayanya oleh penjajahnya secara langsung dan tidaknya bahawa bangsanya hanya akan beroleh kemajuan seperti penjajahnya dengan berbuat demikian. Bangsanya sendiri dianggapnya primitif, tiada warisan ilmu apa-apa dan oleh segala kurikulum pendidikan sekolah hingga ke universiti dianggap perlulah disusun rapi untuk menjejaki tangga-tangga yang dilalui oleh penjajahnya. Untuk menyekat daripada keadaan ini terus menerus berlaku maka sistem pendidikan yang ada sekarang perlulah direformasikan kepada yang berkiblatkan kepada Barat kepada kepedulian sejarah peradaban sendiri.

Selain  itu perakam bahasa Melayu Malayonesia, iaitu pembuat kamus atau ahli leksikografi Malayonesia tidak cukup berhati-hati dan perihatin kepada pungutan perbendaharaan kata warisan bahasanya sejak zaman bahasa Kunlun dahulu (huruf Palawa), bahasa Melayu klasik (huruf Jawi), dan kini bahkan bahasa Melayu moden (huruf Rumi/Latin). Bagi menyekat daripada terus menerus terfosilnya ilmu, maka KD perlulah disunting semula sesegeranya lagi dengan memastikan semua perkataan dalam prasasti dalam bahasa Melayu pra-Islam dan dalam manuskrip karya-karya besar dlam bahasa Melayu klasik (termasuk cerita-cerita penglipur lara, pantun dan peribahasa) ada di dalam KD kelak. Di samping itu usaha bersungguh-sungguh untuk memasukkan semua nama sains tumbuhan dan haiwan di dalam KD itu kelak.

Segala istilah dan konsep ilmu akan tetap terfosil jika bahasa Melayu tidak menjadi bahasa pengantar dan bahasa perantaraan dalam pendidikan ilmu sehingga ke peringkat universiti. Bahasa Melayu juga perlu dijadikan bahasa untuk berkarya di dalam sains, sebagaimana yang pernah diusahakan dengan agak ghairah dan penuh iltizamnya  di Malaysia dalam  tahun 1970 hingga 2002 sehingga menghasilkan keadaan bahasa Melayu dalam sains seperti yang ada kini. Pentingnya pengembalian status bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu di semua peringkat dapat disaksikan sekarang: istilah yang segar dalam tahun-tahun sebelum 2003 kini sudah mula tertimbus  akibat bahana PPSMI dan pengInggerisan pendidikan di universiti sejak 2003 hingga kini (walaupun PPSMI dijanjikan lesap sepenuhnya pada 2020). Galakan untuk sarjana berkarya dalam bahasa Melayu perlulah dipertingkatkan lagi sehingga setiap jurnal kita dalam bahasa Melayu juga mendapat taraf ISI yang dikeramatkan oleh para pentadbir suniversiti kita sejak sekitar sedasawarasa ini. Bahasa bukan bahasa Inggeris bukannya penghalang untuk mendapat status ISI seperti yang ditunjukkan oleh Jurnal Sains Malaysiana terbitan UKM dan Buletin of Mathematical Science terbitan USM-PERSAMA (kedua-duanya jurnal dwibahasa: Inggeris dan Melayu), dan ratusan jurnal dari negara China Besar (dalam bahasa Mandarin).

Rujukan

Abdullah H. & Ainon M. 1993. Kamus Peribahasa Lengkap Utusan. Kuala Lumpur: Utusan Pub. & Distributors Sdn. Bhd.

Abdullah Ibn Thamud . t.t. Kitab Seribu Masalah. Terj. Anama t.t. yang ada di PNM (Perpustakaan Negara Malaysia) berkatalog MS 505.

al-Ranyry N. 1639.  Bustan al-Salatdin , Bab 1, Dirumikan oleh Jelani Harun dan diterbitkan oleh DBP pada 2004. Ada juga dalam Taj al-Muluk Namun yang kami rujuk ialah manuskrip MS 781(1) di Perpustakaan Negara berjudul Aaman Khalq al-Samaawaat al-Ardh yang hampir seluruhnya sama dengan Bab 1 daripada Bustan al-Salatdin itu.dan dalam Taj al-Muluk itu.

Alinor M.b.A.K. 2010. Tahap ke-Sanskrit-an dan keaslian bahaa Melayu: Ulasan buku James T. Collins, Bahasa sanskkerta dan Bahasa Melayu, DBP 2009. Kesturi 20(2): 67-88

Aymonier E. & Cabaton A. MDCCCVI. Dictionnaire Cam-Francais. Paris: Imprimerie Nationale

Blust. 2013. Blust’s Austronesian Comparative Dictionary. http://www. trussel2. com/acd/ (29 Mac 2013)

Coedes G. & Damais L-C. 1992. Sriwijaya. History, Religion & Language of the Early Malay Polity. Kuala Lumpur: MBRAS

Dyen I. 1952. Malay tiga ‘Three’: A Further Note . Language 28(4):  465-473

Hilder C.J. 2003. Māori Star and Constellation Names. http://www.teapot. orconhosting.net.nz/maori_star_names.html (29 Mac 2013)

Ibrahim A. 2013. Kesenjangan Leksikal Bahasa Melayu Malaysia dan Bahasa Indonesia. Kuala Lumpur: DBP

Internet 1. Galaxy. http://en.wikipedia.org/wiki/Galaxy (1 Nov. 2010)

Internet 2: Timeline of knowledge about galaxies, clusters of galaxies, and large-scale structure. http:// en.wikipedia.org/wiki/Timeline_ of_knowledge_ about_ galaxies_clusters_ of_ galaxies_ and_ large-scale_structure. (1 Nov. 2010); Minta juga “galaxy”

Internet AC. Andromeda Constellation. http://www.buzzle.com/articles/ andromeda-constellation.html  (7 nov. 2010)

Internet B. Earth. http://answers.google.com/answers/threadview/ id/269452. html  (5 Nov 2010)

Internet Bur1. The Constellations. Names of Contellations. Arabic Constellation Names  http://www.icoproject.org/cons.html#ara (9 Nov. 2010)

Internet Bur2. Cosmobrain AstronomyThe Constellations. http://www. cosmobrain.com/ cosmobrain/res/constellations. html (9 Nov. 2010)

Internet Bur3. AstronomyClubsIndia…International names Sanskrit names. . http://tech.groups.yahoo.com/ group/astronomyclubindia/ message/ 8353 (9 Nov. 2010)

Internet C. Cosmogenesis. http://en.wikipedia.org/wiki/Cosmogenesis (3 Nov. 2010)

Internet CH. 1999. Chinese numbers. http://www.mandarintools. com/numbers. html  (Nov. 2008)

Internet E. Eris (dwarf planet). http://en.wikipedia.org/wiki/Eris_(dwarf_planet)  (5 Nov 2010)

Internet EAD. Minta english-arabic dictionary; atau minta galaxy in Arabic and milky way in Arabic

Internet ED. Minta “etymological dictionary” pada google

Internet EP. English-Pali dictionary, http://dictionary.tamilcube.com/pali-dictionary. aspx (30 Mac 2013)

Internet G. Galaxy. http://www.newworldencyclopedia.org/entry/Galaxy (1 Nov. 2010)

Internet GP1. Germanic paganism: Encyclopedia II – Germanic paganism – Pre-Migration Period.http://www.experiencefestival.com /a/Germanic_ paganism_-_Pre-Migration_ Period/id/1427128. (7 Nov. 2010)

Internet GP2. Norse gods A-K. http://onespiritx.tripod.com/gods32.htm (7 Nov. 2010)

Internet MA. Minta pada google online English-Arabic dictionary atau “milky way in Arabic” (3 Nov. 2010)

Internet N. Nakshatra. http://en.wikipedia.org/wiki/Nakshatra . (23 Nov. 2010)/

Internet NB. History of constellation and star names. http://members.westnet. com.au/Gary-David-Thompson/page11-29.html

Internet PA. Planet and astrology. http://en.wikipedia.org/wiki/Planets_in_ astrology (5 Nov 2010)

Internet R. Who is the roman sun god? Minta google “roman son god” atau terus ke laman http://answers.yahoo.com/question/ index?qid= 20060802175511AAwFenr (6 Nov. 2010)

Internet S. numbers in Sanskrit, http://veda.wikidot.com/sanskrit-numbers

(30 Mac 2013)

Internet TB. Minta pada google “the greek god of stars” atau terus pada laman http://www.theoi.com/Titan/TitanAstraios.html  (7 Nov. 2010)

Internet Z. 2008. ‘Zero’ , Table of cardinal numbers0 to 9 in various languages. http://en.wiktionary.org/wiki/zero (Nov.2008)

KBBI=Kamus Besar Bahasa Indonesia Edisi kedua, cetakan keempat 1995.

KD=Kamus Dewan Edisi ke-4, 2010

KD1994=KD terbitan 1994

KD2010-KD terbitan 2010.

KN/KBMN=Kamus Besar Bahasa Melayu Nusantara. Brunei 2010

Mina A. & Downton P. (t.t.). Manual modelling; a pedagogical tool. http:// webcache. googleusercontent.com/search?q=cache: fEUgt5B8Qt4J: www. interiorsforumscotland.com/userimages/ Mina.doc+%22etymology+ of+ hearth%22 &cd=2&hl=en&ct=clnk (20 Mac 2013)

Nik Hassan S.N.A.R. 2007. Kerajaan Melayu tertua utara Semenanjung. Dalam Nik Anuar N.M. & Zamberi M.b.A.M. Tamadun dan Sosiopolitik Melayu Petani. Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, pp.8.

Pou S. 1992/2004. Dictionnare Vieux Khmer-Francais-Anglai.   An Old Khmer-French-English Dictionary.  Centre de Documenttaion et de Recherche sur La Civilisation Khmere, Paris.  Snt kedua 2004 terbitan L’Harmattan, Perancis/ Hungaria/Italia

Shaharir b.M.Z. 1998/2000. Sistem Angka Melayu sebelum Kedatangan Islam. Bull. Malaysian Mathematical Society. 23(1):1-34. Asalnya sebuah laporan Cuti Sabatikal UKM 1998

———————-.  2000. Pengenalan Sejarah dan Falsafah sains. Bangi: Penerbit UKM

———————–. 2001. A note on the decimal numerical system. Humanistic Maths. of Network Journal. 24:36-42

———————-. 2003. Etnosains Melayu tertua setakat ini: Kajian kasus etnobotani Melayu daripada prasasti Talang Tuwo abad ke-7 Masehi dan peribahasa. Malaysian Jour. of Sc. And Technology Studies 1: 78-113.

——————-.2004. Penjodoh bilangan kuantitatif dalam bahasa Melayu klasik. Warkah Berita PERSAMA: 68-70; muncul juga dalam beberapa buah karyanya selepas ini.

——————-. 2005. Haiwan-Haiwan yang tercetus daripada peribahasa Melayu  yang belum jelas segi sainsnya: Satu cabaran terhadap ahli biologi dan ahli leksikografi  di Alam Melayu.   Malaysian Jour. of Sc. & Technol. Studies 3: 105-135

——————. 2008. Model alam semesta rumpun Melayu zaman pra-Islam dan zaman peralihannya. Kesturi 18(1&2): 78-97

—————–. 2012a. Ilmu Malayonesia. Wacana 1. Siri 3 Wacana Keterlestarian Ilmu. PDP-DBP, 29 Mac 2012

—————-. 2012b. Jatuh-bangunnya ilmu. Wacana 2, Siri 3 Wacana Keterlestarian Ilmu, anjuran DBP-PDP , 27 Nov. 2012

——————-. 2012c. Banyaknya alam mengikut sains moden serasi dengan islam!? Kesturi 22(2):

——————–. 2013. Istilah dan Konsep Pengukuran Tradisional Alam Melayu. P.Pinang: Penerbit USM

Shaharir b.M. Z. & Razak A.b.S.  1998/2001. Sistem nombor dan angka Melayu berdasarkan kajian etimologi dan penyukatan. Jurnal Bahasa. 1(3): 423-443. Asalnya dibentangkan di Kolokuium ATMA, UKM 1998.

Smart T. 2006. A Dictionary of Modern Star Names

Suhasini 2010. The Ancient Temple Worshipped by The Sun God

http://trifter.com/asia-pacific/india/the-ancient-temple-worshipped-by-the-sun-god/ (23 Nov 2010)

Wan Mohd Shaghir . 1421/2000. Penyebaran Islam & Silsilah Ulama Sejagat Dunia Melayu, Jil. 1 hingga 10. K.Lumpur: Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara & Khazanah Fathaniyah

Wikipedia 1. “List of proper names of stars” di http://en.wikipedia.org/ wiki/List_of_ proper_names_ of_stars (1 Jun 2013)

Wikipedia KH. t.t. Khmer numbers. http://en.wikipedia.org/wiki/Khmer_numbers  (29 Mac 2013)

Wikipedia V. t.t. Vietnam. Science and technology http://en.wikipedia.org/ wiki/ Vietnam#Science_and_technology (Nov 2008)

Winstedt R.O.  1957/1966. An Unabridged English-Malay Dictionary. 4th ed. K. Lumpur: Merican & Sons Sdn Bhd 1966. Snt pertamanya 1957.

Zulkifli b.A. 2008. Doktrin Nur Muhammad di Alam Melayu: Kajian Terhadap Pemikiran Hamzah Fansuri, Nur al-Din al-Raniri dan ‘Abd al-Ra’uf al-Fansuri. Tesis D. Fal. Jabatan Akidah dan Pemikiran  Islam Akademi Pengajian Islam, UM.

(Makalah ini dibentangkan pada Wacana Ke-3 dalam Siri Wacana Keterlestaraian Ilmu Malayonesia anjuran DBP-PDPUM pada 30 Mei 2013 di DBP)

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013493
    Visit Today : 756
    This Month : 32838
    Total Visit : 1013493
    Hits Today : 2513
    Total Hits : 4134618
    Who's Online : 17
  • Kategori