Oleh HASSAN ALIAS

E Pian a/l Pro Poul

SESIAPA yang bertemu dengannya kali pertama tidak akan sedar hal ini. Wajah, penampilan, dan lenggok percakapannya menggambarkan beliau seorang Melayu sejati, apatah lagi namanya juga berbunyi Melayu, iaitu Pian. Banyak yang menyangka nama sebenar “lelaki Melayu” ini ialah Sufian.

Nama sebenar “Sufian”  ialah E Pian A/L Pro Poul,  keturunan Siam yang berasal dari Kampung Padang, Gelang Mas, Pasir Mas, Kelantan Darul Naim. Dilahirkan pada 22 April 1965, beliau bersekolah rendah dan bersekolah menengah di Pasir Mas dan mengakhiri dunia akdemiknya dengan menggulung Ijazah Sarjana Muda Sastera Kepujian Kelas II Bahagian Tinggi, Fakulti Sastera & Sains Sosial, Universiti Malaya pada tahun 1990.

Menyingkap rentetan kedatangan beliau ke Kuala Lumpur merupakan suatu pengalaman yang menarik. Beliau masih mengingat dengan tepat akan tarikh beliau meninggalkan kampung halaman menuju ke bandar raya yang bergemerlapan.

 “Pada pukul 8.30 malam 20 Disember 1984, sesudah kira-kira dua minggu tamat Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) saya menuju ke Kuala Lumpur dengan bas ekspres tanpa pendingin hawa meredah hujan musim tengkujuh melalui pesisir pantai timur, jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu-Kuantan dan menjejakkan kaki buat pertama kalinya di Kuala Lumpur (Medan Tuanku, Jalan Tuanku Abdul Rahman) pada pagi 21 Disember 1984,” Pian mengimbau kenangan lama.

Pian dibawa oleh seorang phra bhiksu (sami Buddha) kanan yang berasal dari kampung yang menempatkan Wat Phothivihan, Kampung Jambu, Tumpat, Kelantan untuk diserahkan kepada seorang Ketua Phra Bhiksu di Wat Buddha Jayanti, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Abangnya Suwanlerd @ Epan Pro Poul, sudah tinggal di wat itu kira-kira setahun sebelum itu.

Abangnya bekerja di Kuala Lumpur dan kerap bertandang dan bertemu penulis di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selain kerap bertemu rakan-rakan dalam pelbagai aktiviti perbincangan tentang penulisan, pengucapan puisi dan teater. Beliau juga banyak mengikuti kursus dan bengkel anjuran DBP.  Oleh itu beliau akan membawa pulang pelbagai kertas kerja dan makalah ke wat. Dari situlah timbul keinginan Pian untuk mencuba menulis cerpen sendiri.

Minatnya terhadap dunia penulisan berputik pada usia enam tahun. Beliau mampu membaca dan menulis dalam bahasa Melayu, diajar oleh ayahnya yang mendapat pendidikan daripada kelas dewasa. Daripada situ beliau menanam minat membaca buku cerita. Tambahan pula ayahnya rajin meriwayatkan cerita klasik Siam kepadanya yang sebagai upah kerana Pian rajin  membaca dan membuat kerja rumah yang ditugaskan oleh guru  di Sekolah Kebangsaan Gelang Mas, Pasir Mas, Kelantan yang menjadi sekolah pertama beliau.

“Saya banyak membaca cerita (cerpen dan novel) dalam bahasa Melayu milik  abang saya yang banyak di rak buku di rumah. Seawal usia di sekolah menengah rendah, saya sudah membaca novel Prof. Hamka berjudul Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck,” luah Pian sambil tersenyum.

Minat Pian terhadap karya sastera berkait rapat dengan latar belakang keluarganya yang bergiat dalam seni menora. Moyang sebelah ayah beliau merupakan peran diraja yang bekerja sebagai peran menora dalam istana Kelantan pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, malah anaknya, iaitu datuk Pian yang lahir pada tahun 1899 menguliti zaman kanak-kanaknya di dalam istana Kelantan. Datuk  sebelah ibu beliau  juga seorang peran menora. Barangkali darah seni yang mengalir itu  menyebabkan beliau dan saudara-mara  yang lain lahir  sebagai penulis sastera di negara kita. Mereka ialah Eh Deng Eh Chik, Suwanlerd Pro Poul, Mohd Azli Lee Abdullah (Lee Cheong Beng), Prasert Eh Chai, Eh Pon Awang Din dan Eh Mi Iput.

Pian menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 daripada Timbalan Perdana Menteri.

Mungkin banyak staf DBP tidak perasan bahawa Pian bekerja sebanyak dua kali di DBP. Pertama kali pada 1 September 1990, iaitu di Bahagian Perkamusan, Jabatan Bahasa, sesudah menerima ijazah dari Universiti Malaya pada tahun tersebut. Beliau berhenti pada 31 Mac 1991, apabila ditawarkan pekerjaan sebagai  Penolong Penyunting Skrip (Drama) di TV3 pada 1 April 1991.

Selepas TV3, beliau dipindahkan ke Grand Brilliance Sdn. Bhd., anak syarikat TV3 apabila syarikat itu ditubuhkan bagi membekalkan drama kepada TV3 dan membuat filem. Antara filem hasil buah tangan beliau ialah “Lurah Dendam” dan “Baginda”.

Sebelum kembali ke DBP pada 7 April 2008, beliau juga pernah bekerja di Medanmas Sdn. Bhd. (sebuah syarikat produksi TV/filem) sebagai Ketua Unit Skrip dan yang terakhir sebagai Penolong Pengarah Filem “Paloh” arahan Adman Salleh.

Di DBP, beliau bekerja di Bahagian Pembangunan Penerbitan, Jabatan Penerbitan, DBP sehinggalah mendapat jawatan tetap pada 1 Oktober 2010 dan dipindahkan ke Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP hingga sekarang.

Pian yang menulis hampir semua genre penulisan kreatif, seperti cerpen, novel, skrip drama/filem, dan puisi, mengakui kelebihan bertugas di DBP.

“DBP gedung ilmu; sambil bekerja kita dapat menimba ilmu. Ruang dan peluang untuk kita terus belajar dan menulis sudah tersedia, sama ada untuk diterbitkan dalam bentuk buku atau majalah itu terletak di tangan kita sendiri. Ruang dan peluang seperti ini bukan ada di semua tempat,” akui Pian yang memerlukan suasana sunyi untuk berkarya, tidak kira siang atau malam.

Pian menyenangi beberapa orang pengarang besar yang dijadikan sumber rujukan untuk berkarya. Mereka ialah Pramoedya Ananta Toer, SN Datuk Shahnon Ahmad, SN Dato’ Anwar Ridhwan dan   Allahyarham Azizi Haji Abdullah.

Pian tidak kekok walaupun terpaksa menggauli dunia yang dipenuhi oleh orang Melayu. Beliau tidak menganggap ini sebagai suatu masalah. Tentang hal ini Pian bercakap panjang lebar, “Kehidupan saya bersama orang Melayu bermula sejak nenek moyang saya lagi. Apabila saya membesar, kawan saya juga orang Melayu; sejak kecil hinggalah ke universiti. Malah sewaktu berada di tingkatan satu Sekolah Menengah Meranti, saya satu-satunya murid keturunan Siam di sekolah itu dan dilantik pula menjadi pengawas. Demikian juga sewaktu di tingkatan enam dan juga di universiti, saya “lone ranger”. Oleh hal yang demikian berada di dalam kelompok penulis keturunan Melayu tidak menjadi masalah kepada saya. Mereka semua kawan dan guru saya. Yang membezakan saya dengan mereka ialah pegangan agama. Itu sahaja. Saya ada menulis tentang perkara ini dalam cerpen pertama saya pada tahun 1984.”

Walaupun nampak pendiam, Pian bukanlah seorang penyendiri. Beliau mudah bergaul dan berkawan di samping melibatkan diri dalam persatuan. Beliau memegang jawatan Setiausaha Persatuan Siam Kelantan, Kuala Lumpur dan Selangor (PESILA) sejak tahun 2000 hingga sekarang selain ahli Persatuan Buddhist Selangor, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dan Persatuan Wat Thai Buddhist Chetawan, Jalan Gasing, Petaling Jaya, Selangor. Sewaktu menuntut dalam tahun akhir (Sesi 1989/1990) di Universiti Malaya, beliau  memegang jawatan Setiausaha 1, Ikatan Sastera Universiti Malaya (ISUM).

Selain menumpahkan minat dalam dunia penulisan, Pian mempunyai matlamat tersendiri apabila memasuki dunia tersebut. Beliau berhasrat untuk menyebarluaskan pengetahuan tentang budaya dan kewujudan orang Siam Malaysia yang budayanya hampir sama dengan orang Melayu kepada semua masyarakat Malaysia yang masih ramai tidak mengetahuinya.

“Apabila disebut sahaja Siam, mereka akan mengatakan orang Siam itu dari  Thailand. Bagi mengelakkan kekeliruan ini berpanjangan, maka ketetapan telah dipersetujui oleh pemimpin masyarakat Siam Malaysia bahawa kami warganegara Malaysia mahu dikenali sebagai “Siam”, manakala “Thai” bermaksud orang Thai yang berwarganegara Thailand. Perkara ini telah dipersetujui dan diiktiraf oleh kerajaan. Orang Siam Malaysia juga sudah diiktiraf sebagai bumiputera,” kata Pian bersemangat.

Pian yang memenangi kategori cerpen Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012 mampu mencipta nama besar dalam kesusasteraan Melayu. Banyak lagi perkara yang belum ditumpahkannya di atas kertas. Sebab itulah Pian lebih suka diam – banyak memerhati dan berfikir sambil menggarap dan mengolah ilham yang bermain di fikiran.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036242
    Visit Today : 1020
    This Month : 18841
    Total Visit : 1036242
    Hits Today : 3879
    Total Hits : 4249969
    Who's Online : 10
  • Kategori