Oleh DR. AWANG SARIYAN

KALAU anda mengikuti perkembangan bahasa Melayu sejak tahun1980-an, dapat  anda  ikuti perbahasan tentang  sebutan baku. Dalam ruangan forum  pembaca  di akhbar  dan  dalam pelbagai bentuk pertemuan, orang berbahas tentang sebutan yang betul bagi kata teknologi, iaitu adakah tek•no•lo•gi atau tek•no•lo•ji?

Orang  bercanggah pendapat  tentang sebutan  bagi fokus, iaitu adakah fo•kus, fo•kas, atau   fo•kes (e dengan  sebutan pepet). Tidak ketinggalan dibahaskan orang soal sebutan kata-kata yang berakhir  dengan huruf a, adakah dibunyikan a atau e pepet? Misalnya, kata saya, adakah sa•ya atau sa•ye sebutannya? Pendeknya, banyak lagi sebutan kata yang menimbulkan tanda tanya.

Dalam keadaan itu, timbul pula dakwaan yang berbagai-bagai. Ada yang mengatakan  bahawa bahasa kita diindonesiakan  apabila bunyi a di hujung kata diucapkan a dan bukan e pepet. Ada yang mengatakan janggal mendengar (apatah  lagi mengucapkan) kata biologi, morfologi, industri, memorandum, kurikulum, kalsium, unit, dan  universiti  sebagai  bio•lo•gi, mor•fo•lo•gi, in•dus•tri, me•mo•ran•dum, ku•ri•ku•lum, kal•sium, u•nit, dan u•ni•ver•si•ti. Kata  kalangan  yang   berdiri   bulu   tengkuknya apabila mendengar sebutan demikian, mereka sudah biasa mendengar dan mengucapkan  ba•yo•lo•ji, mer•fo•lo•ji, in•das•tri, me•mo•ren•dem, ke•ri•ke•lem, kel•siem, yu•nit,dan yu•ne•ver•si•ti.

Sengaja saya paparkan soal-soal yang berkaitan dengan sebutan baku itu supaya  anda  ikut  berfikir. Soal-soal yang timbul, seperti yang saya gambarkan tadi, sebenarnya  berpunca daripada salah faham belaka.

Kalau kita mengkaji bahasa-bahasa yang maju di dunia, setiap bahasa itu memiliki ragam bakunya, di sisi adanya ragam basahan. Salah satu bahagian ragam bahasa baku ialah sebutannya. Bahasa Arab, misalnya, mempunyai sebutan  baku dan yang tidak baku. Apabila berjual beli, sebutan  yang tidak baku itulah yang digunakan.Tetapi dalam suasana rasmi, sebutan  bakulah yang digunakan.

Dalam bahasa lnggeris, dikenal orang adanya sebutan bahasa lnggeris baku atau standard  pronunciation atau  received pronunciation (RP). Di negara  lnggeris, Queen English  menjadi  ukuran  bahasa  lnggeris yang baku. Bahasa lnggeris yang digunakan  di beberapa banyak  negara, termasuk di negara  kita, dapat dikatakan  bersandar pada ragam tersebut.

Dalam  pelaksanaannya, bahasa  lnggeris  yang  digunakan   oleh   Perbadanan   Penyiaran  lnggeris  (British  Broadcasting Corporation/BBC)  di London   itulah  yang  dianggap  baku. Jadi, di  sekolah,  di  maktab, dan di universiti  diajarkanlah sebutan baku. Pelajar  pun tahulah   mengucapkan sebutan baku dalam suasana  rasmi.

Yang diajarkan di sekolah dan di universiti  di negara  kita ini pun  sebutan lnggeris  yang baku  itu. lngatlah bagaimana marahnya guru Bahasa lnggeris anda jika anda salah menyebut kata-kata  tertentu.

Bagi bahasa Melayu atau bahasa  Malaysia yang sudah  menjadi  bahasa moden, perlu   ada  bentuk   sebutan  bakunya. Hal  ini  demikian   kerana bahasa  Malaysia bukan  hanya digunakan  untuk   bercakap-cakap tentang hal-hal diri dan peribadi sahaja. Bahasa Malaysia kini sudah menjadi  bahasa pentadbiran. Mesyuarat, taklimat, dan ucapan perlu  dilaksanakan  dalam bahasa  Malaysia. Tentu tidak sesuai  mesyuarat dan  ucapan rasmi dilaksanakan dengan  sebutan   bahasa  basahan  seperti  ketika  berbual di kedai kopi atau dengan menggunakan sebutan dialek yang tidak dapat menimbulkan  keadaan  saling memahami, terutama  bagi  anggota mesyuarat yang datang  dari  kumpulan  dialek yang lain. Bayangkanlah bagaimanakah  jadinya mesyuarat yang dihadiri  oleh  orang  dari  Kelantan, dari Kedah, dari Terengganu, dari Negeri  Sembilan yang masing-masing menggunakan  dialeknya?

Selain itu, bahasa Malaysia sudah menjadi bahasa  ilmu. Di samping memelihara tatabahasa dan istilah yang tepat dalam mengungkapkan ilmu, kita  perlu menggunakan   sebutan  baku   juga. Kuliah  di universiti dan pengajaran di sekolah akan menjadi lebih teratur dan berkesan dengan menggunakan  sebutan baku.

Di  samping  itu, sebutan   baku  dapat   juga  meningkatkan   keindahan bahasa  kita. Amatilah  lagu-lagu yang  didendangkan  oleh   penyanyi  kita. Hampir   semua   penyanyi   (baik  secara  sedar  mahupun   tidak   sedar) mengucapkan   seni   kata   lagu  dengan   sebutan  baku   sehingga   dapat menimbulkan kesan keindahan. Jika  ada  penyanyi yang mengucapkan seni kata  menurut  sebutan dialek Riau-Johor  yang dahulu  dianggap  baku, seperti  tiada kata secantik bahasa diucapkan  sebagai  tia•de ka•te se•can•tek ba•ha•se, lagunya pasti  tidak  menarik.  Bayangkan  juga bagaimana  kesan dan  semangat  kita  apabila  lagu  kebangsaan   kita, iaitu  Negaraku  dinyanyikan dengan menggunakan  sebutan dialek Riau-Johor.

Demikianlah pula halnya dalam deklamasi sajak. Sajak yang dideklamasikan  dengan  sebutan baku pasti bertenaga dan indah. Sajak itu bertenaga apabila setiap bunyi diucapkan dengan sebutan   yang terang, satu demi satu dan berasaskan makhraj yang betul.

Kalau  dalam  percakapan  biasa  bunyi  r  seperti  dalam  kata  besar disenyapkan  menjadi be•sa atau  be•so, maka dalam deklamasi  sajak perlu diucapkan dengan jelas  menjadi  be•sar. Keindahan  pula  timbul apabila sesuatu bunyi diucapkan dengan  betul, kerana  tindakan  itu dapat menghasilkan  rima, rentak, asonansi,  dan aliterasi. Dapat  juga kita fahami bahawa untuk mengungkapkan  sesuatu   slogan,  perjuangan,  dan  sebagainya dengan  berkesan, sebutan baku memainkan  peranan  yang penting. Setiap kali kita menyambut Hari Kebangsaan, saya yakin bahawa semua orang   melaungkan ungkapan  merdeka dengan  sebutan baku, termasuk orang yang menentang sebutan baku.

Setakat ini, anda  sudah  faham  mengapa  sebutan baku kita perlukan. Ada  lagi soal  yang  patut  anda  dalami. Apabila  ada  orang  yang mempersoalkan sebutan kata seperti apa, siapa, saya, suka yang berbunyi a•pa, sia•pa, sa•ya, su•ka itu  sebagai   pengaruh bahasa  Indonesia   atau disebabkan   bunyi  a  itu  bahasa  Malaysia dianggap  telah  diindonesiakan, maka orang  itu  lupa akan  adanya  orang  di Malaysia yang memang mengucapkan   demikian.  Orang di bahagian  utara  Semenanjung Malaysia (Kedah, Perlis, Pulau Pinang, dan Perak Utara), serta orang  di Sabah dan di Sarawak   umumnya  mengucapkan  a  bukan  e  pepet  pada  hujung  kata. Memang  bunyi  a itu  sendiri   tidak  seragam   betul  di  antara  kawasan­kawasan itu. Tetapi, hakikat itu menunjukkan bahawa sebutan  a bukan hal yang  aneh dalam bahasa Malaysia. Bahkan dalam  ucapan  sehari-hari sekalipun  memang  ada  kata  yang sekian  lama  diucapkan  dengan  a dan bukan e pepet. Perhatikan contoh yang berikut ini.

ENTRI SEBUTAN BAKU
asrama as•ra•ma bukan as•ra•me
astaka as•ta•ka bukan as•ta•ke
beca be•ca bukan be•ce
beranda be•ran•da bukan be•ran•de
doa do•a  bukan do•e
fenomena fe•no•me•na bukan fe•no•me•ne
kolera ko•le•ra  bukan ko•le•re
lawa la•wa bukan la•we
maha ma•ha  bukan ma•he
nada na•da bukan na•de
nona no•na bukan no•ne
norma nor•ma bukan nor•me
nyonya nyo•nya  bukan nyo•nye
orkestra or•kes•tra bukan or•kes•tre
para pa•ra bukan pa•re
pesta pes•ta  bukan pes•te
pola po•la bukan po•le
prasarana pra•sa•ra•na bukan pra•sa•ra•ne
propaganda pro•pa•gan•da bukan pro•pa•gande
prosa pro•sa  bukan pro•se
sastera sas•te•ra bukan sas•te•re
sayembara sa•yem•ba•ra bukan sa•yem•ba•re
swasta swas•ta bukan swas•te
satria sat•ria bukan sat•rie
Taala ta•a•la bukan ta•a•le
takwa tak•wa   bukan tak•we
tanpa tan•pa bukan tan•pe
wan ita wa•ni•ta bukan wa•ni•te
wira wi•ra bukan wi•re

Jadi,janggalkah bunyi a di akhir kata dalam bahasa Malaysia?

Tentang soal adanya anggapan bahawa sebutan gi dalam kata seperti teknologi itu janggal, dapat kita katakan bahawa anggapan itu hanya timbul dalam kalangan orang yang berfikir dan bermimpi dalam bahasa lnggeris. Dalam bahasa lnggeris, kata technology memang tidak semestinya diucap­ kan tek•no•lo•ji, kerana huruf dalam bahasa lnggeris tidak semestinya menggambarkan bunyi yang tetap. Huruf g dalam technology diucapkan  j tetapi  huruf  g dalam  kata  organ diucapkan  g;  jadi bukan or•jen, tetapi or•gen.

Dalam  bahasa  Malaysia, umumnya  satu  huruf  melambangkan  satu bunyi. Huruf g tetap  berbunyi g, bukan j. Jadi, kata tek•no•lo•gi diucapkan tek•no•lo•gi bukan tek•no•lo•ji, sebagaimana kata-kata pagi-pagi menggosok gigi tidak mungkin diucapkan paji-paji menjosok jiji.

Demikianlah  pula kata  kalsium patut  diucapkan  kal•sium bukan kal•siem atau  kel•siem. Dalam bahasa kita ada  kata cium  yang tidak disebut ciem!

(Makalah ini dipetik daripada buku Tuntunan Bahasa tulisan Dr. Awang Sariyan)

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035080
    Visit Today : 1296
    This Month : 17679
    Total Visit : 1035080
    Hits Today : 6442
    Total Hits : 4244776
    Who's Online : 5
  • Kategori