Oleh AZHAR MAT DORA

Khalidah Mustafa dari SIRIM (kiri) menyampaikan Sijil Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2008 yang berjaya diperoleh DBP kepada Ketua Pengarah DBP.

MAJLIS Hari Inovasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2010 yang julung kalinya diadakan pada 21 Disember lalu merupakan hari bersejarah bagi DBP kerana pada hari tersebut, DBP menerima Sijil Pengiktirafan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2008 daripada SIRIM. Sijil tersebut disampaikan oleh Pengarah Urusan SIRIM QAS International Sdn. Bhd., Puan Khalidah Mustafa kepada Dato Haji Termuzi Haji Abdul Aziz dengan disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah.

Sambutan Hari Inovasi DBP 2010 bertemakan “Pekerja Inovatif Organisasi Produktif” dirasmikan oleh Dato’Saifuddin Abdullah, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP. Hari Inovasi diadakan bagi menggantikan Hari Kualiti yang diadakan sebelumnya pada setiap tahun sejak tahun 1992.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah merasmikan Majlis Hari Inovasi DBP.

Dalam ucapan perasmian, Dato’ Saifuddin Abdullah menekankan kepentingan budaya kreativiti dan inovasi bagi menjadikan DBP terus berdaya saing dan relevan di pentas dunia dalam era persaingan globalisasi. Beliau juga menegaskan perlunya setiap pekerja mengubah minda mereka supaya menjadi lebih kreatif, inovatif dan kritis.

Ketua Pengarah DBP, Dato’ Haji. Termuzi Haji Abdul Aziz dalam ucapan alu-aluannya, menerangkan beberapa kejayaan yang dicapai oleh DBP, khususnya dalam pengurusan kualiti dan inovasi selain memaklumkan perancangan inovasi DBP pada masa akan datang.

Penerima anugerah bergambar kenangan bersama-sama Dato’ Saifuddin Abdullah dan pihak pengurusan DBP.

Pada majlis tersebut,  Dato’ Saifuddin Abdullah turut menyampaikan anugerah kepada seramai 48 orang Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang DBP (Ibu Pejabat) bagi tahun 2009. Selain itu, hadiah juga disampaikan kepada pemenang Pertandingan Mencipta Tema Hari Inovasi DBP 2010, “Pekerja Inovatif Organisasi  Produktif”, iaitu Puan Nor Fisah Md. Zain.

Pertandingan lain yang diadakan sempena Hari Inovasi DBP ialah Sayembara Mencipta Puisi Inovasi DBP 2010 dan Pertandingan Menulis Esei Inovasi DBP 2010. Johan Sayembara Mencipta Puisi Inovasi DBP 2010 ialah Encik Ja’afar Hamdan dengan judul puisinya “DBP Ke Mercu Inovasi”, manakala johan Pertandingan Menulis Esei Inovasi DBP 2010 ialah Encik Mohd. Riduwan Wahab dengan judul eseinya “Pembudayaan Inovasi dan Kreativiti di DBP sebagai Pemangkin Kecemerlangan Organisasi”.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013827
    Visit Today : 1090
    This Month : 33172
    Total Visit : 1013827
    Hits Today : 3906
    Total Hits : 4136011
    Who's Online : 12
  • Kategori