Oleh BASIRAH ARIFIN

Pemenang menerima hadiah daripada Haji Adnan Mohd. Noor (dua dari kanan).

PENGGUNAAN bahasa kebangsaan yang baik dan penampilan konsep penerbitan yang kreatif serta menarik berjaya menjulang majalah Kemuncak daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gunung, Bachok, Kelantan sebagai Majalah Terbaik 2010. Majalah Kemuncak juga memperoleh tempat kedua bagi kategori bahasa.

Bagi kategori bahasa, SMK Machang dengan majalah Mentara tetap mengungguli tempat pertama kategori bahasa selama tiga tahun berturut-turut, dan tempat ketiga dimenangi oleh majalah Ulya daripada SMK Agama Wataniah, Jerteh, Terengganu. Penyampaian hadiah disampaikan pada majlis Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Peringkat Wilayah Timur ke-6 pada pada 15 November 2010 di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Kota Bharu, Kelantan.

Sementara itu bagi kategori penerbitan, majalah Nadi Mas buah tangan SMK Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas pula dinobatkan sebagai pemenang pertama. Pemenang kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik SMK Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Kuantan dengan penampilan majalah Indera dan SMK Nasiruddin Shah, Besut dengan majalah sekolahnya Pelangi.

Peserta bergambar kenang-kenangan dengan hadiah masing-masing.

Turut menerima hadiah ialah 18 orang pelajar yang memenangi Kategori Karya Kreatif merangkumi penulisan cerpen, puisi dan esei.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Haji Adnan Mohd. Noor, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Kelantan. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Haji Che Soh Muda, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Terengganu dan Hajah Che Zainab Omar, Pemangku Pengarah, DBPWT.

Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah mula diadakan oleh DBPWT pada tahun 2005 yang bertujuan memberikan penghargaan kepada usaha sekolah dan pelajar dalam penerbitan majalah sekolah di samping menyuburkan minat generasi pelajar dalam penulisan kreatif dan bukan kreatif.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042716
    Visit Today : 580
    This Month : 25315
    Total Visit : 1042716
    Hits Today : 1527
    Total Hits : 4281122
    Who's Online : 17
  • Kategori