Oleh HAZIMAH YUSOF

Bengkel bahasa sukuan dapat menambahkan lagi perbendaharaan kosa kata bahasa Melayu

LONTONG ialah juadah istimewa yang lazim dihidangkan pada hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri mahupun dalam majlis keraian yang lain. Bagi masyarakat Malaysia selain ketupat, lemang dan rendang, tidak lengkap juadah Hari Raya tanpa hidangan lontong. Keenakan dan kesedapan rasa lontong menyebabkannya menjadi makanan kesukaan kebanyakan orang di Malaysia.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), lontong didefinisikan sebagai “sejenis makanan berkuah yang isinya termasuk nasi himpit dan sayur-sayuran (seperti sengkuang, kubis, dsb).” Sayur-sayuran yang dimakan bersama nasi himpit ini sebenarnya dibuat dalam bentuk kuah lemak kuning yang menggunakan santan kelapa dan dibubuh sedikit kunyit atau serbuk kunyit sebagai pewarna dan penambah perisa. Kuah lemak ini dinamakan kuah lodeh. Selain dimasukkan dengan sayur-sayuran seperti sengkuang dan kubis, tauhu, tempe, lobak merah, kentang, suhun, fucuk dan cili merah, cili padi juga dimasukkan ke dalam kuah lodeh ini mengikut cita rasa penggemar makanan ini.

Pada masa sekarang nasi himpit dan kuah lodeh ini yang disebut lontong, tidak dimakan begitu sahaja tetapi disediakan makanan tambahan seperti sambal tumis ikan bilis dan sambal kacang yang dimakan bersama lontong untuk menambah perisa dan menyedapkan lagi juadah ini. Bagi masyarakat Malaysia, juadah lontong bukan lagi makanan istimewa pada hari perayaan tetapi menjadi juadah sarapan dan makanan seharian.

Begitu juga di Indonesia, juadah lontong merupakan salah satu juadah popular baik pada musim perayaan mahupun sebagai makanan pengganti nasi dalam kehidupan seharian. Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia Edisi Ketiga (2001), lontong didefinisikan sebagai “makanan yang diperbuat dari beras dibungkus dengan daun pisang, kemudian direbus sampai matang dan boleh dimakan dengan serunding, rendang dan makanan berkuah”.

Berdasarkan definisi makna lontong antara Kamus Dewan Edisi Keempat dan Kamus Besar Bahasa Indonesia, ternyata terdapat perbezaan dalam konsep makna lontong antara masyarakat Malaysia dan masyarakat Indonesia. Bagi masyarakat Indonesia, konsep lontong berbeza dan lebih luas daripada konsep lontong dalam masyarakat Malaysia baik dari segi pembuatan bahan asasnya mahupun dari segi makanan tambahan yang dimakan bersama. Juadah lontong yang dimakan oleh orang Indonesia lazimnya disajikan bersama sate, rojak atau gulai kambing.

Walaupun lontong lebih mirip kepada ketupat tetapi dari segi pembuatannya, lontong lebih mudah dibuat kerana lontong dimasak secara dikukus dalam daun pisang. Lontong dibungkus dengan daun pisang bagi menambahkan lagi aromanya. Bagi kebanyakan masyarakat Indonesia di pelbagai daerah, lontong sering digunakan sebagai pengganti nasi putih.

Bahasa-bahasa sukuan Sabah dan Sarawak diserap masuk ke dalam bahasa Melayu berdasarkan korpus lisan dan tulisan

Terdapat banyak jenis lontong di Indonesia, antaranya Lontong Balap dan Lontong Mi.  Lontong Balap ialah makanan khas masyarakat di Kota Surabaya, Jawa Timur.  Makanan ini terdiri daripada lontong, tauge, tauhu goreng, lentho, bawang goreng, kicap dan sambal.  Manakala lontong Mi pula ialah variasi lontong yang terdapat di Kota Surabaya. Makanan berkuah ini terdiri daripada lontong, tauge, mi kuning, udang kecil goreng, potongan tauhu goreng dan lentho yang dimakan bersama-sama sambal petis udang.  Makanan ini manis rasanya dan lazimnya dihidangkan dengan makanan ringan yang lain seperti dadar jagung dan sate kerang.

Demikian penerangan makna kata lontong, iaitu sebahagian daripada entri kata sukuan Sabah daripada suku kaum Murut  yang diperoleh sepanjang sesi bengkel Projek Pengaruh Bahasa Sukuan (Sabah dan Sarawak) dalam Bahasa Melayu yang ditangani oleh Bahagian Penyelidikan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka antara tahun 2001 hingga 2010.

Projek ini bertujuan untuk memeri dan mengekod bentuk leksikal bahasa-bahasa sukuan Sabah dan Sarawak yang terserap masuk ke dalam bahasa Melayu berdasarkan korpus (lisan dan tulisan) selain mengenal pasti makna bentuk-bentuk leksikal bahasa sukuan yang terserap masuk ke dalam bahasa Melayu dan membandingkan makna tersebut dengan makna asalnya dalam bahasa sukuan masing-masing. Selain itu hasil penelitian projek ini akan diterbitkan dan disebarkan dalam bentuk daftar kata dan pangkalan data yang dapat dicapai melalui internet.

Sepanjang tahun 2001 hingga 2010, sebanyak lapan siri bengkel diadakan, iaitu tiga bengkel bahasa sukuan Sarawak manakala lima bengkel bahasa sukuan Sabah.  Bengkel lebih banyak diadakan di Sabah kerana kekurangan sumber data kajian ini menyebabkan pegawai projek terpaksa menggiatkan usaha untuk mendapatkan data bagi melengkapkan kajian ini sama ada diperoleh melalui dokumentasi atau bahan yang terdapat pada pakar bahasa sendiri.

Bengkel ini dihadiri oleh pakar bahasa sukuan Sabah dan Sarawak yang mewakili suku kaum terbesar di Sabah dan Sarawak.  Pakar bahasa di Sarawak diwakili oleh pakar bahasa dari suku kaum Iban, Melanau, Bidayuh, Kenyah, Lun Bawang dan Melayu Sarawak.  Manakala pakar bahasa yang mewakili suku kaum di Sabah terdiri daripada suku kaum Bisaya, Bajau Sama, Kadazandusun, Iranun, Sungai, Lotud, Tatana, Rumanau dan Tindal.

Walaupun lontong merupakan salah satu makanan yang enak dan sedap dimakan baik di Malaysia mahupun di Indonesia, namun bagi sesetengah orang di Sabah, lontong ialah satu nama yang sangat ditakuti.  Makna lontong bagi masyarakat Murut ialah sejenis racun yang dirumus dan digabungkan daripada bisa ular tedung dan bahan-bahan lain seperti akar pokok sampal dan abu ular belusuk mati beragan yang dibuat untuk melunaskan niat jahat tertentu.

Perbezaan makna lontong amat menarik dikaji selain dapat menambahkan lagi perbendaharaan kosa kata bahasa Melayu.  Dalam hal ini, perbezaan kata lontong dan maknanya didokumentasikan untuk dijadikan sumber rujukan selain dapat menambahkan pengetahuan masyarakat, khususnya generasi akan datang.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    347141
    Visit Today : 662
    This Month : 41591
    Total Visit : 347141
    Hits Today : 2583
    Total Hits : 1417992
    Who's Online : 11
  • Kategori