SEBAGAI negeri beradat perpatih, Negeri Sembilan kaya dengan warisan kebudayaan yang unik seperti seni persembahan tradisional bongai, randai, dan tumbuk kalang. Walaupun kurang dikenali, seni-seni persembahan ini masih berkumandang di sudut-sudut tertentu negeri ini walaupun gemanya tidak selantang suatu ketika dahulu.

Bongai merupakan seni persembahan tradisional yang menggabungkan suara dan alunan muzik. Dalam bahasa yang lebih mudah, persembahan bongai ialah acara berbalas pantun yang disampaikan dalam bentuk lagu oleh para pemantun atau lebih dikenali sebagai pembongai.

Mohd. Shah bin Haji Abd. Rahman

Encik Mohd. Shah bin Haji Abd. Rahman, 73 tahun atau lebih dikenali sebagai Tuk Syah merupakan salah seorang penggiat bongai asli di Negeri Sembilan. Menurut Tuk Syah yang tinggal di Batu Kikir, Negeri Sembilan, seni persembahan ini dipercayai berasal dari Indonesia dan dibawa ke Negeri Sembilan oleh mereka yang berhijrah ke Tanah Melayu.

Keunikan bongai yang dipersembahkan dengan alunan muzik dan suara merdu para pembongai ini tersebar ke banyak daerah di Negeri Sembilan terutamanya di kawasan kampung. Bongai menjadi medium hiburan yang sangat digemari oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan sejak turun-temurun.

Pada masa dahulu, Bongai dimainkan para petani untuk mengisi waktu lapang dan melepaskan lelah. Menonton persembahan bongai merupakan salah satu cara untuk melegakan kerunsingan dan masalah buat sementara waktu. Ada kalanya, para penonton akan turut serta berbongai dan menghiburkan penonton yang lain.

Rata-rata ahli kumpulan bongai sudah lanjut usia

Selain itu, bongai juga dipersembahkan ketika majlis perkahwinan, malam berinai, majlis mencukur jambul dan majlis berkhatan. Kelazimannya, ketika malam berinai, bongai akan dimainkan di tengah-tengah rumah atau di bawah khemah bersama-sama ahli keluarga pengantin yang sedang sibuk menyediakan kelengkapan majlis perkahwinan. Bongai dimainkan bermula pukul pada pukul 10:00 malam sehinggalah sebelum masuk waktu subuh.

Bongai dimainkan secara berkumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada pembongai dan kumpulan pemuzik. Jumlah pembongai tidak tetap; boleh dinyanyikan secara solo, berduet atau berkumpulan tiga atau empat orang. Walau bagaimanapun, hanya seorang pembongai sahaja yang bernyanyi atau berpantun dalam satu-satu masa. Pembongai lain tidak boleh mencelah ketika bongai dilagukan. Contohnya, pembongai kedua hanya boleh menyanyi selepas pembongai pertama selesai, dan begitu juga untuk pembongai ketiga dan keempat. Pembongai boleh juga lelaki atau wanita.

Lirik bongai merupakan puisi Melayu lama seperti syair, gurindam, seloka, kiasan, ibarat dan ungkapan peribahasa. Tema puisi yang sering menjadi pilihan para pembongai ialah tema usik-mengusik, kasih sayang, rumahtangga serta kehidupan sekampung. Tema-tema sebegini selalunya menjadi pilihan pembongai untuk menggambarkan perasaan, memberi nasihat, menyindir dan berjenaka.

Dalam persembahan bongai, pelbagai irama didendangkan, antaranya Irama Anak Bocek, Irama Petasih, Irama Budu Landai, Irama Cantik Manih dan Irama Cemperai.

Alat muzik asal dalam persembahan bongai terdiri daripada dua buah rebana, gong dan violin. Pada masa kini, beberapa peralatan tambahan telah digunakan seperti gendang dan tamborin.

Tuk Shah akan berbongai selagi terdaya

Kini, persembahan bongai dimainkan pada majlis perkahwinan dan majlis-majlis keramaian yang lain dengan cara yang berbeza. Jika dahulu, pembongai harus kreatif untuk mencipta sendiri tema dan rangkap lirik bongai, kini pembongai hanya menyanyikan semula lirik yang sedia ada.

Seni persembahan bongai diancam kepupusan jika tiada usaha untuk terus mengetengahkannya. Persaingan dengan muzik moden menyebabkan bilangan penggemar bongai merosot. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kumpulan bongai yang masih aktif di Negeri Sembilan, antaranya Kumpulan Bongai Seri Tengkek.

Encik Mohd. Shah yang sudah lanjut usia dan kerap uzur hampir kehabisan tenaga untuk terus berbongai. Katanya, tiada siapa yang ingin mewarisi seni persembahan ini termasuk anak-anaknya sendiri. Ahli kumpulannya juga terdiri daripada golongan yang seusia dengannya.

Bayangkan apa yang akan berlaku kepada bongai apabila mereka sudah tiada lagi? Pihak berwajib, terutamanya jabatan kerajaan yang memelihara seni warisan kebudayaan turun-temurun perlu mengambil langkah proaktif sebelum terlambat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013790
    Visit Today : 1053
    This Month : 33135
    Total Visit : 1013790
    Hits Today : 3681
    Total Hits : 4135786
    Who's Online : 11
  • Kategori