Oleh AHMAD FAZLY SAHAR

Bahasa Bangla pada papan tanda.

KEBANJIRAN warga asing di ibu kota menimbulkan perasaan kurang selesa dalam kalangan masyarakat tempatan. Perkara yang lebih membimbangkan ialah golongan ini dilihat telah mendominasi sesetengah kawasan di ibu negara yang menjadi tumpuan mereka. Timbul pertanyaan pada kita, bagaimanakah warga asing ini boleh menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan yang menjadi tumpuan awam membeli belah dan beriadah khususnya pada setiap hujung minggu?

Jika dilihat di sekitar kawasan ibu kota, terutamanya di Jalan Silang dan Jalan Pudu,  kebanyakan premis perniagaan di kawasan tersebut dikuasai oleh warga asing, khususnya warga Nepal, Bangladesh dan Vietnam. Yang lebih mengejutkan adalah dengan terdapatnya banyak papan tanda, gegantung dan kain rentang yang menghiasi deretan kedai menggunakan bahasa ibunda mereka yang terang-terang tidak mencerminkan citra Malaysia dan menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Keadaan ini menggambarkan seolah-olah kita berada di negara mereka.

Bahasa asing tidak sewajarnya digunakan pada papan tanda.

Dalam Undang-undang kecil Iklan Wilayah Persekutuan 1982 Perkara 3 dan 4, jelas menerangkan bahawa penggunaan bahasa Melayu pada iklan papan tanda hendaklah diberi keutamaan dari segi saiz perkataan, warna dan kedudukannya. Jelaslah penggunaan bahasa asing yang  berleluasa pada papan dan paparan di premis perniagaan ini menyalahi peruntukan undang-undang yang sedia ada. Justeru, semua PBT hendaklah berperanan dengan lebih aktif dan bersungguh-sungguh dengan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada.

Kecenderungan penggunaan bahasa asing di tempat awam perlu diberikan perhatian yang serius oleh semua pihak bagi memastikan bahasa kebangsaan diutamakan. Sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan maka sudah pasti akan  menimbulkan kekeliruan kepada generasi yang akan datang dan bahasa Melayu akan terpinggir di bumi sendiri.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044788
    Visit Today : 1209
    This Month : 27387
    Total Visit : 1044788
    Hits Today : 4460
    Total Hits : 4289433
    Who's Online : 7
  • Kategori