Oleh SITI RUZAIHA MOHD. RIFFIN

Manuskrip terjemahan “Hikayat Perang Tiga Negara” diserahkan oleh Presiden PERSPEKTIF (kanan),                Goh Hin San kepada Ketua Pengarah DBP.

PENTERJEMAHAN diibaratkan jambatan yang menghubungkan dua pihak yang berlainan bangsa yang membolehkan komunikasi dan interaksi berkesan diwujudkan. Justeru, terjemahan yang dihasilkan amat penting untuk menyampaikan pelbagai jenis maklumat yang ada pada satu komuniti bahasa kepada satu komuniti bahasa yang lain,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Menterjemah Cerpen Mahua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia 2010 pada 23 Disember lalu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Seramai 20 orang pemenang menerima hadiah dalam dua kategori, iaitu Cemerlang (lima orang) dan Terbaik (15 orang). Antara pemenang hadiah kategori Terjemahan Cemerlang ialah Lim Hseien Oo (USM), Kang Kah Yee (UM), Sea Mei Ting (USM), Ong Gaik Buon (USM) dan Soon Lay Yee (USM). Maing-masing menerima hadiah wang tunai RM500, buku serta sijil penyertaan, manakala pemenang hadiah terjemahan terbaik pula menerima wang tunai sebanyak RM300, buku serta sijil penyertaan.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif (PERSPEKTIF) dengan kerjasama DBP dan Universiti Sains Malaysia (USM) ini bertujuan untuk menggalakkan interaksi antara bahasa budaya, mencungkil dan mengasah bakat menterjemah dalam kalangan penuntut IPT di negara ini. Selain itu pertandingan ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan peranan penterjemahan.

Para pemenang peraduan bergambar bersama-sama Dr. Koh Tsu Koon dan                               Ketua Pengarah DBP.

Penterjemahan melibatkan proses pemindahan lambang linguistik dan ekstra linguistik antara dua bahasa. Oleh itu, penterjemahan dilihat sebagai kerja yang membolehkan penterjemah mempelajari, mengenali, memahami dan menghayati sosiobudaya serta pemikiran yang tersurat mahupun tersirat dalam teks sumber.

Pertandingan Menterjemah Cerpen Mahua IPT Malaysia ini diadakan mulai 1 Julai hingga 15 September 2010 dan menerima kira-kira 100 penyertaan daripada penuntut IPT di negara ini. Sebanyak 15 buah cerpen Mahua (cerpen yang dihasilkan oleh penulis Cina di Malaysia) dengan pelbagai tema dalam bahasa Cina dipilih untuk dijadikan teks sumber. Jumlah perkataan bagi setiap teks sumber adalah antara 4500-5000 patah perkataan dan terjemahan hendaklah dibuat ke dalam bahasa Melayu.

Menurut Presiden PERSPEKTIF, Encik Goh Hin San, pertandingan ini juga dapat mencungkil bakat-bakat muda bidang sastera dalam kalangan penulis bukan Melayu untuk membuahkan hasil yang baik selain dapat menunjukkan penglibatan sektor swasta dalam memartabatkan bahasa kebangsaan di negara ini.

Pada majlis yang dihadiri oleh kira-kira 300 orang ini, dua buah manuskrip “Hikayat Perang Tiga Negara” yang mempunyai terjemahan sari kata dalam bahasa Melayu telah diserahkan kepada Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Termuzi Haji Abdul Azizi untuk diterbitkan oleh DBP.

Upacara perasmian majlis dengan memaparkan poster “Hikayat Perang Tiga Negara”.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014088
    Visit Today : 117
    This Month : 33433
    Total Visit : 1014088
    Hits Today : 284
    Total Hits : 4137086
    Who's Online : 12
  • Kategori