Oleh ROHANA ABD. RAHMAN

Omara (kiri) menerangkan demo persembahan boria dibantu oleh kumpulannya.

PEMINAT boria dan pengunjung Gerai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pasti terhibur apabila menyaksikan bual bicara antara Penggiat Boria Encik Omar M. Hashim atau lebih dikenali sebagai Omara bersama-sama tukang karang boria, Hazman dan pelawak sketsa boria Pak Kojek (Encik Yusof Mhd. Hashim). Mereka telah memeriahkan “Sesi Bersama Penulis” selama sejam  yang diadakan di Gerai DBP di Bilik Perlis, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)  pada 24 April  lalu.

Omara, penggiat seni budaya dan warisan yang aktif berasal dari negeri Pulau Pinang,  mula terlibat dengan boria sejak tahun 1964 ketika berumur 10 tahun. Boria dengan diri beliau tidak dapat dipisahkan umpama “irama dan lagu”. Dalam seni persembahan boria, beliau cukup dikenali sebagai penulis rangkap karangan lagu boria selain menguruskan tempahan lagu boria dalam bentuk  minus one. Demi mengangkat martabat seni persembahan boria Pulau Pinang, Omara telah menghasilkan lagu-lagu boria dalam pelbagai tema untuk terbitan DBP. Sesi tersebut anjuran Bahagian Multimedia, DBP bertujuan mempromosikan produk multimedia DBP, iaitu DVD Seni Persembahan Boria sempena PBAKL 2011.

Dalam sesi  ini, Omara memberikan penerangan kepada pengunjung gerai DBP serta peminat boria tentang seni persembahan boria umumnya. Dengan  dibantu oleh Pak Kojek serta  tukang karang Hazman, beliau membuat demo persembahan boria. Menurutnya,  seni persembahan boria perlu dimulakan dengan sketsa jenaka kerana sketsa inilah yang memeriahkan persembahan boria. Biasanya tema sketsa berkaitan dengan lagu boria yang dinyanyikan tukang karang boria.

Dalam persembahan boria, lagu boria dinanyikan oleh tukang karang dan kemudiannya diikuti oleh nyanyian latar “Sailor” (penari boria) pada korus lagu boria. Dalam sesi ini juga,  Hazman turut menyanyikan beberapa rangkap karangan lagu boria berjudul “Lumba Haram” yang dipetik daripada koleksi lagu boria menerusi DVD Seni Persembahan Boria.  Omara turut menerangkan tentang pemilihan kostum dan props boria  selain tayangan video DVD Seni Persembahan Boria.

Selain boria, pelbagai acara yang menarik hati pengunjung diadakan di gerai DBP.

Pada akhir sesi, beberapa soalan kuiz berkaitan boria telah dikemukakan kepada pengunjung Gerai DBP untuk menguji kefahaman mereka tentang seni persembahan boria. Mereka yang berjaya menjawab dengan betul menerima cenderamata DBP termasuk CD/DVD.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013433
    Visit Today : 696
    This Month : 32778
    Total Visit : 1013433
    Hits Today : 2329
    Total Hits : 4134434
    Who's Online : 9
  • Kategori