Oleh SITI HAJAR ELAH

Papan tanda hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan yang betul dalam semua aspek tatabahasa

KESALAHAN dan kecelaruan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda dan papan iklan masih lagi ditemui di tempat-tempat awam. Situasi ini menggambarkan sikap peniaga atau pengiklan yang tidak prihatin terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat. Sikap mereka yang mengabaikan penggunaan bahasa Melayu yang betul, tepat dan berkesan menyebabkan martabat bahasa Melayu seolah-olah diperlekehkan. Dalam hal ini, soal betul atau salah penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda mahupun papan iklan bukan menjadi pertimbangan utama peniaga dan pengiklan, sebaliknya mereka hanya mementingkan bahasa yang  digunakan pada  papan tanda yang mereka anggap dapat difahami oleh pengguna. Justeru, terdapat segelintir peniaga dan pengiklan yang mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris atau menjadikan “bahasa rojak” pada papan tanda premis mereka.

Pada paparan menu, ejaan makanan juga perlu dititikberatkan

Memandangkan kesalahan dan kecelaruan bahasa pada papan tanda ini semakin berleluasa, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah berkerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) bagi memartabatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat. Hasil kerjasama ini telah terjalin sejak tahun 2007 dan masih berterusan sehingga sekarang. Dalam konteks kerjasama ini, usaha yang dijalankan adalah agar setiap papan tanda perniagaan perlu mendapat pengesahan bahasa daripada DBPWS terlebih dahulu. Tanpa pengesahan bahasa daripada DBPWS, permohonan mahupun pembaharuan lesen bagi peniaga dan pengiklan tersebut tidak akan diluluskan oleh pihak MBJB.

Usaha MBJB ini mendapat perhatian Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan mulai tahun 2011, MPPG turut melaksanakan kaedah yang sama kepada pihak peniaga dan pengiklan yang ingin memohon atau memperbaharui lesen mereka agar mendapatkan pengesahan bahasa daripada DBPWS.

Sesungguhnya usaha MBJB dan MPPG ini merupakan usaha yang amat baik bagi meningkatkan martabat bahasa Melayu. Dalam hal ini, peniaga dan pengiklan akan sedar peri pentingnya penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat, khususnya dalam papan tanda dan papan iklan.

Papan tanda hendaklah menggunakan bahasa Melayu yang betul.

 

  1. Bujang says:

    Saya terpanggil untuk bertanyakan sama ada penggunaan bagi nama jawatan rasmi PEGAWAI PENYIASAT POLIS betul? Sekiranya salah, apakah penyelesaian yang sesuai? Sekiranya betul maafkan saya. Saya memohon maklum balas tuan.

    • Klik Web DBP says:

      Nama jawatan rasmi tersebut betul dari segi tatabahasa. Namun, saudara perlu bertanya dengan pihak yang berkenaan untuk mendapatkan kepastian.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042264
    Visit Today : 128
    This Month : 24863
    Total Visit : 1042264
    Hits Today : 280
    Total Hits : 4279875
    Who's Online : 15
  • Kategori