Oleh ALIAH ABDUL RAHIM


BULAN 
Mei bulan perayaan. Pelbagai perayaan disambut, bermula dengan sambutan Hari Ibu, Hari Belia, Hari Guru, dan cuti umum kerana sambutan Hari Wesak, Hari Pekerja, Hari Gawai, Hari Keamatan dan yang paling menggembirakan pelajar terutamanya murid-murid sekolah rendah ialah cuti sekolah pertengahan tahun atau cuti semester kedua. Namun, antara sambutan yang tidak kurang meriahnya ialah sambutan Hari Ibu yang bermula pada awal bulan sehingga berakhirnya bulan Mei.

Sempena sambutan Hari Ibu, Balai Seni Lukis Negara (BSLN) telah mengadakan pameran khas, iaitu pameran Seni Rupa/Seni Tampak bertemakan “Kasihnya Ibu”. Pameran ini merangkumi hasil karya figuratif daripada 44 buah karya himpunan tetap BSLN, hasil seni tampak jemputan dan karya pemenang daripada Pertandingan Fotografi berkonsepkan “Kasihnya Ibu”. Selain lukisan, fotografi mahupun arca yang mencuri pandangan serta menyentuh jiwa pengunjung, penulis tertarik dengan catatan atau sinopsis pada sebarang medium paparan yang mengandungi susunan kata seribu makna sama ada pada brosur, kapsyen, mahupun label lukisan dan fotografi yang dipamerkan.

Ibu boleh juga ditakrifkan sebagai ibunda atau bonda selain mak, mama, dan sebagainya. Keramatnya perkataan ibu dipinjamkan untuk ditafsirkan sebagai pusat atau tumpuan sesuatu tempat atau benda seperti ibu kota, ibu negeri, ibu pertiwi, ibu sawat, ibu pejabat, ibu sungai, rumah ibu, dan banyak lagi. Begitu besar dan bermaknanya perkataan ibu tidak dapat disamakan dengan besarnya pengorbanan ibu. Pameran penuh bermakna ini diharapkan oleh pihak penganjur akan dapat mengingatkan kita semula akan nilai budi dan nilai murni kehidupan yang kian kita lupakan terutamanya hubungan kasih sayang antara ibu dan anak.

Gambar dan lukisan boleh membawa pelbagai kisah, namun ada kalanya dengan hanya beberapa bait, baris atau rangkap kata yang dicatat akan lebih menyentuh jiwa. Segala paparan sama ada gambar foto, catan mahupun arca mungkin tersirat pelbagai makna yang ditafsirkan berbeza oleh mereka yang melihatnya. Namun dengan catatan ungkapan atau penerangan dalam bentuk puisi, pantun, frasa dan sebagainya, akan menjelaskan lagi apa yang tersirat melalui paparan warna dan tinta. Begitu indahnya peranan kata dan bahasa yang boleh mengungkap jiwa.

Catatan di bawah arca seorang ibu, ayah dan anak berbunyi begini “Ibu berpesan: Tanpa adat dan budaya, ibarat jasad tidak bernyawa. Ayah pula berpesan: Masa itu emas. Gunakan sebaik mungkin kerana ia tidak menunggu sesiapa”. Manakala di bawah lukisan seorang ibu tua, tertulis pesanan ini, “Ibu penyeri hidup, pembela nasib, pemberi pelukan manja, perawat luka, ibu ratu hatiku.”

Perasaan seniman boleh juga digambarkan melalui pantun seperti,

Anak rusa terpijak duri,
Duri tajam membawa luka;
Di kaki ibu ada syurgawi,
Bagi anak mengenang jasa.

Teringat penulis akan kata-kata penulis lirik lagu yang terkenal, Habsah Hassan, iaitu “sesuatu yang datang dari hati, akan menyentuh hati yang lain,” kerana itulah lirik lagu yang beliau hasilkan sentiasa menyentuh perasaan dan berkesan di jiwa pendengar walaupun lirik tersebut telah dihasilkannya lama dahulu. Sesuatu yang ditulis oleh penulis dengan benar-benar ikhlas ingin menggambarkan jiwa dan perasaan mereka ditambah dengan penghayatan visual, pasti kata-kata tersebut dapat menyentuh kalbu yang membacanya dan mungkin terpahat di jiwa buat selama-lamanya.

Sungguhpun begitu, terdapat juga perkataan-perkataan yang agak sukar difahami, sangat tersirat dan sarat dengan makna kerana bersifat puitis atau mungkin ia teks terjemahan (tidak dapat lari daripada bentuk terjemahan), seperti “Dalam sangkar untuk Ditayang” (Caged for Show), “Untuk Diteruskan” (To Be Continued), “Pergi Mana?” (Going Somewhere?), “Petang yang Lesu” (Listless Afternoon), “Kebesaran Manusia” (The Greatness of Man), “Siang Hari” (In the Day), sekadar menurunkan beberapa frasa untuk dikongsi bersama.

Tidak kira sama ada penterjemahan itu tepat, mengikut konteks atau dapat menerangkan makna gambar, lukisan, arca dan apa jua hasil seni, yang pentingnya tertera bahasa Melayu sebagai sinopsis/kapsen/label selain bahasa Inggeris. Bahasa Melayu mampu menjadi wadah untuk mengungkapkan apa sahaja medium termasuk hasil seni, dan malahan peranan bahasa Melayu di situ amat mengesankan. Masyarakat tidak seharusnya menjadikan alasan bahawa bahasa Melayu tidak mampu mengungkapkan sesuatu yang abstrak atau subjektif bentuknya kerana telah terbukti peranan bahasa Melayu, cuma mereka yang tidak mahu menggunakannya. “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.  aliah@dbp.gov.my

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013486
    Visit Today : 749
    This Month : 32831
    Total Visit : 1013486
    Hits Today : 2492
    Total Hits : 4134597
    Who's Online : 10
  • Kategori