Ahli panel sesi dialog, dari kiri Hairul Anuar, Habsah Hassan, Lim Swee Tin (pengerusi) dan Ad Samad.

 TIADA lagi nilai estetika Melayu dalam lirik dan melodi lagu dewasa ini. Penulis lirik seperti “melepaskan batok di tangga sahaja”. Lirik yang dihasilkan hanya untuk memenuhi tuntutan nota lagu yang disulami dengan penggunaan tatabahasa yang salah tanpa lirik tersebut dapat dihayati sepenuhnya. Demikian antara suara hati penulis lirik lagu terkenal, Puan Habsah Hassan.

“Penulisan lirik ibarat puisi popular atau cerpen. Pengalaman diri yang akan menyumbang kepada penghasilan lirik yang bagus. Kebiasaannya lirik penuh seni dan sastera ini hanya muncul dalam lagu tradisional sahaja. Lirik adalah makanan rohani yang meresap ke dalam jiwa setiap penulis lirik,” tambah beliau lagi.

Menurut penulis lirik yang aktif menulis lirik lagu suatu ketika dahulu, penggunaan bahasa Melayu yang salah akan melenyapkan keindahan gaya sastera dalam lirik lagu tersebut. Tanpa penguasaan ilmu bahasa dan sastera dalam penulisan lirik, bermakna hanya melodi lagu yang diangkat dan nilai estetika sastera Melayu diketepikan.

Demikian antara hujah dan pandangan Puan Habsah Hassan, salah seorang ahli panel dalam sesi “Dialog Getaran Jiwa: Irama, Lagu dan Sastera” yang diadakan di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 24 Mei lalu. Selain Puan Habsah, panel yang lain, iaitu Encik Ad Samad dan Encik Hairul Anuar Harun turut membicarakan isu penulisan lirik lagu ini. Ketiga-tiganya beranggapan bahawa penguasaan bahasa dan sastera amat penting dalam penghasilan lirik dan bukan hanya menumpukan soal melodinya sahaja. Lirik yang menyimpang makna dan kurang nilai estetikanya akan mencacatkan sesuatu lirik lagu itu.

Bagi Encik Ad Samad, Kamus Dewan DBP merupakan teman setianya dalam setiap penulisan lirik lagu yang dihasilkan. Setiap susun kata lirik mesti indah tetapi memerlukan laras bahasa yang betul, barulah keindahan luar biasa lirik tersebut terpancar dengan sendirinya. Menurutnya, sebagai penulis lirik, seseorang itu perlulah kreatif dalam pemilihan kata-kata yang indah dan puitis. Walaupun menggunakan ayat mudah dan ringkas,  penulis lirik masih boleh melahirkan lirik lagu yang puitis jika kena dengan lenggok bahasa dan sasteranya.

Sesi dialog yang dipengerusikan oleh Prof. Madya Lim Swee Tin turut dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dihadiri oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez, Dato’ Sarimah Ahmad, Datin Paduka Julie Sudiro, penyanyi Suhaimi Mior Hassan, pengarah Raja Azmi, Sofea Jane dan beberapa orang artis  tanah air. Seramai kira-kira 250 orang yang hadir pada sesi tersebut.

Selepas sesi dialog, para tetamu dihidangkan dengan persembahan deklamasi puisi oleh Ketua Pengarah DBP, Dato’ Haji Termuzi Haji Abdul Aziz, Datuk Freddie Fernandez, Dato’ Sarimah Ahmad, dan Prof. Madya Lim Swee Tin, Selain itu, beberapa orang artis termasuk Datin Paduka Julie Sudiro,  Suhaimi Mior Hassan, Imuda,  dan artis baru Ikhwal Hafiz turut menyumbangkan lagu pada majlis tersebut.

Persembahan deklamasi puisi selepas sesi dialog.

Seniwati Dato’ Sarimah Ahmad turut mendeklamasi puisi.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014816
    Visit Today : 845
    This Month : 34161
    Total Visit : 1014816
    Hits Today : 3252
    Total Hits : 4140054
    Who's Online : 8
  • Kategori