Oleh: Muhammad Aiman bin Abd Aziz

Perkembangan teknologi maklumat yang pesat pada hari ini menyebabkan komunikasi antara manusia telah mengalami perubahan. Hal ini dikatakan demikian kerana komunikasi tersebut tidak hanya terhad kepada komunikasi tatap muka, namun ia telah membuka ruang kepada kita untuk berkomunikasi secara maya. Pelbagai platform media sosial dilihat menjadi pilihan utama masyarakat untuk dijadikan wadah dalam berkomunikasi. Sebagai misalan, media sosial dijadikan tempat untuk berinteraksi, berkongsi maklumat, pandangan, idea dan bertukar pendapat. Walaupun bagaimanapun, terdapat pelbagai penggunaan variasi bahasa yang sangat ketara dalam media sosial oleh masyarakat. Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan variasi sebagai kelainan atau penyimpangan, iaitu sesuatu yang menyimpang daripada keadaan sama ada sifat ataupun ciri-ciri yang lazim. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa variasi bahasa merupakan kelainan bahasa dalam penggunaan bahasa Melayu yang merujuk kepada makna yang sama mengikut situasi atau konteks tertentu. Faktor kewujudan kelainan bahasa adalah disebabkan oleh perbezaan latar balakang pendidikan, jenis pekerjaan dan kedudukan sosioekonomi penutur. Penggunaan variasi bahasa seperti penggunaan campur kod dan alih kod, singkatan serta slanga dilihat sangat ketara dalam media sosial. Hal ini telah memberi implikasi terhadap bahasa Melayu dan pengguna bahasa.

Platform media sosial yang wujud pada era globalisasi hari ini.

Penggunaan variasi bahasa dalam media sosial telah mendatangkan implikasi yang positif kepada masyarakat, iaitu memudahkan komunikasi kepada pengguna bahasa. Hal ini berlaku terhadap pengaplikasian variasi bahasa singkatan. Seperti yang sedia maklum, komunikasi media sosial merupakan komunikasi yang tidak formal dan komunikasi yang berlangsung adalah secara pantas. Misalnya, pengguna media sosial yang menghantar pesanan mesej melalui platform Facebook memerlukan respons yang pantas daripada penerima mesej. Oleh itu, penggunaan singkatan dalam media sosial memudahkan komunikasi yang berlaku. Fungsi pemendekan atau singkatan digunakan dalam komunikasi lisan mahupun tulisan ialah mengurangkan beban pendengar atau pembaca dalam memahami isi bahasa. Sebagai contoh, pesanan mesej daripada platform WhatsApp jap lagi aku gi kelas ni” menunjukkan banyak penggunaan singkatan, seperti “jap” (kejap), “gi” (pergi) dan “ni” (ini). Penggunaan singkatan ini memudahkan pengguna bahasa untuk berkomunikasi antara pemeran bagi menyampaikan maksud dengan berkesan. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa penggunaan singkatan dalam komunikasi media sosial memberikan impak yang positif kepada pengguna bahasa.

Walaupun begitu, terdapat juga kesan negatif penggunaan variasi bahasa yang ketara dalam media sosial terhadap bahasa Melayu dan pengguna bahasa. Antaranya, ia menyebabkan berlakunya kecelaruan bahasa. Hal ini berlaku disebabkan oleh penggunaan percampuran kod, iaitu satu perkataan atau istilah daripada bahasa lain digunakan dalam ayat atau klausa yang menggunakan bahasa yang lain. Lanjutan itu, penggunaan percampuran kod ini menyebabkan bahasa Melayu menjadi celaru kerana bahasa kebangsaan dicampur aduk dengan bahasa asing. Sebagai misalan, ayat daripada media sosial, seperti “Next timelah ya awak… Kene buat assignment tonight” menyebabkan kecelaruan bahasa. Hal ini memberi kesan yang mendalam kepada pelajar yang ingin mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua atau bahasa asing. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka akan keliru dengan penggunaan bahasa yang betul seterusnya terikut-ikut dengan budaya percampuran kod dalam komunikasi lisan ataupun tulisan. Selain itu, perkara ini juga memberi kesan yang negatif kepada murid-murid sekolah kerana ia mempengaruhi penulisan bahasa Melayu semasa proses pembelajaran. Kecelaruan bahasa ini tidak boleh dipandang enteng kerana akan menyebabkan identiti bahasa kebangsaan akan tercemar di mata masyarakat dunia. Dengan itu, penggunaan campur kod dalam media sosial memberikan impak negatif, iaitu mewujudkan kecelaruan kepada bahasa Melayu dan pengguna bahasa.

Di samping itu, penggunaan slanga yang ketara juga dalam media sosial memberikan kesan negatif terhadap bahasa Melayu. Kesan negatifnya ialah kemunculan pelbagai kosa kata baharu yang menyebabkan asal usul bahasa Melayu terhakis. Bahasa slanga merupakan bahasa digunakan oleh kelompok sosial dalam  kalangan  remaja  tertentu  sebagai ‘komunikasi dalaman’ untuk mengelakkan orang dari luar kelompok mereka memahami kosa kata dan istilah yang diungkapkan oleh mereka. Justeru itu, bahasa slanga yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan dan digunakan dalam media sosial menyebabkan peningkatan leksikal. Sebagai contoh, bahasa slanga seperti “pishang” (bosan) dan “payung” (belanja) telah menjadi kosa kata yang digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat. Kata-kata baharu yang digunakan ini menyebabkan asal usul perkataan bahasa Melayu semakin lama semakin terhakis. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat lama-kelamaan akan melupakan perkataan asal dalam bahasa Melayu standard kerana asyik menggunakan bahasa slanga. Dengan demikian, peningkatan leksikal yang membawa kepada terhakisnya asal usul bahasa Melayu merupakan antara kesan negatif penggunaan slanga yang amat ketara dalam media sosial.

Akhir sekali, penggunaan pelbagai variasi bahasa yang amat ketara dalam media sosial menyebabkan peminggiran bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu. Hal ini berlaku disebabkan oleh penggunaan variasi bahasa pertukaran (alih) kod. Pertukaran kod melibatkan pertukaran satu bahasa kepada satu bahasa yang lain dalam satu klausa atau ayat. Sebagai contoh, ayat “You just call her. I don’t mind. Kalau awak rasa itu yang terbaik, awak buatlah” merupakan ayat yang mengandungi pertukaran kod. Ayat tersebut dalam bahasa Inggeris, kemudian berlaku peralihan kod ke dalam bahasa Melayu. Peminggiran terhadap bahasa kebangsaan berlaku apabila pada mulanya, masyarakat menggunakan pertukaran kod dalam komunikasi. Namun begitu, apabila sudah selesa dengan bahasa asing yang digunakan, mereka akan mula meminggirkan bahasa Melayu seterusnya menggunakan bahasa asing dengan sepenuhnya atau melebihkan bahasa asing tersebut. Oleh itu, ternyatalah kesan negatif penggunaan alih kod dalam media sosial membawa kepada peminggiran bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu.

Kesimpulannya, penggunaan variasi bahasa seperti campur kod dan alih kod, singkatan serta slanga yang sangat ketara dalam media sosial telah memberi implikasi terhadap bahasa Melayu dan pengguna bahasa. Hal yang membimbangkan adalah mengenai implikasi negatifnya kerana pengaruh variasi bahasa dalam media sosial mampu menganggu-gugat kedudukan bahasa Melayu pada masa hadapan. Oleh itu, pengguna media sosial seharusnya cakna dalam penggunaan bahasa Melayu agar bahasa Melayu terus dimartabatkan dan diperkasakan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    347246
    Visit Today : 767
    This Month : 41696
    Total Visit : 347246
    Hits Today : 3033
    Total Hits : 1418442
    Who's Online : 16
  • Kategori