Oleh: Nabilah binti Abd Rahman

Pada awal abad ke-15, tulisan Jawi sangat masyhur dalam kalangan masyarakat Melayu kerana tulisan Jawi merupakan tulisan utama yang digunakan dalam urusan berkaitan dengan surat-menyurat diraja, titah perintah dan penulisan sastera. Bukan setakat itu sahaja, tulisan Jawi juga banyak digunakan dalam seni ukiran dan kebudayaan pada suatu ketika dahulu seperti pada duit-duit syiling, perhiasan rumah, lukisan dan lain-lain.

 

Batu Bersurat Terengganu merupakan salah satu ukiran yang menggunakan tulisan Jawi yang begitu masyhur dan terkenal sehingga hari ini. Yang menariknya ialah, Batu Bersurat Terengganu yang berukirkan tulisan Jawi itu telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan pada 15 Julai 2010 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645). Ukiran batu yang berlatarbelakangkan tulisan Jawi itu juga turut mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 31 Julai 2009. Terbuktilah bahawa tulisan Jawi pada suatu ketika dahulu sangat popular dalam kalangan masyarakat dahulu kala dan menjadi tulisan perantaraan yang penting untuk berkomunikasi melalui mata pena.

 

Namun tulisan Jawi semakin dipinggirkan masyarakat terutamanya seiring dengan peredaran zaman. Tulisan Melayu sebenarnya terbahagi kepada dua, iaitu rumi dan Jawi. Pada era moden ini, masyarakat Melayu amnya telah menggunakan  rumi sepenuhnya dalam kehidupan terutamanya dalam urusan surat-menyurat, berbalas mesej melalui telefon bimbit dan sebagainya. Penggunaan tulisan Jawi pada abad ke-21 ini sangat jarang dipraktikkan dan kurang diberi perhatian. Tidak mustahil suatu hari nanti, tulisan Jawi yang dahulunya menjadi kebanggaan masyarakat Melayu akan pupus, kesan daripada penggunaan tulisan rumi yang begitu meluas. Tulisan Jawi sangat tinggi nilainya kepada masyarakat Melayu kerana tulisan Jawi merupakan salah satu identiti dan jati diri negara yang harus dipelihara.

 

Salah satu usaha yang boleh dilakukan untuk memartabatkan tulisan Jawi adalah dengan memastikan masyarakat Melayu terus mengingati tulisan Jawi agar “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas” melalui iklan-iklan, papan tanda di jalan raya serta papan tanda di premis perniagaan. Masyarakat amnya akan sentiasa menggunakan jalan raya setiap hari. Pelaksanaan tulisan Jawi pada papan tanda di jalan raya dan iklan-iklan di tepi jalan raya merupakan platform yang terbaik untuk memastikan masyarakat Malaysia terutamanya orang Melayu untuk terus mengingati tulisan Jawi yang suatu ketika dahulu menjadi tulisan rasmi dan utama dalam kehidupan harian. Mereka yang menggunakan jalan raya pasti akan terbaca iklan-iklan yang dipaparkan dengan menggunakan tulisan Jawi yang dipamerkan di tepi jalan tersebut. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu untuk menghayati kepentingan tulisan Jawi sebagai warisan yang harus dipelihara sepanjang zaman.

 

Satu usaha yang harus dipuji untuk kerajaan Kelantan adalah kerana menggalakkan peniaga-peniaga tidak mengira bangsa untuk menggunakan iklan dan papan tanda bertulisan Jawi di premis perniagaan masing-masing. Bukan setakat itu sahaja, papan tanda di jalan raya kebanyakkannya juga turut dihias dengan tulisan Jawi dan diikuti dengan tulisan rumi untuk memudahkan pembaca memahami tulisan Jawi. Tulisan rumi dan tulisan Jawi yang diletakkan sekali di papan tanda merupakan satu langkah yang bijak kerana mungkin ada dalam kalangan kita yang tidak fasih membaca tulisan Jawi. Hal ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka untuk lebih memahami tulisan Jawi. Walaupun sekadar membaca iklan tersebut di papan tanda sahaja, mungkin sudah cukup untuk menyuntik semangat menghayati kepentingan tulisan Jawi.

Premis-premis perniagaan yang menggunakan tulisan Jawi di Kelantan.

Penggunaan tulisan Jawi pada iklan-iklan, papan tanda di jalan raya dan premis perniagaan wajar diteruskan tidak kira di mana sahaja dalam memastikan tulisan Jawi yang merupakan identiti dan jati diri negara terus terpelihara. Semoga tulisan Jawi  terus relevan sehingga ke generasi seterusnya.

 

RUJUKAN

Amirah Syazwani Baderol Sham. (2021). Menelusuri Jawi Pada Batu Bersurat Terengganu. Retrieved from https://dewanbudaya.jendeladbp.my/2021/08/17/menelusuri-jawi-pada-batu-bersurat-terengganu/

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    213829
    Visit Today : 488
    This Month : 39732
    Total Visit : 213829
    Hits Today : 1327
    Total Hits : 916874
    Who's Online : 10
  • Kategori