Judul: Munajat di Perkebunan

Pengarang: Othman Puteh

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun: 2010

Pengulas: Asrizam Esam

Membaca buku karya Allahyarham Dr. Haji Othman Puteh yang diterbitkan pada tahun 1990 amat mengujakan penulis. Novel Munajat di Perkebunan yang diulang cetak pada tahun 2010, dikategorikan sebagai novel remaja. Ceritanya sarat dengan diksi dan kosa kata yang jarang digunakan sehingga pembaca muda perlu merujuk kamus untuk mentafsir setiap kata-kata yang dihamparkan.

Munajat di Perkebunan mengadunkan cerita yang melibatkan Sang Pengembara, kehidupan dan ujian hidup di dunia. Karakter sampingan seperti suara misteri, isteri dan Tok Guru menjadi penguat kepada cerita yang penuh dengan emosi, duka, geram, insaf, reda, keindahan dan juga kebahagiaan. Keseluruhannya cerita ini amat unik dengan hanya menggunakan karakter yang tidak bernama tetapi hanya menggunakan sosok watak sahaja.

Kisahnya bermula dengan Sang Pengembara yang terdampar dalam dunianya yang entah di mana. Dalam sedar yang penuh kesesalan daripada dosa silamnya, Sang Pengembara yang sedang meratib sedih diganggu dengan suara yang tidak kelihatan sosok penuturnya, entahkan manusia entahkan syaitan atau mungkin juga hanya bermonolog dengan diri sendiri.

Sang Pengembara begitu sesal dan sedih akan dirinya yang pernah mencuba membunuh diri sebanyak dua kali. Dia akhirnya memohon pada Tuhan untuk mencari diri dan matlamat hidupnya, setelah mengharungi kegagalan sebelum ini.  Sehinggalah kisah ini membawanya ke sebuah daerah perbukitan ladang teh yang amat luas setelah mengharungi sungai dan kabut tebal dingin di balik perbukitan. Keindahan alam di daerah itu mengingatkannya terhadap kebesaran dan kekuasaan Maha Pencipta. Saat berjalan di perbukitan itu, Sang Pengembara hilang pertimbangan lalu jatuh sehingga melanggar seorang lelaki yang juga pemilik kebun dan menyebabkan pemilik kebun itu meninggal dunia.

Bermulalah episod kehidupan Sang Pengembara di perkebunan teh yang tidak pernah disangka olehnya. Setelah kematian pemilik kebun itu, Sang Pengembara simpati akan nasib yang menimpa isteri pemilik kebun tersebut dan berhasrat untuk membantu menguruskan ladang tehnya.  Sang Pengembara amat tekun dan gembira bekerja lantas mencadangkan pembinaan surau untuk kemudahan para pekerja ladang menunaikan kewajipan mereka. Berkat kesungguhan dan keikhlasan Sang Pengembara, isteri pemilik kebun telah jatuh hati dengannya dan mereka berkahwin.

Dari sebuah kisah duka silam yang menyedihkan kini menjadi sebuah kisah bahagia buat Sang Pengembara. Namun, sebalik kegembiraan hidup mereka di perkebunan bersama-sama para pekerja, tiba-tiba mereka diuji dengan kebakaran sebahagian daripada kebun teh itu. Sang Pengembara yang turut tercedera akibat kebakaran itu reda dengan ketentuan tuhan bahkan masih mementingkan kebajikan pekerja yang terkesan. Keajaiban berlaku, walaupun berlaku kemusnahan sebahagian ladang teh tersebut, surau yang seringkali dikunjungi jemaah yang terdiri daripada pekerja ladang tersebut tidak dimakan dek api. Hal ini menambah takjub dan keimanan Sang Pengembara kepada Yang Maha Esa. Melihat keadaan surau yang semakin sesak dengan kehadiran pekerja yang ingin berjemaah telah memberi ilham kepada Sang Pengembara untuk mendirikan masjid yang lebih luas di kawasan perkebunan itu.

Pembangunan masjid berjaya diusahakan dan pada masa yang sama permintaan teh juga semakin meningkat. Inilah rezeki yang tidak disangka-sangka oleh Sang Pengembara dengan isterinya. Malah lebih mengujakan si isteri telah mengandung anak sulung pasangan tersebut. Sejak isterinya mengandung, tumpuan Sang Pengembara terarah kepada kebajikan dan kesenangan isteri sehingga mengurangkan fokus kepada urusan perkebunan, kebajikan pekerja dan pembangunan masjid. Surau pula diimamkan oleh Tok Guru yang diangkat dalam kalangan pekerja dari luar daerah.

Setelah masa berlalu dan Sang Pengembara hidup dalam suasana yang gembira dan bahagia, ujian kembali menghantuinya. Ekoran permintaan teh yang kian tinggi, Sang Pengembara telah mengerahkan pekerjanya untuk bekerja lebih masa bagi meningkatkan produktiviti keluaran teh. Malangnya, idea itu tidak disenangi isterinya kerana akan menyebabkan pekerja bekerja lebih masa dengan gaji yang besar tetapi melupakan kewajipan berjemaah. Akhirnya Sang Pengembara tersentak dan segera memberhentikan arahan kerja lebih masa serta merta.

Penarikan arahan itu telah menaikkan kemarahan sebahagian pekerja yang inginkan gaji yang lebih khususnya kumpulan pekerja yang taasub dengan ajaran Tok Guru. Tok Guru pula mengajar bahawa solat lima waktu itu tidak perlu dilakukan selalu, hanya dilakukan apabila berkehendak sahaja. Setiap malam Tok Guru akan berkelambu di surau dan berwirid yang langsung tidak difahami maksudnya. Kumpulan pekerja yang memberontak itu akhirnya menimbulkan protes dan rusuhan yang tidak sepatutnya terjadi sehinggakan hampir membakar rumah Sang Pengembara dan mengakibatkan isterinya keguguran. Situasi ini menyentak hati Sang Pengembara yang lupa dan alpa kepada Tuhannya pada saat bahagia.

Peristiwa Tok Guru dan pemberontakan tidak hanya berakhir di situ walaupun Tok Guru dihalau dari perkebunan. Pemberontakan yang terjadi membuka mata Sang Pengembara untuk kembali kepada Penciptanya serta mengingatkan kembali matlamat dan tujuan hidupnya yang asal. Peristiwa itu pula sebenarnya telah membuka peristiwa ajaib kepada isterinya yang sebenarnya tidak mengandung tetapi hanya ditimpa sakit endometriosis, iaitu sejenis ketumbuhan. Pada bab ini, Penulis menekankan aspek sains yang agak terperinci dan berbeza daripada gaya penulisan sebelumnya. Unik dan sesuai untuk pembaca remaja berfikiran dengan lebih luas.

Tekad Sang Pengembara untuk menghapuskan kesongsangan itu telah menimbulkan masalah yang baru pula. Protes berterusan daripada penyokong Tok Guru yang menginginkan Tok Guru mereka kembali di perkebunan itu menyebabkan pekerja tidak turun bekerja dan melancarkan mogok lapar. Walaupun keadaan semakin meresahkan, akhirnya Sang Pengembara berjaya menyedarkan pengikut Tok Guru yang terpesong dengan beberapa helah dan penyamaran. Petikan ayat al-Quran daripada Surah Al-Baqarah ayat 195 berjaya membawa kembali pengikut Tok Guru ke pangkal jalan. Akhirnya, keadaan perbukitan ladang teh, Sang Pengembara dan isteri kembali menjalani kehidupan bahagia diiringi dengan ratib jemaah pekerja di masjid baharu.

Keseluruhannya, penulis berjaya membawa pembaca menjiwai karakter Sang Pengembara dan dosa silamnya. Pembaca seakan meneka-neka pengakhirannya, namun terkadang pembaca akan tersilap dengan telahan sendiri. Terkadang ujian dan dosa Sang Pengembara menginsafkan pembaca dan nikmat dan kebahagiaan Sang Pengembara menjadi pengajaran terhadap kekuasaan Tuhan Yang Maha Kaya. Buku yang menarik dengan gaya bahasanya dan memberi pengajaran yang mendalam secara tersurat mahupun tersirat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1031849
    Visit Today : 808
    This Month : 14448
    Total Visit : 1031849
    Hits Today : 2727
    Total Hits : 4224999
    Who's Online : 13
  • Kategori