OLEH ZAIDI ISMAIL

Pada 14 dan 15 Mac 2022, Bahagian Kawal Selia Radiasi Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka (Akademi DBP) telah menganjurkan Kursus Wacana Berimpak Tinggi (Kertas Cadangan dan Laporan) di Pejabat KKM, Presint 1, Putrajaya.

Seramai 20 orang Pegawai Kanan (Ketua Penolong Pengarah, Penolong Pengarah dan Pengarah), Bahagian Kawal Selia Radiasi Perubatan, KKM telah ikut serta dalam kursus tersebut. Mereka merupakan pegawai yang terlibat secara langsung dalam penulisan dokumen rasmi, khususnya kertas cadangan dan laporan. Kursus ini diadakan untuk meningkatkan kemahiran dalam penulisan kertas cadangan dan laporan; dan meningkatkan penguasaan ilmu tatabahasa sebagai asas pembinaan kemahiran berbahasa dalam penulisan dokumen rasmi tersebut.

Peserta membuat latih amal untuk meningkatkan kemahiran penulisan kertas cadangan dan laporan.

Dalam kursus selama dua hari itu, penulis selaku penceramah mengendalikannya dalam enam sesi secara bersemuka di dalam Bilik Mesyuarat Utama, Blok E KKM. Sesi hari pertama dimulakan dengan penguasaan aspek bahasa dalam penulisan dokumen rasmi; mengumpul maklumat untuk penulisan kertas cadangan; serta format dan pengolahan isi kertas cadangan. Kertas cadangan atau disebut juga kertas awalan atau kertas kerja merupakan kertas yang disediakan sebelum melaksanakan sesuatu program. Dari segi penggunaan bahasa, kertas ini perlulah menggunakan bahasa rasmi yang baik dan tepat.

Dalam aspek bahasa, peserta kursus diberi penerangan dan penjelasan tentang asas-asas penggunaan bahasa Melayu, khususnya aspek ejaan, pembentukan kata, dan pembinaan ayat yang baik dan tepat dalam kertas cadangan. Para peserta juga turut dijelaskan tentang kesalahan-kesalahan umum yang dilakukan dalam penulisan kertas cadangan dan cara membaikinya. Untuk meningkatkan lagi kemahiran penulisan kertas cadangan dan terus menerapkan penggunaannya, peserta terus membuat latih amal semasa sesi terakhir hari pertama.

Sebahagian daripada peserta yang mengikuti kursus ini.

Seterusnya, dalam sesi hari kedua, peserta didedahkan dengan kemahiran penulisan laporan. Laporan biasanya akan disediakan setelah sesuatu program itu dilaksanakan. Secara umumnya, ada dua bentuk laporan, iaitu laporan berbentuk borang dan laporan panjang yang mempunyai judul dan subjudul tertentu. Walaupun kedua-dua bentuk laporan itu berbeza, dari segi matlamatnya adalah sama, iaitu untuk menyampaikan atau melaporkan maklumat berkaitan dengan program yang telah dilaksanakan. Dari segi bahasanya pula, kedua-duanya perlulah menggunakan bahasa Melayu yang baik dan tepat. Dalam sesi tersebut, penulis menjelaskan aspek jenis dan kaedah penulisan laporan; teknik mengumpul maklumat untuk laporan; dan latihan serta perbincangan yang berkaitan dengan penyediaan laporan tersebut.

Dengan adanya kursus tersebut, diharapkan kualiti bahasa serta penulisan kertas cadangan dan laporan dalam kalangan peserta dapat ditingkatkan. Begitu juga dalam penulisan dokumen-dokumen rasmi yang lain.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044623
    Visit Today : 1044
    This Month : 27222
    Total Visit : 1044623
    Hits Today : 3607
    Total Hits : 4288580
    Who's Online : 18
  • Kategori