OLEH SYAHIDAH RASYIQAH ABD RASHID   

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persatuan Teater Malaysia (PTM) bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) Peringkat Pertubuhan Bukan Kerajaan 2021 menganjurkan Pertandingan Drama Pendek. Sebanyak enam kumpulan telah berentap dan menunjukkan kehebatan masing-masing. Antara kumpulan yang menyertai pertandingan ini ialah Kembara Anak Bukit, Theatretreesixty, Sebutir Dua, Bentara Guru, Tronoh Theater Shop Kuala Lumpur dan Kembara Anak Seni.

Antara aksi yang dilakonkan oleh peserta dalam Pertandingan Drama Pendek Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Pertubuhan Bukan Kerajaan.

“Bahasa Jiwa Bangsa” telah dipilih sebagai tema Pertandingan Drama Pendek dan yang berlangsung pada 31 Oktober 2021 di Sudut Karyawan, Wisma DBP, Kuala Lumpur. Pertandingan Drama Pendek ini menggarap beberapa objektif utama, antaranya mengukuhkan jalinan kerjasama antara DBP dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan dalam acara kebahasaan, kesusasteraan, kebudayaan dan kesenian, di samping untuk mengasah bakat dan kreativiti peserta dalam bidang seni. Selain itu, jati diri dan citra bangsa Malaysia dalam kalangan peserta khususnya anak muda melalui bahasa dan sastera kebangsaan dapat dipupuk serta kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan melalui elemen penghayatan seni dapat dipersegar dalam kalangan para peserta yang terlibat.

Pertandingan Drama Pendek ini menonjolkan elemen drama yang menggabungkan pelbagai situasi atau urutan peristiwa yang sarat dengan emosi, tragik atau bergelora. Persembahan drama pendek yang berdurasi antara 7 – 10 minit ini diiringi dengan muzik dan suara latar sebagai suntikan tambahan bagi mewarnai persembahan tersebut. Setiap kumpulan diberikan kebebasan dalam berkarya berdasarkan tema yang telah ditetapkan dan penyediaan prop serta latar hias mengikut kreativiti para peserta.

Tiga orang panel hakim profesional dan arif khususnya dalam bidang drama dan seni pentas telah diundang khas bagi mengadili pertandingan ini, mereka terdiri daripada Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Dr. Mardiana binti Ismail, selaku Ketua Juri, Presiden Persatuan Teater Malaysia (PTM), Encik Sakrani bin Shamsuddin dan Pengasas Kelab Teater Rimba, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Encik Mohamadiani bin Kasian,

Johan menerima wang tunai berjumlah RM3000.00 serta sijil penghargaan menjadi milik Kumpulan Kembara Anak Bukit yang telah mementaskan drama bertajuk “Aisyah”, hasil karya oleh Makmor Zakaria. Kumpulan Theatretreesixty dengan karya “Logaritma Bebalisme” oleh Yusof Bakar, dinobatkan selaku naib johan membawa pulang wang tunai berjumlah RM2000.00 serta sijil penghargaan dan Kumpulan Sebutir Dua di tempat ketiga dengan skrip drama oleh Ally Isyraf yang berjudul “Kelapa Tua Kelapa Muda” memenangi wang tunai berjumlah RM1000.00 serta sijil penghargaan. Manakala ketiga-tiga kumpulan pemenang sagu hati menerima wang tunai berjumlah RM500.00 serta sijil penghargaan.

Menerusi pertandingan ini, diharapkan bakat seni dan sastera khususnya untuk generasi muda dapat dicungkil dan diasah terutamanya dalam bidang seni, sastera dan budaya negara. Malahan, rasa cinta dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan dan juga dalam diri masyarakat terhadap bahasa Melayu dapat ditingkatkan dan disemarakkan khususnya meluaskan khalayak bahasa dan persuratan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    163771
    Visit Today : 738
    This Month : 16309
    Total Visit : 163771
    Hits Today : 3057
    Total Hits : 707558
    Who's Online : 10
  • Kategori