Nama Buku  :           Jejak Hilang yang Pulang

Pengarang    :           Abang Median Abang Said

Penerbit        :           Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun            :           2020

Harga            :           RM30.00

Pengulas      :           Ismail Hashim

Novel Jejak Hilang yang Pulang setebal 331 buah halaman ini memberi tuah kepada pengarangnya apabila memenangi Hadiah Pertama Sayembara Menulis Novel (Budaya Setempat dalam Konteks Negeri Sarawak) bersempena Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan 2018. Novel karya Abang Median Abang Said, pengarang dari Sarawak ini mengisahkan tentang Uncle Brown atau nama Islamnya Sadiq Brown yang melarikan Khair – anak kepada Zullafi ke London, England.

Khair mengidap autisme kategori Asperger sejak lahir. Brown melarikan Khair ke London kerana mahukan masa depan kanak-kanak itu cerah terutamanya daripada segi rawatan autisme dan pendidikannya berbanding di Limbang.

Ibu Khair, Alfiera meninggal dunia ketika melahirkannya. Zullafi mempunyai tiga orang anak, iaitu Zahid, Amni dan Khair. Zullafi bekerja di pejabat Residen Inggeris Limbang dan Miri. Zullafi berasa terhukum pada dirinya kerana selama bekerja dia banyak mengabaikan isteri dan anak-anaknya.

Zullafi juga berasa bersalah kerana terlalu meletakkan sepenuh kepercayaan pada Brown terhadap isteri dan anak-anaknya tanpa mempunyai sekelumit rasa cemburu terhadap hubungan antara Brown dengan Alfiera.

Ditambah lagi dengan perbuatannya yang berlaku curang di belakang Alfiera dengan menjalinkan hubungan intim bersama Unyang, gadis Kayan yang tinggal di Miri. Setelah kematian Alfiera, barulah sikap Zullafi berubah dan banyak memberikan perhatian dan masanya terhadap anak-anaknya.

Brown bertugas sebagai guru sukarela di Limbang. Segalanya bermula apabila Zullafi mengajak Brown tinggal di rumah agamnya. Secara senyap-senyap Brown jatuh hati dan menjalinkan hubungan intim dengan Alfiera lalu hamil. Disebabkan kejadian tersebut yang mendorongkan Brown menyangka bahawa itu ialah anaknya. Setelah Khair dilahirkan, anak itu didapati cacat kelainan upaya, iaitu autisme kategori Asperger.

Benjamin merupakan rakan sejawat Brown dan sama-sama menjadi guru sukarela di Limbang. Meggie pula kekasih Brown dan mengajar sebagai guru sukarela di Miri. Setelah tamat perkhidmatan guru sukarela di Limbang dan Miri, mereka pulang ke London. Brown pulang lebih awal kerana membawa lari Khair.

Sewaktu di London, Benjamin telah menulis surat kepada Zullafi dan memaklumkan tentang hubungan sulit antara Brown dengan Alfiera bagi merungkaikan permasalahan Khair yang di bawah penjagaan Brown. Perbuatan Brown tersebut telah membuatkan Zullafi berasa kecewa.

Benjamin mengharapkan Zullafi datang ke London untuk bersemuka dengan Brown. Zullafi mahu ke London bagi membolehkannya menjejak Brown dan anaknya, Khair tetapi terhalang disebabkan keadaan politik yang tidak stabil di Limbang dan Miri.

Setelah kematian isterinya, Zahid dan Amni dijaga oleh anak saudara Zullafi yang bernama Nuraimi. Bagi menutup pandangan serong masyarakat kampung kerana mereka tinggal serumah, maka Zullafi menikahi Nuraimi.

Perjalanan plot pengarang terjalin secara kemas dan menurut kaedah sebab dan akibat. Pengabaian Zullafi terhadap isteri dan anak-anaknya menyebabkan Brown dan Alfiera menjalinkan hubungan yang terlarang sehingga melahirkan Khair.

Meggie yang tinggal bersama Brown di London tanpa berkahwin kerana hati dan perasaannya telah dicurahkan kepada Alfiera. Pengarang menghidupkan watak Meggie sebagai pendendam kerana Brown enggan berkahwin dengannya dan ingin merungkaikan perempuan yang telah mencuri hati Brown itu.

Khair yang beragama Islam, tidak pernah melakukan solat dan puasa namun masih mengekalkan agamanya itu. Hal ini disebabkan Khair tidak dapat bimbingan yang baik daripada Brown. Khair juga berasa kecewa sikap Brown yang menyembunyikan asal usul dirinya. Namun, Meggie berjanji akan membantu dan membawa Khair ke kafe Meritz milik Benjamin. Di kafe tersebut, Khair berkenalan dengan Jenny, anak Benjamin.

Hubungan Khair dan Jenny berakhir dengan perkahwinan dan Jenny sanggup memeluk Islam dengan nama Islamnya, Ashalina. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan cahaya mata bernama Qaem.

Brown pergi bercuti bersama Meggie dan mereka menginap di bilik yang berasingan. Sewaktu percutian, penyakit paru-paru dan batuk berdarah semakin serius dan Brown telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Namun, Brown gagal diselamatkan.

Beberapa teladan yang dapat diambil daripada novel ini seperti sikap polos seorang suami kepada rakan rapatnya yang tinggal serumah menyebabkan perkara yang tidak baik berlaku kerana melibatkan hawa nafsu yang sukar dibendung.

Kuasa yang ada pada tangan manusia juga adalah terbatas seperti mana yang berlaku pada Brown yang mahu menutup asal usul Khair daripada pengetahuan umum. Namun, kuasa Allah SWT mengatasi segala-galanya.

Sikap Brown yang merahsiakan sesuatu perkara dengan mengambil pendekatan dan tindakan sendiri selalunya gagal. Pengarang juga mengangkat isu hubungan budaya rakyat tempatan dengan orang luar dan pertembungan dua budaya (Inggeris dan Melayu) berlaku kepincangannya setelah membelakangkan kejujuran dalam persahabatan.

Pengarang juga lebih cenderung mengadakan watak remaja yang bermasalah dalam setiap karya novelnya lalu memberikan jalan penyelesaian terbaik agar menjadi contoh pada remaja. Sesungguhnya, watak remaja yang ditonjolkan mempunyai pendukungnya bagi membantu mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi. Dengan cara inilah dapat menanamkan aura positif ke setiap jiwa remaja.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014380
    Visit Today : 409
    This Month : 33725
    Total Visit : 1014380
    Hits Today : 1188
    Total Hits : 4137990
    Who's Online : 12
  • Kategori