Judul: Kenali Pemimpin Negara: Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj

Pengarang: Marini Azahri

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun: 2020

Harga: RM25.00

Pengulas: Atiqah Abd Rahim

“MERDEKA! Merdeka! Merdeka!” Itulah laungan keramat yang bergema pada hari bersejarah, 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Seorang negarawan melaungkan perkataan “Merdeka!” sebanyak tujuh kali sebagai tanda kebebasan Tanah Melayu daripada penjajahan Inggeris. Semua rakyat yang hadir di stadium menyambut laungan kemerdekaan itu dengan penuh terharu dan kesyukuran.

Di bawah kepimpinan beliau, Tanah Melayu bersatu bersama-sama dengan Sabah, Sarawak dan Singapura sebagai sebuah negara yang baharu bernama Malaysia. Atas sumbangan besarnya kepada negara, beliau dilantik sebagai Ketua Menteri dan Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Beliau ialah Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj Ibn Sultan Abdul Hamid Halim Shah, seorang negarawan Malaysia yang turut digelar sebagai Bapa Kemerdekaan Malaysia.

Tunku Abdul Rahman merupakan seorang anak kerabat diraja Kedah. Ketika zaman kanak-kanak, Tunku Abdul Rahman diberi gelaran Awang oleh abangnya, Tunku Yusof kerana kulitnya yang gelap dan mempunyai perangai yang sangat nakal. Beliau sentiasa mencari peluang untuk bermain bersama-sama rakannya yang terdiri daripada rakyat biasa.

Pada waktu itu, ayahandanya, Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibn Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, mengizinkan rakyat daripada keluarga miskin untuk menyerahkan anak-anak mereka kepada istana. Anak-anak itu dikenali sebagai “orang hutang”. Ibu bapa kepada anak-anak ini diberikan sedikit wang bagi menampung kehidupan mereka. “Orang hutang” bukanlah satu bentuk perhambaan kerana anak-anak orang miskin ini tinggal di rumah khas dan dilayan dengan baik. Mereka sering bermain bersama-sama di halaman istana yang luas.

 Tunku Abdul Rahman menikmati kehidupan kanak-kanaknya dengan amat gembira. Antara aktiviti yang dilakukan ialah bermain kereta kuda, bermain bola sepak, berenang dan menangkap ikan karin atau ikan laga di dalam sungai dan bendang di belakang istana. Beliau juga suka menjerat burung dan lebih selesa berkaki ayam ketika bermain lumpur. Pernah suatu ketika, beliau dijangkiti penyakit puru di kakinya kerana bermain lumpur. Tunku Abdul Rahman menghabiskan masa berjam-jam lamanya dengan rakan-rakannya pada setiap hari. Oleh sebab terlalu lasak dan kuat bermain, keluarga Tunku Abdul Rahman sering memanggilnya kanak-kanak yang “buas”, iaitu perkataan dalam dialek Kedah yang menggambarkan seorang kanak-kanak yang nakal dan lasak.

Walaupun terkenal dengan sikapnya yang nakal, Tunku Abdul Rahman mempunyai sifat positif yang wajar dicontohi. Beliau mempunyai hati yang nekad dan berani mencuba. Tunku Abdul Rahman juga mengekalkan hubungan persahabatan dengan rakannya walaupun berpindah ke sekolah lain dan berhijrah ke Bangkok.

Sikapnya yang mudah mesra menyebabkan Tunku tidak mempunyai masalah untuk mendapat kawan apabila berpindah ke tempat baharu. Sikap tersebut berterusan sehinggalah beliau berangkat ke England untuk menyambung pelajaran. Satu-satunya orang Melayu yang berada di Little Stukeley yang terletak di kawasan luar bandar di Cambridge, bukanlah penghalang untuk beliau bergaul dengan pelbagai bangsa yang lain. Salah satu caranya dengan melibatkan diri bermain bola sepak di taman yang berhampiran dengan rumahnya.

Seterusnya, penulis mengisahkan perjalanan kehidupan Tunku sebagai seorang pelajar yang menuntut ilmu di England dan kemudian berkhidmat dengan kerajaan negeri Kedah selepas beliau tamat belajar. Sebagai seorang pegawai daerah, Tunku Abdul Rahman disenangi penduduk di kawasannya kerana sentiasa prihatin dengan kesusahan mereka dan sedaya upaya untuk membawakan isu yang dialami kepada Setiausaha Kerajaan. Tunku turut bertanggungjawab melaksanakan semua arahan daripada kerajaan negeri Kedah. Walau bagaimanapun, beliau sering mempersoalkan arahan tersebut yang difikirkan tidak sesuai untuk dilaksanakan. Beliau pernah mendapat surat amaran untuk menghentikan tindakannya tetapi itu tidak melemahkan semangatnya.

Kezaliman dan ketidakadilan yang dialami oleh negeri Kedah semasa penjajahan British dan Jepun, dan kekacauan semasa kedatangan Parti Komunis Malaya menjadi pembakar semangat Tunku Abdul Rahman untuk terus memperjuangkan masa depan tanah air daripada dikuasai oleh orang asing. Maka, pada 26 Ogos 1951 menjadi saksi bermulanya penglibatan serius Tunku dalam arena politik sebagai Presiden baharu UMNO. Usaha ke arah kemerdekaan diteruskan sehingga Tunku menjadi seorang tokoh pemimpin negara yang memperjuangkan kemerdekaan dan kedaulatan negara. Agenda utama semasa kepimpinan beliau ialah pembentukan asas negara yang kekal menjadi identiti rakyat Malaysia pada hari ini. Antaranya ialah undang-undang Perlembagaan, bendera Malaysia, jata negara, lagu “Negaraku”, bunga raya sebagai bunga kebangsaan, Rukun Negara dan pembinaan Universiti Malaya.

Secara keseluruhannya, membaca buku biografi ini sangat menyenangkan dan mudah difahami. Kebanyakan buku biografi amat sulit untuk dihadam disebabkan intonasi penulisannya yang berat dan serius, seterusnya menyebabkan buku biografi kurang menjadi pilihan pembaca muda. Namun begitu, penulis Marini Azahri berjaya membawakan gaya penulisannya yang santai tentang perjalanan kehidupan seorang negarawan ulung di negara ini. Penulis juga menyelitkan gambar-gambar Tunku untuk memudahkan pembaca memahami sesuatu peristiwa yang berlaku.

Sasaran pembaca buku biografi ini ialah golongan kanak-kanak dan remaja. Oleh itu, penulis lebih memberikan tumpuan terhadap kehidupan zaman remaja Tunku Abdul Rahman yang boleh dijadikan contoh dan teladan kepada anak muda. Ayahanda Tunku, Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibn Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah dan bonda Tunku yang bernama Che Menjalara memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sikap positif dan pengalaman manis pada zaman kanak-kanak Tunku yang akhirnya mencerminkan dirinya sebagai pemimpin negara yang baik. Negara sangat menyanjung tinggi jasa dan sumbangan Tunku Abdul Rahman kepada negara. Para pembaca boleh mendapatkan buku biografi ini di pasaran.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013524
    Visit Today : 787
    This Month : 32869
    Total Visit : 1013524
    Hits Today : 2615
    Total Hits : 4134720
    Who's Online : 14
  • Kategori