Oleh: Syahidah Rasyiqah Abd Rashid

GEMA Seni Senandung Budaya merupakan program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA), bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Pertubuhan Bukan Kerajaan (PBK) 2021. Program yang berlangsung secara dalam talian pada 21 September 2021, pukul 2.30 petang ini menampilkan 16 orang peserta dalam kalangan cendekiawan Sains Matematik yang merangkumi 13 persembahan secara individu dan berkumpulan dengan mengetengahkan tema Sains Matematik seperti puisi, seloka, syair, lagu puisi, pusidra dan sketsa.

Antara objektif utama pelaksanaan program ini untuk mengukuhkan jalinan kerjasama antara DBP dengan PBK melalui aktiviti kebahasaan, kesusasteraan, kebudayaan dan kesenian. Di samping itu juga, program ini bertujuan untuk mempersegar kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan dengan elemen maklumat hibur, serta memupuk jati diri dan citra bangsa Malaysia melalui bahasa dan sastera kebangsaan.

Uniknya, Gema Seni Senandung Budaya ini menonjolkan kelainan dengan pelibatan daripada cendekiawan sains matematik dan penggiat seni budaya. Garapan sains matematik diketengahkan dalam persembahan sajak dan syair seperti gelombang sinusoidal, nombor dan kuadratik. Landasan acara kebahasaan, kesusasteraan dan kesenian sebegini, kesepaduan antara seni dengan sains matematik dapat menyajikan keunikan persembahan yang berbeza-beza daripada kebiasaannya.

Program ini juga sudah pasti memberikan peluang dan membawa para cendekiawan sains matematik merasai pengalaman dalam dunia seni sastera dan budaya selain memberikan manfaat kepada pelayar media sosial untuk menikmati karya sains matematik dalam bahasa Melayu. Malahan, cendekiawan dalam bidang sains yang lain juga pasti rasa bertanggungjawab untuk memberikan sumbangan besar kepada bahasa Melayu khususnya dalam bahasa, sastera, seni dan budaya.

Menerusi medium ini, diharapkan bakat seni dan sastera para cendekiawan dapat dicungkil dan digilap sebagai pelapis seni, sastera dan budaya negara. Malahan, diharapkan juga mampu meningkatkan dan menyemarakkan rasa cinta dalam kalangan PBK dan juga dalam diri masyarakat terhadap bahasa Melayu serta meluaskan khalayak bahasa dan persuratan khususnya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1032118
    Visit Today : 1077
    This Month : 14717
    Total Visit : 1032118
    Hits Today : 3769
    Total Hits : 4226041
    Who's Online : 7
  • Kategori