OLEH MOHD FAHIMI ZAKARIA

Terjemahan bahan agama khususnya al-Quran dalam bahasa Melayu bermula sejak kedatangan Islam ke kepulauan Melayu pada tahun 840 melalui pemerintahan Sultan Alaiddin Syed Maulana Abdul Aziz Syah di Perlak yang menjadi pencetus awal dalam dunia penyebaran ilmu-ilmu Islam melalui penulisan dan penterjemahan buku agama. Menurut Hashim dan Halimah yang merupakan penulis buku bertajuk Isu Sosiolinguitik di Malaysia (2012) bahawa sebanyak 900 judul berbeza yang terdiri daripada bidang fikah, aqidah, usuluddin, nahu Arab, hadis, tasawuf dan tarekat, akhlak, doa, wirid dan munajat, kisah anbia yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan tulisan Jawi yang dikenali sebagai ‘kuning kuning’.

 

Sementara Zainur Rijal dan Rosni melalui tulisan yang bertajuk Kesan Bahasa Arab dalam Peradaban Melayu di Malaysia (2007) pula menyatakan bahawa berdasarkan bukti sejarah dan peradaban Melayu, terjemahan al-Quran dimulakan selepas kemasukan orang Arab melalui kerajaan Melayu Melaka dan mereka tinggal di Tanah Melayu atas faktor perniagaan, perkahwinan dan penyebaran agama. Faktor keislaman yang kuat di dalam diri orang Melayu khususnya sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 mendorong mereka untuk mempelajari bahasa Arab yang menjadi teras bahasa al-Quran.

 

Menurut Mohd Shukri, seorangsarjana dalam bidang Terjemahan al-Quran, melalui karya beliau berjudul Terjemahan al-Quran dalam Pelbagai Perspektif (2003) mengatakan bahawa penterjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu bermula pada tahun 1937 yang diasaskan oleh Muhammad Ma’dah bin Layang yang berpusat di Negeri Sembilan. Menurut beliau lagi, penterjemahan al-Quran pada peringkat awal menekankan kefahaman secara literal sahaja disebabkan pada masa itu masih ramai orang Islam tidak memahami ilmu-ilmu bahasa Arab khususnya sintaksis, morfologi dan retorik yang menjadi alat penting untuk memahami al-Quran. Pakar-pakar linguistik al-Quran menegaskan bahawa bahasa Arab berbeza dengan bahasa al-Quran dari segi makna literal dengan makna tafsir, justeru penterjemahan al-Quran hanya boleh dilakukan oleh orang Islam yang memahami bahasa Arab dengan baik.

 

Seorang lagi sarjana bidang terjemahan, iaitu Idris Mansor dalam kajiannya yang bertajuk Terjemahan al-Quran dalam Bahasa Melayu (2019) berpendapat bahawa walaupun usaha penterjemahan al-Quran pada peringkat awal dilarang oleh sarjana Islam kerana al-Quran merupakan mukjizat dan mempunyai bahasa khusus yang tidak mampu disampaikan dengan menggunakan bahasa lain, namun ia dibolehkan jika bertujuan untuk memberi kefahaman kepada golongan pembaca yang tidak memahami bahasa Arab kerana terjemahan merupakan satu-satunya jalan penyelesaian.

 

Oleh sebab itu, penterjemahan al-Quran sewajarnya mempunyai garis panduan dan kawalan dari segi latar belakang penterjemah, pendidikan, kepakaran dan kemampuan yang baik dalam bahasa Arab supaya hasil terjemahan al-Quran tersebut dapat membantu pembaca untuk memahami isi kandungan al-Quran dengan konsep yang betul. Kawalan ini mestilah daripada agensi kawalan yang ada di Malaysia seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di samping tertakluk kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) dan Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 (Akta 326) (Kawalan dan Naungan terhadap Aktiviti Penterjemahan al-Quran di Malaysia, 2015).

 

Selain agensi penguatkuasaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Penterjemah Malaysia yang dikenali sebagai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) juga memainkan peranan penting dalam bidang terjemahan Arab-Melayu. Walaupun jumlah buku terjemahan masih lagi tidak mencukupi dengan kehendak pasaran selain bahan terjemahan hanya terbatas kepada bidang-bidang tertentu sahaja. Menurut Mohd Shukri (2003) Terjemahan al-Quran pertama ditulis oleh Abdullah Basmeh pada tahun 1970 yang diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri yang dikenali sebagai Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada Pengertian al-Quran dan pada tahun 1992 manakala DBP pula menerbitkan terjemahan al-Quran yang dikenali sebagai al-Quran al-Karim, Terjemahan dan Huraian.

 

Meskipun usaha penterjemahan al-Quran di Malaysia agak lewat berbanding dengan negara-negara lain khususnya negara Asia Tengah, namun ia tetap penting dan perlu diperluaskan kerana kajian mendapati bahawa penutur bahasa Melayu merupakan pemeluk agama Islam yang terbesar di dunia, iaitu suku billion manusia. Hal ini bermakna ia lebih banyak berbanding dengan penutur bahasa Arab sendiri. Di samping itu, bahasa Melayu juga menerima proses ‘Arabisasi’ sebagai sebahagian daripada ilmu-ilmu agama seperti tulisan Jawi, istilah agama, pakaian dan budaya. Oleh itu, terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa melalui kajian yang dilakukan oleh ilmuan agama dan sarjana linguistik bahasa Arab dan Melayu.

 

Kesimpulannya, terjemahan al-Quran merupakan satu usaha yang besar ke arah pembinaan masyarakat yang menghayati dan menghargai nilai-nilai agama Islam yang terkandung di dalam al-Quran khususnya masyarakat Melayu yang tidak memahami bahasa Arab untuk mendalami ilmu-ilmu agama. Al-Quran dalam bahasa Melayu telah menjadi jalan penyelesaian kepada banyak permasalahan agama kerana majoriti umat Islam di Malaysia terdiri daripada bangsa Melayu yang melaksanakan ibadah harian seperti solat, zikir, wirid dan doa-doa yang sebahagian besarnya daripada ayat-ayat suci al-Quran. Oleh sebab itu, sumbangan para ilmuan Melayu melalui penterjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu ini sangatlah dihargai dan sentiasa dikira sebagai amalan yang mendatangkan manfaat kepada umat sepanjang zaman.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035971
    Visit Today : 749
    This Month : 18570
    Total Visit : 1035971
    Hits Today : 2836
    Total Hits : 4248926
    Who's Online : 34
  • Kategori