Oleh: Azura Halid

Pengenalan

Cerita rakyat merupakan cerita rekaan yang disukai ramai pada zaman dahulu dalam sesuatu masyarakat yang diturunkan daripada generasi kepada generasi secara lisan (Kamus Dewan Edisi keempat). Cerita rakyat juga merupakan kisah-kisah lisan yang pada asalnya tidak dirakamkan di mana-mana medium dan dianggap sebagai sastera lisan yang tertua. Pada zaman feudal, cerita rakyat ini dikisahkan oleh golongan penglipur lara di istana untuk golongan bangsawan sebagai salah satu medium hiburan. Persembahan penglipur lara ini akhirnya diperturun kepada rakyat marhaen dengan tujuan yang sama, iaitu memberi hiburan. Disebabkan itulah kebanyakan cerita rakyat mempunyai hubungan watak dan perwatakan antara rakyat dengan golongan bangsawan.

Kebanyakan cerita-cerita rakyat berasaskan keadaan persekitaran dan budaya ketika itu, selain mengandungi pengajaran, unsur komedi dan nilai murni (Othman Puteh, 1984). Antara cerita rakyat yang popular dan diberi perhatian oleh masyarakat Melayu dan akan dikupas sebagai mauduk dalam artikel ini ialah Si Tanggang, Badang, Puteri Gunung Ledang dan Bawang Putih Bawang Merah.

Peredaran Zaman

Zaman semakin berubah apabila hubungan sosial antara golongan istana dengan rakyat dilihat semakin rapat walaupun masih dibatasi oleh etika dan protokol tertentu. Hal ini sudah tentu sedikit sebanyak mengubah plot cerita rakyat yang membatasi hubungan raja dengan rakyat jelata. Kini golongan bangsawan sudah mencemar duli bertemu dengan rakyat di alam maya dengan kisah-kisah biasa di media sosial. Mereka tidak lagi dengan keasyikan memaparkan kehidupan mewah dan berprotokol di istana. Begitu juga halnya dengan golongan hartawan yang tidak memaparkan kesombongan seperti dalam cerita rakyat sehingga menjadi klise.

Kisah Si Tanggang yang menderhaka dengan si ibu telah membawa implikasi buruk terhadap golongan hartawan. Apabila Tanggang berkahwin dengan anak gadis pemilik kapal dagang yang belayar bersama-samanya, Tanggang sudah lupa daratan, sombong dan tidak mengaku ibunya yang miskin sebagai ibu kandungnya. Ibu Tanggang yang berkecil hati telah mendoakan Tanggang diberi pembalasan atas penderhakaannya.

Seorang ibu menjadi figura kepada anak-anak kerana doanya yang tiada hijab. Apalah salah kiranya kisah ini diberi nafas baharu dengan aura yang lebih positif. Ibu itu sewajarnya mendoakan Tanggang diberikan hidayah dan bertaubat. Tanggang harus diberi kesedaran bukannya disumpah supaya mendapat pembalasan dan hukuman. Hal ini akan lebih membuka pemikiran golongan ibu supaya bersifat lebih sabar dan bersangka baik. Bagi golongan pembaca kanak-kanak pula semestinya hal ini akan memberikan nilai murni supaya menjadi anak yang taat kepada ibu bapa. Anak itulah yang akan membawa si ibu ke syurga jika betul ajaran dan pendidikan agamanya. Mendoakan yang baik untuk anak akan menyelamatkan hidup si ibu juga.

Begitu juga halnya dengan kisah Bawang Putih Bawang Merah. Penampilan ibu tiri sering menjadikan anak-anak bimbang dan takut dengan ibu tiri. Mereka sudah dilabelkan dengan sifat ibu tiri yang garang, zalim dan kejam. Watak ibu tiri yang garang, zalim dan kejam menjadi klise sejak zaman feudal sehinggakan dalam dunia realiti hal ini tidak semestinya berlaku. Wanita pada zaman sekarang sudah diberi peluang mendapatkan pendidikan yang tinggi malahan kedudukan mereka dalam sektor pekerjaan juga semakin baik dengan memegang jawatan yang sama taraf dengan kaum lelaki malahan ada yang lebih tinggi kedudukannya daripada kaum lelaki.

Oleh hal yang demikian, pemikiran mereka lebih terbuka dan sifat keibuan itu lebih nyata. Semakin ramai ibu tiri pada zaman milenium ini yang penyayang, berbudi pekerti mulia dan menghormati hak anak tiri. Watak Mak Labu yang tidak boleh melihat anak tirinya Bawang Merah diberi perhatian dan kasih sayang yang lebih daripada Pak Labi, suaminya telah mencetuskan konflik diri dan keluarga. Bawang Merah didera fizikal dan mentalnya walaupun tidak melakukan kesalahan kerana sifat cemburu dan iri hati Mak Labu. Faktor lain yang menyumbang pada perwatakan tersebut ialah faktor persekitaran masyarakat pada zaman itu seperti kemiskinan.

Plot seperti ini tidak sesuai pada zaman moden. Kehidupan manusia sudah semakin selesa. Faktor kewangan dan kemiskinan bukan lagi penyumbang utama dalam peratusan kes penderaan. Gambaran seorang ibu tiri perlu diperbetul. Perwatakan ibu tiri hendaklah seorang yang berbudi bahasa, adil dan saksama serta berhemah tinggi dalam menyantuni anak-anak tanpa mengira status anak tersebut. Jika perwatakan dalam kisah Bawang Putih Bawang Merah ini diberi wajah baharu maka golongan kanak-kanak yang menjadi pengikut cerita rakyat ini akan lebih positif menerima kehadiran ibu tiri.

Unsur supernatural yang terdapat dalam cerita ini juga perlu ditambah baik. Tidak mungkin tulang ikan kaloi yang ditanam oleh Bawang Merah menjadi pohon yang rendang sehingga sesuai dijadikan buaian tempat dia bermain. Tidak mungkin manusia berubah menjadi seekor ikan secara biologinya. Pembaca kanak-kanak pada zaman sains dan teknologi ini kemungkinan tidak dapat menerima unsur magis ini. Kelogikannya tidak wujud dan mungkin akan menimbulkan pelbagai persepsi lain. Hal ini dibimbangi akan menimbulkan isu aqidah. Unsur supernatural ini harus diubah agar lebih logik dengan menambah nilai Islamik yang lebih nyata, tepat dan sahih.

Legenda Puteri Gunung Ledang yang menentukan syarat perkahwinan di luar kemampuan dan kewarasan akal manusia biasa sudah tidak relevan lagi pada zaman teknologi bermaklumat.

Tujuh syarat tersebut ialah jambatan emas dari Gunung Ledang ke Melaka, jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang, tujuh dulang hati nyamuk, tujuh dulang hati kuman, tujuh tempayan air mata anak dara, tujuh tempayan air pinang muda dan semangkuk darah anak sultan. Sesetengah pihak menyatakan syarat ini lambang kedangkalan tuan puteri manakala pihak lain pula menyatakan tentang materialistik dan kekejaman tuan puteri. Tidak kurang juga yang mengatakan bahawa permintaan tersebut sebagai simbolik untuk tuan puteri menolak secara halus akan peminangan paduka sultan. Apa pun alasan dan pendapat amatlah tidak wajar permintaan tersebut dijadikan syarat perkahwinan diraja. Hal sedemikian bukan sahaja merendah-rendahkan takhta kesultanan kerajaan Melaka bahkan memperlekeh golongan bangsawan yang akhirnya tidak mampu menyempurnakan permintaan tuan puteri. Sedangkan dalam hukum Islam tidaklah salah apabila seseorang lelaki yang sudah berkahwin berhajat untuk berpoligami.

Stigma ini tidak perlu lagi ditonjolkan dalam cerita rakyat kerana dalam Rukun Negara sudah jelas akan perkara kedua ‘kesetiaan kepada raja dan negara’ yang perlu dipatuhi oleh setiap rakyat jelata. Plot Puteri Gunung Ledang sedikit sebanyak mencemarkan kedaulatan raja-raja walaupun kisahnya berlaku pada zaman feudal.

Puteri Gunung Ledang yang tidak pasti sejauh mana kewujudannya itu harus akur dengan peminangan dari istana Melaka yang pada ketika itu merupakan sebuah kesultanan Melayu yang terkenal dan dihormati. Salah satu cara perluasan kuasa dan pengukuhan sesebuah kerajaan ialah melalui kaedah perkahwinan. Apabila berlaku perkahwinan maka akan berlakulah jalinan hubungan diplomatik antara dua kerajaan atau negara. Hal ini juga bertepatan dengan penyebaran agama, penambahan zuriat keturunan dan pengekalan warisan golongan bangsawan.

Jika tuan puteri menerima peminangan tersebut atau tidak meletakkan sebarang syarat perkahwinan atau memudahkan pihak istana dengan syarat perkahwinan yang logik dan tidak membebankan maka akan berlakulah perkahwinan diraja antara Sultan Mahmud Shah dengan Puteri Gunung Ledang yang dikatakan puteri yang berasal dari Majapahit itu. Hubungan baik antara Melaka dengan Majapahit akan lebih kukuh, penyebaran syiar Islam menjadi lebih lancar dan zuriat keturunan golongan istana akan lebih berwibawa.

Kisah kehebatan dan kekuatan Badang perlu diperbetul. Badang merupakan epik sejarah yang nyata dan telah dibuktikan dengan kelahirannya di Sungai Sayong Pinang, Kota Tinggi. Makamnya sebagai bukti bahawa Badang merupakan adiwira bangsa yang banyak berjasa. Namun perlukah Badang memakan muntah hantu untuk menjadi gagah perkasa? Elemen hantu telah mencemarkan kredibiliti cerita rakyat sehingga wujudnya unsur tahyul dan munafik yang bertentangan dengan ajaran Islam. Apatah lagi apabila muntah yang najis itu boleh ditelan oleh Badang untuk menjadi seorang pemuda yang kuat fizikalnya tetapi secara tidak langsung telah menggambarkan kelemahan mentalnya.

Secara sainstifiknya seseorang yang sihat fizikal dan mental perlu mengambil makanan yang berkhasiat, vitamin dan zat yang mencukupi dan aktiviti harian yang mendorong pada kebaikan. Badang yang hidup di kampung dengan aktiviti pertanian dan penangkapan ikan sungai perlu didedahkan dengan pengambilan hasil tani yang menyihatkan. Perlu juga dipaparkan tentang Badang yang taat akan perintah Tuhan dengan menjadikan solat sebagai sandaran kehidupannya kerana dalam apa jua keadaan, penceritaan rakyat perlu kembali semula pada syiar Islam. Inilah cara untuk meletakkan agama pada tempat yang sewajarnya untuk dihayati.

Kesimpulan

Pada era langit terbuka, kisah rakyat jelata masih lagi perlu ditonjolkan sebagai pengajaran dan ilmu tambahan kepada pembaca terutama golongan kanak-kanak dan remaja.

Unsur pengukuhan aqidah dan syiar Islam sentiasa relevan sepanjang masa kerana cerita rakyat berkait rapat dengan golongan istana yang memegang kuat tampuk pemerintahan dengan sistem beragama. Raja-raja mempunyai hak jaminan agama Islam yang paling ketara semenjak zaman feudal sehinggalah zaman pemerintahan British, bahkan sehingga kini.

Aura positif perlu disemai dalam cerita rakyat dengan penambahbaikan pada kelogikan sesuatu cerita. Unsur positif sangat penting untuk disematkan dalam minda pembaca agar keterbukaan dan penyerapan nilai murni dapat diterapkan. Lebih banyak unsur positif dan lebih banyak plot yang logik, maka akan bertambah baiklah pemikiran  pembaca.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013336
    Visit Today : 599
    This Month : 32681
    Total Visit : 1013336
    Hits Today : 1947
    Total Hits : 4134052
    Who's Online : 11
  • Kategori