OLEH DR. NAZARIYAH SANI

Makanan tradisional seperti dodol merupakan warisan yang amat istimewa sejak sekian lama dan telah menjadi identiti masyarakat Melayu Malaysia terutamanya di negeri Johor. Keistimewaannya merentasi budaya dan bangsa di negara kita. Malahan menepati cita rasa bak kata peribahasa Melayu, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Dodol atau penganan  ini walaupun dikategorikan dalam kumpulan makanan yang mengandungi banyak gula, namun tetap mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia terutamanya dihidangkan pada majlis keraian ataupun musim perayaan.

Dalam bahasa Jawa dodol disebut “jenang”, sedangkan dalam bahasa Sunda Jawa Barat pula dipanggil “dodol”.  Perkataan “dodol” tercatat dalam kamus yang berjudul “A Grammar and Dictionary of The Malay Language: With A Preliminary”, Jilid 2 oleh John Crawfurd (1852). Menurut kamus tersebut, perkataan “confectionery” memberi erti “manisan” atau “dodol”.

Dodol cair Simpang Ampat

Sorotan lalu mendapati penganan dodol ini berasal dari Jawa Barat, Republik Indonesia. Di Malaysia, dahulunya dodol sangat terkenal di Melaka dan di Muar, Johor.  Namun kini dodol boleh didapati di seluruh negara dengan mudah kerana sudah dikomersialkan.  Malahan ada yang menjual dodol panas di tepi jalan.  Misalnya di Simpang Ampat, Melaka yang mengusahakan perniagaan dodol cair yang panas sebagai langkah inovasi.

Penyediaan dodol secara tradisional amat unik dan bermakna. Pengalaman lalu menyaksikan bagaimana nenda penulis memulakan proses mengacau dodol seawal pagi sesudah Subuh.  Bahkan dapat dikatakan bahawa setiap keluarga di kampung penulis ketika itu mewarisi kemahiran menyediakan makanan turun-temurun ini. Penyediaan yang unik ini dapat menambah perisa pada dodol. Bahan-bahan asas yang diperlukan untuk membuat dodol terdiri daripada santan kelapa, tepung beras, gula pasir, nisan atau gula Melaka dan garam.

Benarlah kata orang apabila membuat dodol secara tradisional memerlukan ketelitian dan persediaan rapi dari sudut rohani dan jasmani.  Daripada hati nurani yang sangat ikhlas menggabungkan semangat, emosi dan fizikal.  Ramai orang selalu mencuba untuk membuatnya tetapi tidak semua dapat menghasilkan dodol yang bermutu tinggi. Biasanya mereka yang mahir membuat dodol ini terdiri daripada golongan orang lama yang mewarisi resipi turun-temurun. Jarang sekali generasi muda seperti penulis mahir membuat dodol.

Hidangan dodol asli

Pada asasnya, manisan dodol ini diperbuat daripada perahan santan daripada buah kelapa tua dan tepung pulut. Semua ramuan ini akan diadunkan melalui kaedah kacauan yang berlangsung berterusan selama lebih kurang tiga hingga empat jam pada suhu tinggi untuk menghasilkan masakan yang matang.  Hasilnya, fizikal dan rasa dodol akan berubah menjadi melekit, pekat dan manis.

Terdapat banyak versi dodol yang berlainan sama ada daripada segi warna yang kebanyakannya berwarna perang gelap, hijau, kuning dan  sebagainya. Rasa dodol juga turut dipelbagaikan, namun versi rasa yang selalu dinikmati seperti rasa labu, durian, kelapa dan pisang.

TERKENANG SEMASA DAHULU

Teringat semasa zaman kanak-kanak, dodol begitu istimewa kerana hanya pada hari Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha atau kenduri kahwin sahaja nenda akan mengacau dodol. Di kampung penulis tidak semua orang pandai membuat dodol seperti Allahyarhamah nenda, hanya segelintir sahaja yang mempunyai kepakaran membuatnya.

Dalam proses membuat dodol perlu ada kuali tembaga yang besar, sudip bertangkai kayu yang panjang dan hujungnya tembaga juga.  Nenda akan meminjam kuali tembaga besar daripada saudara kami. Kuali itu akan dikandarkan beramai-ramai pada malam hari usai solat tarawih saat purnama mengambang terang. Disebabkan itu kami tidak memerlukan lampu suluh. Cukup dengan suluhan purnama. Manis sungguh pengalaman tersebut.

Allahyarham datuk lelaki ketika itu gagah perkasa, sebagai tulang belakang untuk proses mengacau dodol, cerita nenda.  Bagai berpesta!  Satu kegembiraan buat kami pada acara mengacau dodol tersebut.

UPIH PINANG WARISAN ALAM

Penulis masih ingat dodol yang telah masak itu dimasukkan dalam upih.  Kemudian disalai atas para dapur kayu nenda dan boleh tahan berbulan lamanya.  Setelah dodol masak, nenda akan menyimpan dodol dalam pasu tembikar besar dan selepas itu barulah dipindahkan ke dalam upih pinang.   Penulis sungguh teruja dan berasakan dodol nenda sungguh istimewa.  Lama-kelamaan dodol nenda akan bersakar dan lebih enak rasanya.

Upih pinang

Sesungguhnya, masyarakat Melayu terdahulu kreatif, prihatin dan teliti dalam memanfaatkan sumber alam untuk kegunaan harian. Sebagai contoh upih pinang sebagai sumber alam digunakan sebagai pembungkus makanan.  Sebenarnya alat pembungkus makanan terbaik ialah upih yang diperoleh daripada pokok pinang.  Upih pinang digunakan untuk membungkus makanan. Makanan yang dibungkus dengan upih pinang dapat mengekalkan kepanasan makanan tersebut di samping memberikan bau yang harum.  Upih pinang lebih tahan berbanding daun pisang dan boleh digunakan berulang kali.  Sebab itulah, nenda akan membungkus dodol menggunakan upih pinang dan dodol air tangan nenda memang wangi baunya dan tidak mudah tengik.

Dodol dalam balutan upih pinang

FALSAFAH WARISAN

Kata nenda, makanan tradisional seperti dodol mengandungi falsafah, iaitu simbol doa, harapan, penyatuan dan semangat bagi masyarakat Melayu.  Misalnya, dalam majlis kesyukuran selepas perkahwinan, disediakan dodol  dengan harapan pengantin dan seluruh ahli keluarga sentiasa diberi kesihatan yang baik, mendapat keberkatan dan kekuatan dalam menjalani kehidupan.

KERJASAMA

Pesan nenda, melalui acara mengacau dodol kita dapat membina jati diri masyarakat yang bersatu dan harmoni mengikut nilai dan etika yang boleh diterima pakai oleh setiap anggota keluarga.  Kita sebagai makhluk yang diciptakan untuk saling memerlukan. Oleh itu,  acara mengacau dodol dapat mengeratkan persaudaraan kita sebagai makhluk sosial.

Kebersamaan akan mudah mengalirkan kasih sayang dan mengeratkan jalinan atas landasan kasih sayang yang abadi.  Maka antara kegiatan yang sesuai dilaksanakan seperti bergotong-royong mengacau dodol, berkenduri-kendara, menyambut perayaan bersama dan sebagainya. Selain itu, acara tersebut dapat menanam budaya positif yang lain seperti menghormati waktu, berwawasan dan berjiwa keusahawanan.

PENYATUAN

Masih terbayang gurauan nenda tentang semantik dodol.  Dalam majlis perkahwinan, dodol dihidangkan sebagai simbolik kehidupan masa hadapan pasangan pengantin.  Sifat bahan utama dodol, iaitu beras pulut yang lengket diharapkan dapat menjadi pelajaran bagi setiap pasangan agar keduanya sentiasa akrab atau memiliki hubungan yang erat.  Selain itu, proses pembuatan dodol secara tradisional memerlukan kesabaran berganda serta memerlukan kerjasama beberapa orang, menjadi pengajaran buat pasangan pengantin setelah menikah agar tidak mudah putus asa dalam mengharungi bahtera rumah tangga.

Diharapkan kedua pasangan pengantin selalu bekerjasama dan saling membahu antara satu sama lain ibarat aur dengan tebing.  Malangnya semasa perkahwinan penulis, nenda sudah tiada.  Tiada dodol yang dapat dihidangkan.  Semuanya tinggal kenangan.

Di kebanyakan negara Asean juga, dodol telah menjadi bahan hidangan khususnya pada hari perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.  Kini, dodol merupakan makanan manisan yang amat terkenal dan digemari di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, dan Sri Lanka. Manakala di Filipina, dodol terkenal khususnya di Wilayah Ilocos, Luzon dan di Bahagian Lanao, Mindanao serta di India khususnya di Wilayah Goa.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    290305
    Pelawat Hari Ini : 499
    Pelawat Bulan Ini : 8878
    Jumlah Pelawat : 290305
    Hits Hari Ini : 1516
    Jumlah Hits : 772513
    Siapa Atas Talian : 1
  • Kategori