Judul:             Capa Rengat Gulai Rawo

Pengarang:   Baharuddin Kahar

Penerbit:        Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga:            RM30.00

Tahun:           2021

Pengulas:      Ismail Hashim

 

Kumpulan Cerpen ‘Capa Rengat Gulai Rawo’ mengangkat kisah masyarakat yang mengandungi berbagai tema kehidupan. Pergaulan dan pengalaman adalah ramuan yang terbaik bagi seorang penulis untuk dijadikan cerpen. Baharuddin Kahar telah mengangkat tema-tema kemanusiaan dalam cerpennya yang berlaku pada zamannya. Hal ini memberikan jarak dan ruang fikir kepada pembaca.

Selebihnya, boleh dijadikan panduan kepada penulis-penulis baharu menitip kejadian-kejadian semasa yang berlaku sekarang termasuklah rasuah, pandemik dan rendahnya keluhuran nilai-nilai kemanusiaan yang semakin terhakis mengikut peredaran zaman. Penulis Baharuddin Kahar menggamit kenangan masa silamnya dengan sekuntum bunga yang diberikan oleh seorang gadis bernama Suri  kepadanya yang dikenali Capa Rengat. Bunga yang dimaksudkan ialah sejambak bunga bertampuk ungu dan berkelopak putih.

Bunganya bersaiz besar, sebesar sanggul ibu berbau wangi dan dkenali juga sebagai Melur hutan dan mendatangkan ilham kepadanya untuk menulis cerpen yang menarik kepada pembaca. Meninjau kepada Kumpulan Cerpen Baharuddin Kahar yang lain bertajuk Rindu Kedua (DBP: 2015), penulis juga menitipkan kenangan silamnya dalam cerpen Emi Oh Emi yang mengisahkan hubungan  Har dengan Emi yang terputus hubungan ditengah jalan ketika berjumpa di Hentian Bas sewaktu Har menunggu kawannya bernama Jain. Bagaimanakah perasaan anda apabila ole-ole yang anda bawa pulang dari jauh tidak dihargai oleh adik-beradik,mahu pun kekasih?. Tentunya anda berasa kecewa tanpa ada pengiktirafan yang anda harapkan.

Disinilah kita mempertikai sikap segelintir manusia yang rapat dan berubah dalam sekelip mata. Baharuddin menulis kisah dalam cerpen Rindu yang menceritakan Saril yang melanjutkan pelajaran di Jakarta dan mahu menghabiskan cutinya di kampung berasa kecewa kerana ole-ole yang dibawa pulang dari Jakarta, iaitu selendang tidak dihargai oleh adik-beradiknya mahu pun kekasihnya. Oleh sebab itu, Saril telah memendekkan percutiannya dengan bekerja di Kuala Lumpur bagi mendapatkan wang saku tambahan sebelum pulang ke Jakarta.

Cerpen Kelah Sisik Merah menceritakan harapan seorang ayah dalam mengisi ‘kemaruk’ anaknya yang mahu memakan ikan kelah sisik merah dan berakhir  dengan kemalangan apabila sang ayah terjatuh ke dalam parit dan pengsan. Ayahnya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Malang berganda kepadanya apabila ikan yang mahu dijadikan lauk itu hilang. Di sinilah, Baharuddin meminta anak-anak menghargai pengorbanan seorang ayah bagi mengisikan impian dan keinginan seorang anak.

Cerpen Kesasar menceritakan hubungan cinta Har dengan Yan yang terhalang. Yan berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya dan perkahwinan ini tidak bahagia menjadikan rumah tangganya porak peranda dan berakhir dengan penceraian. Lalu, Yan menunggu Har (pelaut) di pelabuhan untuk menuntut cintanya. Cerpen Kebesaran pula mengisahkan tentang Durani yang menuntut bela ke atas Agus kerana kematian isterinya, Maliah – yang merupakan bekas kekasih dan perempuan simpanan di sebuah kelab malam.

Cerpen ini juga terdapat unsur nilai-nilai murni dan menyedarkan pembaca supaya tidak mempunyai perasaan dendam sepertimana tindakan yang diambil Durani memaafkan kesalahan Agus kerana dendamnya tidak membawa apa-apa  makna apabila Agus sudah berubah menjadi seorang yang baik dan memohon maaf atas kesilapan pada masa lalunya itu.

Sementara itu, seorang jejaka yang bernama Nan telah meninggalkan daratan untuk berkelana sebagai seorang pelaut semata-mata mahu mengumpul wang untuk berkahwin dengan gadis pilihannya bernama Nor. Hubungan yang terjalin dengan baik ini dapat diikuti  di dalam cerpen Kampung Halaman. Malangnya, Nor telah pun berkahwin dengan gadis lain dan mempunyai lima orang anak dan tiga orang cucu. Kesetiaannya pada Nor menyebabkan Nan tidak pernah berkahwin lagi. Kesetiaan yang keterlaluan itu menutup pintu hati Nan untuk terus membujang hingga ke akhir hayatnya.

Cerpen Sudah Besar pula menceritakan Lopi sejak dari kecil mempunyai kemahiran membaling beliung ke arah pohon dedap. Sasarannya sering tepat. Kemahirannya ini telah digunakan ketika bergaduh dengan samseng yang menganggu kekasihnya bernama Ati. Lopi telah mencederakan samseng dengan beliung dan melarikan diri selepas kejadian itu bagi mengelakkan dirinya daripada diburu pihak polis.

Baharuddin Kahar turut menghasilkan kumpulan Cerpen Rindu Kedua (DBP: 2015) yang di dalamnya terdapat sebuah cerpen yang bertajuk  Menanti Pulangnya Seorang Puteri mengangkat tema seorang anak, Hani yang tidak berpuas hati kepada ibunya yang berkahwin lain. Ibunya telah berkahwin dengan Rafi yang lebih muda setelah kematian suaminya bagi menguruskan aset gemulah suaminya itu. Disebabkan ketidakpuasan hati, Hani telah keluar dari rumah setelah berlaku pertengkaran dengan bapa tirinya.

Tindakan drastik Hani itu membuat ibu berasa kecewa, lebih-lebih lagi Rafi meninggal dunia akibat penyakit tulang. Yang ingin ditekankan daripada cerpen tersebut adalah tindakan anak yang mengikut darah muda selalunya akan berakhir dengan suatu penyesalan. Hal ini turut mengingatkan pembaca, terutamanya ibu bapa untuk melenturkan disiplin anak-anak sejak dari kecil seperti pepatah melentur buluh, biarlah dari rebung.

Seterusnya cerpen bertajuk Merah Jambu yang menceritakan seorang guru yang cedera berpunca daripada kemalangan dan jatuh sakit. Guru tersebut telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjadi seorang pelukis. Guru tersebut mendapatkan bantuan seorang tua bagi menjual lukisannya di pasar minggu. Guru tersebut jatuh hati dengan seorang perempuan yang berpakaian labuh berwarna merah jambu yang mirip seperti Mona Lisa. Malangnya, perempuan tersebut sudah pun mempunyai suami.

Cerpen Longnya Laku pula menceritakan tentang Leong, seorang penjual long atau keranda yang bergantung kepada orang mati bagi melariskan produknya itu.Wang daripada jualan long itu mahu digunakan untuk mengubati anak Kim bernama Chau Yang yang menghidap penyakit tulang di Taiwan. Longnya laku tetapi malang tidak berbau, Kim maut kerana terjatuh di bilik air. Selain itu, Kisah Budin, seorang penangkap ikan yang ingin mendapatkan ikan sungai untuk di masak lemak Gulai Rawo sempena kepulangan anak dan menantunya, Agil dan Marina dijalinkan dengan kemas dalam  cerpen Gulai Rawo.

Cerpen Panggilan pula menceritakan tentang Jain seorang penjenayah yang telah membunuh Darma dan Rina kerana belot padanya. Akhirnya Darma menyerah diri kepada pihak berkuasa. Cerpen lain pula menceritakan Thomas iaitu seorang pemuzik terkenal menjadi seorang peniup trompet untuk upacara perarakan mayat ke tanah perkuburan. Lebih tragis, perarakan mayat yang dihadirinya merupakan bekas isterinya bernama Jennny dalam cerpen Lagu Seorang Tua. Ikatan  kasih Thomas pada Jenny kukuh terjalin meskipun Jenny telah berkahwin lain. Cerpen Bah Urei pula menceritakan kisah seorang tua daripada kaum orang asli yang enggan berpindah apabila daerahnya diambil oleh pihak berkuasa untuk tujuan pembangunan. Di daerah itu juga terletak pusara mendiang isterinya.

Manakala  cerpen Sempana Ganja Iras menceritakan kegigihan seorang tua bernama Sago yang pandai membuat keris. Semasa dalam proses menyediakan tempahan membuat sebilah keris dinamakan Sempana Ganja Iras, Sago mendapat kecederaan dipatuk ular di kaki Gunung Comel. Sendari, anak kepada Sago telah menemui ayahnya dan bersedia meneruskan legasi ayahnya itu walaupun pada mulanya enggan berbuat demikian. Cerpen ini menceritakan pengorbanan seorang anak terhadap ayahnya.

Cerpen Pada Suatu Dimensi pula menceritakan tentang seorang lelaki menjadi kurang siuman setelah kematian kekasihnya bernama N. Dalam halusinasinya, lelaki itu mencari serigala yang membunuh N dan melarikan sepasang kasut tentera yang disayanginya itu. Lelaki itu telah ditangkap oleh pengawal keselamatan ketika membuat kecoh di sebuah kedai buku. Tidak ketinggalan, cerpen Kebencian  menceritakan tentang Jidan yang tidak memelihara binatang peliharaannya dengan baik. Beruknya telah menganggu privasi kakak sepupunya, Nan termasuklah memunggah almari pakaiannya. Hal ini mendatangkan rasa benci Nan terhadap beruknya itu hingga menyebabkannya memukul beruk tersebut. Lebih tragis, Jidan mati terjatuh daripada pokok ketika mahu merampas semula sumpit yang dilarikan beruk tersebut.

Cerpen Jangan Ikut Hati pula menceritakan sikap Marwan yang melarikan lembu kesayangannya bernama Puteh yang tidak mahu dijadikan lauk-pauk di majlis perkahwinan kakaknya Tupin. Ayahnya terpaksa keluar rumah dan mencari lembu itu. Malang menimpa ayahnya apabila diserang seekor harimau berhampiran Bukit Tokri. Ayah Marwan cedera dan dirawat di rumah sakit. Cerpen ini dianggap klise dan isu seperti ini banyak ditimbulkan oleh penulis-penulis cerpen yang lain.

Keistimewaan dua puluh buah cerpen yang dihidangkan oleh Baharuddin Kahar kepada pembaca dalam Kumpulan Capa Rengat Gulai Rawo ini sesuai dibaca oleh golongan dewasa dan remaja. Baharuddin Kahar mahu pembaca menjadikan isu-isu yang dibangkitkan dalam cerpen ini sebagai teladan.

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1034659
    Visit Today : 875
    This Month : 17258
    Total Visit : 1034659
    Hits Today : 4349
    Total Hits : 4242683
    Who's Online : 11
  • Kategori