Oleh Dr. Naza Sani Agus

Anugerah Profesor Emeritus kepada Nik Safiah Karim, iaitu gelaran paling berprestij yang diterima daripada Universiti Malaya pada tahun 2004 memang layak disandang oleh beliau.  Sumbangan yang telah beliau berikan sepanjang dan selepas bergelar penjawat awam bermula dari tahun 1963 hingga 1994 tidak terhitung terhadap pemartabatan bahasa Melayu dan perjuangan hak wanita.

Ibarat permata yang sentiasa menyinar, beliau antara wanita ulung yang menjadi Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dari tahun 2006 hingga 2016. Malahan beliau juga antara wanita yang menduduki Kursi Pengajian Melayu di universiti ternama dunia.

Usia tidak pernah menoktahkan keghairahan menulis kerana pena dan kertas telah sebati dalam diri dan merupakan kebahagiaan buat beliau. Minat terhadap penulisan yang berputik sewaktu zaman kanak-kanak lagi dan terus mekar semarak sehingga kini. Buktinya selepas bersara pada tahun 1994, beliau menghasilkan tidak kurang daripada 10 buah buku karya asli dan beberapa buah buku yang diedit. Di samping itu, sebagai Profesor Emeritus, beliau turut menerima jemputan untuk menyampaikan ceramah dan bertugas sebagai penasihat bahasa di beberapa buah kolej.

Ketokohan beliau dalam bidang Pengajian Melayu terutamanya Linguistik Melayu membuktikan jantina dan latar belakang pendidikan bukan penentu masa depan seseorang.  Benarlah kata pepatah Melayu di mana ada kemahuan, di sana ada jalan kerana usaha dan keinginan menjadi faktor penting dalam kejayaan beliau.

Beliau merupakan anak perempuan bongsu kepada Nik Mas dan Abdul Karim di kampung Banggol, Kota Bharu yang dilahirkan 82 tahun lalu pada era 30-an.  Sebagai anak desa, bergelumang dengan kebun getah dan kebun pisang adalah perkara biasa tetapi yang luar biasanya ialah membaca tetap merupakan hobi beliau.  Buku yang tersusun rapi di almari kepunyaan ayahnya Abdul Karim menjadi santapan beliau saban hari.

Personaliti beliau menyerlah dengan keindahan budi pekerti, santun peribadi dan pandai menghargai orang tua. Sebagai bukti, beliau tidak lupa mengirimkan sebahagian wang gaji kepada orang tuanya setiap bulan.  Maka slogan “Budi Bahasa Budaya Kita” yang dicipta beliau telah menjadi ikutan generasi kini dalam memupuk nilai-nilai murni serta semangat kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Melakar sejarah sebagai pengasas dan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia selama 18 tahun, Nik Safiah Karim telah menghasilkan tidak kurang daripada 30 buah buku tentang bahasa Melayu dan menjadi rujukan sehingga kini. Kepakaran beliau dalam ilmu linguistik dan bahasa Melayu diiktiraf merentas negara. Pengiktirafan ini sangat bererti kerana beliau menjadi rujukan kepada negara Singapura dan Brunei dalam menghasilkan buku teks.

Bagaimanapun, sebelum menjadi individu yang hebat dan disegani dalam dunia akademik, Nik Safiah Karim mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk sampai ke tahap tersebut. Banyak pengorbanan dan kepayahan perlu ditempuhinya sebelum tugu kejayaan erat dalam genggaman.  Namun berbekalkan prinsip apa yang disemai itulah yang bakal dituai, beliau terus komited menabur bakti.

SUMBER INSPIRASI ALAM PENDIDIKAN

Berbeza dengan dunia artis yang nama mereka boleh meletup sekelip mata tanpa tahu dari mana asal-usulnya, Nama besar Nik Safiah Karim dalam dunia pendidikan tidak datang dengan serta-merta tetapi beliau bertatih dari bawah. Mantan pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya ini lahir dalam keluarga ulama yang mementingkan pendidikan. Hal tersebut merupakan anugerah yang amat disyukuri.  Beliau dibesarkan dalam suasana didikan agama tetapi menikmati alam persekolahan di sekolah aliran biasa, iaitu Government Girls English School yang kemudiannya ditukarkan nama kepada Sekolah Rendah Zainab.

Daripada didikan ayahnya, Nik Safiah Karim banyak belajar tentang agama dan pandangan keislaman secara tidak formal dan sehingga saat ini beliau tetap dengan pandangan Islam. Lalu dari mana beliau belajar tentang ilmu pendidikan sehingga beliau menjadi seorang pendidik yang berprestasi?

Bibit kecemerlangan Nik Safiah Karim mulai terserlah apabila mendapat tawaran memasuki Malay Girls College di Kuala Lumpur pada tahun 1953. Senario ketika itu agak menakjubkan apabila pelajar dari Kelantan merantau ke negeri lain untuk melanjutkan pelajaran.  Pengajian diteruskan ke tingkatan enam di St. Francis Institution, Melaka dalam aliran sastera.  Kerana minat, beliau memilih mata pelajaran Kesusasteraan Inggeris, Geografi dan Sejarah semasa menduduki peperiksaan Higher School Certificate (HSC) pada tahun 1959.

Universiti Malaya merupakan pelabuhan ilmu seterusnya buat beliau pada tahun 1960 dalam bidang Ekonomi. Tahun kedua, beliau memilih untuk membuat pengkhususan dalam bidang Pengajian Melayu. Dari situlah minat beliau terhadap linguistik Melayu bercambah. Nik Safiah Karim menamatkan pengajiannya pada tahun 1963 dengan menggenggam Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Melayu.

Majlis konvokesyen yang diadakan di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur merupakan saat indah dalam perjalanan ilmu beliau kerana menerima ijazah daripada Canselor Universiti Malaya ketika itu, iaitu Tunku Abdul Rahman. Jiwa terasa terbang, berbunga-bunga ketika graduan berarak ke pentas sambil lagu From Dawn to Darkness dialunkan. Seorang wanita yang menerima ijazah pada masa itu adalah sesuatu yang luar biasa dan dapat dibanggakan kerana tidak ramai mendapat pendidikan tinggi di universiti.

Kembara ilmu Nik Safiah Karim tidak terhenti setakat itu, beliau telah menerima tawaran menyambung pengajian pada peringkat sarjana. Seterusnya, beliau dilantik menjadi tutor di Universiti Malaya sebelum menjadi pensyarah. Sebaik selesai menyiapkan kajian dan memperoleh Ijazah Sarjana Sastera, beliau bertuah kerana terus dilantik sebagai pensyarah di Universiti Malaya.

Menurut Nik Safiah Karim, sepanjang menjadi pensyarah di Universiti Malaya selama hampir 10 tahun, beliau mungkin sudah boleh berasa selesa dan tidak perlu menyambung pengajian ke peringkat kedoktoran. Namun, atas sebab cintakan ilmu, beliau berasa perlu memiliki gelaran doktor (PhD) dan Amerika Syarikat menjadi destinasi melanjutkan pengajian kerana ilmu linguistik di negara tersebut lebih maju berbanding dengan negara lain.

Aliran pemikiran yang berpengaruh pada tahun 1960-an dan 1970-an ialah transformasi-generatif. Aliran tersebut dimulakan seorang ahli bahasa di Massachussetts Institute of Technology bernama Noam Chomsky dan perkembangan aliran tersebut berlaku dengan pesat sehingga banyak sarjana yang ingin mendalami bidang tersebut dan berhijrah ke Amerika Syarikat.

Hasrat beliau untuk menyambung pengajian di negara orang disokong oleh suaminya, Mohd Zain Omar yang ketika itu berkhidmat sebagai pensyarah ITM Shah Alam (kini UiTM Shah Alam). Malahan suami beliau turut bersetuju untuk menyambung pendidikan peringkat sarjana dalam bidang pentadbiran pendidikan.

Akhirnya, Universiti Ohio menerima mereka suami isteri. Mereka berlepas ke Ohio pada tahun 1972 bersama-sama dua orang anak mereka. Pengalaman menimba ilmu di Amerika Syarikat tidak dapat dilupakan dan antara kenangan indah apabila kegembiraan menimba ilmu dan pulang membawa segulung ijazah kedoktoran Linguistik Transformasi Generatif.

Begitulah hebatnya liku-liku perjalanan hidup pejuang bahasa Profesor  Emeritus Dato’ Dr. Nik Safiah binti Haji Abdul Karim. Perjuangan beliau mendakap ilmu demi memartabatkan bahasa Melayu menjadi sumber inspirasi dalam dunia pendidikan yang penuh warna-warni. Namun begitu, beliau tetap kukuh ibarat karang di dasar lautan yang tidak pernah berubah walau diterjah gelombang gagah.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    290305
    Pelawat Hari Ini : 499
    Pelawat Bulan Ini : 8878
    Jumlah Pelawat : 290305
    Hits Hari Ini : 1520
    Jumlah Hits : 772517
    Siapa Atas Talian : 2
  • Kategori