Judul buku: Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu Dewan

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit: 2020

Harga: RM25.00

Pengulas: Noor Azlina binti Zaidan

 

Ejaan Jawi merupakan satu sistem tulisan yang menggunakan aksara Arab dalam penulisannya. Berbeza dengan tulisan Rumi, tulisan Jawi mengandungi 37 huruf dan ditulis dari kanan ke kiri. Sekalipun tulisan Jawi tidak wajib dipelajari mahupun diaplikasikan pada setiap masa, namun mengetahui dan mempelajari cara penulisan yang betul adalah sangat penting khususnya kepada para pelajar yang mempelajari mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah rendah mahupun menengah. Hal ini disebabkan selain buku-buku teks Pendidikan Islam yang ditulis dalam tulisan Jawi, penguasaannya akan melancarkan proses pembelajaran mata pelajaran sekali gus meningkatkan prestasi para pelajar. Bagi guru dan pengamal tulisan Jawi, kaedah pembelajaran serta aturan pengejaan tulisan Jawi akan menambah nilai pengetahuan. Guru yang berkeyakinan dan berkemahiran tinggi dapat menarik minat para pelajar untuk mempelajari tulisan Jawi dan mata pelajaran Pendidikan Islam itu sendiri.

Sebelum terbitnya buku Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan beberapa siri panduan bagi pengejaan Jawi. Antaranya ialah Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan terbitan tahun 1986 dan Pedoman Ejaan dan Sebutan Bahasa Melayu terbitan tahun 1996. Kedua-dua buku ini menerangkan panduan umum pengejaan dan penyebutan dalam tulisan Jawi. Namun, dalam Pedoman Ejaan dan Sebutan Bahasa Melayu disisipkan dua panduan berkaitan dengan ejaan Jawi, iaitu Pedoman Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu yang mengandungi aturan sebutan bagi kata serapan bahasa Arab. Keduanya, Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu yang mengandungi kaedah-kaedah pengejaan perkataan termasuklah kaedah pengejaan kata serapan bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Buku Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan telah diangkat sebagai rujukan utama bagi penulisan Jawi apabila Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1992 bertarikh 22 Januari 1992 menyatakan bahawa Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan hendaklah digunakan di semua peringkat pendidikan termasuk dalam peperiksaan yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan dan Majlis Peperiksaan Malaysia.

Buku pedoman Jawi yang terkini, iaitu Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu Dewan telah diterbitkan pada tahun 2020 dan mengandungi 122 halaman. Pedoman ini dibahagikan kepada tujuh bab yang disusun dari peringkat yang paling asas, iaitu berkenaan dengan huruf atau abjad Jawi (Bab 1). Bab-bab seterusnya ialah Abjad Jawi, Penulisan Kata, Penulisan Kata Serapan, Penulisan Kata Nama Khas, Penulisan Angka dan Lambang Bilangan, Penulisan Akronim dan Singkatan dan Penulisan Tanda Baca. Jelas, jika dibandingkan dengan penerbitan pedoman-pedoman sebelum ini, banyak pembaharuan dan penambahbaikan Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu Dewan melalui pemasukan bab-bab yang membicarakan perkara yang tidak terdapat dalam sumber yang lain, iaitu berkenaan dengan penulisan angka, lambang bilangan, akronim, singkatan dan tanda baca. Pemasukan semua aspek tersebut sebagai topik perbincangan sangat membantu para pelajar, guru mahupun pengamal tulisan Jawi dalam menentukan kaedah penulisan yang betul termasuklah penulisan papan tanda kedai, jalan raya, iklan perniagaan dan lain-lain.

Pada muka hadapan buku, iaitu tajuk buku selain ditulis dengan ejaan Rumi, turut disertakan tajuk dalam tulisan Jawi seperti yang tersebut:

                    “ ڤدومن عموم ايجاءن جاوي بهاس ملايو ديوان “

Hal ini merupakan sesuatu yang menarik kerana tulisan atau fon (Jawi Sakkal Majalla) yang digunakan untuk menulis tajuk tersebut menggambarkan isi kandungan buku tersebut.

Selain itu, perkataan ‘Dewan’ yang terdapat dalam tajuk buku juga dapat menarik perhatian para pengamal tulisan Jawi untuk terus meneroka isi kandungan buku dan dapat menggambarkan bahawa buku pedoman ini telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu sebagai satu badan bahasa yang sangat dihormati dan berautoriti, bertanggungjawab membentuk panel penulis yang mahir dan membentuk pakar sehingga berjaya menghasilkan buku pedoman sebagai rujukan dalam kajian tulisan Jawi. Dengan kata lain, buku pedoman ini merupakan sumber yang berautoriti, boleh dipercayai dan diyakini untuk dijadikan rujukan dalam mempelajari tulisan Jawi.

Dalam bab satu, iaitu Abjad Jawi yang memperkenalkan huruf-huruf Jawi, bentuk huruf dan cara penulisannya, perlambangan vokal, diftong dan perlambangan konsonan. Dalam bab ini menjelaskan bahawa tulisan Jawi ditulis dan dibaca dari kanan ke kiri sebagaimana sistem tulisan bahasa Arab. Berbeza daripada pedoman terakhir (1996) sebelum terbitnya pedoman ini, telah disenaraikan huruf Jawi sebanyak 36 huruf, manakala terbitan tahun 2020 dinyatakan huruf Jawi terdiri daripada 37 huruf (dengan tambahan huruf ta marbutah). Berikutnya diterangkan tentang padanan-padanan huruf Jawi dengan Rumi dan beberapa huruf Jawi yang dipadankan lebih daripada satu huruf dalam Jawi.

Bab dua membincangkan tentang cara penulisan kata yang dibahagikan kepada kategori pembentukan serta sebahagian penggolongan kata, iaitu Kata Tunggal, Kata Terbitan, Kata Majmuk, Kata Sendi Nama, Kata Ganti Nama Diri Singkat, Kata Ganda dan Partikel. Bagi Kata Tunggal, penerangan diberikan berdasarkan bilangan suku kata perkataan, iaitu perkataan satu suku kata (ekasuku), dua suku kata atau lebih dan tiga suku kata atau lebih. Seterusnya turut diterangkan tentang penggunaan huruf vokal alif, wau dan ya dalam membina perkataan, khususnya dalam membina perkataan bahasa Melayu jati. Dalam penjelasan pengejaan kata ekasuku, terdapat beberapa perkataan yang merupakan kata serapan bahasa Arab dan bahasa Inggeris yang dibincangkan. Hal ini kerana dalam bahasa Melayu, hanya sedikit perkataan ekasuku yang merupakan kata jati bahasa ini. Sebaliknya, kata serapan bahasa Arab dan bahasa Inggeris adalah lebih banyak seperti perkataan “bas”, “van”, “wad”, “wat”, “sen”, “kes”, “bil”, “gol”, “bom”, “nur”, “zoo” dan lain-lain.

Bab tiga pula memfokuskan pengejaan kata serapan bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Bahagian ini merupakan bahagian yang menarik bagi penulis kerana pengetahuan tentang aturan atau kaedah pengejaan kedua-dua jenis kata serapan ini sangat penting pada masa ini. Apatah lagi buku teks Pendidikan Islam sendiri mengandungi lebih 50 peratus perkataan yang berasal daripada bahasa Arab melalui bidang al-Quran, Akidah, Ibadah (Syariat) dan Akhlak. Pengejaan yang betul dan tepat, sangat perlu dan penting kerana kebanyakan kata serapan bahasa Arab terdiri daripada istilah keislaman yang pengejaannya mempunyai aturan tersendiri. Bagi pengejaan kata serapan bahasa Inggeris pula, pengetahuan tentang pengejaannya sangat penting. Hal ini kerana selain daripada bahasa Arab, bahasa Inggeris turut menjadi sebahagian daripada kata dalam bahasa Melayu yang melalui penyerapan selama berabad-abad khususnya dalam bidang Sains dan Teknologi, iaitu sama ada dikekalkan bunyi sebutannya atau hanya ditukar konsonan dan pengejaannya untuk disesuaikan dengan tatabahasa bahasa Melayu.

Bab empat hingga bab tujuh menjelaskan secara ringkas tetapi padat berkenaan dengan tatacara penulisan Kata Nama Khas (bab empat), penulisan angka dan lambang bilangan (bab lima), penulisan akronim dan singkatan (bab enam) dan penulisan tanda baca (bab tujuh). Keempat-empat bab ini tidak kurang pentingnya kerana Kata Nama Khas (angka, akronim dan tanda baca), khususnya dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris sangat meluas digunakan pada masa kini. Bagi Kata Nama Khas dalam bahasa Arab, penggunaannya lebih banyak merujuk kepada nama orang, khususnya orang Melayu yang banyak menggunakan nama-nama daripada bahasa Arab kepada anak-anak mereka. Dengan demikian, perlu dipastikan nama tersebut ditulis dengan betul bagi mengekalkan maksudnya yang baik dan indah dalam bahasa Arab.

Begitu juga penulisan Kata Nama Khas dalam bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris (yang digunakan dalam bentuk ejaan penuh atau akronim serta angka) banyak digunakan bagi nama-nama kedai, perniagaan dan iklan yang begitu meluas dan penting pada ketika ini, khususnya apabila beberapa negeri yang mewajibkan penggunaan tulisan Jawi dalam penulisan papan tanda kedai dan sebagainya. Dengan demikian, pengetahuan tentang kaedah pengejaan yang betul adalah sangat perlu bagi memastikan nama-nama tersebut ditulis dengan betul berdasarkan kaedah yang telah digariskan.

Kesimpulannya, dapat dikatakan bahawa buku Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu Dewan merupakan buku yang wajib dimiliki oleh semua golongan dan pembelian buku ini (dengan harga RM25.00) sangat berbaloi dengan wang yang dibelanjakan kerana banyak ilmu dan panduan dapat membantu pembelajaran, kerjaya, tugasan dan keperluan golongan tertentu mahupun dalam kehidupan seharian.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013605
    Visit Today : 868
    This Month : 32950
    Total Visit : 1013605
    Hits Today : 2904
    Total Hits : 4135009
    Who's Online : 6
  • Kategori