SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

Menurut Zahari Ngah, 52, sebagai pembuat bubu di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus, Terengganu, beliau menggunakan dawai dan besi sebagai bahan utama. Kerja ini memerlukan kesabaran yang tinggi, selain berkemahiran memasang dawai dan membentuk unjap, iaitu laluan untuk ikan masuk ke dalam perangkap. Unjap memainkan peranan penting dalam pembuatan sesebuah bubu, kerana jika tersalah ukuran, ia akan menyebabkan bubu tersebut gagal menarik ikan untuk memakan umpan dan nelayan akan pulang dengan tangan kosong.

Ujar beliau, meskipun teknologi semakin moden dan kaedah penangkapan ikan semakin berubah, penggunaan bubu masih menjadi satu kewajipan buat golongan nelayan. Hal ini kerana teknik penangkapan ikan menggunakan pukat tidak mampu menaikkan ikan hidup di dasar seperti ikan merah, kerisi, tenggiri, siakap, jenahak dan sotong katak.

Bubu dawai buatan Zahari Ngah.

 

“Meskipun kaedah atau teknologi penangkapan ikan semakin maju, bubu tetap diperlukan. Penggunaan pukat tidak mampu untuk menaikkan ikan berharga mahal. Ini kerana spesies ikan mahal ini kebiasaannya hidup di dasar laut, sedangkan pukat hanya mampu menangkap ikan yang berada pada bahagian atas laut sahaja.” katanya.

Zahari Ngah membuat bubu untuk jualan dan kegunaan sendiri. Beliau mewarisi kemahiran membuat bubu daripada orang tuanya sejak berusia belasan tahun. Kualiti bubu amat penting bagi memastikan fungsinya dapat digunakan semaksimum mungkin. Tambahnya lagi, proses pembuatan bubu bermula dengan tapak yang diperbuat daripada besi yang diikat dengan tali nilon yang kukuh dan dawai halus, sebelum proses diteruskan dengan anyaman dawai besi sebagai rumah bubu.

Bubu diturunkan ke laut.

“Sebelum ini, nelayan membuat bubu dengan menggunakan tapak, iaitu diperbuat daripada kayu sukai dan kayu sengat keli yang tahan air. Namun kini mereka lebih gemar menggunakan besi kerana ia tahan lama, kukuh dan tidak mudah reput. Dalam pembuatan bubu, proses menganyam dawai terutama ketika menyiapkan unjap adalah paling rumit dan sukar kerana memerlukan ketelitian. Setiap bubu mengambil masa sekitar dua hari untuk disiapkan dengan menggunakan kira-kira 20 meter dawai. Semua nelayan mempunyai kemahiran untuk membuat bubu. Namun begitu, tidak semua nelayan boleh membuat bubu yang benar-benar baik terutama teknik anyaman bahagian unjap. Unjap yang dibentuk perlulah stabil dan mengikut ukuran yang tepat, tidak terlalu mendongak dan tidak terlalu rendah kerana ia akan menjadi umpan untuk ikan masuk ke dalam sangkar” katanya.

Selepas rumah bubu siap, di depan dan tepi sangkar akan dibiarkan berlubang untuk diletakkan unjap yang siap dianyam. Ketika inilah ketelitian diperlukan untuk memastikan kedudukan unjap tepat untuk membuatkan ikan ‘tertarik’ masuk ke dalam sangkar untuk memakan umpan.” tambahnya lagi.

Rumah bubu akan ditukar jika sudah berkarat.

Menurut beliau, bubu yang sudah siap juga akan diletakkan kayu dan bata yang berfungsi sebagai sauh, supaya ia tidak bergerak ketika berada di dasar laut. selain itu, tiang berpelampung yang dipanggil umbai berfungsi sebagai bendera untuk menandakan pemilik bubu itu. Setiap bubu akan dijual dengan harga antara RM140 sehingga RM160 setiap satu. Kebiasaannya pada musim tengkujuh, tempahan agak banyak kerana banyak nelayan mahu menukar bubu mereka apabila turun ke laut selepas musim tengkujuh berakhir. Kebiasaannya, bubu boleh digunakan antara empat hingga enam bulan sahaja dan kemudian ia akan berkarat dan perlu ditukar kerana ikan tidak akan masuk ke dalam bubu yang berkarat.

“Walau bagaimanapun, tapak bubu, iaitu besinya masih boleh digunakan. Hanya perlu menukar rumah bubu itu kepada yang baharu. Lokasi meletakkan bubu juga memerlukan kemahiran dan panduan tertentu. Jika tidak, nelayan hanya akan pulang hampa kerana tiada ikan yang masuk. Di dalam bubu pula akan diletakkan umpan. Kebiasaannya nelayan menggunakan umpan ikan selayang atau tamban. Teknik meletakkan umpan juga perlu betul. Bubu akan diletakkan pada kedudukan mengikut arus. Hal ini supaya apabila umpan dimakan ikan yang sudah masuk ke dalam bubu, arus akan membawa sisa umpan dan menarik ikan lain untuk mendekati bubu,” katanya.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1037251
    Visit Today : 733
    This Month : 19850
    Total Visit : 1037251
    Hits Today : 2319
    Total Hits : 4254674
    Who's Online : 9
  • Kategori