Judul Buku               :Korea di Persada Dunia: Bahasa, Sosiobudaya dan Sosiopolitik

                    Penulis                     :Lim Kim Hui, Yun Hyun Sook & Har Wai Mun

                    Penerbit                    :Dewan Bahasa dan Pustaka

                    Tahun Terbit              :2016

                     Harga                       :RM28.00

                     Pengulas                  :Zulfiqar bin Mohd Yusof

Buku Korea di Persada Dunia membincangkan tentang isu-isu terpilih berkaitan negara Korea yang dibahagikan kepada tiga aspek, iaitu bahasa, sosiobudaya dan sosiopolitik yang dimuatkan dalam 10 bab.

Bab pertama penulis membincangkan tentang pengaruh bahasa Cina dalam perkembangan bahasa Korea dengan melihat aspek penciptaan dan perkembangan tulisan idu pada tahap kuno dan masalahnya sehingga mencetuskan usaha mencipta hangeul. Lebih 1000 tahun, bahasa Korea telah menggunakan hanja atau karakter Cina sebagai sistem tulisannya. Tulisan idu ditulis menggunakan karakter Cina yang disesuaikan bagi mewakili bunyi dan makna kata Korea. Walaupun bahasa Korea mempunyai tulisan sendiri (hangeul) namun kata pinjaman bahasa Cina masih wujud. Cuma ditulis menggunakan sistem hangeul dan bukannya hanja.

Hubungan antara nasionalisme dengan ideologi politik yang mencorakkan perancangan bahasa di Korea Utara (KU) dan Korea Selatan (KS) menjadi perbincangan penulis dalam bab kedua. Di KU, dasar bahasa era pemerintahan Kim Il Sung amat berkait rapat dengan ideologi juche sasang. Beliau menyarankan penggunaan munhwaeo atau bahasa budaya yang mengangkat dialek Pyeongyang sebagai bahasa standard KU. Penggunaan munhwaeo bertujuan untuk membebaskan diri daripada bahasa baku yang terikat dengan dialek Seoul, menghentikan taat setia rakyat KU terhadap budaya tradisional Korea serta mengurangkan penggunaan hanja dan bahasa asing. Namun ketika era Kim Jeong Il, bahasa asing dan hanja diterima semula namun secara terhad. KS pula lebih terbuka menerima pengaruh bahasa asing.

Dalam bab ketiga, penulis membicarakan sejarah perkembangan bahasa Korea dan proses kemasukan kata pinjaman. Sejarah bahasa Korea dapat dibahagikan kepada empat era, iaitu Zaman Kuno, Pertengahan, Moden dan Kontemporari. Sejak akhir abad ke-19, kata pinjaman asing semakin banyak dalam bahasa Korea. Hal ini telah menyebabkan buku tentang peraturan penyatuan ortografi hangeul diterbitkan. Peraturan ortografi kata pinjaman yang diselenggarakan pada tahun 1986 membabitkan prinsip dasar penandaan, jadual penandaan, perincian peraturan ortografi yang melibatkan 21 bahasa asing dan prinsip penandaan nama orang dan tempat. Walau bagaimanapun, masih timbul pelbagai masalah dalam penggunaan bahasa Korea seperti masalah penandaan dan penyalahgunaan ejaan kata pinjaman.

Budaya kopi di Korea menjadi topik perbincangan penulis dalam bab seterusnya. Sebelum budaya kopi berkembang, masyarakat Korea telah mengamalkan budaya minum teh. Kopi diperkenalkan pada abad ke-19 dan dianggap sebagai minuman mewah untuk golongan atasan. Namun lama-kelamaan budaya kopi berkembang dalam kalangan masyarakat umum Korea sehingga wujudnya dabang atau warung kopi. Kini, golongan muda memilih kafe moden dan melihat dabang sebagai tempat untuk orang tua dan berstatus rendah. Penulis turut membincangkan bagaimana budaya kafe moden telah mengubah dan mencipta fenomena sosiologi yang disebut nona doenjang bagi mengungkapkan wanita yang bersikap ‘biar papa asalkan bergaya’. Golongan wanita ini gemar ke kafe-kafe terkemuka demi menjaga imej diri walaupun mereka bukan golongan berada.

Bab seterusnya  membincangkan bagaimana hallyu dan ombak Malaysia mencorakkan hubungan KS – Malaysia. Hallyu bermula pada akhir 1990-an dan berkembang sehingga kini. Hallyu di Malaysia dapat dilihat melalui kemasukan pelbagai drama, filem dan muzik pop. Selain hiburan, fesyen, produk kosmetik, gaya solekan dan makanan turut menjadi trend di Malaysia. Kesan Hallyu terhadap sosiobudaya Malaysia antaranya memupuk minat dan pandangan yang lebih baik terhadap masyarakat dan budaya KS termasuk bahasa dan pengajian Korea selain mengubah cara pemikiran dan hidup rakyat Malaysia. Aspek perubahan ekonomi pula, makanan Korea mendapat permintaan tinggi, lebih ramai rakyat Malaysia melancong dan membeli barangan KS. Ombak Malaysia pula telah menarik minat rakyat KS untuk menyertai Program Pendidikan Berkembar dan Program Rumah Kedua di Malaysia.

Di dalam bab yang ketujuh,  penulis menerangkan tentang bagaimana ekonomi KS melalui era peperangan, pertukaran rejim dan krisis ekonomi sehingga muncul sebagai kuasa ekonomi dunia. Bagi penulis, keunikan KS bukan sekadar keupayaannya berkembang selepas menghadapi rintangan tetapi disebabkan identiti sistem kapitalisme chaebol dan industri budaya hallyu. Hyundai, Daewoo, Samsung dan Lucky Goldstar merupakan chaebol terbesar KS yang terlibat dalam industri pembinaan kapal, automobil, besi, kimia, pembinaan dan elektronik. Industri tersebut menjadi pemangkin ekonomi negara. Manakala industri hallyu merupakan pemacu baharu ekonomi KS.

Pertikaian Liancourt Rocks atau dikenali sebagai Dokdo atau Takeshima antara KS dengan Jepun adalah tema utama perbincangan penulis dalam bab kelapan. Kini, Liancourt Rocks dikelolakan oleh KS walaupun dituntut Jepun. KU pula mendukung tuntutan KS. Isu tuntutan ini telah menebalkan lagi sentimen nasionalisme bangsa Korea dan Jepun. Isu terbabit juga telah membangkitkan rasa kebencian orang Korea terhadap Jepun.

Selain pertikaian pulau, isu wanita penghibur yang menjadi perbincangan dalam bab kesembilan turut menjejaskan hubungan bilateral KS – Jepun. Wanita penghibur atau Jugun Ianfu (comfort women) telah terlibat dalam penghambaan seks ketika era penjajahan Jepun. Penulis mengupas isu tersebut yang sebenarnya suatu isu jenayah perang namun telah berkembang menjadi isu martabat dan permainan semantik yang telah menjejaskan hubungan antara Jepun dengan KS dan juga China.  Jepun sering bermain dengan bahasa dalam soal permohonan maaf sehingga dianggap sebagai tidak ikhlas, selain cuba menafikan penglibatan Jepun dalam isu wanita penghibur. Berbanding Jepun, Jerman lebih berjaya dalam mengakui dosa silamnya.

Dalam bab yang terakhir, penulis memilih Pemberontakan Gwangju yang berlangsung dari 18 – 27 Mei 1980 bagi membicarakan cabaran pendemokrasian dan anti pemerintahan tentera di KS. Mahasiswa di Gwangju telah memprotes penerapan darurat tentera dan penangkapan beberapa pemimpin pembangkang sebagai tanda kebangkitan rakyat menentang kediktatoran Chun Doo Hwan. Ketika itu, timbul semangat anti-Amerika Syarikat kerana Washington mengekalkan hubungan baik dengan pemerintah tentera walaupun jelas tidak demokratik. Hal ini menunjukkan sikap hipokrit Washington yang kononnya memperjuangkan demokrasi. Penulis juga berpendapat demokrasi liberal Barat tidak semestinya terbaik untuk KS. Sebaliknya menyarankan suatu bentuk demokrasi yang bersandarkan nilai Asia dan Konfusianisme.

Kepelbagaian isu yang diketengahkan oleh para penulis amat sesuai dirujuk oleh para pelajar dan ahli akademik Pengajian Asia Timur terutama dalam pengkhususan Pengajian Korea. Selain golongan sasaran tersebut, buku ini diharap dapat menarik minat masyarakat umum terhadap  isu-isu bahasa, sosiobudaya dan sosiopolitik Korea.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014477
    Visit Today : 506
    This Month : 33822
    Total Visit : 1014477
    Hits Today : 1639
    Total Hits : 4138441
    Who's Online : 23
  • Kategori