OLEH SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

Penulis bersama Encom Shamsudin.

Tingkeban ialah satu amalan tradisi masyarakat Jawa di daerah Sabak Bernam, Selangor. Tingkeban disebut juga ‘mitoni’ yang berasal daripada kata pitu, bermakna tujuh. Upacara ini dilaksanakan pada usia kehamilan berusia tujuh bulan dan pada kehamilan yang pertama bagi isteri.

Dalam upacara tingkeban, ibu yang sedang hamil akan dimandikan dengan air kembang setaman disertai doa yang bertujuan untuk memohon kepada Allah agar selalu diberikan rahmat dan berkat sehingga bayi yang akan dilahirkan selamat dan sihat. Masyarakat Jawa percaya, janin yang berusia tujuh bulan mempunyai roh yang perlu dijaga dan diraikan.

Anak pertama dikatakan membawa tuah bukan sahaja kepada keluarga malah kepada adik-adiknya yang lain. Upacara ini dikendalikan oleh bidan yang bakal menyambut kelahiran bayi tersebut. Menurut Encom Shamsudin, 74, bakal ibu yang sedang hamil akan dimandikan dengan air pelbagai jenis bunga diiringi doa yang dibacakan oleh bidan. Seterusnya si suami akan memasukkan sebutir telur ayam kampung ke dalam kain isterinya. Telur tersebut dibiarkan jatuh dan pecah, merupakan simbolik tanda bayi akan lahir dengan lancar tanpa sebarang halangan.

 

Bakal ibu akan dimandikan dengan air pelbagai bunga

Siraman dilakukan oleh ahli keluarga terdekat sebanyak tujuh orang termasuk suami dan ayah juga ibu wanita yang hamil. Siraman ini bermakna memohon doa agar proses bersalin berjalan lancar agar anak yang akan dilahirkan selamat dan sihat jasmani serta rohaninya. Sebaiknya yang memandikan ialah orang tua yang sudah mempunyai cucu.

Di sesetengah kampung pula, apabila upacara siraman selesai, kebiasaannya akan diteruskan dengan upacara memasukan telur ayam dan cengkir gading. Bakal ayah akan memasukkan telur ayam mentah ke dalam sarung atau kain yang dipakai isterinya melalui perut sehingga pecah, kemudian menyusul cengkir gading diteroboskan dari atas ke dalam kain sambil diterima di bawah oleh bakal nenek dan kelapa gading tersebut digendong oleh bakal nenek, diletakkan di dalam bilik. Ini merupakan simbolik terhadap harapan semoga bayi akan lahir dengan mudah tanpa sebarang gangguan.

Kemudian bakal ibu tadi akan memakai kain putih sebagai asas pakaian pertama. Kain tersebut melambangkan bahawa bayi yang akan dilahirkan adalah suci dan mendapat berkat daripada Allah. Bakal ibu akan menukar baju sebanyak enam kali diiringi pertanyaan “sudah siap ke belum?” dan dijawab oleh ibu-ibu yang hadir “belum siap” sehingga kali yang ketujuh dan akan dijawab “sudah siap”.

Setelah selesai memakai kain dan kebaya sebanyak tujuh kali, dilaksanakan pemutusan benang lawe atau janur yang dilingkarkan di perut bakal ibu, dilakukan oleh bakal ayah dengan maksud agar bayi yang dikandung mudah lahir.

Kelapa dilukis gambar lelaki dan perempuan.

 

Setelah upacara ganti pakaian, bakal ibu akan duduk di atas tumpukan baju dan kain yang telah digunakan tadi. Ini bermakna bakal ibu akan selalu menjaga kehamilan dan anak yang dikandungnya dengan hati-hati dan penuh kasih-sayang. Bakal ayah akan menyuap bakal ibu dengan nasi tumpeng dan bubur merah putih sebagai simbolik terhadap kasih sayang seorang suami dan bakal ayah.

Kelapa gading yang dibawa ke dalam bilik, akan dibawa oleh bakal nenek dan diletakkan dalam kedudukan terbalik (bahagian bawah di atas) untuk dipecahkan. Kelapa tersebut masing-masing dilukis gambar lelaki dan perempuan atau gambar wayang Kamajaya dan Kamaratih. Bakal ayah akan memilih salah satu daripada kelapa tersebut.

Apabila memilih Kamajaya, maka bayi lelaki akan dilahirkan, jika memilih Kamaratih akan melahirkan bayi perempuan. Walau bagaimanapun, ini hanyalah mitos semata-mata dan belum pasti akan menjadi kenyataan.

Ada juga sesetengah keluarga yang mengkehendaki si suami membelah kelapa yang tidak dilukis apa-apa. Sekiranya belahan betul-betul di tengah, akan mendapat anak lelaki. Namun, sekiranya belahan tersebut senget maka dikatakan bakal menerima anak perempuan.

Upacara seterusnya, bakal ibu membuat rojak didampingi bakal ayah. Para tetamu akan membelinya dengan menggunakan kereweng sebagai mata wang. Makna disebalik upacara ini adalah agar anak yang dilahirkan kelak akan mendapat rezeki yang banyak serta menjadi anak yang bertanggungjawab serta dapat menjaga dan melindungi ahli keluarganya.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1031346
    Visit Today : 305
    This Month : 13945
    Total Visit : 1031346
    Hits Today : 927
    Total Hits : 4223199
    Who's Online : 11
  • Kategori